Sunday, July 29, 2012

Hujung Ramadan: Episod Keempat

Sebelum ini dalam Hujung Ramadan
Manis pulang ke rumah. Ibunya, Rosnah sambut dengan hati tak berapa nak terima, manakala perkenalan Juraimi dan Laila ditentang keras oleh Rosnah. Sesuatu tentang budak perempuan itu yang mengganggu fikiran Rosnah



“Tak payahlah masak. Awak tu tak sihat”

Rosnah mula menceceh bila anaknya Manis mula menyiang sotong untuk dibuat sambal waktu berbuka. Jam sudah menginjak empat setengah petang. Bimbang terlewat. Takut tercicir masa. Manis menggeleng memandang ibunya yang sedang menyusun kuih bazar Ramadan di dalam pinggan seramik.

“Yalah. Takkan nak beli je, mak. Manis kan ada ni. Jadi baik kita masak. Jimat sikit”, tukas Manis sambil membasuh potongan sotong yang sudah siap sedia bersih. Ibunya diam tak beri reaksi. Dia lebih kenal Rosnah. Sejak dia kecil, maknya memang jarang masak. Paling berat pun akan buat nasi goreng ala kadar yang dicampur dengan telur.

Jauh disudut hati, dia pelik bagaimana ayah boleh lekat dengan emak sampai sekarang.

Alah! Emak bukan suka dengan aku pun. Entah apa dicemburukannya!

“Manis masak banyak-banyak pun ayah bukan makan. Dia bukannya puasa pun!”, Rosnah mula buka tembelang. Manis mengerling ibunya. Ronanya nampak sangat tidak senang.

“Mak! Tak payahlah kecoh-kecoh. Kita dah tau dari dulu lagi, kan?”
“Mak dah tak larat nak simpan semua tu, Manis!”

Manis berhenti memotong bawang besar. Rambut yang sudah diikat ekor kuda sudah kembang akibat amarah yang mula hendak merengsa. Rosnah selamba. Nasi yang ditanak di dalam periuk automatik sengaja dikacau bagi memastikan beras masak dengan sempurna.

“Ayah kan suami mak. Jadi itu tanggungjawab mak untuk simpan rahsia ayah!”, Manis mula hendak meninggi suara. Rosnah diam. Nafasnya walaubagaimanapun sudah turun naik.

Heh! Sudah pandai nak mengajar aku??

Segaris senyuman terukir di pinggir bibir. Rosnah tetap cool dalam menangani masalah. Dia bukan jenis perempuan yang berteriak-teriak marah bila masalah melanda. Perempuan biar ada kelas. Konflik ni kacang saja!

“Mak tahu apa yang mak buat, sayang. Kamal tu suami mak.”, pendek jawapan Rosnah. Akalnya harus tuntas mencari jalan kalau-kalau Manis mula hendak berdebat!
“Kenapa kamu muntah semalam? Banyak sangat makan masa berbuka?”, Rosnah mula ubah topik. Sekali lagi tumpuan Manis terganggu. Dia diam kejap. Tak mampu hendak kata apa-apa bila soalan si ibu ditebak pantas, sepantas kilat.
“Agaknya kot! Siang tu masuk angin agaknya”, jawab Manis bena tak bena. Rosnah hela nafas.
“Entah-entah kerja si Laila tak? Budak perempuan tu bukan betul sangat pun”, serkap Rosnah.

Manis memandang ibunya bingung.

“Mak janganlah pandai-pandai. Budak tu boleh buat apa je?”
“Kamu jangan pandang dia sebelah mata, sayang. Mak yakin. Dia yang hantar sihir pada kamu”

Manis menepuk dahinya. Dia memandang wajah tak bersalah ibunya dalam-dalam, seakan tak percaya.

“Ya Allah, mak. Ni bulan puasa. Tergamak mak tuduh dia macam tu?”

Rosnah senyum lagi. Pahit.

“Kamu tak tahu apa budak tu boleh buat. Kalau tak, takkan kamu muntah teruk semalam. Petangnya mak baru marah dia dan tak benarkan dia kawan dengan Juraimi”
“Sihir tu benda karut, mak! Mengucap sikit bila bercakap. Dosa besar kalau tuduh takde bukti!”

Rosnah tersengih sinis.
Huh! Benda dah berlaku depan mata, kau masih nak menidakkan? Lurus! Orang jahat ni mana kira bulan puasa tak bulan puasa!

“Mak ayah dia pun dikenakan sihir. Dua-dua mati dalam keadaan misteri. Kamu nak bukti apa lagi, sayang?”, ujarnya masih mengawal marah dengan senyuman sebal. Manis menggeleng. Enggan bertekak lama-lama dengan emaknya, dia hanya diam. Bimbang dituduh derhaka. Takut dikata tak dengar cakap. Risau tak dapat berkat hidup.

Sebagai jalan pintas, Manis hanya diam. Dia nampak emaknya lega.
Dia enggan menyerabutkan keadaan. Ayah yang sudah hilang punca untuk berkomunikasi. Emak pula endah tak endah. Jujurnya, dia buntu.

Tahukah mereka, aku dibuang kolej sebab yuran tertunggak?
Tahukah mereka, aku punyai beban yang ragu-ragu untuk ditanggung?
Tahukah mereka aku terpaksa menipu bahawa kononnya aku bercuti sekarang?

Ya Allah…berikan aku kekuatan!

BERSAMBUNG

Friday, July 27, 2012

Hujung Ramadan: Episod Ketiga

Sebelum ini dalam Hujung Ramadan
Pertama kali Juraimi bersahur dengan makcik dan pakciknya. Rosnah seorang yang sinikal. Disebalik senyum palsu, dia bukanlah sebaik yang disangka. Kamal tak puasa pun dia selamba beritahu dan SMS dari Manis, anaknya juga disambut dengan amarah!



“Mak, Manis dah balik!”

Nampak kelibat seorang gadis berhijab. Warna baju yang dipakai agak polos manakala padanan kain dan tudung hijau pucuk pisang menyerlahkan corak kosong bajunya. Tapi Manis tak kisah semua tu. Biarlah pakaian dia tak semenggah, asalkan amalannya diterima Allah, apatahlagi dibulan Ramadan mulia ni.

Nampak bayang ibu tuanya dari ruang tamu. Sesaat kemudian, susuk Rosnah kelihatan sambil melempar senyum.

“Anak mak sihat?”, soalnya mesra. Manis memeluk ibunya erat. Dia mengangguk gembira sebelum memaut lengan perempuan pertengahan empat puluhan itu lalu masuk ke dalam rumah. Rosnah kemudian membawa anaknya ke ruang tamu untuk berehat.

“Kamu kenal Juraimi?”
“Juraimi? Juraimi mana pulak ni mak?”

Wajah Manis bingung. Apatahlagi nama itu cukup asing baginya. Jangan emaknya memandai-mandai mahu jodohkan dengan mana-mana lelaki sudahlah. Bukan apa. Dia lebih suka mencari sendiri. Bukan diatur keluarga.

Rosnah senyum saja. Mungkin dapat menebak perkara apa yang bermain legar dalam kepala otak anak daranya itu.

"Sepupu kamu tu lah!”
“Juraimi anak Mak Long? Yang anak yatim piatu tu?”
“Ishhh!! Perlahankan sikit suara kamu tu”

Serentak dengan itu kedengaran suara memberi salam sebelum kelihatan seorang budak lelaki dalam lingkungan empat belas tahun, masih beruniform sekolah masuk dengan senyuman nipis. Manis bertukar pandang sambil turut sama tersenyum sedikit tersentak memandang adik sepupunya itu.

“Ya Allah. Juraimi ke ni? Dah besar dah kamu!”, suara Manis hampir terpekik gembira. Dia kemudiannya bangun, memeluk satu-satunya saudara sebelum mengucup dahinya berkali-kali.
“Kamu tahu tak, dulu kamu rapat dengan kakak! Tak pernah nak berenggang!”, bisik Manis semakin teruja. Juraimi walaubagaimanapun sedikit bingung kemudian teragak-agak memandang kakak sepupunya dengan senyuman sumbing.

“Juraimi balik sekolah dengan apa, sayang?”, soal Rosnah prihatin. Budak lelaki itu mengerdipkan matanya beberapa kali. Dua wanita di depan mata diperhati silih bertukar ganti lalu menjawab tenang.

“Dengan Laila. Cucu Nek Kiah”

Rosnah sedikit tersentak kemudian memandang Juraimi lama-lama.

“Laila? Budak perempuan pelik tu? Budak perempuan yang selekeh tu?”

Suaranya meninggi sedikit. Dia mengharapkan agar Juraimi menggeleng. Dia mengharap bukan Laila cucu Nek Kiah yang dimaksudkan. Bukan cucu perempuan tua sebelah rumahnya yang selalu dipesan makanan sahur dan berbuka!

Malang!

Juraimi mengangguk lalu menambah.
“Cucu jiran sebelah rumah kita ni!”

Wajah Rosnah mula merona merah. Kembang kempis hidungnya menahan marah. Namun, seboleh mungkin dia mahu menutup kemarahannya dengan garis senyuman pura-pura biasanya. Nyata, senyuman itu sungguh jelik.

“Esok, Juraimi jangan balik dengan dia ya, sayang. Esok kakak Manis akan datang jemput, ya”, bisik Rosnah mersik. Juraimi bingung.

“Kenapa pulak tak boleh, auntie?”

Rosnah senyum lagi. Kali ini dia bertambah yakin walau marahnya masih tersisa, berbaki di dalam hati.

“Juraimi sayang auntie, tak? Kalau sayangkan auntie, please sayang”, rayu Rosnah sambil memaut tubuh anak saudaranya sambil menggoncangkan sedikit tubuh budak lelaki itu. Juraimi diam tak beri jawapan.
“Kenapa tak boleh pulak, mak?”, celah Manis, tertarik dengan telingkah ibunya. Rosnah menghela nafas. Kemudian menghembusnya kasar.
“Mak..buat..ni..bersebab..jadi..jangan..tanya...kenapa”, ujar Rosnah satu per satu dengan gigi yang digetapkan. Matanya dipejam rapat-rapat tanda kata-katanya adalah muktamad. Manis terdiam tak berani untuk terus berkata.

“Assalamualaikum”

Ada suara kecil memberi salam. Enam pasang mata lekas menyorot ke muka pintu sebelum Rosnah yang pertama berjalan dengan langkah megah dengan kaki dempaknya menuju ke suara itu. Dia senyum sinis.

“Kamu nak apa?”, jawabnya selamba mempedulikan untuk menjawab salam. Rambut kembangnya dikuak sedikit kebelakang, menyerlahkan dahi luas berbintik kesan jerawat batu yang masih tidak hilang. Laila tergamam. Sepatah kata tak keluar dari dua ulas bibir budak perempuan itu. Rosnah senyum. Wajah bulat budak perempuan itu diperhati lama-lama. Nampak tahi lalat pemanis sebelah kanan pipinya yang gebu. Dia menyambung selamba, tetapi masih dengan senyum plastiknya itu.

“Kamu tak perlu susah payah nak ajak Juraimi. Kamu pergilah sendiri. Budak pelik macam kamu ni, tak layak ada kawan, tahu?”, sindirnya sebelum menutup daun pintu dengan kuat.

Kisah pulak dia dengan perasaan Laila? Peduli apa dengan Ramadan. Laki aku pun tak puasa.

What is the point kalau aku buat baik, tapi keadaan sekeliling langsung tak membantu?

Perasaan marahnya dibawa hingga ke buka puasa. Masih tak endahkan Kamal yang masih belum pulang, dia, Manis dan Juraimi berbuka bersama dengan lauk pauk yang dibeli dari Bazar Ramadan. Bila ditanya Manis tentang ayahnya, dia jawab selamba. Masih dengan senyuman pura-pura, dia mengkhabarkan bahawa Kamal tidak berpuasa sejak hari pertama Ramadan.

Rosnah hanya tunggu reaksi Manis. Yalah anak kesayangan Kamal! Pantang benar kalau dapat tahu benda-benda buruk tentang bapanya. Jadi aku ini emaknya, isterinya yang bongkar kejahilan Kamal, jadi kau nak berperang pula dengan aku tak?

Manis diam tak menjawab.
Malu kot Juraimi ada dalam rumah!

Jadi nasi kerabu yang digaul Manis masih berbaki banyak di dalam pembalut kertas minyak. Entah kenapa, seleranya terputus sebelum bingkas bangun, berlari pantas menuju ke sinki membasuh tangan lalu memuntahkan segala apa yang dimakannya sejak berbuka tadi!

Rosnah cuak! Juraimi tercengang.

Perempuan tua itu menghela nafas dalam-dalam. Satu wajah bulat terpapar terus dalam kepala. Wajah yang menyerlahkan tahi lalat pemanis di pipi kanannya!

Ini semua kerja kau!

Bersambung

Monday, July 23, 2012

Ramadan: Sabar


Salam Ramadan semua!

Alhamdulillah diketemukan lagi dengan Ramadan edisi ini. 4 tahun sebagai blogger dan bertahun tahun sebagai manusia yang diperintah Allah.

Bila tiba Ramadan, ia bagai satu antidote untuk kita supaya bersabar dalam banyak hal.

Salah satunya kecoh dalam #trending Twitter semalam pasal Queen Mutia yang mempersenda nama Allah dan Rasul. Ini isu samaada pencari pasal itu seorang Athies atau memang nak gila glamour seperti yang lain. Namun, malam sikit, aku tengok trending, isu Queen Mutia settle.

Akaun twiternya juga fake.

Syukur ramai yang komen tak mencarut marut. Sabar masih ada. Paling tidak membiarkan admin Queen Mutia diadili Takdir.

Bagi aku isu ni bukan baru. Hina agama. Isu agama janganlah diusik. Itu sensitive. Kenapa benda sensitive masih nak dikacau bulan puasa ni?

Sepicing kesabaran bulan Ramadan ini penting. Allah ukur itu.

#Queen Mutia who?
#Terima kasih diantara kalian yang sudi membaca Hujung Ramadan. Siri ini akan kembali bersiaran Jumaat dan Sabtu ini.

Saturday, July 21, 2012

Hujung Ramadan: Episod Kedua

Sebelum ini dalam Hujung Ramadan
Juraimi diletakkan dibawah jaggan anak yatim bila ibu dan bapanya menemui kemalangan. Dia ingat Ramadan kali ini akan sama seperti tahun sudah. Rupanya makcik dan pakciknya datang untuk menyambut Ramadan bersama. Tapi di balik hati Rosnah dan Kamal, ada satu perancangan yang mengikat.



“Juraimi, bangun sayang. Bangun sahur”

Tubuhnya terasa digoncang sedikit. Seraya kemudian matanya pula terpisat-pisat melihat remang cahaya lampu meja sudah dinyalakan terang. Juraimi membuka matanya perlahan. Hatinya berdetap sedikit seakan memandang arwah ibunya, Ramlah hidup kembali!

Susuk itu tersenyum.

“Mi bangun siap-siap. Kita makan sahur sama-sama, ya”, suara parau ibu saudaranya Rosnah menerjah gegendang telinga. Juraimi kembali berpijak kepada realiti. Ya. Ibunya sudah lama mati. Memang sekali imbas, wajah Makcik Rosnah saling tak tumpah raut ibunya! Dari rambut yang beralun, wajah bujur dan mata bundar yang cantik. Bezanya, Makcik Rosnah ada tahi lalat pemanis di pipi kiri. Bila senyum, wajahnya ‘terletak’.

Juraimi enggan berlama-lama. Bimbang makciknya tertunggu-tunggu.

Tiga minit dia bersiap ala kadar lalu membawa diri terus ke ruang makan yang kini mewah disediakan ayam goreng, sambal tumis ikan bilis, kerabu mangga, masak lemak pucuk paku dan potongan oren segar.

“Makcik masak semua ni?”, soal Juraimi setelah kelibat Rosnah muncul dari dapur dengan membawa bekas nasi yang masih panas berasap. Wanita itu senyum nipis. Anehnya dia menggeleng.

“Makcik tempah dengan Nek Kiah sebelah rumah. Makcik mana pandai masak, sayang. Takat masak nasi, makcik reti lah”, tukasnya selamba. Juraimi termanggu seketika. Dia macam keliru dengan nada Rosnah yang bercakap tanpa perasaan. Dia tunggu juga kalau-kalau makciknya bergurau, kata “Makcik-gurau-aje. Ye. Memang-makcik-masak-semua-ni. Sebagai-perempuan-dan-isteri, makcik-mesti-kena- tahu-masak”. Tapi hampa. Sangkaannya nyata meleset. Makciknya serius. Dengan erti kata lain, adik kepada arwah emaknya itu memang tak mesra kerja dapur. Teh panas yang dituangnya juga tertumpah sedikit mengenai permukaan meja makan, tapi langsung tak diendahkan oleh perempuan itu untuk mengelap.

“Pakcik tak sahur sekali?”

Rosnah yang mula hendak basuh tangan terhenti seketika. Dia, walaubagaimanapun tersenyum sumbing.

“Kamu makanlah dulu. Kejap lagi muncul la pakcik kamu tu”, jawabnya tenang sambil menyuapkan nasi putih yang sudah bergaul dengan sedikit sambal tumis dan cebisan daging ayam ke dalam mulut. Juraimi diam. Enggan berkepoh lama-lama tentang satu urusan yang tak berkait dengan dirinya. Dia mengunyah kejap. Kemudian telan. Tak lama, dia teguk air teh yang sedikit tawar. Lalu dia menyuap nasi kembali. Mengunyah bena tak bena. Teh dihirup tak puas tak lama kemudian.

“Tak elok makan macam tu, nak. Nabi kita tak galakkan”, tegur satu suara garau seorang lelaki yang kemudiannya mengambil tempat disebelah Juraimi. Baik dia dan Rosnah berpaling melihat Kamal yang sudah menyenduk nasi yang masih berwap, menyambar dua ketul ayam goreng dan setengah sudu sambal tumis sebelum menikmati hidangannya.

Rosnah, walaubagaimanapun memerhatikannya jengkel.

“Tak payahlah abang nak berlakon konon-konon bangun sahur. Menyusahkan diri je. Tak gitu, Juraimi?”, ujar Rosnah mengerling lembut suaminya sambil bibirnya mencicip teh yang dihirup dari cangkirnya. Suapan Juraimi terhenti. Wajah pakciknya, Kamal dijeling sedikit. Rona merah mula menyala. Tapi entah kuasa apa, lelaki sebaya arwah bapanya itu selamba saja menjamah juadah, mempedulikan kata-kata sinis isteri sendiri.

Rosnah menyambung kata-katanya dengan sopan.

“Alah. Nanti tengahari mulalah jadi kucing kepala hitam. Selongkar dapur cari makanan. Buruk betul perangai uncle kamu ni, Mi”, tukas perempuan itu menjadi-jadi sebelum Kamal menyudahkan suapan, membasuh tangan sebelum berlalu pergi meninggalkan anak saudaranya yang sangat tercengang.

Rosnah menggeleng sambil tersenyum.

“Apa nak jadilah dengan pakcik kamu tu. Siang hari bukannya nak puasa. Bila cakap hal agama, pandai pulak dia. Kamu jangan jadi macam dia ya, sayang?”, bingkis Rosnah sambil memandang Juraimi dengan penuh kasih sayang. Budak lelaki itu hanya membalas dengan anggukan kecil, seperti terpaksa. Rosnah senyum lagi.

“Ha macam tulah budak baik. Petang ni teman makcik ke bazar Ramadan ye. Nak beli banyak lauk”, tuturnya lemah lembut mempedulikan wajah budak lelaki empat belas tahun itu yang bertimpa-timpa kelirunya. SMS alert kedengaran di balik Samsung yang diletak di satu sudut meja, dibelakang tempat makannya. Dia meraih telefon bimbit touch screen itu lalu membaca dua baris mesej yang terpapar dengan khusyuk.

Assalamualaikum, mak. Manis ni. Esok Manis balik. Miss u mom and dad! Rindu masakan emak!

Mesej dari anaknya, Manis. Tapi makin dibaca, hatinya makin meluat.

Kau dengan bapak kau sama saja! Menyusahkan!

BERSAMBUNG

Friday, July 20, 2012

Hujung Ramadan : Episod Pertama


“Tahun ni Mi nak baju raya warna apa?”
“Ish awak ni! Puasa baru nak start esok. Dah sibuk fikir pasal baju raya?”

Ramlah mencebik masam. Herot sikit bibirnya yang dioles kemas dengan lip gloss. Nafasnya mula dihela panjang. Kalau dah suami kata begitu, makna kata dia dah tak punyai pilihan. Patuh. Sekilas dia pandang satu-satunya anak lelaki yang sedang khusyuk menonton DVD Shawshank Redemption kepunyaan Bakar, suaminya. Anaknya Juraimi masih tekun memerhati setiap babak cemas seorang banduan dibuli dengan teruk di dalam penjara.

“Ala abang ni. Mi tu satu-satunya anak kita”, bisik Ramlah masih tak berpuas hati. Bakar masih enggan ambil pusing sambil pura-pura tertarik dengan kolum gosip pojok Gebang-Gebang lewat surat khabar yang dibacanya. Ramlah mengerling sambil memperbetul rambut ikal ditocang ekor kudanya yang tampak tidak kemas.

“Sejak bila pandai bergosip, bang? Selalu ruangan tu yang awak asingkan dulu dari suratkhabar?”, soal Ramlah dengan nada jengkel, masih memandang tindak tanduk Bakar yang kononnya tenggelam dalam pembacaan “Aktres Baru Mabuk Populariti”. Artikel itu disertakan dengan seorang gadis, well dengan wajahnya di blurkan tetapi masih nampak rambut yang diwarnakan perang, sedikit kusut masai. Dia duduk dengan limai lelaki disamping botol arak disaji megah di atas meja bercermin yang kontot.

Budak baru nak up. Atau mungkin Melayu mudah lupa?
Lekas selesa dengan apa yang ada.
Popular sedikit,sudah berperangai diva.
Atas dunia ini, konon miliknya saja.
Dah jadi artis, maka itu lesen untuk ‘mabuk’ dengan kemasyuran yang sementara, akhirnya tersungkur jatuh dan mulalah nak kata ‘kami-bergambar-tak-minum-pun’
Do you think peminat abad 21 ni nak percaya?
Peminat dimana gajet dan IT semua ada depan mata?


Sama ada itu alasan cover line, atau memang tak minum Ramlah tak ambil peduli. Tapi dia sebagai wanita Melayu. Muslim. Adab diajar oleh ibunya sedikitpun tak pernah luntur. Malah dia dan adiknya Rosnah saling ingat-mengingati antara satu dengan yang lain dimana wanita harus ada dignity. Harus ada maruah diri!

Ya. Dia dan suaminya hidup senang. Malah mereka sudah ada perancangan mahu menghantar Juraimi ke London usai SPMnya selesai. Makan pakai mereka lebih dari apa yang mereka mampu, tapi itu tak pernah langsung menjentik naluri dia dan suaminya untuk lupa daratan waima lupakan usul dan asal.

“Eh, bukan ke artis baru ni yang berlakon jadi cikgu agama dalam drama yang awak tengok tiap-tiap malam Khamis tu?”

Soalan Bakar menerjah bagai torpedo, memancung terus ingatannya yang sudah jauh meleret. Ramlah hampir terbelahak. Suaminya benar-benar membaca kolum pojok yang selama ini didakwanya ‘merepek’, ‘merapu’ dan ‘meraban’.

“Hai? Dah pandai baca ruang gosip pulak? Tak baik tau bang. Tu semua fitnah”.

Bakar terkena sedas. Tapi raut wajah lelaki itu masih serius. Ramlah senyum simpul. Dia menyambung sinikal.

“Aik? Bukan ke abang yang selalu tengok drama tu? Saya tolong teman je”

Bakar hilang punca. Kemudian melirik senyuman kerang busuk.

“Eleh awak tu yang nak tengok hero dia. Yang jadi ustaz tu kan?”, Bakar enggan mengalah. Ramlah hampir tertawa besar.
“Drama tu best apa? Rugi tau kalau tak tengok”, tukas wanita itu dengan tawa tertahan-tahan.
Juraimi senyum memandang dari jauh. Gurau senda ibu bapanya menyejukkan hati, mempedulikan hero di kaca TV mencari jalan untuk keluar dari penjara durjana. Suara ibunya melayah lagi.

“Mi nak baju raya color apa tahun ni? Petang nanti mak belikan”

Juraimi senyum. Dia tak sedar dia senyum terkenang-kenang. Dia tak sedar sesaat kemudian air mata tumpah membasahi pipi. Mata yang dipejam, dibuka perlahan-lahan. Suasana kelam sudah bertukar subuh pagi. TV Flat screenya sudah tiada. Aroma lavender yang mewangikan rumah juga digantikan dengan bau kepam katil yang masam. Dia bangkit dari pembaringan yang canggung.

Tiada lagi suara ibu bapanya merawat hatinya yang sunyi.

Bakar dan Ramlah menemui kemalangan jalan raya setahun yang lalu, mengakibatkan dia hidup dalam jagaan rumah anak yatim.

Air mata yang ditahan, tumpah jua.
Ramadan yang bakal bermula esok, pasti tiada apa ertinya.

***

Pagi itu pertemuannya dengan Puan Bunga, pengetua Rumah Anak Yatim berjalan dengan lancar. Kata Puan Bunga, dia ada kejutan untuknya. Dari bilik perempuan itu, dia dibawa ke ruang utama dimana kelihatan sepasang suami isteri yang nampak prihatin. Si suami yang berkopiah dengan baju kotak-kotak warna hitam manakala si isteri memilih untuk berselendang (nampak rambutnya seperti jambul) dipadankan dengan jubah labuh berwarna sedondon dengan suami.

Warna pemalas! Hati kecilnya berbisik.

“Kenalkan, ibu dan bapa saudara kamu. Puan Rosnah dan Encik Kamal”

Juraimi tersenyum hambar. Menghulur salam kepada kedua mereka dengan teragak-agak. Rosnah menyambutnya tenang sebelum memeluk erat budak lelaki itu. Rambutnya dibelai dengan penuh kasih sayang sambil diperhati sayu oleh Kamal.

“Makcik dan Pakcik sedaya upaya mencari kamu. Kamu masih ada saudara dan selagi makcik hidup, makcik akan jaga kamu”, bisik Rosnah sambil mengucup dahi Juraimi. Selesai urusan dokumentasi, mereka terus mengisi Vios hitam kepunyaan Kamal sebelum dipandu laju lelaki itu.

“Makcik promise that you will be happy, Mi. Lama dah makcik tak jumpa kamu. Dah berapa tahun ye bang?”, soal Rosnah peramah sambil memaut lengan suaminya manja. Kamal sengih sambil menoleh sedikit ke arah Juraimi yang turut tersenyum.

“Adalah dalam sepuluh tahun. Masa tu Mi kecik lagi. Kak Manis la sayang sangat kat Mi”, sambung Kamal sebelum membuat lencongan berhati-hati pada satu simpang yang menghubungkannya terus dengan jalanraya utama.

“Kak Manis?”
“Ya. Kakak sepupu kamu. Sekarang dia kat universiti ambil course Law”

Juraimi angguk faham. Rosnah turut tersenyum.

“Makcik will make sure this Ramadan will be the great one. Mi jangan bimbang ye. Kita dah jadi satu keluarga sekarang”, tukas Rosnah sambil bertukar pandang dengan suaminya dengan pandangan penuh erti.

It goes like we plan, darling!

BERSAMBUNG

Thursday, July 19, 2012

Promo: Hujung Ramadan

Lama tak menulis dan lama tak update blog. Maaf. Kesibukan melanda. hehe

InsyaAllah Ramadan bakal menjelma Sabtu ni. Alhamdulillah, masih diberi peluang menyambut Ramadan! Alhamdulillah!!

Terus kepada point utama. Sebenarnya nak promo siri baru untuk Ramadan kali ni. Sebelum ni tak pernah menulis short stories untuk bulan puasa jadi, aku cuba-cuba untuk tahun ni. Siri ni akan disiarkan bermula esok, jam 6 pagi setiap Jumaat dan Sabtu sepanjang Ramadan. Jangan risau. Episod hanya ada 10 dan InsyaAllah dijangka tamat pada 18 Ogos 2012.

#Lama tak update menjadikan struktur ayat sungguh hodoh dan terabur#

***

Kematian ibu dan bapa meletakkan Juraimi di bawah jagaan ibu dan bapa saudaranya, Rosnah dan Kamal. Ini puasa pertama tanpa ibu dan ayah. Kesedihan masih menyelubungi tapi hidup tetap diteruskan. Kepulangan kakak sepupu, Manis menggembirakan Juraimi. Apatahlagi mendapat kawan juga jirannya yang senasib bernama, Laila. Tetapi Ramadan yang mula nak dinikmati seakan pudar bila tompok hitam Rosnah mula kelihatan. Kamal pula seperti menyembunyikan sesuatu dan Manis cuba menutup aib keluarganya. Adakah Laila boleh dipercaya? Masih adakah sinar untuknya pada hujung Ramadan nanti?

Wednesday, July 11, 2012

Nasi Lemak Ayam Penyet

Lama tak update.

Sesekali update pasal makanan. Naiss!

Sekarang ni susah nak jumpa nasi lemak murah, seringgit satu. Tapi aku pernah rasa.

Nasi lemak bawah ni.

Isi dalam yang membukit


Tak beli 1. Dua sekali aku rembat


Cukup sedap. Murah. Nak nak pulak bungkus dengan daun besar gedabak macam bungkus tempeh! Terasa kampung sangat.

The other day, aku makan nasi ayam penyet. Dia punya sambal tak usah cakap. Sedap namampos! Then it occur to me;

"Macam mana kalau nasi ayam penyet sudah jadi signature dish, tarikan pelancong datang ke Malaysia?"

Yeah. Isu belum ada. But then, kita kena fikir consequences. Kita tak ada masalah nak terima makanan luar dan adapt ikut selera kita. Cuma risau kalau kata soon, nasi ayam penyet sudah dijadikan 'pin point' menarik orang datang ke negara kita, walhal makanan itu datang dari tanah seberang.

Aku luah pendapat risau. Aku tak kisah pun sebenarnya. Aku raikan kepelbagaian budaya. Tak salah kan?

Thursday, July 05, 2012

Sebabak: Bila Skandal Boleh Dihidu (Notes on a Scandal)

Filem: Notes on a Scandal
Director: Robert Eyre
Origin: United Kingdom

Filem Psychological Drama ini ditayangkan sekitar tahun 2006. Mengisahkan tentang seorang cikgu, Sheba Hart (Cate Blanchett) yang agak tertekan dengan family dan anak yang ada penyakit, mempunyai sinar baru bila seorang pelajar sekolah muda suka kat dia. Terperangkap dengan skandal, dia meluahkan rasa takutnya pada rakan sejawat, seorang cikgu lonely Barbara Covett (Judi Dench) yang akhirnya menjadikan rahsia yang disimpan dalam diarinya memakan diri sendiri, dijadikan senjata untuk menjatuhkan Sheba Hart!

Ini adalah scenes yang aku ingin kongsikan pada kalian! Enjoy!

Kenapa kau buat orang tua??


Bila Dame Judi Dench kena lempang sedas sebab tulis skandal yang menyebabkan semua orang tahu


Barbara: "I gave you, exactly what you wanted!"


Sheba: "You put me in prison! I could get two years!!"


Barbara: "They'll fly by! I'll visit you every week! We so much life to live together!"


Sheba: "Sticky gold star and strand of my hair!"


Sheba: "Where did you get my hair?Did you pluck from the bath with special fucking tweezers!"


Sheba: "You bitter old virgin! No one told me you're fucking vampires!!"


Sheba: "You want to roll around the floor like lovers? You wanna to fuck me, Barbara?"


Here I am!!!!

***

Judi Dench dicalonkan Oscar menerusi Leading Actress tetapi tewas di tangan Helen Mirren (The Queen). Judi Dench pernah menang Oscar menerusi kategori Supporting Actress (Shakespeare in Love)

Cate Blanchett dicalonkan Oscar pada tahun yang sama menerusi Supporting Actress tetapi tewas di tangan Jennifer Hudson (Dreamgirls). Walaubagaimanapun, Cate pernah memenangi Oscar menerusi peranan sebagai Katherine Hepburn dalam filem The Aviator



Monday, July 02, 2012

Sudahkah Tercapai?


Bapak lama aku tak update blog.
*bajet bizi sangatlah kan*

Adalah kerja sikit-sikit selain idea spontan yang bakal merubah diri sendiri ke arah yang –aku-sendiri-pun-tak-percaya-sebenarnya-

Bulan baru dah datang. Bulan lama dah ditinggalkan.

Diam tak diam, dah masuk bulan Julai. Tak lama lagi dah puasa!

Ada apa dengan Julai sebenarnya?

Julai ni bagi aku adalah penanda hampir separuh tahun 2012 telah kita tinggalkan.
Dari separuh tahun itu, berapa banyak azam kita dah tercapai? Berapa banyak misi kita dah accomplished? Cuba kau kira.

Biasalah. Dalam hidup, kita kena ada sasaran. Work hard to accomplish the mission, kalau bolehlah. Tak boleh takpa. Always have time to try again and again. Jangan give up walaupun telah sekali dua kau mencuba untuk capai matlamat itu. Kadang-kadang Tuhan tak nak bagi kita masa sekarang, diganjarkan pulak kita dengan benda lebih best pada waktu yang lain.Tak gitu?

Hidup tak boleh lemah dan hanya serah bulat-bulat pada Takdir. Usaha kemudian tawakkal dan serahlah pada Takdir. Itu lebih baik.

Azam aku dah tercapai belum separuh 2012 ni? Aku boleh kata, Alhamdulillah.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
The views of the writer are his own, and do not in any way reflect the views on other sites affiliated with this site, the staff involved with the site, or any other members of this site. It is your OWN RISK by reading all the entries. Please noted that all works inclusive short story and online novel in this site are written by the writer. You may share all the articles, but you've must consult with the writer.
Any inquiries, feel free to email the writer on faizalsulaiman85@gmail.com
ALL RIGHTS RESERVED

My other site: TUMBLR