Showing posts with label Loro. Show all posts
Showing posts with label Loro. Show all posts

Wednesday, December 08, 2010

LORO: CHENDANA EPISODE 25 (TERAKHIR)


Penulis: Faizal Sulaiman
Penamat Chendana EP 25 diberikan kepada dua pilihan. Penamat Dua boleh dibaca di blog Dan
. Terima Kasih kerana membaca, dan teruskan komen-komen membina dari anda, pembaca!



Ratna Ayu semakin berang. Ternyata Chendana Sari milik Hajar lebih kuat dari jin belaannya sendiri. Perempuan separa abad itu mundar mandir dalam rumahnya, memerhatikan barang-barang sihir yang digunakan sekian lama, terbentang di atas lantai dengan perasaan marah dan geram.

Bagaimana Silbi milikku yang sudah berusia ratusan tahun, boleh tumpas dengan Chendana Sari yang aku anggap masih hingusan tu? Dasar perempuan keparat!

Kebenciannya makin terserlah. Nafasnya turun naik kencang sambil memikirkan pelbagai helah dan rencana yang mungkin digunakan untuk menewaskan ilmu Chendana Sari juga kemungkinan ditumpaskan oleh Jamil, sepupu kedua-dua perempuan itu.

Sikap terlalu melindungi Jamil adakala menyusahkan Ratna Ayu untuk menumpaskan mereka berdua, seterusnya merampas Chendana Sari untuk menjadi miliknya!

Tiba-tiba bagai ada satu cahaya terang benderang menerangi kepalanya yang kemalapan.

Ya! Aku harus ikut kemana saja dua beradik itu pergi. Aku akan hapuskan satu persatu… Dan Chendana Sari akan menjadi milikku!

Ratna Ayu mengambil kerambit pusaka yang disimpan di dalam suatu kotak kayu yang nampak usang!

Kerambit ini akan ku jamu dengan darah…sekali lagi!

**

Jamil selesai menunaikan fardhu solat Isya’ sambil masuk semula ke ruang tempat duduk disebelah pemandu Vios milik Asyraf. Lelaki itu mencebik bibir, seakan mencemuh.

“Lama kau sembahyang? Kita orang tunggu bukan main lama, tahu?”, ujarnya meluat sambil menghidupkan enjin dengan pantas sebelum meninggalkan Masjid Al Hidayah dengan perasaan sedikit berang. “Orang nak cepat. Kau pulak buat perlambat!”, sambung ocehannya sambil memaut stereng, sebelum membuat satu lencongan tidak berarah seoalh-olah protes dengan kelambatan Jamil.

Padan dengan muka kau, kena marah dengan aku!

Hatinya puas. Nafasya dihembus kasar mempedulikan untuk berfikir tentang perasaa Jamil ketika ini.

“Bang..minumlah. Tadi Asyraf beli dekat stesen minyak sementara tunggu abang bersolat”, ujar Samira sambil menghulurkan sekotak air soya Drinkho kepada sepupunya. Jamil menyambut sebelum minum melalui straw kecil yang sudah dicucuk ke dalam kotak kecil itu.

Lega benar. Tekakknya sungguh segar.

“Kenapa kita ke sini?”, kedengaran suara Samira memecah keheningan antara mereka berempat. Asyraf menjelingnya menerusi cermin sisi.

“Takkan nak tanam dekat belakang rumah awak pulak? Nanti apa-apa, polis akan tangkap awak!”, bidasnya sebelum memberhentikan kereta secara mengejut disebuah bukit yang nampak sunyi.

“Dah! Turun. Lagi cepat kita buat, lagi bagus!”, desak lelaki itu mula kedengaran cemas apabila kedengaran bunyi pungguk yang sangat menyeramkan. Hajar turun dahulu, disertai Samira dan Jamil.

Jam dikalih. Lima belas minit lagi akan hampir ke pukul satu setengah pagi.

Bumper belakang Vios dibuka, mendedahkan dalam samar-samar cahaya bulan bungkusan hitam seperti sampah, sudah kelihatan sedikit berair merah pekat dengan darah. Masing-masing berpandangan sebelum Hajar bersuara perlahan, penuh ketakutan.

“Ini silap Hajar…jadi Hajar yang sepatutnya bertanggungjawab”ujar gadis itu yang semakin murung. Dia cuba mengangkat plastic hitam yang sudah terisi mayat Katrina.

Berat.
Gadis itu mencuba lagi.
Jisim mayat itu seakan bertambah berat.

“Hajar tak kuat! Kak tolong Hajar..”
Gadis itu kelihatan kelam-kabut sebelum Jamil bersuara seakan memberi kata putus.
“Kita angkat ramai-ramai. Mudah sikit”, cadangnya sebelum dipersetujui oleh Samira.

Asyraf menjeling cemburu.

Belum pun sampai separuh jalan menuju ke kawasan tengah bukit itu, tiba-tiba Jamil jatuh, rebah tidak sedarkan diri. Keadaan sedikit kucar. Samira yang berdiri bersebelahan sepupu nya itu tersentak terkejut menyebabkan plastic hitam yang dibawa bersama mereka jatuh terhempas di atas tanah berpasir.

“Bang Jamil..Bang Jamil!”, teriak Samira, sebelum menampar nampar lembut pipi lelaki itu. Mata Jamil terpejam, tetapi nafasnya masih turun naik. Digoncang lagi tubuh lelaki itu. Masih tidak ada reaksi.

Jamil tidak sedarkan diri.

Samira kaget, langsung memandang Asyraf dan Hajar yang berdiri memandangnya kosong.

“Kita mesti buat sesuatu! Sedarkan abang Jamil semula….dan mungkin dia boleh tolong kita!”

Asyraf mendengus benci.

“Kenapa mesti Jamil? Kenapa bukan saya? Siapa saya di mata awak, hah?”
“Asyraf..tolonglah! Ini bukan masanya nak bertekak pasal kecemburuan awak tu!”

Asyraf tertawa besar, mempedulikan air muka jengkel Samira juga adiknya Hajar.

“Ya! Aku cemburu! Aku cemburu sebab kau lebihkan dia berbanding aku! Tapi aku lebih suka kalau dia mati!”
“Apa awak cakap ni?’

Samira terpekik garang. Dia tambah tergamam sebelum kedengaran suara adik perempuannya Hajar mencelah dingin.

“Kakak selalu pentingkan diri. Abang Asyraf sunyi..jadi Hajar selalu temankan dia malam-malam”

Pengakuan Hajar tambah mengejutkannya.

“Apa kau cakap, dik?”

Hajar tersenyum. Sinis. Dia memulakan langkah, mendekati Asyraf yang memandangnya dengan penuh kasih sayang, sebelum memaut tubuh lelaki itu mesra.

Semilir angin malam berpuput deras, menampar nampar pipi Samira yang sudah kebasahan air mata.

Pengkhianatan itu bagaikan satu tamparan hebat buat nya.

“Kenapa kau buat kakak macam ni, dik?”

Hajar tersenyum mendengar soalan kakaknya itu.

“Dah lama saya berdendam dengan kakak. Kakak selalu dimanjakan emak. Selalu diberi perhatian. Saya disekolahkan di kampung, dan kakak disekolahkan di sekolah elit! Saya terpaksa jaga emak. Emak makin lama makin sakit, sehinggalah suatu malam saya mendengar perbualan emak dengan seseorang. Emak enggan menyerahkan kakak pada dia, jadi tanpa pengetahuan emak, saya menghambakan diri pada dia---saka keluarga kita”

Samira tergamam. Suaranya yang hendak bertanya bertubi-tubi seolah-olah tersekat dicelah kerongkong. Hajar menyambung lagi.

“Jadi satu perjanjian dengan syaitan telah dilakukan. Saya memiliki Chendana Sari dan dia boleh lakukan apa yang saya perintahkan!”

Samira menelan liurnya mendadak, memandang tidak percaya yang adik perempuan yang selama ini disanjung kerana pengetahuan agamanya, terpesong kerana pujukan menyesatkan!

Dan ini sekaligus mengingatkan Samira kepada bayangan yang selama ini telah mengganggu hidupnya. Bayangan seorang wanita. Jasad tanpa kepala dengan darah merah pekat mengalir pada ruang pipinya yang sudah ditoreh!

Hajar menyambung lagi sambil Asyraf menyapu ubun-ubun perempuan itu, lantas mengucupnya perlahan. Satu pandangan jijik terpalit di mata Samira, melihat aksi itu, sekaligus membenam rasa amarah nan menggunung kepada lelaki itu.

Pengkhianat!

“Saya memerintahkan Chendana untuk merasuk emak supaya dia membunuh dirinya. Dia mati, selang dua hari kemudian. Saya menghantar SMS kepada kakak, memberitahu keadaan emak yang sudah nazak, padahal saya yang suruh Chendana seksa jiwa dia!”

Samira memandang adiknya geram. Sampai hati kau, dik!

“Apa salah mak pada kau? Kenapa kau hukum mak macam tu sekali?”

Hajar tersengih, langsung tidak menunjukkan rasa bersalah.

“Sebab emak tolak pelawaan Chendana untuk memeliharanya. Jadi Chendana mengunggu masa yang sesuai bila kita berdua besar. Tapi sayang. Pada mulanya Chendana mahu memilih engkau, kak! Tapi aku tahu, kau takkan berani menanggung beban memelihara Chendana…jadi aku tawarkan kesanggupanku padanya..dan…”, Hajar berhenti sekejap dari berkata-kata, sebelum memandang Asyraf yang berdiri dibelakangnya dengan penuh rasa kasih dan cinta, sebelum menyambung semula.

“…Abang Asyraf lah yang banyak membantu. Kau ingat malam kejadian konon-konon aku disampuk tu? Aku sendiri meminta Chendana merasuki aku demi membuktikan si Jamil kesayangan kakak tu adalah orang jahat. Tapi..tidak kan? Kakak lebih anggap si Jamil tu penyelamat segalanya!”

Otak Samira buntu. Segala apa yang diperkatakan adiknya itu terpancar satu per satu di kepalanya kini.

Giliran Asyraf pula bercakap.

“Malam ini, aku dan Hajar akan membunuh engkau Samira. Kemudian kami akan pastikan Jamil adalah pembunuh engkau..mungkin juga Katrina! Aku rasa, pil tidur yang aku suntik ke dalam kotak air minumannya tu akan berikan dia kesan paling mujarab!”, desis lelaki itu sambil mengeluarkan picagari dari dalam poket seluarnya, lalu menyimpannya semula.

“Chendana Sari akan menjadi milik kita berdua, sayang!”, bisik Hajar kepada Asyraf sebelum kedengaran suatu pekikan maha dahsyat yang mengejutkan seisi bukit yang sepi itu. Kelihatan Jamil yang terbaring agak jauh dari Samira, Hajar dan Asyraf mula membuka matanya perlahan-lahan, mulai tersedar walaupun fikirannya terawang-awang.

Ratna Ayu kelihatan muncul di balik belukar sambil memandang tajam Asyraf dan Hajar.

“Aku akan pastikan Chendana Sari menjadi kepunyaan aku!”

Suara perempuan itu kedengaran angkuh sebelum mengeluarkan kerambit yang disisip dari celah pinggangnya. Dia bersuara lagi.

“Beri pada aku, dan tiada sesiapapun akan cedera!”

Asyraf tersengih. Hajar mula menutup matanya, lantas mengingati tembang Jawa yang digunakan untuk menyeru Chendana Sari.

Wahai surya, candra lan bayu, bhumi, tirta kalawan agni..,
nguribi jagad tan leren
tutu bundo..tutu rupo
marilah kemari..aku puja diammu


Satu jaluran merah terpancar keluar dari celah tanah yang merekah, sebelum sinaran itu membentuk satu susuk manusia, berkebaya merah lalu meluru pantas ke arah Ratna Ayu yang mula membuka pencak silat.

Bunyi berdesum itu disertai dengan puputan bayu yang sangat kuat.

Ratna Ayu tidak berlengah. Dia menghunus kerambitnya dengan mulut terkumat kamit melafaz mantera, melibas garang jaluran merah itu sehingga berserakan terpantul semula ke arah Hajar dan Asyraf.

Kedua-dua manusia itu terpelanting sepuluuh meter kebelakang menghentam sebatang pohon besar. Hajar menjerit kesakitan. Asyraf langsung tidak sedarkan diri.

Hajar bangkit perlahan. Kepalanya luka. Samira yang memandang situasi itu hanya diam ketakutan sebelum kelihatan Ratna Ayu menjeling jahat jasad Samira.

“Sekarang giliran engkau pula, perempuan keparat!”, pekiknya garang lantas memancarkan satu jaluran hijau dari kerambit pusakanya. Jalur hijau itu dipancar tepat ke ulu hati Samira sebelum sinaran merah yang datang dari arah Hajar melindungi kakaknya itu umpama perisai.

Kau akan tetap ku lindungi, Samira

Kedengaran suara perempuan misteri di balik cahaya merah itu. Samira kelihatan lega sebelum kedua-dua pancaran itu berhenti dan suasana kembali kelam disinari purnama malam.

Ratna Ayu sedikit tercungap. Begitu juga Hajar yang nampaknya sudah berpeluh-peluh dan berpaling mencari kelibat Asyraf yang terperosok di dalam semak di tepi sebatang pohon besar. Patung Chendana Sari yang disembunyikan dari dalam bajunya dikeluarkan pantas.

“Terima kasih kerana melindungi kakak!”

Namun, entah mengapa, Hajar merasakan satu tusukan menyakitkan di dadanya serentak dengan bau hanyir darah menyeliputi sekitar bajunya yang kering. Dari kejauhan dia dapat melihat Ratna Ayu sedang tersenyum lalu melihat sebilah kerambit sudah tertusuk di dadanya! Dalam!

“HAJAR!!!!!”

Samira terpekik lantang kemudian dengan marahnya memandang Ratna Ayu yang berwajah sangat jahat.

“KAU AKAN TERIMA PEMBALASANNYA, PEREMPUAN TAK GUNA!!!”

Ratna Ayu tidak gentar. Datanglah kemari Samira. Akan aku hapuskan tubuh kau dengan kuasaku!

Kelihatan Samira sudah semakin mendekat. Mantera yang dipelajari berzaman lamanya sudah tersemat dikepalanya kini. Aku akan hapuskan dua beradik ini, dan Chendana Sari akan menjadi kepunyaanku!!!

Namun, dari kejauhan, kedengaran suara seorang lelaki bertakbir dengan sangat kuat!

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar

Satu sinaran keperakan, sangat pantas entah muncul dari arah mana, menembak ke arah dada Ratna Ayu sebelum perempuan itu rebah, jatuh di atas tanah dengan mata terbelalak kosong merenung langit yang gelap.

Serentak dengan itu jugalah, patung Chendana yang sudah disimpan berkurun lamanya, terbakar serta merta, disertai dengan pekikkan dahsyat seorang wanita melolong kepanasan!

Kelihatan Jamil berjalan perlahan-lahan lalu mendapatkan Samira yang lemah tidak berdaya.

“Alhamdulilah..Semuanya sudah selamat!”, bisik lelaki itu juga tidak berdaya. Nyata, kesan ubat tidur yang disuntik Asyraf ke dalam kotak minumannya, sangat kuat sehingga Jamil tidak mampu mengingat beberapa ayat Al Quran selain hanya mampu bertakbir.

Samira menangis, mengenangkan nasib yang menimpa adik perempuannya Hajar.

“Sudahlah Mira. Mari kita minta bantuan orang kampung!”, gesa Jamil sebelum Samira lekas bersetuju lalu memapah lelaki itu masuk ke dalam Vios hitam milik Asyraf sebelum berdesup pergi dengan tujuan untuk meminta pertolongan.

Tetapi…adakah semuanya sudah berakhir?

Asyraf membuka matanya, bingkas bangun lalu berjalan terhuyung hayang sebelum tergamam melihat patung Chendana Sari yang sudah terbakar keseluruhan tubuh badannya!

Lelaki itu mengongoi teresak-esak seperti budak kecil. Dia menekup wajahnya tidak percaya melihat keadaan Chendana Sari yang hampir-hampir hangus.

“Kenapa kau tinggalkan aku?!”

Dia menekup wajahnya lagi. Namun, seketika kedengaran satu suara lemah bersantun meresap masuk ke dalam telinganya. Lembutnya menusuk.

Tuan mahu hamba berkhidmat dengan Tuan?

Asyraf merelai tangan yang menutupi wajahnya. Hembusan nafas seseorang dapat dirasakan dicelah tengkuknya, kini.

“Tuan mahu kamu menjadi kekasih Tuan. Kamu mahu?” soal lelaki itu senada.

Asyraf dapat merasa tubuhnya bagai dirangkul dari arah belakang. Dia tahu bahawa itu adalah tanda persetujuan.

Roh Chendana Sari akan sentiasa bersama Tuan!

Asyraf tersenyum…


TAMAT

Untuk membaca Penamat Dua, klik sini

TERIMA KASIH: ISTIMEWA CHENDANA


Terima kasih atas perhatian yang diberikan sepanjang penyiaran kolaborasi Jilbab Chendana.

Malam tadi berakhir sudah mini siri Jilbab. Pengakhiran yang aku rasa sangat baik dan memuaskan pembaca semua.

Aku decide nak menyiarkan episode terakhir Chendana malam ini, jam 8:08 malam.

Aku janji nak bagi kejutan kan?

Nah ini kejutannya.

Aku sangat menghargai semua pembaca siri ini, terutama Chendana. Sokongan kalian memberi semangat dalam menulis kisah seram ini. Sungguh!

Apa kejutannya?

Ok..ok

Ending Chendana akan diberikan kepada DUA PILIHAN.(ALTERNATIVE ENDING)

Blog ini akan menyiarkan Chendana Episode 25 (Penamat Satu) manakala Blog Dan akan menyiarkan Chendana Episode 25 (Penamat Dua)

Diingatkan bahawa kedua-dua penamat ini bukanlah sambungan antara satu sama lain, tetapi merupakan alternative ending kepada siri Chendana.

Dua persoalan besar menanti.
1. Apakah musibah besar menimpa Jamil?
2. Adakah ke empat-empat karakter akan terselamat?

Nantikan malam ini, jam 8:08 malam

Shatooman ini jawapan untuk anda=) Terima kasih, bro!

Tuesday, December 07, 2010

LORO: JILBAB EPISODE 25 (TERAKHIR)


Penulis: El Zaffril
Cerita ini boleh juga dilayari di Dan. Setiap bab dalam penulisan ini akan dikemaskini setiap dua hari pada jam 8:08 malam. Episode terakhir Chendana akan disiarkan pada 9 Disember 2010 Komen-komen anda amatlah dihargai.



“Uth…” Kedengaran suara Nur tercungap-cungap.

Tiba-tiba Nur terpaku di dinding wad, tangannya terdepa dengan badan yang melekap tidak boleh bergerak. Kakinya terangkat lima inci dari atas lantai.

Uthman mengukir sebuah senyuman tanpa perlu memandang ke belakangnya apa yang sedang berlaku. Dia menarik nafas dengan sebuah lirikan yang sinis, lalu dihembuskan dengan angkuh dan kemudian memusingkan seluruh tubuhnya ke belakang dan memandang ke arah Nur.

“Kan aku kata suruh kau duduk saja di rumah tu. Buat apa kau datang ke mari?”

“Kau menyesal menghidupkan dia dan membiarkan orang yang kau sayang terdampar begitu sahaja. Tidak kesalkah kau wahai kekasihku Uthman?”

Seri tersenyum, rumah barunya itu boleh menerimanya. Dia seronok untuk berada di situ untuk tahun-tahun seterusnya. Seri kelihatan muda daripada kebiasaannya.

“Apa yang kau mahu sebenarnya Seri?”
“Aku tahu kau gundah-gulana kekasihku. Tak perlu kau bicara pada aku, aku bisa mengerti apa yang ada pada perasaan hati kamu Uthman.”

“Jadi sebagai tugas pertama, apa yang boleh kau lakukan pada aku.”
“Mungkin kau tidak percaya yang aku juga bisa memberikan kehidupan kepada manusia yang khayal di dunia kematiannya.”

“Jadi?”

“Jika kau mahu, aku bisa membuatkan insan kesayanganmu itu bernafas kembali dan hidup seperti sediakala. Aku mampu lakukan semua itu.”

“Atas arahanku, silakan.”

Uthman mengarah untuk menghidupkan semula Nur. Sayangnya terhadap Nur semakin menebal. Kali ini dia bisa menarik nafas gembira kerana Nur akan kembali ke alam nyata. Bukan lagi alam yang sukar dicapai akal manusia.

“Bukan semudah itu Uthman. Tidak semudah itu, setiap permintaan kamu mesti ada balasannya.”

Seri menggelengkan kepalanya sambil ketawa terbahak-bahak. Kemudian dia tawaf mengelilingi Uthman. Usai mengelilingi Uthman tiga kali, Seri berhenti betul-betul di hadapan Uthman.

“Kau mahu apa? Nyawa? Silakan, ambil saja nyawa yang banyak dipersia-siakan di dalam dunia ini. Kau ambillah seberapa mahu kau. Tak mungkin akan luak untuk melihat kau sentiasa kenyang dalam dunia kau.”

“Belum masanya untuk itu Uthman, tenaga aku dengan kau sudah bersatu. Jadi aku tidak memerlukan tenaga. Tetapi, aku mahukan waris, anak pertama kau akan menjadi pewaris aku kelak. Setuju?”

“Baik, jika itu kemahuan kau. Aku setuju.”

Seri mengukir senyuman dan membuka langkahnya ke arah Nur. Dia menjambak dan menarik rambut Nur dengan penuh Rakus seraya membawa masuk Nur ke dalam biliknya.

“Uth, tolong Nur Uth. Nur rela jadi begini dari menjadi tipu daya Seri. Tolonglah Uth, Nur tidak mahu.” Nur merintih. Namun rintihan itu sedikit pun tidak mendapat belas kasihan Uthman. Seri dibiarkan sahaja mengheret Nur menghampiri katilnya.

“Uth! Nur tak mahu.”

Uthman menghampiri pintu bilik itu dan mengintai melalui sebuah cermin kecil yang terdapat di pintu. Dia tersengih di sebalik pintu itu sambil memerhatikan perlakuan Seri terhadap Nur.

Nur dicampakkan dengan penuh kejam oleh Seri ke katil sakitnya. Terbaring lemah Nur di sisi jasadnya yang terbaring kaku. Seri menghampiri Nur perlahan-lahan.

“Aku tahu kau bencikan aku wahai cantik manis Aishah. Tapi kau tak bisa lakukan apa-apa untuk menghindari diri kau dari aku. Selagi bumi masih lagi berputar, selagi itu aku akan menghampiri setiap keturunan Adam untuk bersama-samaku ke Neraka kelak. Aku tidak mahu keseorangan dibakar di sana. Nikmati keseronokan dunia yang tiada tolok bandingnya. Akhirat itu kau lupakan dulu. Syurga dunia ini terlalu indah untuk ditanggalkan. Jadi, tugas aku untuk menghidupkan kau semula wahai cantik manis.” Seri menghampirkan wajahnya ke wajah Nur.

“Aku tak mahu hidup dari tangan kau yang jijik tu wahai syaitan.” Nur meludah ke muka Seri.
“Kau tidak bisa menolak setiap permintaan Tuan Uthman kepada aku.”

“Tuan Uthman?”

“Iya, dia kini menjadi milikku. Dia kekasihku sehidup.”

Menitis airmata Nur mendengar pengakuan Seri di hadapannya. Luluh hatinya mengetahui Uthman tunduk terhadap Seri. Bagaimana mudahnya manusia tunduk dengan hasutan Syaitan sehingga membelakangi agamanya. Masih terlihat-lihat di kaca matanya senyuman sinis Uthman memandangnya tadi.

Tiba-tiba dada Nur terasa senak. Matanya membulat memandang ke siling bilik wadnya. Rohnya yang berjalan-jalan tanpa arah tuju perlahan-lahan menyerap ke dalam jasad tanpa sedar.

‘Aku akan pastikan kau akan lenyap dari hidup aku Seri.’ Bisiknya roh Nur sewaktu dia hampir meresap ke dalam jasadnya.
“Dan kau tak mampu mengingati satu persatu apa yang berlaku sepanjang kau berjalan tanpa arah tuju hidup wahai Aishah.”

Seri berjalan melangkah ke pintu keluar bilik Nur. Berderai hilai tawanya sambil menyeringai sehingga memperlihatkan gigi taringnya yang panjang.

“Uhuks.” Batuk Aishah menerpa halwa telinga. Batuk dari jasadnya yang sudah mula sedar dari tidur yang lama.

Seri tersengih lagi, tipu helahnya berjaya. Dia keluar dari bilik dan menemui Uthman yang setia menunggu sejak tadi.

Uthman membuka langkah juga lalu berjalan melalui kaki lima hospital. Seri mengikut sahaja langkah ke mana sahaja Uthman melangkah.

Uthman memberhentikan langkahnya di bawah sebatang pokok kelapa yang terdapat di Tasik Titiwangsa berhampiran dengan Hospital Tawakal. Dia memandang ke arah Seri yang tersengih-sengih di belakangnya.

“Apa yang kau mahukan Seri?”

“Aku mahukan waris yang tiada berpenghujung. Itu saja yang aku mahu.”

“Sungguh?”

“Iya, dan aku tidak mahu yang lain lagi. Dan kau pula, apa yang kau mahu dari aku.”

“Aku mahu kau menjauhi diri aku. Aku tak mahu berdampingan dengan kau. Aku mahu kau hidup dalam dunia kau dan aku hidup dengan dunia aku sendiri.”

“Apa kau berani buat begitu. Kau sudah berjanji akan memberikan aku waris dan kau harus tunaikannya.”

Uthman tertawa sinis lalu berjalan menghampiri gigi air tasik. Kelihatan burung-burung terbang menjauhi Uthman dan Seri.

Langit yang tadinya cerah mula gelap. Awan gelap bergumpalan menutup matahari yang memancar sejak dari tadi.

“Bagaimana aku mahu berikan kau waris sedangkan aku telah tutup nafsuku untuk berkahwin.”

“Apa?” Seri menjengilkan matanya. Dia mula menyedari yang dirinya sudah di tipu oleh Seri.

Tawa Uthman menghambur keluar, orang-orang di sekeliling memerhatikan Uthman seperti makhluk gila yang sedang tertawa sendirian tanpa arah tuju. Ada yang menggelengkan kepalanya. Ada juga yang mentertawakan gelagatnya.
“Kau tipu aku Uthman. Kurang ajar kau. Aku akan pastikan kau dan aku mempunyai waris dengan apa cara sekalipun. Biarlah waris tidak halal sekalipun. Aku rela, dari hidup aku tergantung tanp hala tuju.” Seri sangat marah dengan kata-kata Uthman. Silap dirinya juga, membiarkan Uthman hidup dengan kelebihan yang kemudiannya memakan dirinya sendiri. Dia tidak bisa membaca isi hati lelaki itu.

“Argh!!!” Seri mendatangi Uthman dengan rasa marah yang membara. Tangannya mendepa lalu Uthman dilibas dengan tangannya. Terpelanting Uthman ke dalam tasik.

Terkial-kial Uthman berenang dari tengah tasik menghampiri tepian. Mukanya di kesat dengan tangan kanan. Uthman berdiri dan menjeling ke arah Seri. Dia tersenyum.

“Puas hati kau Seri?”

“Belum, aku belum puas lagi. Selagi kau tidak berjanji yang kau akan melunaskan setiap permintaan aku, selagi itu aku tak akan puas.”

Seri menghampiri Uthman lalu ditamparnya wajah Uthman. Terjelopok Uthman ke tanah. Uthman menekap pipinya. Dia mengesot ke dengan keadaan menelentang menjauhi Seri. Wajah Seri sangat bengis, dia masih lagi belum puas dengan apa yang dilakukannya sehingga Uthman tunduk sujud kepadanya.

Ngesotan Uthman terhenti oleh tunggul akar kelapa yang besar, berdiri teguh di situ sebatang pokok kelapa yang tinggi menjulang. Seri tersenyum melihat Uthman yang menggelabah. Dia menghampiri dekat kepada Uthman.

Uthman tidak tahu apa yang harus dilakukan. Seri semakin menghampiri, semakin lama semakin dekat Seri kepadanya. Uthman memandang ke kaki Seri.

Dia memejamkan mata, meyakinkan diri kepada Allah Taala. Kakinya melibas tepat ke kaki Seri. Seri terjelopok ke tanah, dengan pantas Seri bangun dengan rasa marah yang semakin membara.

“Allahumasalli Ala Saidina Muhamad.” Uthman mengepal segenggam tanah lalu dilemparkan ke muka Seri.

Seri meronta kesakitan dengan menekup mukanya dengan kedua-dua tangannya. Seri mengaum kesakitan. Lama dia berkeadaan begitu.

Uthman tersenyum. Peluang ini mahu dimanfaatkan sepenuhnya. Dia mengeluarkan tali jerami yang sudah disediakan sejak dari tadi. Satu daripada hujung telah diikat seperti tali gantung lalu dicampak ke kepala Seri. Terus tali jerami itu melilit di leher Seri.
“Uthman!” Meraung Seri menyebut nama Uthman tatkala di perlakukan sebegitu. Seraya dia terus tunduk seperti lembu yang sedang merangkak.

“Sungguhpun aku tidak bisa membunuh kau, kerana Allah telah memberikan kau kelebihan untuk hidup sehingga hari kiamat. Tetapi aku juga bisa menjerat kau dari terus menggoda seluruh anak Adam sehingga ke hari akhirat. Aku akan pastikan itu menjadi kenyataan.”
“Sial kau Uthman. Hidup kau akan Sial.”

“Hidup aku, bukan aku yang tentukan Seri dan bukan engkau juga yang akan menentukan. Aku akan berusaha selagi aku bernyawa dan Allah yang akan makbulkan setiap doa aku. Bukan engkau Seri.”

Uthman menambat Seri di batang pokok kelapa yang menghalangnya tadi. Seri hanya mengikut seperti kerbau yang dicucuk hidungnya.

“Aku juga tahu kelemahan kau Seri. Setiap makhluk Allah itu ada kekurangannya. Hanya Allah sahaja yang sempurna. Aku tambat kau di sini, dan aku akan pagar sepuluh kaki dari penjuru akarnya. Agar tiada siapa yang bisa melihat kau dan mendengar setiap rintihan kau.”

Uthman mengundur sepuluh langkah. Kemudian dia mula melaungkan azan sambil mengelilingi pokok kelapa itu. Seri menekup telinganya, terasa panas mendengar azan itu. Tiga kali azan diperdengarkan maka selesailah upacara membina kandang untuk Seri.

“Aku nak makan apa Uthman. Tidakkah kau kasihankan aku.”

“Kau tahu apa yang perlu kau lakukan Seri.”

Uthman tersenyum lalu dia melangkah meninggalkan Seri. Dibiarkan sahaja Seri di situ, dia tidak bisa membuka tali jerami dilehernya itu sendiri. Dia harus dibantu oleh oranglain. Itulah kelemahan Seri, sekali lehernya terjerut dia hilang kuasanya.
“Uthman, kembali Nak. Kembali padaku Uthman.” Seri merintih dalam keadaan merangkak.

Uthman tidak memperdulikan langsung rintihan Seri. Dia meneruskan langkahnya tanpa mahu menoleh ke belakang, membiarkan kisah Seri lenyap dari hidupnya. Kini dia boleh aman meneruskan nafas tanpa perlu dibayangi oleh Seri yang sering mengganggunya.

Dia menarik nafas lega, matanya dipejamkan. Tanganya didepakan. Jauh dia berjalan sehingga dia kini berada betul-betul di hadapan Menara Berkembar Petronas. Dia menghirup nafas sepuas-puasnya.

“Uthman.” Suara seorang wanita menegurnya.

“Nur.”

Uthman tersenyum girang. Dia berlari-lari anak mendapatkan Nur yang masih lengkap berpakaian hospital sedang berdiri kira-kira sepuluh meter darinya.

“Nur kenal Uth?”

“Bukan Nur. Tapi Aishah.”

“Alhamdulillah, syukur padamu ya Allah dia boleh mengingat kembali setiap yang berlaku walaupun dalam keadaan dirinya halimunan.”

Nur tersenyum melihat Uthman yang sedang sujud syukur di hadapannya. Dia kelihatan manis mengenakan jilbab putih, suatu yang sudah lama ditinggalkannya.

“Uth, kita akan mulakan hidup baru ya. Lupakan semua yang telah berlaku.”

Uthman berdiri betul-betul di hadapan Aishah. Airmata yang bergenang di kelopak matanya diseka perlahan. Segala dugaan yang berlaku dalam hidupnya kini sudah berakhir. Uthman mengangguk dengan kata-kata Aishah yang mmberi semangat baru dalam hidupnya.

“Kita bernikah?”

Aishah tersenyum malu lalu berjalan meninggalkan Uthman. Wajahnya merona merah diunjurkan soalan sedemikian oleh Uthman. Dia kelu untuk menjawab pertanyaan itu, namun jauh disudut hatinya dia mahu menerima Uthman.

Uthman tersenyum lalu berjalan di sebalah Nur.

“Terima kasih Uthman.” Itu sahaja yang mampu dilafazkan oleh Aishah saat itu.


TAMAT

Sunday, December 05, 2010

LORO: CHENDANA EPISODE 24



Penulis: Faizal Sulaiman
Cerita ini boleh juga dilayari di Dan. Setiap bab dalam penulisan ini akan dikemaskini setiap dua hari pada jam 8:08 malam. Episode terakhir Jilbab akan disiarkan pada 7 Disember 2010 Komen-komen anda amatlah dihargai.


Samira membuntuti kekasihnya Asyraf masuk ke dalam rumah, sebelum terpekik ngeri melihat keadaan ruang tamunya yang berlumuran dengan darah—merah pekat menakutkan—

“Apa semua ni, dik?’, jerkah Samira antara terkejut berbaur cemas, sambil memandang Asyraf yang turut bungkam, dengan mata terkebil melihat situasi itu dengan penuh tanda tanya.

Cebisan daging dari kepala Katrina yang terputus dari badan, masih kelihatan bergolek-golek tidak berarah di atas lantai jubin.

Hajar terdiam. Wajahnya berkilau airmata ketakutan.
Tubuh kecilnya jatuh terduduk.
Rambutnya yang mengurai kusut, menambah keyakinan Samira bahawa adik perempuan yang selama ini dikagumi kerana sifat santunnya, memang mempunyai masalah!

“Kak..tolong Hajar, Kak! Hajar buntu. Hajar…Hajar tak tahu nak buat macam mana?

Tubuh gadis itu menggeletar. Jelas, sinar ketakutan terpancar di balik wajah dan tubuhnya yang nampak lemah. Dua ulas bibirnya tak henti-henti mengungkap kata maaf sambil mata liarnya memerhati sekeliling dengan perasaan gerun.

“Kakak tak faham..apa semua ni..?”

Hajar mengangkat wajah sayunya. Memandang tepat wajah Samira meminta cebis simpati. Air matanya semakin deras mengalir.

“Tak kasihankah dengan saya, kak? Abang Asyraf? Hajar tak tahu kak…Hajar tak tahu kenapa semua ini berlaku!”
“Apa yang berlaku, dik? Apa yang dah jadi?”, sergah Samira sebelum menuju ke arah tubuh gadis kecil itu, lalu menggoncangnya garang.

“Kau cakap dengan kakak, dik!”

Suara Samira terpekik lagi, menambah rasa takut Hajar, namum gadis itu tidak menjawab. Kepalanya menggeleng tanda dia benar-benar tidak tahu.

“Kita kena lekas, Mira. Kena kemaskan tempat ni, sebelum menimbulkan syak wasangka orang ramai”, kedengaran Asyraf mencelah cemas sambil menutup pintu rumah besarnya perlahan. Matanya meliar kanan kiri, bimbang jikalau suara pekikan Samira kedengaran oleh jiran tetangga.

Hajar, walaubagaimanapun, mencengakam bahu kakaknya.

“Tolong..kak! Tolong jangan serahkan Hajar pada pihak polis! Hajar takut..Hajar tak salah!”, ungkap gadis itu merayu-rayu kepada Samira. Simpatinya terpancing lantas memandang Asyraf dan Hajar silih berganti.

Lekas, Mira! Kau perlu buat keputusan ni secepat yang mungkin! Sanggup kau nak serahkan darah daging kau pada polis? Kakak macam apa kau ni?

Samira berperang dengan perasaannya!
Cuak hatinya tatkala memandang riak kasihan adiknya yang semakin mencengkam ruang hati dan perasaan.

Samira menghela nafas. Otaknya tepu dengan pelbagai andaian.

“Kita bawa mayat Kat ke kampung. Awak tolong saya bersihkan kawasan ni!”

Asyraf bertambah cemas.
“Kampung? Kampung siapa?”
Samira menjawab tidak sabar.
“Kampung saya! Di situ takkan ada sesiapa yang tahu tentang perkara ni!”

Asyraf hanya mengikut tanpa soal. Semakin lama difikir, kepalanya rengsa dengan pelbagai persoalan berat.

“Saya rasa, Abang Jamil perlu tahu pasal ni”
“Jamil? Jamil sepupu awak tu?”
“Berapa banyak Jamil yang kita kenal?

Asyraf terpukul. Wajah kekasihnya yang nampak sedikit berang apabila dia cuba melibatkan Jamil dalam hal ini, cukup meragukannya. Kenapa mesti lelaki itu?

Samira yang mula mengesyaki Asyraf memasang cemburu, memandang lelaki itu dengan jengkel—tetapi langsung enggan mengambil pusing---kerana dia ada perkara penting yang lebih berfaedah hendak dilakukannya.

Membantu Hajar—adiknya sendiri—dari perasaan trauma yang semakin melampau.

Dalam diam, Asyraf menjeluak marah. Menimpakan bukit cemburu dalam hatinya sendiri!

**

Pelawaan Samira, sepupunya untuk membantu dalam perkara berat, pada mulanya diterima dengan sangat baik oleh Jamil. Tak salah kan, kalau hendak membantu saudara sendiri.

Tetapi apabila sudah sampai separuh jalan hendak ke kampung mereka, Samira lekas menceritakan tentang kematian ngeri Katrina di rumah mereka sendiri, Jamil hampir melompat turun dari kereta Vios yang dipandu laju oleh Asyraf.

“Kenapa nak libatkan abang! Abang tak mahu terlibat dalam hal macam ni. Bahaya!”

Samira merayu. Hajar pula teresak-esak menangis.
Hatinya yang keras, berubah lembut. Apatah lagi kedua-dua itu adalah saudaranya sendiri.

Atas permintaannya juga, mereka berempat singgah ke masjid Al Hidayah, dua kilometer sebelum masuk ke kampung mereka. Jamil ingin memohon petunjuk Nya, jika benar jalan yang dipilihnya itu betul, seperti kehendakNya.

Dengan senyuman, dia mengajak Asyraf, tetapi lelaki itu selamba bersiul sambil merenung bintang bertebar di dada langit. Samira pula menggeleng. Uzur katanya. Hajar pula diam enggan menjawab, sambil memandangnya dengan satu pandangan sinis.

Jalan terbaik dalam menghadapi dugaan adalah dengan berdoa.

Dia terus ke ruang mengambil wudhuk. Melafaz niat dengan tertib, sebelum menghimpun air yang ditadah dengan dua telapak tangan sebelum melaksanakan rukun berwudhuk dengan sempurna.

Kaki kanannya melangkah ke dalam Masjid, memperlihatkan seorang jemaah tua yang sedang khusyuk berdoa. Serban yang dipakainya sama bersih dengan jubah putih yang tersarung di tubuhnya sendiri. Dia berdiri di belakang orang tua itu sebelum dia bangkit sesudah membaca doanya.

Dia berdiri, memandang anak muda dihadapannya yang baharu saja hendak mengangkat takbir.
“Assalamualaikum, anak muda!”

Jamil sedikit terperanjat, sambil menerima huluran salam lelaki tua itu. Sejuk benar tangannya. Wajahnya tersenyum. Bersih kulitnya bercahaya.

“Kawan kamu semua tak bersolat?”

Jamil tersenyum. Tidak menggeleng, tidak pula menjawab.
Lelaki tua itu berkata lagi.

“Dugaan yang menimpa kamu nanti sangat berat. Belajarlah menerima satu kenyataan. Perit, tetapi itulah hakikatnya”

Jamil diam. Masih berdiri dalam keadaan qiam. Lelaki itu menyambung semula.

“Kamu teruskanlah bersolat. Hidup kita tak akan panjang. Sementara hidup ini, mintalah yang terbaik dari Allah. Jauhkanlah dari syaitan yang direjam”, tukasnya sambil menepuk bahu Jamil perlahan, lalu berlalu meninggalkannya tanpa ucapan salam.

Jamil menghela nafas dalam-dalam.

Pesanmu akan ku kenang, wahai orang tua!

Dia berpaling melihat orang tua yang berjalan perlahan itu, sambil melihat suatu lubang di belakang kepalanya yang sangat dahsyat diselaputi cebisan otak dicelah rambut beruban. Suatu lubang berdarah yang mungkin disebabkan ditembusi oleh peluru senapang gajah.

Semoga Allah merahmati roh mu…

BERSAMBUNG

Friday, December 03, 2010

LORO: JILBAB EPISODE 24




Penulis: El Zaffril
Cerita ini boleh juga dilayari di Dan. Setiap bab dalam penulisan ini akan dikemaskini setiap dua hari pada jam 8:08 malam. Chendana Episode 24 akan disiarkan pada 5 Disember 2010. Komen-komen anda amatlah dihargai. Pastikan bacaan anda hingga ke episode akhir, 25!


Uthman memarkir keretanya betul-betul di satu petak parkir berhadapan pintu masuk Hospital Tawakal di Jalan Genting Klang berhampiran dengan Bulatan Pahang.

“Uth tak jawab pun soalan Nur yang terakhir.” Soalan terakhir Nur tidak langsung dijawab oleh Uthman. Perjalanan dari kampung Uthman sunyi bila Uthman diam membisu seribu bahasa.

Uthman segera membuka pintu kereta setelah menjeling ke arah Nur. Dia mencapai beg yang dicampakkan ke tempat duduk belakang separuh perjalanan tadi sebelum keluar dari perut kereta dan berjalan menuju tangga.

“Macam mana Uth nak hidupkan Nur?”

Langkah Uthman di tangga dihentikan. Dia kemudian memandang ke arah Nur yang membontoti dari belakang. Di buka kaca mata hitam yang terletak dimatanya sejak tadi lalu dibiarkan ia melekat di jari kirinya.

“Uth sayangkan Nur. Apa saja cara yang Uth ada untuk melihat Nur bernafas kembali akan Uth lakukan tanpa rasa ragu. Biar sekali memperdagangkan maruah, Uth rela.”

“Maksud Uth?” Nur masih tidak berpuas hati dengan jawapan Uthman.

“Uth cintakan Nur. Kalau boleh Uth nak memiliki Nur. Uth nak hidup bersama Nur. Tak salahkan kalau Uth berkorban apa sahaja untuk Nur?”

Nur menggetap bibirnya. Ketulusan dan keikhlasan kata-kata Uthman membuatkan dirinya serba tidak kena. Hatinya meronta mahu menerima sahaja Uth tanpa sebarang soal bicara.

“Nur tak sayangkan Uth?” Soalan dari Uth membangkitkan Nur dari lamunan.

“Eh, bukan macam tu Uth.”

“Sudahlah Nur, jangan difikirkan sangat. Sekarang kita selesaikan apa yang perlu kita selesaikan.”

“Tapi Uth, macam mana kalau Nur tak ingat apa yang berlaku sejak Nur menjadi halimunan sehingga Nur dihidupkan semula. Adakah Uth akan terus mengharap pada Nur? Adakah Uth akan terus setia menanti sehingga Nur ingat semula saat ini? Atau Uth akan pergi sahaja tanpa pernah mahu membantu Nur mengingat setiap kenangan kita? Kalau ditakdirkan Nur bernafas kembali dan ketika itu Nur ditakdirkan cacat, bisakah Uth menerima Nur seadanya?”

Uthman tertunduk. Berat benar bibirnya mahu menjawab setiap persoalan yang keluar dari bibir Nur. Satu-persatu soalan yang ditanya itu membangkitkan satu rasa yang berlainan sekali dalam dirinya. Dia menjadi keliru.

“Apapun, Uth perlu hidupkan Nur dahulu. Hanya Allah yang akan menentukan masa hadapan kita.” Lemah kata-kata yang terbit dari bibir lelaki itu.

Uthman memulakan langkahnya semula. Lemah langkah yang diatur. Nur mengikut dari belakang tanpa sepatah bicara. Langkahnya juga perlahan.

‘Apapun yang berlaku, aku akan pastikan Nur bernyawa. Perasaan yang wujud dalam diri aku ini, aku biarkan ia terus wujud sampai ke akhir hayat aku.’ Desis hati Uthman.

Perjalanan yang pendek itu terasa begitu jauh. Dari tangga yang terasa begitu curam, kemudian koridor yang terasa sempit dalam langkah perlahan yang diatur. Masa terasa berjalan lambat sekali.

“Encik, mahu melawat siapa?” Seorang jururawat dikaunter wad yang tiba-tiba berdiri dan menegurnya.

“Saya mahu melawat Nur Aisyah.”

“Beruntungnyalah Aisyah, biar koma pun awak setia datang menunggu. Sukanyalah kalau aku dapat teman lelaki macam tu. Romantik, kacak pula tu. Pakej teman lelaki yang boleh dibanggakan.”

Uthman hanya tersengih dan disambut oleh senyuman meleret jururawat.

Nur berdecit, mukanya masam mencuka. Tangannya memeluk tubuh. Terasa tercabar dek kata-kata jururawat itu.

Tombol pintu bilik Nur dipegang. Uthman menunduk, lalu memandang ke arah Nur. Sebuah senyuman kelat diukir. Mungkin itu senyuman yang terakhir yang bisa dilihat oleh Nur dengan sebuah perasaan cinta terhadap manusia halimunan sepertinya.

“Uth.” Tombol pintu yang dipulas separuh itu terhenti.

“Ya Nur.”

“Kalau Nur buat permintaan yang terakhir dari Uth boleh tak?”

“Apa Nur? Akan Uth tunaikan segalanya.”

“Betul ni?” Nur tersenyum girang.

Uthman hanya mengangguk.

“Betul Uth akan menunaikan segala permintaan Nur?” Nur mahu memastikan apa yang didengari adalah benar belaka.

Uthman mengangguk lagi. Terasa bahagia melihat insan yang disayangi itu gembira.

Nur memandang pintu bilik yang bertentangan dengan biliknya. Kemudian dia berjalan membelakangi Uthman. Tubuhnya dipeluk dan dia memandang ke arah tingkap kaca yang menjadi dinding dan pandangannya menerobos keluar ke arah kota Kuala Lumpur yang sudah beberapa dihuninya sebagai makhluk halimunan.

“Uth, ini permintaan Nur dan Uth akan tunaikan dengan janji Uth pada Nur.”

“Apa dia Nur?”

“Di bilik yang bertentangan dengan bilik Nur, ada seorang kanak-kanak yang juga koma seperti Nur. Nur mahu Uth berikan nyawa itu padanya.”

“Tapi...”

“Tak ada tapi Uthman. Uth dah berjanji pada Nur yang Uth akan tunaikan segala permintaan Nur pada Uth. Jadi ini permintaan Nur.”

“Tapi kenapa tidak Nur?”

“Dia masih kecil, umurnya masih panjang. Perjalanan hidupnya masih jauh. Sedangkan Nur sendiri tidak tahu apa yang bakal berlaku dalam hidup Nur selepas ini.”

Uthman memandang pintu bilik itu dengan penuh rasa hampa. Sia-sia usahanya mendapatkan nyawa bapanya untuk menghidupkan Nur semula.

“Baiklah, manusia berpegang pada janji. Uth tunaikan permintaan Nur itu atas janji Uth pada Nur.”

Uthman segera masuk ke dalam bilik itu meninggalkan Nur yang masih berdiri memeluk tubuh. Lalu dia dikejar oleh seorang jururawat yang ternampak Uthman menyelinap masuk ke bilik itu tanpa kebenaran.

“Encik, sila keluar. Encik tidak dibenarkan masuk ke dalam bilik ini.”

Uthman tidak mempedulikan kata-kata jururawat itu. Dia segera pergi ke arah kanak-kanak yang Nur maksudkan. Diletakkan jilbab yang kuning keemasan warnanya di ubun-ubun kanak-kanak yang sedang terbaring kaku. Tiada reaksi.

“Encik, sila keluar. Kalau tidak saya akan panggil pengawal keselamatan.”

“Jangan kacau!”

Jururawat itu terkejut dan terus keluar dari wad kanak-kanak malang itu. Uthman memerhatikan kanak-kanak itu tanpa berkelip.

“Tunaikan permintaan Nur wahai kanak-kanak. Dia mahu melihat kamu bernafas semula.”

Uthman menggenggam tangan kanak-kanak itu setelah melihat beberapa minit tiada reaksi yang ditunjukkan oleh kanak-kanak itu.

“Tangkap dia.”

Pintu tiba-tiba dibuka oleh jururawat tadi dan masuk bersama-sama dua orang pengawal keselamatan. Tanpa berlengah, pengawal keselamatan itu terus meluru ke arah Uthman.

“Aku cuma nak selamatkan dia la bodoh.”

“Selamatkan kepala otak kau, kanser dah tahap terakhir macam ni jarang sekali boleh sembuh kau tahu tak?” Jururawat itu tersengih.

Pengawal keselamatan berjaya menangkap Uthman. Uthman meronta-ronta minta dilepaskan.

“Aku tahu mana pintu keluar.”

“Ah!” Sebuah dengusan kecil hadir dari kanak-kanak yang terbaring itu membuat semua manusia yang sedang dalam perjalanan keluar dari bilik memandang ke arah katil. Degupan jantung kanak-kanak itu semakin meyakinkan.

“Kejap, aku panggil doktor.” Pengawal keselamatan masih dalam keadaan terpinga-pinga saat jururawat itu mendapatkan doktor.

“Syukur Alhamdulillah.”

Uthman memanjat syukur ke hadrat ilahi. Dia memandang ke arah kanak-kanak itu. Wanita yang memberikannya jilbab ketika berjalan di Jalan Tunku Abdul Rahman sedang berdiri di sebelah katil kanak-kanak itu lalu mengambil Jilbab kepunyaannya.

“Terima kasih kerana bersifat timbang rasa, bukan mengikut perasaan cinta. Sekurang-kurangnya kamu tidak tamak dalam hidup kamu. Jangan kamu risaukan, lambat laun dia akan sedar atau pergi selamanya.” Wanita tua itu tersenyum.

Uthman tertunduk sebentar. Kemudian memandang ke arah Wanita itu. Wanita itu lenyap dari pandangannya.

Kelihatan doktor bergegas masuk ke dalam bilik dan pengawal keselamatan pula meleraikan pegangan di lengan Uthman. Uthman melangkah longlai keluar dari bilik, dan memandang ke arah Nur yang setia menanti.

Nur memberikan senyuman namun tidak di balas sedikit pun oleh Uthman.

‘Pasti ada jalan.’ Desis hati Uthman.

BERSAMBUNG

Wednesday, December 01, 2010

LORO: CHENDANA EPISODE 23


Penulis: Faizal Sulaiman
Cerita ini boleh juga dilayari di Dan. Setiap bab dalam penulisan ini akan dikemaskini setiap dua hari pada jam 8:08 malam. Jilbab episode 24 akan disiarkan pada 3 Disember 2010. Komen-komen anda amatlah dihargai. Pastikan bacaan anda hingga ke episode akhir, 25!



Katrina menghirup secawan teh O yang dihidang panas dengan perlahan. Dia kemudiannya meminggirkan cawan itu di atas piringnya sebelum meletakkannya tertib kembali di atas meja. Wajah pucatnya tersenyum sambil mata terkebil-kebilnya memandang Hajar dengan wajah baik biasanya.

“Kakak kamu, ke mana?”

Suara mersik Katrina memecah kesunyian malam yang hening. Mata Hajar meliar tetapi rautnya masih kelihatan tenang.

“Kakak keluar dengan Abang Asyraf. Makan..makan, mungkin dah lama tak keluar sama”, ujar gadis itu biasa sambil menuangkan sedikit lagi teh O ke dalam cawan Katrina yang sudah kelihatan separuh.

Katrina senyum lagi. Sinis kelihatannya.

“Kau cemburu, bukan? Kau cemburu dengan kakak kau sendiri. Dia lebih cantik, berkeyakinan dan bijak kalau nak dibandingkan dengan kau yang polos, lurus dan tak menarik langsung mata-mata lelaki!”

Hajar tersentap. Nafasnya tersekat. Matanya membuntang memandang Katrina yang nampaknya langsung tak bersalah.

“Apa?..Apa kau cakap?”
“Aku cakap fasal kau, Hajar! Kebodohan kau membiarkan cinta dan hidup kau dirampas secara tak bermaruah oleh orang yang dekat dengan kau!”

Hajar mencebik. Wajahnya berganti meluat.
“Aku tak pernah sesal dalam hidup. Aku gembira menjalaninya”
“Gembira? Kau jangan nak bergurau! Kau terseksa! Batin kau merana! Konon-kononnya berkorban demi kakak tersayang, tapi apa kau dapat, hah?”

Pekikan Katrina bergema berganda-gandanya. Matanya, sama membeliak seperti Hajar—seperti masing-masing mengumpulkan rasa marah yang menggunung—

“Kau takkan tahu sejarah aku, Katrina. Kau tak pernah tahu siapa aku sebenarnya!”

Wanita bernama Katrina menyungging senyuman jahat.

“Aku kenal kau..lebih dari kau sendiri…CHENDANA!”

Mata Hajar melilau-lilau sedikit gentar. Katrina tertawa perlahan, mengerikan. Lucu melihat tindakah Hajar yang nampak terkejut.

“Siapa kau?”

Suara Hajar bergema sambil matannya garang memerhatikan Katrina yang masih tidak henti-henti tertawa perlahan.

“Aku Ratna Ayu dan kedatangan aku kemari dengan hormatnya mahu mengambil engkau, Chendana Sari!”

Hajar menggeleng. Nafasnya turun naik menahan debar.
“Kau tak boleh sesuka hati nak mengambil kepunyaan aku. Chendana adalah hak aku!”

Katrina melolong ketawa. Lucu benar mendengar pengakuan Hajar.

“Tolong jangan buat aku mengilai dengan pengakuan bodoh kau ni, Hajar. Chendana bukan memilih kau. Kau tak ingat Chendana hanya memilih tuannya. Dan tuannya yang sebenar bukan kau. Kakak kau! Dia memilih Samira sebagai penjaga dan melindungi Samira dari apa-apa bahaya!”

Hajar semakin geram. Rona wajahnya merah padam menahan marah.

“Aku sudah memiliknya sekarang! Dia sudah tidak berdaya untuk melawan dan dia hanya akan mendengar cakap aku saja! Aku sudah tahu kunci untuk merantai dia!”

Katrina mendengus sinis. Dia kemudiannya menyambung dengan selamba.

“Memiliki dengan paksaan saja tak cukup, Hajar. Ya. Mungkin kau tahu kunci untuk merantai Chendana. Tetapi adakah itu mampu membuatkan Chendana patuh dan taat pada kau?”

Hajar berubah wajah. Dari sinar matanya yang tampak garang tadi, ada kemilau bimbang seakan mulai terpalit, bersarang di lubuk hatinya.

“Sampai bila kau mahu mengawal Chendana dalam keadaan kau memaksa dia? Kau sendiri tahu bukan yang dalam dunia ni, tak boleh sebarang paksaan?”, hasut Katrina dengan wajah menyeringai. Ratna Ayu yang sudah merasuki Katrina semakin lama, semakin meledak gembira.

Sekejap lagi, Chendana Sari akan jatuh ke tanganku! Kau akan ku hapuskan, Hajar! Kau akan mati ditanganku!

Keris pendek yang dikeluarkan dari celah pinggang Katrina disembunyikan di balik baju nya yang agak labuh. Dia kemudiannya bangun perlahan-lahan menghampiri gadis itu, berpura-pura membelai rambutnya, membiarkan dia dalam keadaan khayal sebelum menoreh leher gadis itu, merampas satu-satunya saka keluarga yang boleh menjadikan pemilknya kuat tidak terkalahkan!

“Kau pasti takkan menyesal jika kau menyerahkan Chendana Sari kepadaku, Hajar. Aku akan jaga dan belanya seperti kepunyaanku sendiri!”

Katrina bingkas berjalan beberapa langkah ke hadapan, sopan dan penuh tertib. Memandang Hajar dengan penuh kasih sayang seolah-olah Hajar adalah benda tercantik yang pernah dilihatnya di muka bumi ini. Keris pendek, berkarat sudah tersisip kemas di celah pinggang, menunggu masa saja untuk dihiris ke leher putih melepak Hajar.

Kau akan menjadi milikku, Chendana!!

Belum pun sempat Katrina menyentuh jari jemarinya ke atas ubun-ubun Hajar, kedengaran pekikan dahsyat, disertai dengan satu sinaran putih melintang menembusi leher Katrina sebelum kepala perempuan itu jatuh tergolek di atas lantai. Tubuhnya yang langsing jatuh terjelepuk berdebuk, dalam keadaan menggelupur kesakitan dengan darah merah pekat memancut-mancut membasahi jubin putih.

Nafas Hajar seakan-akan terhenti melihat kengerian itu, sebelum tubuh Katrina berhenti dari menggelupur dengan kepala yang sudah bercerai dari badan!

Patik akan lakukan apa saja demi Tuanku. Chendana akan sayangi Tuanku Hajar!

Kelihatan satu kelibat wanita berkebaya merah melayah di udara dengan rambut hitam berkilatnya, mulus kulit nan bersih dan pandangan mata yang sangat menawan. Bibirnya yang dioles merah berkata lagi.

Usah hiraukan kata-kata orang lain! Patik akan sentiasa menemani Tuanku Hajar!

Hajar tersenyum bangga.
Chendana Sari akhirnya tunduk jua kepadanya!

Suasana sunyi seketika sebelum kedengaran suara seorang lelaki muncul entah dari mana berdetar di balik keadaan senyap itu.

“Hajar??.......Apa yang dah berlaku ni?”

Kelihatan Asyraf dengan mata menakutkan dan cemas tergamam memerhati suasana merah darah yang membasahi lantai dengan jasad yang sudah bercerai kepala dari tubuhnya…

BERSAMBUNG

Tuesday, November 30, 2010

LORO: JILBAB EPISODE 23


Penulis: El Zaffril
Cerita ini boleh juga dilayari di Dan. Setiap bab dalam penulisan ini akan dikemaskini setiap dua hari pada jam 8:08 malam. Chendana episode 23 akan disiarkan pada 1 Disember 2010. Komen-komen anda amatlah dihargai. Pastikan bacaan anda hingga ke episode akhir, 25!


Uthman membuka matanya dalam keadaan dirinya masih tertiarap. Dia sedikit terpinga-pinga dengan perkara yang sedang berlaku. Dia segera berdiri seraya matanya terus tertancap kea rah sekujur tubuh bapanya yang seperti sedang tidur. Matanya memperincikan pandangan terhadap sekujur tubuh yang sudah pucat.


‘Puas hati aku.’ Desis hati Uthman.

Dia terus mengambil Jilbab yang sudah bertukar warna lalu dimasukkan ke dalam karung plastik hitam yang sudah tersedia. Kemudian karung itu disumbat ke dalam beg galas tepinya.

‘Aku tak ada masa lama yang lama.’ Desis hatinya lagi.

Satu kaca mata hitam dikeluarkan dari beg galas tepinya itu lalu dipakainya untuk menutup keadaan matanya dari pandangan oranglain. Uthman membuka langkahnya mahu keluar dari bilik itu.

‘Bapa kau bagaimana Uthman.’ Berdengung suara Seri selepas menerima persalinan baru.

Langkah Uthman dihentikan di muka pintu bilik oleh dengungan suara Seri. Dia mengerling sedikit ke arah Seri yang terkaku berdiri di penjuru kanan katil bapanya.

“Nanti aku uruskan.” Dia tahu Seri tidak bisa membaca suara hatinya.

‘Aku pula bagaimana?’

“Kau akan aku panggil bila aku perlukan.”

‘Tapi aku memerlukan kau untuk terus hidup.’

“Jadi kau perlu mendengar setiap apa yang aku katakan untuk terus hidup. Jangan sesekali melawan setiap kata-kata aku. Kalau tidak, akan aku hantar kau pulang ke tempat asal kau.”

‘Tolong jangan Uthman. Darah yang mengalir dalam tubuh kau dapat aku rasa dalam tubuh aku. Setiap denyutan jantung kau bergetar seluruh nadi tubuh aku. Kita sekarang sudah menjadi satu Uthman.’

“Sudahlah, aku tidak punya banyak masa. Dia akan ku uruskan kemudian. Kau pula perlu berpegang pada janji aku. Sesungguhnya aku manusia yang tidak akan memungkiri janji.”

Uthman meneruskan langkahnya membiarkan Seri terkaku tanpa bicara. Hatinya dipempan rasa yang bercampur baur. Bagaimana syaitan seekor itu bisa terlepas ke pangkuannya juga. Sungguh licik permainan dunianya yang akan mengheret keseksaannya di akhirat.

Dia menyelusuri tangga rumahnya. Di halaman rumah bersebelahan keretanya, Nur menanti dengan penuh sabar. Tanpa berkata sepatah kata pun, dia terus masuk ke dalam perut keretanya.

Nur yang memerhatikan Uthman dari tadi kelam kabut masuk ke dalam kereta. Dia hairan, bagaimana tadi sebelum naik ke rumah, Uthman biasa sahaja. Tiba-tiba muncul semula, wajah Uthman masam mencuka.

Uthman menghidupkan enjin kereta dan terus menurunkan gear, kereta mula bergerak meninggalkan halaman rumah orang tuanya itu. Tiada reaksi dari wajah Uthman.

“Uth, boleh Nur tanya?” Nur takut-takut mahu mula bicara.

“Apa dia?” Ringkas sahaja Uthman menjawab tetapi masih lembut tutur bicaranya.

“Apa yang Uth buat atas rumah tu tadi?”

“Kenapa Nur nak tahu.”

“Tak adalah, sewaktu Uth naik rumah tu, senyap sunyi sahaja. Apa Uth buat atas tu?”

Tiada satu suara yang akan terlus dari rumah itu yang bisa menerjah halwa telinga setiap manusia yang lalu-lalang di rumah itu. Itulah yang telah diciptakan oleh bapa Uthman dan Seri, memasang dinding kebal yang langsung tidak telus bunyi.

“Uth ambil sesuatu yang bisa menghidupkan.”

“Maksud Uth?” Nur mengerutkan dahinya. Dia tidak memahami apa yang cuba disampaikan oleh Uthman.

“Uth mahu Nur bernafas kembali.”

Nur tersenyum mendengar kata-kata Uthman. Dia bisa bernafas kembali dan selepas ini dia akan terlepas dari seksa menjadi halimunan.

“Tapi bagaimana Uth.”

Uthman mengukir sebuah senyuman, membiarkan Nur dalam keadaan tertanya-tanya.

BERSAMBUNG...

Sunday, November 28, 2010

LORO: CHENDANA EPISODE 22


Penulis: Faizal Sulaiman
Cerita ini boleh juga dilayari di Dan. Setiap bab dalam penulisan ini akan dikemaskini setiap dua hari pada jam 8:08 malam. Jilbab episode 23 akan disiarkan pada 29 November 2010. Komen-komen anda amatlah dihargai. Pastikan bacaan anda hingga ke episode akhir, 25!


Hajar membuka kotak kayu Cendana yang memperlihatkan satu jasad kaku seperti patung yang sedang terbaring, mendiami khazanah itu beratus tahun lamanya.

Dia sudah mengetahui tentang sejarah Chendana Sari sejak usianya enam belas tahun lagi. Dia tidak mempunyai pilihan dengan terpaksa menyelongkar bilik lama keluarganya sebelum menjumpai satu tinggalan buruk yang sangat menakutkan.

Dan dari situ, dia menanam azam untuk memiliki Chendana Sari suatu hari nanti. Mendapatkannya dengan cara apa sekalipun walau terpaksa berbalah dengan kakaknya sendiri.

Tuanku masih mengingati perkara lama itu ?

Kedengaran satu suara halus, bergema dari dalam kotak yang diletakkan di atas ribaannya. Hajar memandang isi dalamnya dengan satu perasaan sayang dan teruja.

“Sekali sekala. Aku membayangkan saat bagaimana sukar untuk berdamping dengan engkau, Chendana!”

Hajar mengeluarkan patung kayu itu, kemudian diletakkan dalam keadaan duduk, di atas meja soleknya sebelum kelihatan patung Chendana Sari seolah-olah menguntum senyum. Rambutnya yang panjang mengurai menambah kecantikannya, ditambah dengan kebaya merah, berkain batik—menjadikan Chendana Sari sangat jelita, walaupun dia hanyalah sebuah patung yang kaku, tak bernyawa.

Segala hajatmu telah hamba penuhi

Gadis itu diam. Seperti mendengar arahan guru pada muridnya.

Akan ku pastikan kau gembira. Bahagia, walaupun Tuanku mungkin telah menyakiti hati kakak dan ibumu

Hajar tunduk lagi. Bibirnya kelihatan menggeletar.

“Emak hanya sayangkan Kak Mira. Tiap kali Kak Mira membawa keputusan cemerlang dalam peperiksaan, emak memuji kepandaian dia. Langsung mengendahkan saya yang akhirnya disuruh menjadi cikgu di sekolah agama!”
Bukankah tugas itu, suatu tugas murni wahai Tuanku Hajar?

“Aku tak gembira, Chendana! Aku seolah dipaksa melakukan sesuatu yang bukan menjadi kesukaanku. Tetapi kerana emak, kerana kakak, aku terpaksa jua!”

Hajar merintih. Air mata yang dikumpul sejak kali pertama ayat-ayat tentang pengorbanan tak berbalasnya terhadap keluarga terhambur keluar. Jujur hatinya sakit.

Kenapa Kak Mira boleh belajar tinggi-tinggi, sedangkan dia tidak?
Jurang apakah yang cuba emak pisahkan? Adakah kerana emak mahu memastikan aku berada di bawah seliaannya? Atau mahu mengongkong hidup aku?
Emak Tuanku mengharapkan Tuaku boleh mengikuti jejak dia. Bukankah itu sudah memadai?

Hajar mendengus. Kemudian tersengih sinis.

“Sebaik mana yang aku lakukan padanya, dia tak pernah hargai sehinggalah peristiwa itu berlaku, emak sudah mula percayakan ku!”

Chendana Sari tersenyum menyeringai. Sesekali mata bundarnya berkelip sekali, menampakkan riak jahat di balik renungan baik hatinya itu.
Adakah Tuanku mahu katakan tentang malam kejadian di mana emak Tuanku…
“Shyyyy!!!!”

Hajar menunjukkan isyarat diam dengan jari telunjuk di bibirnya yang rapat. Matanya menjengil marah.
“Diam! Tak ada sesiapa patut tahu. Hanya aku, kau dan dia saja!”

Gertakan Hajar, langsung tidak menakutkan Chendana Sari.

Mungkin dia boleh digunakan dalam misi kita? Itu cadangan hamba saja, Tuanku Hajar

Hajar diam. Menimbang-nimbang kata-kata patung kaku dihadapannya itu. Ada benarnya kata-kata Chendana Sari. Selama ini pun, si dia sudah banyak membantu melaksanakan tugas-tugas berat. Seolah sudah menjadi orang kepercayaan dia dan Chendana Sari. Si dia pun sudah hampir separuh jalan melaksanakan misi nya itu.

“Mungkin…boleh dipertimbangkan!”

Patung Chendana itu mengukir senyuman yang menyeramkan. Matanya berkelip sekali lagi. Bibir mungilnya yang berwarna merah berkata-kata lagi.
Keluarga Tuanku Hajar akan dilanda bencana sekali lagi. Dari majikan kakakmu yang berhati binatang itu!

“Siapa? Katrina?”

Chendana Sari mengendahkan untuk menjawab, sebaliknya berkata-kata lagi.
Dia sudah dirasuk oleh satu semangat jahat. Tuanku Hajar bersedialah dengan sebarang kemungkinan.

Hajar kelihatan tertanya-tanya. Dia kemudiannya memandang patung yang kaku itu seperti mendesak untuk meminta jawapan.

“Kemungkinan?”

Ya, Tuanku. Kemungkinan!

“Kemungkinan tentang apa?”

Kemungkinan bahawa Tuanku perlu mengorbakan salah seorang dari darah daging Tuanku! Saudara terdekat Tuanku!

Mata Hajar membulat. Hatinya mulai bersarang debaran.

Seketika buat beberapa lama dia duduk berteleku mencari siapakah yang sesuai dijadikan mangsa, kedengaran suara Jamil melayah di udara, memmanggil-manggil namanya.

Dan seperti cahaya menerangi fikiran gelapnya, dia langsung memandang Chendana Sari yang sudah tersenyum cantik.

Jamil harus dikorbankan!

BERSAMBUNG

Thursday, November 25, 2010

LORO: JILBAB EPISODE 22


Penulis: El Zaffril
Cerita ini boleh juga dilayari di Dan. Setiap bab dalam penulisan ini akan dikemaskini setiap dua hari pada jam 8:08 malam. Chendana episode 22 akan disiarkan pada 27 November 2010. Komen-komen anda amatlah dihargai. Pastikan bacaan anda hingga ke episode akhir, 25!



Uthman mengeluarkan sebuah bungkusan plastik yang sejak dari tadi disandangnya. Bungkusan itu dibuka dan dikeluarkan sehelai jilbab putih.

“Kah kah kah.” Uthman ketawa berdekah-dekah. Jilbab putih itu dihalakan kewajahnya.

‘Kau nak buat apa dengan Jilbab putih itu.’

Seri terkaku saat melihat jilbab putih itu. Berkerut-kerut dahinya menahan kesakitan yang muncul dek panahan jilbab yang muncul di hadapannya. Terjelepuk Seri ke lantai menggelupur kesakitan.

“Kini kau rasakan sakitnya Seri.” Puas hati Uthman dapat menyeksa Seri.

Uthman menghampiri Seri. Perlahan-lahan langkahnya menuju ke arah jasad terjelepuk menggelupur kesakitan yang hanya kadang-kadang bisa dilihat oleh mata kasar manusia. Puas hati Uthman kini, racun yang bisa membuatkan Seri yang begitu ampuh dengan kekuatannya kini terkulai layu.

Seri mengundur menjauhi Uthman yang menghampirinya. Wajahnya bertukar rupa, dari seorang yang segak menjadi seorang lelaki yang tua sekali akibat kesakitan yang teramat. Perlahan-lahan Seri mengesot dengan tangannya semata.

‘Jangan buat Seri begitu Uthman. Kau akan menyeksa Abah juga.’ Uthman menjeling ke arah bapanya yang berkerut-kerut kesakitan juga.

Uthman tidak mempedulikan bapanya. Dia tetap menghampiri Seri. Dilajukan langkahnya ke arah Seri. Entah dari mana dia mendapat seluruh kekuatan itu. Lalu perut Seri disepak sekali. Seri mendengus kesakitan dan berguling-guling di atas lantai.

“Rasakan.” Uthman ketawa sambil mendongak ke siling rumah sambil tangannya mencekak pinggang dengan angkuh.

Kemudian dia menjambak rambut seri yang putih, lalu dicampakkan Seri ke dinding. Terpelanting Seri ke dinding kayu rumah bapa Uthman lalu terjelepuk ke lantai.

“Masa untuk Man ambil nyawa Abah.”

Uthman menghampiri bapanya dengan tangan kirinya memegang jilbab putih.

‘Jangan Man, Jangan. Tolong Abah.’ Rayu bapa Uthman.

Uthman langsung tidak mengendahkan rayuan bapanya. Perlahan-lahan dia menghampiri wajah yang sayu ketakutan itu. Tidak pernah sekalipun Uthman terlalu berani sebegini.

“Aku tahu kau dah mati dan kau hidup untuk menghidupkan Seri. Jadi, aku mahu nyawa kau untuk menghidupkan makhluk yang sepatutnya hidup. Bukan mayat hidup seperti kau. Nah, berikan nyawa kau pada aku.” Lagak Uthman bak anak durhaka yang menuntut keadilan.

Uthman meletakkan jilbab putih yang dipegangnya di ubun-ubun bapanya. Menggelitik kesakitan bapanya dengan bebola mata yang berputar tanpa ada hala tuju.

‘Sakit Man, tolong Abah Man. Abah tak mahu mati lagi. Abah nak hidup lagi.’ Rintihan hatinya dalam keadaan nyawanya cuba dicabut Uthman.

Uthman mengerutkan dahinya kehairanan, sukar benar mahu mendapatkan nyawa bapanya itu. Dilepaskan jilbab itu dan dibiarkan terletak di ubun-ubun bapanya.

“Kenapa aku tak boleh ambil nyawa kau?”

‘Nyawa abah bersatu dengan nyawa Seri.”

“Maksud kau?”

‘Kalau kau mahukan nyawa Abah, ada satu syarat yang perlu kau terima tanpa ragu.’

“Apa dia?” Uthman memeluk tubuhnya angkuh bak wira yang sudah berjaya menawan musuhnya, hanya tinggal dibunuh sahaja musuhnya, tetapi liat benar mahu bercerai nyawa dan badan.

‘Untuk memiliki nyawa abah mudah Uthman. Tidak perlu kau seksa Abah sebegini rupa.’

“Jadi Abah redha Man mahu Abah mati?”

Perlahan-lahan bapanya mengangguk dalam kesakitan yang teramat sangat-sangat.

‘Kau perlu menerima Seri dalam hidup kau.’ Ringkas bisik hati bapanya.

Uthman membeliakkan matanya, pandangannya diarahkan kepada Seri yang masih terjelepuk kesakitan. Seri hanya menyeringai menguntum senyum kerana bakal menjadi parasit dalam sebuah tubuh yang baru.

Uthman menunduk, terasa sukar benar menerima syarat ini. Syarat yang pastinya akan membawa kepada sebuah kehidupan yang amat menyeksakan keturunannya dan juga orang sekitar. Nyawa yang perlu diambil menjadi kekuatan Seri, kemudian darah yang menjadi minumam Seri hari demi hari. Kalau tidak diri sendiri yang akan menjadi mangsanya.

“Baiklah, aku terima Seri sebagai galang ganti satu nyawa yang aku perlukan untuk satu nyawa yang lain.”

Berdesup Seri selaju cahaya masuk ke dalam tubuh Uthman. Uthman menjerit kesakitan yang teramat. Bebola matanya terbeliak. Dalam keadaan berdiri itu, Uthman terdepa seperti seorang yang terkena renjatan elektrik. Lama-kelamaan Uthman menjadi semakin tidak keruan. Kulitnya menjadi pucat lalu terjelepuk ke lantai.

Seraya itu juga, perlahan-lahan nyawa bapanya ditarik oleh jilbab yang tersedia di ubun-ubun kepala bapanya. Kadang-kadang nyawa itu tersekat-sekat di urat yang penuh dosa sehingga menyeksakan dan menyesakkan dirinya yang berhadapan dengan sakaratul maut. Perlahan-lahan bapanya menutup mata selepas satu hembusan kuat dilepaskan. Itulah hembusan yang terakhir.

Jilbab yang tadinya berwarna putih bertukar menjadi warna keemasan. Warna yang akan menghidupkan seseorang yang berada diambang kehidupan dan kematian dan sedang menunggu Uthman sedar dari lena kepenatan bersatu dengan Seri.

‘Kini kau milikku Uthman.’

BERSAMBUNG

Wednesday, November 17, 2010

LORO: CHENDANA EPISODE 21


Penulis: Faizal Sulaiman
Cerita ini boleh juga dilayari di Dan. Setiap bab dalam penulisan ini akan dikemaskini setiap dua hari pada jam 8:08 malam. Jilbab episode 22 akan disiarkan pada 19 November 2010. Komen-komen anda amatlah dihargai.



Semuanya bermula ratusan tahun yang lalu dimana lahir seorang gadis cantik yang diramalkan akan membawa tuah dan kekayaan kepada sesiapa sahaja yang memilikinya. Gadis itu bernama Sari Ayu. Kejelitaanya tak terkalahkan. Santunnya memikat teruna mahupun yang sudah bersuami.

Malah ada yang berani berjumpa dengan ayah bonda Sari Ayu kalau barang tentu boleh memperisterikan gadis sunti itu, langsung memberi kesenangan kepada keluarganya. Kedua mereka tidak mengizinkan malahan tidak percaya langsung yang anak gadisnya membawa tuah, malah menganggap Sari Ayu membawa bala bencana dalam keluarga nya sendiri.

Padi tanaman bapanya, Jalak tidak pernah menjadi.
Begitu juga hasil tenunan Lang, ibu Sari Ayu tidak laku di pasar Duma, pasar tani kebanyakan penduduk.

Walauapapun, ia tidak pernah disuarakan kepada Sari Ayu.

Tetapi Embah yang tinggal di Bukit Berapi percaya tentang keistimewaan gadis itu.

Biarlah orang nak kata dia gila sekalipun, dia tetap tahu Sari Ayu bakal membawa kesenangan kepadanya kelak. Lalu, dia menghantar anak saudaranya Demak, untuk menggoda Sari Ayu.

Dan perancangannya menjadi. Sari Ayu benar-benar menyintai Demak sehingga gadis itu tertipu tentang perancangan Demak untuk membawanya keluar kampung dan berkahwin.

Tetapi siapalah dia untuk menghalang cinta muda?

Demak memgubah keputusan di saat akhir tatkala tugasannya menyerahkan Sari Ayu kepadanya untuk dijadikan korban. Malam dimana wajah Sari Ayu akan ditoreh, darahnya dijadikan bahan makanan kepada kayu chendana, sebelum memindahkan roh gadis itu ke dalam ukiran kayu itu yang berbentuk seperti patung permainan anak kecil.

Ya.
Kedengaran pelik.
Tetapi itulah tujuan utamanya untuk memerangkap Sari Ayu.
Tubuhnya dibunuh. Darahnya dititiskan pada chendana dan rohnya dipindah.

Maka sesiapa yang mewarisi atau memiliki Chendana Sari akan berkuasa. Berkuasa harta dan pengaruh.

Firasatnya tentang cinta muda, menjadi nyata.
Demak mulai terpaut sayang pada Sari Ayu, lalu bercadang melarikan diri ke kampung yang didiami oleh penduduk muslim, mahu menganut agama itu lalu meninggalkan amalan karut yang memualkan.

Tetapi, dia lebih bijak.
Lebih tahu akan gerakan merpati dua sejoli itu.
Dan cubaannya menggagalkan perancangan itu akhirnya berjaya.

Demak dipancung kepala, meninggalkan adik lelakinya Masri yang lari ke kampung Nyior Chondong dan mendalami agama Islam di sana.

Roh Sari Ayu yang ingin membalas dendam tersimpan dalam patung Chendana lalu melalui kurun-berkurun ianya diiikat kemas dalam jagaan keluarga Syed Hashim sehinggalah dirampas oleh anak perempuannya Mardihah lalu dibawa lari ke Gunung Tumbuh, dimana dia berkahwin dengan Abdul Hadi, seorang mubaligh Islam.

Perkahwinan mereka dilanda badai.
Pertelingkahan akhirnya berlaku antara suami isteri itu menyebabkan Chendana Sari akhirnya memilih sendiri siapa tuannya.
Dia memilih Abdul Hadi langsung menyebabkan puaka patung itu membunuh Mardihah!

Abdul Hadi masih terkejut dengan tindakan patung yang dirasakan bodoh, yang selama ini menjadi teman tidur isterinya. Adakalanya dia melihat Mardihah bercakap dengan patung itu, tetapi sedikitpun dia tidak ambil pusing.

Madihah tinggal seorang selepas dia pergi ke baruh mengerjakan sawah. Perkahwinan dua tahun mereka pula tidak dikurniakan zuriat. Dan pabila patung kayu berukuran setinggi lutut itu, mencapai parang panjang, lalu menetak Mardiah yang terpekik-pekik pada suatu pagi, Abdul Hadi memutuskan untuk membuang Chendana Sari dalam hidupnya.

Tetapi siapalah dia hendak berlawan dengan puaka patung itu?

Chendana Sari berkeras untuk tidak mahu pergi dalam hidup Abdul Hadi kerana dia sudah memilih Abdul Hadi sebagai tuannya yang baru.
Dia memujuk Abdul Hadi untuk menerimanya.
Menemaninya sehingga mati.

Tetapi setiap kali Chendana Sari ingin mengumpannya dengan harta dunia, dengan kuasa yang tak terbandingkan…maka saat itulah Abdul Hadi meminta petunjuk Allah s.w.t dan tiap kali itulah Chendana Sari akan ghaib.

Sehinggalah selepas setahun Abdul Hadi menduda, dia memilih Sakinah, gadis sunti dari kampung seberang untuk menjadi suri hidupnya. Sakinah menerima lamaran itu dengan hati yang sangat senang sehinggalah mereka dikurniakan anak perempuan bernama Jamilah.

Jamilah dididik dengan ajaran Islam yang betul.
Solatnya sangat terjaga.
Amalannya sangat teratur.
Setiap kali suaranya mengalunkan bacaan Al Quran, setiap kali itu jugalah ramai teruna-teruna terpaut cinta padanya.
Abdul Hadi menyayangi puterinya itu dengan sangat mendalam dan bercadang ingin menjodohkan Jamilah dengan Abdul Taha.

Tetapi berlainan dengan Sakina.
Dia mahu jodohkan anak tunggalnya dengan Syed Firdaus, anak saudagar sutera yang terkenal.
Malah setiap kali Abdul Hadi tiada untuk bertugas, dia akan mengaturkan temu janji dengan Syed Firdaus, walaupun tidak pernah dipersetujui oleh anak perempuannya, Jamilah!

Sehinggalah perbuatan itu diketahui oleh Abdul Hadi lalu melarang keras perbuatan isterinya. Jamilah kelegaan dan sangat berterima kasih dengan bapanya. Sakinah membuah dendam. Maka, perancangan bertahun-tahunnya bakal dilaksanakan malam itu. Di luar pengetahuan suaminya, dia bersahabat baik dengan Chendana Sari. Ia diketahui oleh Anum, sahabat baik Sakinah. Anum yang sudah dianggap Sakinah sebagai saudaranya sendiri melarang perilaku perempuan itu. Dia yang waktu itu sarat mengandungkan anak sulung, dihalau oleh Sakinah selain memutuskan ikatan persaudaraan yang selama ini dibina.

Tiba di majlis pernikahan Jamilah dan Abdul Taha, sesuatu yang dahsyat telah berlaku.

Abdul Hadi ditemui mati dengan kepala terputus dari badan manakala Sakinah hampir hancur mukanya bagaikan dihentam sesutau dengan kuat.

Semua tetamu melarikan diri sebelum menjeritkan perkataan keluarga sial kepada Jamilah. Walaubagaimanapun, Abdul Taha yang masih menyayangi isterinya, membawa lari Jamilah jauh dari situ.

Dan Chendana Sari telah mengikuti tuan barunya, Jamilah!

Jamilah dijaga Anum, yang sudah dianggap seperti makcik ketika dia sarat mengandungkan anak keduanya, Hajar. Samira yang ketika itu baru berusia lima tahun, menerima tentang kematian bapanya yang menemui maut akibat kemalangan jalan raya ketika pulang dari tempat kerja!

Jamilah hampir pengsan. Mujurlah ketika itu Sufiah, anak kepada Anum menemani keadaan saratnya. Sufiah yang mempunyai anak bernama Jamil kelihatan sangat tenang walaupun suaminya, Ghaffar telah meninggal dunia ketika si kecil Jamil berusia dua tahun.

Ketika Hajar lahir ke dunia, Jamilah menyambut bayi perempuan itu dengan senyuman. Melihat orang keliling-kelilingnya, dia tahu, hidupnya masih berkeluarga, walaupun Anum, Sufiah dan Jamil bukanlah dari darah dagingnya sendiri…

Malah, ketika keluarga itu berbahagia, Chendana Sari melihatnya sebagai satu ‘santapan’ enak untk dijamah tidak lama lagi.

Akan ku pastikan keluarga ini porak peranda! Selapas aku memilih samada Hajar atau Samira yang mewarisi kuasaku ini…

Dan tatkala malam bulan mengambang itu, Hajar, yang kini sudah menginjak dua puluh tahun membuka matanya pantas. Satu per satu gambaran tentang sejarah keluarganya terbayang terang benderang menerangi fikiran. Lalu dia melihat ke bawah katil, tempat pembaringannya. Mengambil satu kotak besar, lusuh lalu membukanya pantas.

“Chendana Sari..kau adalah kepunyaanku…”

BERSAMBUNG

Monday, November 15, 2010

LORO: JILBAB EPISODE 21



Align CenterPenulis: El Zaffril
Cerita ini boleh juga dilayari di Dan. Setiap bab dalam penulisan ini akan dikemaskini setiap dua hari pada jam 8:08 malam. Chendana episode 21 akan disiarkan pada 17 November 2010. Komen-komen anda amatlah dihargai.




Seri lenyap entah ke mana perginya. Mencari mangsa untuk meneruskan kehidupan seperti sediakala. Selagi tuannya masih bernafas, selagi itulah dia mampu untuk terus bernyawa. Kalau tuannya tidak bernyawa sekalipun, akan Seri pastikan yang jasadnya masih bisa dikawal olehnya.

Uthman memandang keluar rumah. Nyatanya, nyawa bapanya yang diinginkannya masih belum pasti adakah patut dilakukan atau tidak. Sungguhpun dia begitu menginginkan nyawa bapanya, namun jauh di sudut hatinya masih mahukan bapanya sihat seperti sediakala.

‘Man, kau satu-satunya waris Abah. Kenapa kau buat Abah macam ini?’ Bapa Uthman hanya menggunakan hatinya untuk berbicara, dia tahu Uthman bisa mendengar.

“Dan Man bahu bertanya Abah, kenapa Abah buat keluarga kita macam ni? Man tak mahu jawapan Abah yang kolot tu.”

Tiada apa yang bisa didengar oleh Uthman. Bapanya hanya diam dan memejamkan matanya. Sesekali bergerak-gerak kelopak matanya itu dek gerakan bebola mata yang tidak berhenti bergolek.

“Kali ini Man minta nyawa Abah.”

‘Untuk apa Man?’

“Untuk menghidupkan sesuatu yang masih hidup dan mematikan sesuatu yang sepatutnya sudah lama mati.”

‘Jadi kau mahu bunuh Abah?’

Uthman mengalihkan berdiri tubuhnya dari tingkap dan memandang tepat kepada bapanya seraya dia mengangguk perlahan. Uthman tersenyum sinis tatkala itu.

“Ia Abah, dengan satu cara yang tidak menyakitkan Abah. Untuk sebuah kehidupan yang lebih menjamin masa depan, pengorbanan Abah amat Man perlukan.”

‘Maksud Man, nyawa Abah man perlukan untuk kebaikan diri Man.’

“Apa guna Abah hidup untuk menghidupkan Seri yang akan membawa Abah ke neraka. Man tak mahu anak-anak dan cucu-cucu Man terpesong akidah semata-mata kerana Seri. Banyak lagi cara lain untuk kita hidup senang Abah. Semua yang kita buat kerana Allah.”

‘Abah minta ampun Man.’

“Abah ingat dengan minta ampun macam ni sahaja dah boleh kembalikan nyawa Mak dan oranglain yang Abah ambil nyawanya untuk kepentingan hidup Abah? Sia-sia saja Abah solat lima kali sehari, puasa penuh sebulan, bayar zakat setiap tahun. Sia-sia saja apa yang Abah lakukan.”

Uthman mencekak pinggangnya. Mukanya merah padam menahan marah yang membara. Nafasnya tercungap-cungap dek gemuruh yang melanda.

‘Kau tekad mahu mengambil nyawa Abah?’

“Iya.” Uthman mengangguk laju untuk yang sekian kalinya.

Uthman memandang tepat ke arah bapanya dengan sebuah senyuman sini. Menyeringai senyum lebarnya itu sehingga menampakkan giginya yang tersusun rapi.

Uthman tidak lagi seperti selalu. Wajahnya berubah menjadi seorang yang bukan dirinya. Karakternya turut berubah. Perlahan-lahan dia berjalan menghampiri lelaki yang sudah tidak ada daya untuk bangun.

“Kau sudah bersedia untuk menyerahkan apa yang aku minta?”

Bapanya mengangguk lemah.

‘Tapi dengan syarat.’

“Apa syaratnya?”

‘Kau wajib menerima Seri. Kalau kau berkeras mahu nyawa abah, kau harus turuti pintaku. Kerana, aku tak mungkin akan mati selagi Seri bersama aku.’

Uthman tersenyum. Hajatnya mahu mendapatkan nyawa untuk menghidupkan seseorang tercapai, dan yang paling penting, dia akan akan pastikan yang Nur bernafas semula.

“Baiklah...”

BERSAMBUNG

Thursday, November 04, 2010

LORO: CHENDANA EPISODE 20

Penulis: Faizal Sulaiman
Cerita ini boleh juga dilayari di Dan. Setiap bab dalam penulisan ini akan dikemaskini setiap dua hari pada jam 8:08 malam. Jilbab episode 21 akan disiarkan pada 6 November 2010. Komen-komen anda amatlah dihargai.



“Oh Hajar cakap awak ke rumah Kat. Rupanya awak pergi berendut dengan jantan ni, ya?”

Suara Asyraf terpekik lantang, sambil menghempas pintu Viosnya kuat. Saat Samira turun dari kereta My Vi oren yang dipandu sepupunya Jamil, dia dapat merasakan api kemarahan lelaki itu sekian lamanya.

“Apa awak merepek ni, ha? Dia datang sebab nak pulang barang arwah Yazid. Itupun awak nak cemburu jugak ke?”, Samira cuba mempertahankan diri, sambil memandang Jamil yang kelihatan pelik bercampur baur.

Asyraf walaubagaimanapun tertawa sinis.

“Alah! Ustaz zaman sekarang bukan boleh percaya sangat! Kata je baik, tapi perangai macam syaitan!”
“Dik…jaga sikit mulut kamu tu”
Jamil memberi kata dua sambil menjeling penuh tanda tanya atas kebiadapan lelaki itu.
Asyraf mempedulikannya.

“Kalau tak kau nak buat apa, hah? Kau nak belasah kau? Kau dah keluar dengan girlfriend aku, kau selamba badak tak minta izin, kemudian selamba badak nak tegur aku itu ini. Kau siapa, hah? Siapa?”
“Cukup, Asyraf! Cukup!”

Lelaki yang sedang marah itu memandang kekasihnya yang terpekik-pekik tidak keruan.

“Awak nak menyebelahi dia pula? Hey..syaitan apa yang dah merasuk awak ni, hah?”
“Cukup! Awak cemburu! Awak tahu tak saya dengan abang Jamil ni sepupu?”
“Abang Jamil, konon!”
Asyraf mengejek. Diperhatikan Jamil yang diam seribu bahasa.

Kemudian, tanpa waras akal berfikir, dia merentap kolar baju lelaki itu dengan garang. Jamil tertolak kehadapan sehingga wajahnya bertentangan dengan wajah bengis Asyraf.

“Baik kau cakap! Mana kau bawak girlfriend aku, hah? Kau bomohkan dia, ya? Cakap bangsat! Cakap!!!”
Jamil mendiamkan diri. Diam bukan bermakna gentar.

“Baik kau cakap! Sebelum aku bunuh engkau!”

Mata Samira terbelalak.
Takkan sebab cemburu nak membunuh semua?

Dia bertindak lekas. Memaut lengan lelaki itu dan entah kenapa, tiba tiba sahaja dirasakan sangat panas. Panas seperti sedang memegang besi yang sedang dipanggang dalam bara api! Lelaki itu walaubagaimanapun menepis dengan garang sehingga Samira tertolak sedikit kebelakang.

Mata liar dan ganasnya memerhatikan Jamil dengan penuh buas. Wajah Asyraf seperti kelaparan. Seperti seekor harimau yang bakal membaham mangsanya.

“Kau akan mati malam ini Jamil! Akan aku siat-siat engkau..kerna engkaulah cita-citaku hampir musnah! Sekarang bersiap sedia untuk mati! Katakan selamat tinggal kepada dunia!”, kedengaran suara mersik menakutkan bercampur garau milik Asyraf terhambur keluar dari dua ulas bibirnya.

Senyuman terukir. Kelihatan sangat menakutkan.
Cengkaman lelaki itu pada kolar baju Jamil semakin lama semakin kuat!

Jamil kelihatan tenang tenang sahaja.
Matanya dipejamkan.

Lantas Surah Al Fatihah dibacakan. Penuh tertib dan tajwidnya.

Perlahan-lahan matanya dibuka.

Tetapi anehnya dihadapannya sekarang bukan Asyraf.
Tetapi kelihatan seorang wanita hodoh, berambut sangat panjang kusut masai dengan siung bertaringnya yang sudah mengalir darah, merah kepekatan.

Lembaga misteri itu perlahan-lahan tersenyum.

“Berjuta tahun aku menunggu saat ini, Jamil. Saat dimana aku bertemu dengan engkau! Saat aku akan terpaut suka dengan engkau! Terpaut pada budi pekerti engkau dan suci bersih hati engkau!”

Lembaga itu bersuara menyeramkan. Wajahnya yang sudah bertoreh kelihatan sangat hodoh dengan kulitnya yang sudah terkopek-kopek menyerlahkan lagi daging pipi yang sudah dim amah ulat.

Jamil memejamkan mata. Pada Allah dia memohon.

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyanyang. Sesungguhnya aku berlindung dari syaitan yang direjam!

Dia membuka matanya perlahan sebelum melihat suatu aliran biru lembut keluar dari celah rongga hidungnya kemudian melayah hinggap ke tangan kotor lembaga itu sehingga menyebabkan lembaga itu terpelanting beberapa meter lalu menghentam dinding rumah Samira.

Kedengaran jeritan mengerikan dari kejauhan sebelum jasad Asyraf jatuh terduduk lalu tidak sedar.
Samira berlari mendapatkan kekasihnya sebelum melihat adik perempuannya, Hajar berlari keluar dari rumah dengan wajah pucat lesi.

“Ada lembaga putih melintasi bilik saya!”

Jamil menghela nafas sedikit lega.

Alhamdulilah dia sudah pergi. Buat sementara waktu ini.

“Kenapa bang? Apa dah jadi, ni?”, soal Hajar cemas. Samira kelihatan sangat risau melihatkan Asyraf yang tiba-tiba agresif, bertukar menjadi lemah tak berdaya.
“Mungkin…mungkin dia dirasuki benda tadi”
“Benda apa?”

Jamil tiada jawapan untuk pertanyaan itu. Dia menggelengkan kepalanya sambil fikirannya tangkas membutuhkan penyelesaian. Pertama Hajar dirasuk, Kemudian Asyraf.

Kerja siapa pula ni?
Katrina?
Tapi kalau Katrina, mesti dia sudah merasuki Samira dulu, bukan adik atau kekasihnya!

Jamil benar pusing dengan persoalan mistik keluarga Samira. Buntu memikirkan jalan penyelesaian terbaik.

“Aku ada di sekitar kau Jamil. Pada keluarga kau!”
Suara itu bergema lagi sebelum diiringi hilai tawa menyeramkan.

Apa maksudnya “pada keluarga aku?”

BERSAMBUNG..

Tuesday, November 02, 2010

LORO: JILBAB EPISODE 20


Penulis: El Zaffril
Cerita ini boleh juga dilayari di Dan. Setiap bab dalam penulisan ini akan dikemaskini setiap dua hari pada jam 8:08 malam. Chendana episode 20 akan disiarkan pada 4 November 2010. Komen-komen anda amatlah dihargai.




“Kita nak ke mana ni Uth?”

Bermacam-macam persoalan bermain di fikiran Nur. Entah ke mana-mana Uthman membawanya pergi. Soalan tadi sudah banyak kali diajukan kepada Uthman. Namun, Uthman hanya kaku memandu. Tidak sedikit pun dia memandang ke arah Nur.

Sampai sahaja di Hospital tadi, Nur menemui Seri. Kemudian Seri menghilang dan kemudian lenyap dari pandangan. Sesudah itu muncul Uthman di muka hospital. Tangannya dicengkam dan dia dibawa ke parkir kereta. Soalan yang sama diajukan. Uthman hanya berdiam melangkah masuk ke dalam kereta.

Enjin kereta dihidupkan, Nur cepat-cepat masuk ke dalam kereta. Menderu enjin kereta Uthman di dalam parkir, pedal minyak ditekan habis. Keluar dari parkir, kereta itu meluncur laju. Membelah lebuhraya, mujur tidak banyak kenderaan yang sedang dalam perjalanan.

Nur terpinga-pinga di dalam kereta. Sekali-sekala dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Berkerut-kerut dahinya mahu memahami Uthman yang sedang menggila membawa kereta.

Dari Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Utara Selatan dan keluar di persimpangan keluar Simpang Ampat, Alor Gajah. Kemudiannya kereta Uthman menyelusuri Lebuh AMJ.

‘Paya Rumput?’ Desis hati Nur penuh dengan tanda tanya.

Satu jam setengah menyelusuri perjalanan yang penuh tanda tanya, kereta Uthman berhenti betul-betul di hadapan sebuah rumah atas yang berdindingkan dan berlantaikan kayu. Masih kukuh berdiri rumah yang dicat dengan warna hijau muda dengan warnanya yang mula pudar.

Uthman menguak pintu keretanya dan terus berdiri memandang tepat ke arah pintu rumah yang tertutup rapat. Diikuti Nur keluar dari perut kereta dalam keadaan terpinga-pinga.

“Rumah siapa ni Uth?”

Uthman mengukir senyuman tatkala memandang wajah Nur. Pintu keretanya ditutup.

“Ini rumah bapa Uth.”

“Tak pernah cerita pada Nur yang bapa Uth masih hidup.”

“Dia hidup untuk menghidupkan yang lain.”

Uthman tersenyum lagi. Dia senang begitu, membiarkan Nur terus berteka-teki dengan apa yang berlaku disekelilingnya. Uthman membuka langkah menuju ke tangga rumah itu.

“Nur tak faham.” Nur menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Nur tunggu di sini saja dan Nur tak perlu faham.”

Nur berdiri seperti tunggul di ruang tamu halaman rumah tua itu. Dia hanya mampu memandang Uthman melangkah masuk ke rumahnya.

‘Buat apa saja Uth, asalkan semua adalah yang terbaik untuk kita semua.’ Nur memeluk tubuhnya. Matanya melilau memerhatikan sekeliling.

Uthman melangkah perlahan-lahan masuk ke rumah bapanya. Siling rumah itu penuh dengan sawang labah-labah.

“Kau balik juga Man.”

“Iya Abah. Man balik ni.”

Uthman mengukir senyuman sinis, lalu dia berjalan menuju ke arah suara yang memanggilnya. Suara itu datang dari arah bilik bapanya. Langkahnya dibuka cepat-cepat menuju ke bilik itu.

Melangkah masuk ke dalam bilik itu, Seri sedang sedia menanti di birai katil bapanya. Mereka sedang menanti kepulangan waris utamanya itu. Seri mengukir senyuman sehingga menampakkan gigi taringnya, memang dia sudah tahu satu hari nanti Uthman akan pulang juga ke rumah itu.

“Tapi Man pulang bukan untuk terus pulang ke pangkuan Abah.”

“Habis tu Man?”

“Man nak minta sesuatu dari Abah.”

“Apa dia Man?”

Tersedu-sedu suara yang keluar dari bibir bapa Uthman. Entah apa yang diinginkan oleh anaknya itu.

Uthman menghampiri tingkap bilik bapanya. Pandangannya dilepaskan keluar, senyuman plastik di depan bapanya tadi dileraikan dan digantikan dengan sebuah keluhan panjang. Tidak sedikit pun dia memandang wajah bapanya.

Soalan terakhir bapanya belum lagi dijawab. Perasaan gentar tiba-tiba sahaja muncul dan menebak hatinya bertubi-tubi. Lama dia menanti untuk menjawab soalan itu. Tiba-tiba hatinya merasa kurang yakin dengan tindakannya.

“Nyawa Abah.”

BERSAMBUNG

Anda Mungkin Menyukai

src="http://www.linkwithin.com/widget.js"> Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
The views of the writer is his own, and do not in any way reflect the views on other sites affiliated with this site or any other members of this site. It is your OWN RISK by reading all the entries. Please note that all works include short stories and online novels published in this site are written by the writer. You may share all the articles, but you've must consult with the writer first.
Any inquiries, feel free to email the writer on faizalsulaiman85@gmail.com
ALL RIGHTS RESERVED