Showing posts with label prosa cinta. Show all posts
Showing posts with label prosa cinta. Show all posts

Sunday, July 04, 2010

PROSA TIGA BELAS (BAHAGIAN DUA)

Pertemuan pertama kalinya antara lelaki bernama Amir Naufal dengan gadis yang pernah dicintainya Zulaikha Wirdani itu akhirnya berlangsung dalam suasana yang paling tidak menyelesakan. Persekitaran hospital yang dipenuhi dengan orang yang sedang lalu lalang sedikitpun tidak mengganggu pemandangan enam pasang mata itu yang kemudiannya diputuskan oleh suami Zulaikha Wirdani, Iman Syakirin untuk memecahkan kebuntuan antara lelaki itu dan isterinya.

Dan dia seperti mengetahui bahawa lelaki itulah yang dicintai isterinya…

Dan buat Amir Naufal sendiri, melihatkan lelaki berkerusi roda disebelah perempuan itu, fikirannya lekas menangkap. Lelaki itu mungkin suaminya.

Dalam hatinya dalam penuh kesengsaraan itu, dia lekas berlalu meninggalkan Zulaikha dan Iman dengan penuh tertanya-tanya.

Aku ada satu tugas penting untuk diselesaikan hari ini. Dan aku harus tunaikan janji itu! Maafkan aku, Zulaikha

**

DUA TAHUN KEMUDIAN…

“Nek..Nek..”
Suara halus seorang kanak-kanak perempuan memecahkan gegendang Mak Limah yang sedang melipat kain di atas pangkin yang dibuat berdekatan dengan pohon rambutannya. Lamunannya terhadap arwah suaminya lekas terpadam apabila mendengarkan suara kecil yang datang dari dalam rumahnya. Dia lekas berlari menuju ke dalam rumah batunya kemudian melihat cucu perempuannya, Mia Qistina sudah terbangun dari buaian, dengan kaki sudah terkontal kantil beralun di buaiannya.

Mak Limah datang mendekat, memerhatikan mata bundar comel itu sedang terkedap-kedip cemas sebelum wajah kecil itu mengukir senyuman tanda kelegaan neneknya sudah berada disisinya. Mak Limah kemudian mengangkat cucunya, kemudian merebahkan kanak-kanak kecil itu di atas tilam kecil yang sudah tersedia di tengah rumahnya. Seklias dia memandang wajah bujur, bentuk mata, hidung dan alur bibirnya yang terletak cantik.

Memang serupa seperti arwah ibunya. Kasihan kau, nak. Kecil-kecil lagi sudah jadi anak yatim piatu!

Mak Limah membelai kanak-kanak yang bergerak-gerak tanpa henti itu. Seketika kedegaran deruman kereta di luar langsung menyebabkan Mia Qistina melonjak-lonjak tidak sabar. Kanak-kanak perempuan itu bagai menyedari siapa yang akan datang ke rumahnya itu.
“Bah..Bah..Bah”

Hanya itu kedengaran di mulut mungilnya sementara tubuhnya meronta bagai hendak berlari ke muka pintu bagi menyambut kepulangan seseorang.

Kelihatan Amir Naufal sedang membuka kedua kasut hitam berkulitnya kemudian masuk ke dalam rumah sambil mengukir senyuman sangat tampan. Dia kemudian menuju ke arah ibunya, menyambut salam perempuan itu lantas meraih Mia Qistina yang riang gembira di dalam pelukan abahnya itu.

“Mia sihat harini? Mia buat apa je harini? Mia dah makan belum?”

Soalan Naufal bertubi-tubi menyanyakan kepada anak perempuan kesayangannya itu. Walaupun Mia langsung tidak faham malah tidak menjawab, tetapi seboleh mungkin dia ingin tunjukkan kepada bapanya yang dia berada di dalam keadaan elok dan sihat.

“Kamu sudah makan, nak?”

Soalan Mak Limah menerjah gegendang telinganya. Naufal mengukir senyuman kemudian mengangguk perlahan. Mak Limah langsung membelai rambut Mia Qistina sebelum berkata lembut.

“Kamu tak mahu mencari pengganti ibu si Mia ni, ke? Kasihan mak tengok si kecil ni. Tak dapat kasih sayang ibunya sendiri”
Naufal membungkam senyap. Dia menghela nafas kemudian menyambung berhemah.
“Tak sama macam emak sendirinya nanti. Lagipun biarlah saya yang menjaga Mia ni sampai dia besar. Lagipun itu amanat ibunya. Janji saya pada ibunya”

Mak Limah mengangguk perlahan. Dan kalau itu yang dikatakan oleh anaknya, maka dia sebagai ibu harus menerimanya dengan hati yang terbuka. Naufal tahu apa yang terbaik untuk dirinya sendiri.

Enggan dirinya dimomokkan terus dengan soal jodoh yang memeningkan kepala, Naufal meminta kebenaran ibunya untuk membawa Mia bersiar-siar dan Mak Limah dengan senang hati memberi kebenaran. Mia juga seronok nanti!

Naufal mendokong anak perempuannya erat, kemudian meletakkan di atas kerusi bayi yang sudah di pasang di tempat duduk hadapan. Mia kelihatan sangat seronok dan apabila abahnya mula menghidupkan enjin kereta, dia tahu yang hari ini merupakan hari paling indah buatnya…

Tiga puluh minit selepas pemanduan, kelihatan abahnya sudah menyorongkan kerusi di satu tempat rata dimana dia yang berada di dalam kereta sorong bayi itu memandang langit biru yang cukup indah gugusan awan-awannya. Abahnya kemudian berhenti di satu sudut yang dia sendiri tidak tahu, kemudian apa yang dia sedari, abahnya sudah mengangkatnya, mendukungnya dengan penuh kasih sayang dan matanya terus memerhati suasana taman dikeliling yang dipenuhi dengan orang-orang yang kelihatan seperti berlari, berbual-bual dan tak kurang juga ada kanak-kanak sepertinya yang dikendong ibu bapa sendiri.

Saya sayang abah!

Naufal membawa anak perempuannya berjalan, menghirup udara segar dan menikmati ciptaan Allah dengan penuh kesyukuran. Dia langsung tidak menyedari, mungkin hari ini merupakan hari terbaik buatnya. Kerana semua itu adalah urusan Allah..

“Amir Naufal!”

Lelaki itu berpaling kemudian dengan sedikit terkejut memandang seseorang yang telah menegurnya tadi. Seorang gadis. Gadis yang telah berjaya mencuri hatinya dua tahun lalu.

“Wirda? Zulaikha Wirdani?”

Gadis itu mengangguk perlahan sambil menguntum senyumam cantik langsung mengingatkan pertemuan pertama mereka di dalam hospital bersama suami perempuan itu. Oh ya..suami..

“Saya dengan suami sudah berpisah dua tahun lalu. Mungkin bukan jodoh kami”

Pengakuan itu mengejutkan Naufal. Anaknya, Mia walaubagaimanapun sedikit resah dengan kelakuan abahnya yang tidak bergerak-gerak sedari tadi.

“Comel anak kamu. Oh ya..mungkin ini pertemuan terakhir kita. Saya akan ke London untuk sambung belajar. Dan..entah bila kita akan bertemu lagi”
“Nanti dulu..awak nak sambung belajar?”

Zulaikha Wirdani mengangguk perlahan. Amir Naufal sudah bahagia dengan kehidupannya dan aku tidak harus mengganggu hidupnya kini! Ia seharusnya menjadi seperti itu. Mungkin jodoh kau dengan lelaki lain, Wirda. Bukan dengan yang namanya Amir Naufal.

“Sebelum awak pergi, ada sesuatu yang perlu saya katakan, Wirda.”
“Apa halnya, ya?”
“Kita duduk di bangku itu. Tak manis kalau kita berbual dalam keadaan berdiri begini”

Gadis itu bersetuju lantas mengikuti Naufal di tempat letak kereta bayi kepunyaan Mia Qistina. Dan di situ jugalah lelaki itu menceritakan tentang kisah yang dialaminya. Bagaimana dia dalam keadaan penuh keterpaksaan dalam menerima Natrah Syaida yang kemudian bertukar menjadi ikhlas tatkala perempuan itu menghembuskan nafas terakhir ketika melahirkan Mia Qistina.
“Jadi..selama ini?”
“Ya..dan saya tetap menganggap Mia sebagai anak saya sendiri. Saya takkan persiakan hidupnya”

Zulaikha Wirdani kemudiannya meraih Mia Qistina dari pangkuan lelaki itu langsung memandang wajah Amir Naufal dalam-dalam. Dan dalam dua hati yang masih kosong itu, tertanam jua benih-benih cinta pemberian Allah subahnawataala..

Kerana takdir cinta itu adalah pemberian dari Yang Maha Esa. Hanya Allah penentu segala-galanya…

TAMAT

Friday, June 25, 2010

PROSA TIGA BELAS (BAHAGIAN SATU)



Dalam meniti kehidupan yang penuh warna, tanpa kita sedar segala-galanya akan berubah. Sedikit demi sedikit. Kesannya, secara tidak langsung akan memberi impak kepada hidup manusia itu secara lansungnya. Lima penjuru cinta sedang berperang dengan rasa sendiri bila mana kasih seorang isteri sudah diputus sendiri oleh suami, yang merasakan dirinya sudah tidak sempurna lagi, cinta yang mendalam seorang wanita lanjut usia dengan lelaki muda, sebaya adik lelakinya terhalang dengan hadirnya seorang gadis yang mengaku lelaki itu kepunyaannya. Ataupun seorang lelaki yang berada dalam dilema, dimana dia sedang menimbang kira perihal lamaran yang sudah disuarakan sejak berminggu-minggu yang lalu. Lamaran dari seorang wanita!

Itu kenyataan yang harus dihadapi oleh lima penjuru ini.

Sampai bila ia harus bergelora?

Dan bila kah ia harus menemui jalan penyudahnya?


**

Ruang pejabat Amir Naufal tenang seperti hari-hari biasa setiausahanya, Siti Nazurrah masuk ke dalam untuk mengambil memo komunikasi. Sebaran memo sangat penting dalam menyampaikan maklumat agar segala yang hendak disampaikan tidak akan terlepas pandang oleh pekerja-pekerja yang lainnya.

Pagi Khamis itu, majikan Siti Nazurrah meminta agar tidak diganggu. Lebih-lebih lagi dengan kehadiran seorang gadis yang sudah hamil entah berapa bulan masuk ke dalam pejabat lelaki itu dengan selambanya. Selama ini Siti Nazurrah tidak pernah beranggapan buruk terhadap majikannya, Amir Naufal. Lelaki itu cukup menjaga solatnya. Menjaga tuturnya. Menjaga santunnya terhadap yang bukan mahram. Hendak keluar berjanji temu juga mustahil!

Inikan pula membawa gadis yang tiba-tiba bunting ke dalam pejabat!

Maaf penggunaan ayat yang kasar. Tetapi bilakah masanya majikannya itu melangsungkan perkahwinan? Melalui jalan Siam sana? Apa motifnya?

Persoalan berkecamuk itu sedang bermain legar difikiran Siti Nazurrah. Dia insan biasa yang penuh dengan kecurigaan. Malah dia berani menjamin, semua orang akan beranggapan negatif sepertinya. Malah mungkin akan menuduh perilaku tidak bermoral majikannya!

Kalau tidak, masakan gadis itu hamil?

MasyaAllah! Perilihakan lah majikan aku itu, Ya Allah!
Interkom di meja penyambut tetamu berbunyi dua kali. Ralitnya membuatkan dia langsung tidak sedar.

Kuatnya pengaruh godaan Syaitan!

“Siti..bawakan dua cawan Nescafe ke dalam ya”

Suara Amir menerjah ke gegendang telinga. Lembut seperti biasa, langsung membunuh terus anggapan bodoh yang sekian lama bersarang difikirannya. Dia terlatih. Nescafe yang dibancuhnya hanya memakan masa selama lima minit sahaja. Dia masuk ke ruang pejabat majikannya dengan gadis hamil tadi sedang mengesat air matanya.

Apa sudah jadi?
Adakah…

“Siti bolehlah keluar sekarang, ya”

Siti Nazurrah akur apabila tindakannya berdiri agak lama dibelakang gadis itu diperhati oleh Amir Naufal. Dia bergegas berlalu sambil menutup rapat pintu pejabat majikannya itu.

Setelah pasti Nazurrah sudah pergi, Amir mengambil Nescafe bancuh, lalu meminumnya sedikit demi sedikit.
“Apa yang awak fikirkan, Natrah? Kenapa awak sanggup buat penipuan ini?”

Suara Amir bertukar keras sekali lagi. Kali pertama tatkala Natrah Syaida sendiri mengaku kepada lelaki itu bahawa dia sudah melakukan penipuan kepada Ummi Syafiqa yang langsung membawa kepada tindakan wanita lanjut usia itu menghabiskan baki cutinya terbang ke Turki, lusa.

“Saya terpaksa. Saya cintakan awak Naufal! Tak nampak lagi ke pengorbanan yang sudah saya lakukan ini?”
“Bukan ini caranya, Natrah!”

Gadis itu teresak-esak menangis. Kelihatan dia mengusap lembut perutnya yang semakin membesar itu. Tudung litupnya juga sesekali kelihatan bergoyang-goyang tatkala bahu kecil gadis itu tersengguk sengguk.

“Saya lakukan ini demi anak saya. Saya mahu dia lahir dengan berbapa. Ada ayah yang akan mengazankannya. Saya tak kisah kalau awak tak mencintai saya, tetapu tolonglah Naufal! Tolong selamatkan maruah yang telah saya sendiri calarkan. Tolonglah saya…”

Rayuan gadis itu benar menyentuh sanubarinya. Dia sendiri hidup tiada berayah. Ayahnya meninggal dunia ketika di laut berpuluh tahun dahulu. Dia tahu peritnya bergelar anak yatim. Dia seakan faham perasaan Natrah dilambung gelombang ketika ini.

Seketika dia menghela nafas.

Ya Allah berkatilah tindakan ku ini!

“Baiklah Natrah. Saya lakukan demi anak awak. Seperti apa yang awak minta itu.”

Natrah bangkit dari tangisnya. Mengangkat wajahnya yang sudah basah dengan kilauan air mata. Hatinya gembira terdetik.

Ya Allah, kau berkatilah hidup lelaki bernama Amir Naufal ini. Kau limpahi rezeki untuknya. Temukan jodoh terbaik buatnya…

Natrah Syaida menguntum senyum tanda kesyukuran. Dia amat berharap yang doanya itu bakal dikabulkan. Dia kemudiannya bangun untuk berlalu pergi namun entah mengapa, tiba-tiba bagai ada sesuatu tekanan sedang memulas di hujung perutnya. Bagai ada sesuatu yang hendak keluar dari perutnya lantas selang beberapa saat yang memeritkan itu, cecair jernih seolah mengalir hingga ke betisnya…

“Naufal…Naufal..saya rasa..saya rasa”

Naufal bingkas bangun dari tempat duduknya, kemudian berdiri terkekau melihat wajah merah padam Natrah Syaida dan cecair jernih yang sudah membasahi permaidani pejabatnya.

“Saya rasa sudah tiba masanya…”

**

“Terima kasih kerana menemani abang walau kita bukan suami isteri lagi”

Ungkapan Iman Sykirin di hari-hari terakhir rawatannya di Hospital pada petang itu cukup terkesan di hatinya. Apatah lagi tindakan lelaki itu hendak mengikuti kakaknya, yang juga bekas penyelia praktikalnya, Ummi Syafiqa terbang ke Turki, lusa membuatkan perasaannya semakin berbelah bahagi untuk meninggalkan Iman.

Soalnya dia masih menyayangi lelaki itu. Dan perceraian ini bukanlah kehendaknya!

Dia menolak kerusi roda Iman perlahan-lahan melewati ruang pemeriksaan gigi dan kini ke ruangan farmasi.

“Abang fikirlah masak-masak”

Zulaikha berkata perlahan sebelum menghentikan kerusi roda Iman lalu duduk di ruang menunggu bahagian Farmasi yang lengang, langsung memandang raut wajah suaminya yang bersih tenang.

“Abang yakin dengan keputusan abang. Kalau ada jodoh ketentuan Allah, kita akan bersua kembali”

Iman tersenyum nipis langsung tidak mendedahkan gelora rasa yang berperang di sanubarinya. Sungguh dia masih menyintai Zulaikha. Masih menyanyangi perempuan itu. Tetapi kondisi fizikalnya membataskan, maka jalan itu yang dia pilih!

Dia tidak mahu Zulaikha Wirdani, gadis baik dan suci yang dikenalinya ini tidak mendapat apa yang sepatutnya dari sang suami. Baik zahir mahupun batin.

Kedengaran bunyi siren ambulan memekakkan telinga, langsung mematikan segera perbualan singkat antara bekas suami dan isteri itu. Kelihatan di ruang legar, berdekatan dengan bahagian farmasi itu, seorang lelaki yang cukup dikenali Zulaikha. Dia amati lagi lelaki itu.

Ya! Memang benarlah dia!

Kelihatan dua tiga orang petugas Hospital nampak kelam kabut dan dari kekalutan itu, Zulaikha cuba bertanya seorang Staff Nurse bernama Saadiah yang kebetulan berselisih bahu dengannya.

“Apa yang terjadi, cik?”
“Ohh perkara biasa puan. Suami mengadu isterinya hendak bersalin. Seronok kan? Bertambahlah umat Islam kita.”

Zulaikha mendengar berita itu dengan sangat tergamam. Iman walaubagaimanapun memandang bekas isterinya dengan raut wajah tertanya-tanya. Dan apabila lelaki yang kekusutan tadi sudah mula reda dan tenang, dua pasang mata bertentangan membikin satu jiwa yang penasaran!

Pertemuan semua Amir Naufal dan Zulaikha Wirdani dalam suasana yang paling tidak menyenangkan…

BERSAMBUNG KE BAHAGIAN DUA

Thursday, June 24, 2010

PROSA DUA BELAS


Sebelum ini dalam Prosa Cinta Amir Naufal

Kecelakaan Iman Syakirin bukti ketaqwaan Zulaikha Wirdani terhadap dugaan yang diberikan Allah padanya. Seorang isteri yang solehah akan senantiasa menemani dan melayani suaminya dengan penuh hemah. Amir Naufal dipinang Ummi Syafiqa langsung membawa kepada keputusan paling berat lelaki itu. Adakah patut dia menerimanya…


Ummi Syafiqa menutup lembaran failnya yang bewarna biru muda sambil kembali menyambung memasukkan data di dalam computer. Matanya melilau-lilau memerhatikan nombor-nombor yang cukup memeningkan kepalanya. Dia kemudian menggosok sedikit kelopak matanya yang berpisat-pisat pedih.

Interkom biliknya berbunyi. Dia menjawab tuntas.

“Ada seorang perempuan nak jumpa dengan cik. Tak buat appointment pun”, jelas Sheila gadis yang duduk di ruang reception. Mungkin pelanggan ataupun pembekal baru yang berminat agaknya, hatinya bergetus sendiri menyedapkan rasa gundah yang berperang letus di hatinya.

Perempuan itu bingkas bangun, membetulkan sedikit hijab bewarna hijau lumutnya kemudian berjalan pantas menuju ke ruang menunggu.

Disitu kelihatan seorang gadis manis, lengkap bertudung litup. Ayu benar wajahnya. Pakaiannya ringkas. Jubah sedikit kembang di bawah menunjukkan yang gadis itu sedang hamil, mungkin sudah memasuki enam ke tujuh bulan. Bertuah benar suaminya, mendapat gadis secantik itu untuk dijadikan isteri.

“Apa khabar, puan?”

Syafiqa menyapa kemudian menghulukrkan salam perkenalan. Gadis itu menyambutnya baik. Ulas bibir merahnya mengukir senyuman jelita.

“Boleh saya tahu nama puan?”
“Natrah. Natrah Syaida”

Syafiqa mengangguk faham. Kulitnya yang mulus membuatkan keyakinan perempuan bertambah kuat yang Natrah berkemungkinan berdarah campuran. Suasana senyap seketika sebelum Natrah kembali memulakan bicara.

“Boleh saya tahu hubungan cik dengan Amir Naufal?”

Syafiqa terdiam. Soalan yang ditebak Natrah begitu sukar hendak dijawabnya. Dia kemudian menghela nafas dalam-dalam, berfikiran rasional kemudian berkata perlahan.

“Amir Naufal? Amir Naufal yang bekerja di dalam wisma ini? Yang tinggi-tinggi, berkulit cerah, pakai cermin mata tu?”

Natrah Syaida mengangguk lembut. Bibirnya menguntum senyuman cantik.

“Kelmarin..saya nampak kakak dengan abang Amir..berdua di kafe”

Degupan Syafiqa bergetar kencang. Ya..kelmarin merupakan saat paling tidak boleh dilupakannya. Saat dimana dia, sebagai perempuan melamar seorang lelaki yang disukainya. Dia yakin, Amir Naufal mampu membimbingnya ke jalan yang diredhai Allah, walaupun caranya agak pelik di amalkan di kelompok masyarakat Melayu.

Satu yang cukup mengelirukan tentang cara gadis itu menegenal pasti Amir Naufal adalah tentang sebutan Abang dihujung katanya.

Entah-entah…

“Saya harap, apa yang diperkatakan ini takkan mengguris hati sesiapa ya, kak!”

Natrah Syaida berkata perlahan. Nafasnya kedengaran tenang dengan raut wajah bersih yang cukup meyakinkan Syafiqa bahawa Natrah ingin memperkatakan sesuatu yang serius.

“Amir Naufal..Amir Naufal yang kakak kenali tu adalah suami saya. Ayah kepada anak yang saya kandungkan sekarang ini”

Ketika itu juga apa yang ditakuti Syafiqa terjadi jua. Dia sukar menerima kenyataan itu sedangkan waktu dia melamar lelaki itu tempohari, Amir langsung tidak menunjukkan tanda-tanda yang dia adalah suami orang. Walaupun lamaran itu belum berjawab, tetapi Syafiqa tetap yakin Amir masih belum berpunya.

Dan tahu-tahu sahaja hari ini, seorang gadis yang sedang hamil mengaku bahawa Amir Naufal itu adalah suaminya…

“Saya harap kakak tak usahlah ganggu rumah tangga saya. Memang kami ada masalah sebelum ini. Biasalah dalam berumah tangga. Takkan tak pernah berselisih faham, kan?”, ujar Natrah tenang. Dia menghela nafas sebelum kembali menyambung lagi. “Saya memohon maaf kepada kakak jika Abang Amir tak menyatakan statusnya kepada kakak. Dan saya merayu sekali lagi, kita sama-sama perempuan harap-harapnya kakak mengerti perasaan perempuan lain.”, tuturnya lagi sekaligus bangun dari tempat duduknya, memandang wajah Ummi Syafiqa sekilas sambil tersenyum manis.

“InsyaAllah, jika ada kesempatan, kita akan berjumpa lagi”

Natrah Syaida berlalu dengan perasaan yang sangat puas. Selagi dia mengandungkan bayi ini, dia tidak akan membernarkan mana-mana perempuan cuba mendekati lelaki bernama Amir Naufal! Dia sudah terpaut kasih, menyulam cinta kepada Amir. Mustahil dia hendak melepaskan Amir begitu sahaja.

Dan lakonan pertamanya terhadap Ummi Syafiqa hanyalah sebagai suatu permulaan. Dan untuk Ummi Syafiqa, hatinya remuk sudah tidak boleh dicantum lagi. Tatakala kelihatan Natrah Syaida sudah meninggalkannya, dia sudah membuat suatu keputusan. Suatu keputusan yang serasakan sukar hendak dilaksanakan.

Meninggalkan tanah tumpah darahnya dan membawa gelora hati jauh dari sini…

**

Solat Subuhnya sudai usai dilengkapi doa-doa yang dipinta ke hadrat-Nya. Suaminya Iman Syakirin yang sedang duduk di atas kerusi roda, membacakan doa dengan perlahan, lalu di aminkan oleh Zulaikha Wirdani dengan penuh khusyuk dan tawadhuk.

Doa selesai dengan salam tulus si isteri kepada si suaminya.

Iman Syakirin menghela nafas. Ya…masanya sudah tiba.

“Saya ada sesuatu nak cakapkan kepada awak. Duduklah dulu”, pinta lelaki itu perlahan membuatkan Zulaikha Wirdani tidak jadi hendak bangun. “Apa dia, bang?”, perempuan itu bertanya, juga selembut suara suaminya.
Iman Syakirin menyungging senyum manis. Semanis ketika kali pertama pertemuan mereka di kafe Wisma dengan soalan Iman ketika itu tentang persetujuan nya tentang perkahwinan yang di rancang keluarga mereka.

Senyuman yang sangat dirindui Zulaikha. Senyuman yang sudah disimpan oleh Iman berbulan lamanya selepas lelaki itu ditimpa kecelakaan jalan raya.

“Zulaikha Wirdani..kamu telah menjadi isteri terbaik buat abang. Abang yakin, kamu sudah menjalankan tugas sebaik mungkin untuk lelaki seperti abang ini dan…”
“Abang tak perlulah nak mengungkit. Tanggungjawab saya, kan?”
“Abang mahu ceraikan kamu. Ceraikan kamu dengan talak satu!”

Dengan serta merta tubuh Zulaikha menggigil. Bibirnya bergetar.

“Apa maksud abang?”
“Ya..dengan ini, pada hari ini abang, suami mu ini akan mencerikan kamu dengan talak satu. Harap-harapnya kamu mendengar dengan sempurna”

Zulaikha menggeleng-gelengkan kepalanya tanda langsung tidak bersetuju. Tambahan pula tindakan suaminya bagai tidak masuk akal. Belum sempat perempuan itu berkata, Iman terlebih dahulu memintasnya.

“Abang buat bersebab. Abang tak mahu kamu menanggung derita. Abang tak mahu kamu seksa!”
“Tapi saya tak menderita langsung. Seksa apatah lagi! Tolonglah bang! Fikirkan dahulu!”
“Abang sudah fikirkan semasak-masaknya. Dan ini adalah jalan yang paling terbaik untuk Zulaikha!

Perempuan itu menekupkan wajahnya, dengan kilauan air mata jernih sudah merembes dipipinya. Kedengaran disebalik sendunya yang cuba ditahankan tentang persoalan mengapa suaminya sanggup melakukan perkara seumpama ini kepadanya!

“Kamu sendiri tahu bukan? Abang tidak menyentuh kamu sepanjang lima bulan perkahwinan kita. Kehadiran abang hanya akan menyusahkan kamu! Abang tak mahu lagi terus terusan menyusahkan kamu dengan keadaan lumpuh sebegini!”

Zulaikha terpempan. Langsung tidak terdetik di hatinya mengenai soal menyusahkan dan terbeban! Itu tanggungjawab. Susah senang ditanggung bersama!

“Abang..tolonglah..jangan..jangan buat begini pada Zulaikha”
“Abang tak mahukan simpati dari kamu, sayang. Kata-kata abang muktamad! Mungkin tiada sudah jodoh antara kita”

Benar. Kata-kata Iman Syakirin sudah tidak boleh di tarik kembali. Dan selepas dari kata-katanya itu, lelaki itu berlalu pergi, meninggalkan isterinya yang sudah tersedu sedan menangis.

Tangisan di atas keputusan yang tanpa sedar ianya juga merobek naluri lelakinya…

Adakah kamu harap, bahawa mereka itu akan beriman kepadamu dan sesungguhnya segolongan di antara mereka mendengar perkataan Allah, kemudian mereka ubah setelah difikirkannya, padahal mereka itu mengetahui

AL BAQARAH: 75

BERSAMBUNG..

Thursday, June 10, 2010

PROSA SEBELAS

Sebelum ini dalam Prosa Cinta Amir Naufal

Perkahwinan Zulaikha Wirdani dengan Iman Syakirin menyentap perasaan Amir Naufal sekaligus cuba menenangkan dirinya. Satu tragedi bakal menimpa pasangan pengantin baru itu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui



Perkhabaran pagi itu sangat mengejutkan.
Sangat mengejutkan sehingga menyebabkan salah seorang ahli keluarga kecil itu pengsan manakala yang lain memanjatkan doa bersilih timpa kepada Sang Yang Pencipta. Maha Pengasih juga Maha Penyayang.
Penemuan sebuah kereta remuk permukaannya yang terbalik terseret di jalan sebelum menghentam pohon besar berdekatan menjadi berita paling buruk diterima ahli keluarga itu.
Paling menyayat, mangsa dikhabarkan tidak sedar semasa kejadian ngeri itu malahan keadaan mangsa juga sangat menakutkan.

Dugaan Maha Besar. Suka atau tidak, manusia hina dina harus menerimanya, sekalipun ia pahit seperti hempedu yang harus dimamah.

Siapa yang sukakan kenyataan? Hakikatnya manusia memang mahu hidup dalam khayalan. Seperti dalam cerita-cerita dongeng. Namun, kenyataan jua sangat memeritkan.

Perkarangan Hospital Besar tidak sibuk pagi itu, walaupun satu kemalangan telah berlaku dan hampir meragut nyawa mangsanya. Satu keluarga tiba, empat jam kemudian dengan sepasang suami isteri yang berumur tua, anak perempuan mereka yang tampak sangat sugul dan seorang lagi wanita berusia yang berusaha keras untuk kelihatan tabah disebalik ujian yang menimpa itu. Selepas kereta diparkir, mereka berempat bergegas ke kaunter pertanyaan untuk ke wad pesakit yang dimasukkan empat jam tadi.

Si penyambut menyambut mesra, menenangkan seisi keluarga yang berduka nestapa. Mereka kemudian duduk setelah di arahkan di tempat menunggu dengan reaksi sabar memanjat doa. Ya. Ini ujian Allah. Terbuka atau tidak, mereka harus menerimanya sebagai kayu ukur muslim yang sangat dituntut dalam Islam.

“Sabarlah, nak. Allah itu Maha Mengetahui. Dia pasti punyai sebab mengapa Dia buat begini”, ujar si ibu mengusap lembut bahu anaknya yang terdiam membisu sedari tadi. Si anak diam. Bibirnya bergetar bacaan zikrullah yang tidak henti henti dibisikkan setelah mendengar perkhabaran buruk itu. Dia sabar, walau dinidngnya sedikit goyah apabila berita itu lolos ke dalam cuping telinganya.

Suami kamu kemalangan. Keretanya remuk teruk. Keadaannya kritikal!

Kata-kata itu cukup tajam menghiris. Cukup takut untuk didengar. Cukup pahit untuk ditelan. Mahu saja disuruh si pembawa berita mengatakan bahawa semuanya itu palsu. Bohong belaka. Khabaran busuk untuk menggoyahkan hubungan suci-rumahtangga yang baharu saja dibina bersama suami, Iman Syakirin yang mulai hendak dikasihi.

Menikmati saat indah manisnya cinta, sucinya kasih dan indahnya bahtera bersulam Islam dalam penghidupan suami isteri kelak.

Tetapi semuanya hancur. Lebur bagai dedebu pasir halus yang beterbangan tanpa arah. Tanpa disentuh sedikitpun dari suaminya, Iman menemui kecelakaan yang cukup dahsyat, langsung membuat nuraninya tersentap.

Ia bagai menyentak rambut dari kepala.

Rasanya sakit. Marah membuak dan keliru saling berperang tembak dalam hati. Namun, itu emosi. Permainan makhluk api yang menjadi musuh kaum Adam sehingga Kiamat. Dia pengsan seketika. Pandangan dunia seakan gelap. Nafasnya bagai lelah dalam situasi terdesak itu.

Dan dalam gelap memekat di dunianya sendiri, seakan ada cahaya hangat di balik malap mendinginkan itu, lantas dengan kekuatan yang diberi, dia menghela nafas mengucap istighfar mengingat Allah.

Astaghfirullah!
Astaghfirullah!
Astaghfirullah!

Lindungi aku dari bisikan syaitan, ya Allah

Dia bangkit dari saat gelapnya. Matanya layu saat memerhatikan bayangan detar depan mata melihatkan ramai penduduk kampung, wanita kesemuanya memandang kasihan padanya. Mengusap-usap bahunya. Mengucap sabar padanya. Memandang simpati padanya. Malah, memberi kata-kata semangat buatnya.

Dia hargai semua itu.

Lantas, dengan penuh kekuatan, dia melangkah jua di dalam Hospital Besar, dibalik zikrullah pengubat duka, dia hanya bersandar pada Allah.

Hanya Allah penemannya kini!

“Siapa Puan Zulaikha Wirdani binti Wafi?”

Kedengaran suara doktor muda lengkap dengan kot putihnya sambil membimbit papan klipnya di sisi. Tag namanya yang tertera Johan kelihatan bersinar terpantul di balik panahan kalimantang yang menyilaukan. Zulaikha Wirdani tersedar dari lamunan panjang sekaligus mengangkat tangannya perlahan. Seiisi keluarga memandangnya kasihan, tetapi Zulaikha cuba untuk menjadi kuat. Dia menghadiahkan semua satu senyuman melegakan buat semua.

“Boleh saya bercakap dengan puan sekejap”, bingkis doktor itu tadi langsung disambut dengan anggukan tidak ketara Zulaikha, kemudian mengikuti doktor muda itu ke satu sudut terpencil yang dipandang keluarga nya dengan penuh tandatanya.

“Ini berkaitan dengan suami puan. Encik Iman Syakirin”
“Kenapa dengannya?”

Wajah Johan nampak berat. Kesah benar nafasnya. Dia cuba menyelinap pandang pada keputusan di papan klipnya sekilas dan mengambil masa untuk menenangkan fikiran lantas memujuk hatinya agar wanita dihadapannya itu mampu menerima keputusan yang bakal diperkatakan nanti, diterima dengan hati yang redha terbuka.

InsyaAllah!

“Keadaan suami puan…”
“Kenapa dengan beliau?”
“Ada..ada kemungkinan beliau akan lumpuh seumur hidup!”

Zulaikha Wirdani tergamam. Mulutnya yang terbuka sedikit, dikatupkan pantas. Matanya tiba-tiba sahaja bergenang.

Ya Allah…
Tabahkan hatiku…

Mutiara jernih yang bergenang-genang itu mengalir lesu..


**

SEMINGGU BERLALU

Suasana petang semakin menginjak ke senja. Hembusan angin dari alat penghawa dingin semakin mengigit. Amir Naufal masih duduk di dalam Kafe Rumah Kampung sambil menikmati secangkir kopi kegemarannya. Sudah seminggu dia menanam hatinya dengan sabar berlipat kali ganda sejak pertama kali mendengar perkhabaran tentang perkahwinan Zulaikha Wirdani.

Sungguh.
Ia umpama belati menikam sanubari!

Dan sebagai muslim yang taat, dia bersabar seadanya. Dia tahu, pasti ada qadha dan qadar yang ditentukan oleh Allah subhanwataala. Dia yakin, semua itu punyai hikmah terselindung yang tidak diketahuinya.

Teguh pendiriannya sama juga teguh imannya.

Dia menghirup kopinya dengan tenang tatkala memerhatikan suasana Kafe Rumah Kampung yang mulai lengang dari pengunjung dan yang kelihatan hanya tiga orang pekerja kafe yang sedang sibuk mengemas ruangan dapur selain ada juga yang mengira hasil jualan pada hari itu.

Muncul di birai matanya kelibat seorang wanita cantik bertudung membawa secangkir kopi, sama hitam pekat sepertinya langsung duduk dihadapan menyungging senyum cantik.

“Encik Amir apa khabar?”, perempuan itu bertanya tanpa rasa malu. Matanya terkerdip-kerdip sambil bibirnya mengukir garisan lawa. Amir Naufal yang sekurang-kurangnya berasa sangat terkejut, mengangguk perlahan sambil mengamati wajah perempuan menawan di hadapan matanya itu.

Baharu dia sedar. Rupa-rupanya perempuan itu memang pernah dilihatnya sebelum ini. Perempuan yang menjadi penyelia praktikal Zulaikha Wirdani.

Perempuan yang bernama Ummi Syafiqa.

“Ummi ya? Ummi Syafiqa?”, soal Amir Naufal bertukar mesra. Ummi membalas dengan senyuman mengiyakan. Perempuan itu kemudian, dengan rasa malunya berkata perlahan.

“Tak sangka Encik Amir masih mengingati saya!”, bisiknya lemah lembut. Amir tersenyum nipis. Ummi Syafiqa bersuara lagi. Kali ini lebih santun. Penuh kelembutan.

“Sebenarnya, saya ada satu hajat. Satu pertolongan, kalau boleh ditafsirkan”

Amir Naufal kemudiannya memandang Ummi Syafiqa dengan pandangan penuh tertanya. Sambi mengerdipkan kelopak matanya berkali kali, dia dapat melihat bagai ada semburan merah menyala mewarnai kedua pipi gebu melepak perempuan itu.

“Sebenarnya..sebenarnya..”
“Ya..sebenarnya apa ya Cik Ummi Syafiqa?”

Berderau darah Ummi Syafiqa mendengar namanya dipanggil penuh. Nafasnya sudah tidak sealun dan seirama tadi. Jantungnya berdegup pantas. Dia cuba lapangkan fikiran. Niatnya baik. Allah memahami.

Dia hanya mengharapkan Allah akan membantu semua ini. Melancarkan segala-galanya..

“Saya berkenan dengan awak, Encik Amir. Saya ingin menjadikan awak suami dalam hidup saya. Melindungi saya dari sebarang ancaman lantas membimbing saya ke jalan yang diredhai Allah”

Amir Naufal tergamam. Matanya berkerdip dua kali tatkala melihat Ummi Syafiqa mengeluarkan sebentuk cincin emas putih dari dalam tas tangannya, lantas membuka kotak cincin itu, mempamerkan bentuknya yang halus seni ukirnya.

Pandangan lelaki itu bertukar ganti melihat cincin dan wajah berkilau Ummi Syafiqa menanti jawapan.

Allahuakbar!!!

Barang siapa mengerjakan amal soleh, baik lelaki atau perempuan sedang dia beriman, maka mereka itu akan masuk ke dalam syurga dan mereka tidak teraniaya sedikitpun
AN NISSAK: 124

Bersambung...

Thursday, June 03, 2010

PROSA SEPULUH

Sebelum ini dalam Prosa Cinta Amir Naufal

Tatkala kejahatan mula hendak berkuasa, Allah membantu hamba Nya dalam keadaan yang paling menyenangkan. Cinta tulus Natrah Syaida mulai berputik cambah terhadap pekerti Amir Naufal. Iman Syakirin mula memasang fatwa cinta terindah buat dirinya juga Zulaikha Wirdani

Pagi indah Jumaat. Mulianya hari ini dirasakan sejak fajar siddiq Subuh meremang-remang memperlihat nur nya yang gilang gemilang. Ketika pagi mula melembar sabda, beburung riang beterbangan dan tanpa jemu melempiaskan zikrullah pada sang Pencipta, maka atas Qada dan Qadarnya dua lambang jiwa bakal disatukan.

Disatukan atas tiang cinta, berlandaskan lantai keimanan dengan teras Islam berpaksi pada syahadah berbaris dua.

Di hening pagi, sesudah sang suria menganyam cahaya, menyimbah alam buana, rumah keluarga Imam Wafi mula dikunjungi dengan segenap penduduk kampung setelah dijemput oleh imam yang disegani itu. Mereka telah mengetahui berita gembira itu sejak berminggu lamanya.

Si dara pingitan keturunan Imam Wafi dan Wan Aminah akan diijabkabulkan dengan jejaka pilihan keluarga, molek budi pekerti, Islam bentuknya dan mampu mendidik dan membimbing si dara itu ke jalan yang diredhai Allah.

Majlis berlangsung dengan ringkas. Seringkas tuntutan Islam yang menuntut kesederhanaan dalam segala hal. Tidak perlu menunjuk, kerana Allah langsung tidak menyukai umatnya yang suka membazir malah akan jatuh riak juga takabbur.

Itu amalan syaitan.

Di dalam kamar. Kelihatan seorang gadis sedang berteleku diam di balik katilnya.

Zulaikha Wirdani merenung kejauhan di balik tirai jendelanya yang terbuka luas. Dari dalam bilik nya yang kecil, dia dapat memerhatikan kawanan burung berterbangan bebas di udara, sekelompok lalang ditiup lemah sang angin lesu selain pohon sena yang teguh berdiri, adakala bergegar sedikit dihentam ledakan bayu yang entah dari mana datangnya.

Hatinya bertolak kira sekarang. Resah dan bingung mulai menerpa saat diri hendak diijabkabulkan, menjadi suri di hati sang adam, sama seperti hari pertama lelaki yang bernama Iman Syakirin datang dalam hidupnya, menambah beban memijarkan lalu memilih sama ada mahu mengikuti kehendak hati ataupun mengikuti perintah ayah dan ibu yang dikasihi.

Anak mana yang mahu menghampakan kehendak ibi bapa. Sungguhpun ayahnya Imam Wafi tidak pernah bertanya tentang persetujuannya, dia sebagai anak, seboleh mungkin tidak akan pernah menghampakan kehendak kedua orang tuanya itu. Dalam hidup, apalah yang lebih penting dari keredhaaan ibu bapa? Biarlah hatinya luluh, terseksa luka, dia redha.

Mungkin Allah sudah tetapkan yang cinta hatiku kepunyaan Iman Syakirin. Bukan dengan lelaki yang menemukan jam tanganku, bukan lelaki yang menegur ku di premis pejabatnya, bukan juga lelaki yang ingin membeli Al Quran resam uthmani di Toko Al Khawarizmi.

Dan saat hati ini hampir dimiliki lelaki lain, Zulaikha Wirdani masih terkenang-kenang keberadaan lelaki itu. Siapa dia?

Adakah dia juga mempunyai perasaannya terhadapku?

Zulaikha Wirdani hanya memendam rasa tatkala memalingkan pandangannya ke arah cermin soleknya yang bersih, mempamerkan dirinya yang lengkap berjilbab, dengan rona hijau pucuk pisang yang sangat padan dengan kulitnya yang cerah. Sepasang matanya yang bundar dikerdip-kerdipkan beberapa kali, melihat tidak percaya dirinya yang dirasakan sangat cantik itu.

Dia menghela nafas dalam-dalam.
Wahai lelaki yang tidak ku kenali, andai bisa masa itu aku undurkan, aku mahu mengenali dirimu, mengetahui usulmu, menebak perasaanmu kepada ku.

Tetapi Takdir Allah sudah tertulis, kita mungkin tidak akan bersama…

Dari kejauhan, kedengaran kompang dipalu menandakan sepasang Raja Sehari akan disandingkan tidak lama lagi. Gadis bernama Zulaikha Wirdani itu hanya menjeruk rasa, menahan debar..

Pasrah…

**

Bulan terang.
Kelihatan seorang lelaki sedang berdiri teguh, merenung kejauhan malam di balik balkoni kondominum rumhnya. Perlip kota yang dilihat dari jauh dipandang sepi sementalah waktu berdetik pantas, dia langsung tidak menyedarinya.

Malah sahabatnya, Fahrul sudahpun masuk tidur lebih awal kerana untuk bersiap sedia dengan urusan kerja luarnya esok. Amir Naufal masih berdiri tercegat, menggenggam segelas cawan yang sudah kosong dengan air kopi kegemarannya.

Luluh hatinya mendengar perkhabaran Ummi Syafiqa yang entah mengapa tiba-tiba sahaja datang ke pejabatnya pagi tadi, menyerahkan sekeping kad bewarna merah jambu yang di dalamnya tertulis tulisan berkerawang bewarna emas yang mengagumkan.

“Datanglah ya. Pelajar praktikal saya melangsungkan perkahwinannya hari ini”, ujar perempuan itu riang langsung dia membuka kad serba harum ini dan melihat nama Zulaikha Wirdani tercetak betul-betul di tengah-tengah kad, bersama satu nama asing yang cuba diingatinya.

“Lelaki itu, adik lelaki saya”, pintas Ummi Syafiqa sopan sebelum dia mengangguk hampir tidak ketara, bagai tidak percaya ketentuan Tuhan berlaku dengan sangat tidak terduga.

Saat itu, benar benteng kesabarannya bagai tidak mampu bertahan. Bagaimana dua kali yang sangat menyakitkan, dua gadia yang disayanginya pergi dengan begitu sahaja tanpa langsung diberi peluang untuknya menabur sayang, melempiaskan kasih mahupun menganyam cinta.

Adakah ini balasan Allah atas dosa-dosa silamnya? Adakah dugaan ini hanya untuk menguji tahap keimanannya? Ya Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, aku yang hina ini memohon sekelumit ihsan padaMu. Berikanlah aku kekuatan yang utuh untuk terus bertahan. Kurniakanlah aku kecekalan yang tiada bandingnya. Ya.., hatiku sesal. Batinku merana. Tetapi aku tahu, tiap-tiap kejadianMu pasti diselangi dengan hikmah yang tidak terbayangkan.

Amir Naufal berserah dengan secubit perasaannya menyerah nasib jodohnya pada Allah…

Dia kemudiannya mengeluarkan telefon bimbit yang sudah seharian di silentkan sebelum menyemak dua puluh satu panggilan yang tidak berjawab dari Natrah Syaida, langsung membuatkan lelaki yang bernama Amir Naufal itu berfikir panjang..

**

Bulan malam merembang cantik, mempamer sinar gemilangnya di balik awan. Iman Syakirin meneruskan pemanduan menuju ke rumah keluarga mertuanya dengan lelah yang masih berbaki. Jelas, semua itu langsung tidak mematahkan semangatnya sekarang.

Sekurang-kurangnya, Zulaikha Widani sudah menjadi miliknya. Dan janjinya saat akad dilafazkan, malah tatkala kalam “sah” sudah disebut oleh saksi, dia mahu membina mahligai bahagianya bersama gadis yang dicintainya dengan penuh rasa cinta, kasih dan sayang.

Dia mahu buktikan yang kata-katanya dahulu bukanlah satu omongan kosong.

Iman Syakirin mula mengukir senyuman, dalam lelah seharian dia bergelar raja sehari. Udara berpenghawa dingin sengaja dimatikan tatkala tingakp kereta yang dipandunya dibuka sedikit, mendedahkan udara kampung yang sangat segar. Dia menghirupnya leka, sebelum rasa kantuk tiba-tiba menjelma.

Matanya terkatup sedikit.
Dia cuba menahan.

Udara menghembus nyaman.
Matanya terkatup lagi. Kali ini bagai tidak berdaya untuk dibukanya.

Dia langsung tidak menyedari kereta yang dipandu bagai hilang arah, malah lebih malang kelihatan dua biji lampu yang agak tinggi dari arah hadapan, kurang lebih tiga puluh meter darinya berkelap kelip bagai memberi arahan untuknya supaya berhati-hati, tanpa mengetahui, si pemandu sudah terpejam mata tidak sedarkan diri, dibuai mimpi indah membina keluarga bahagia idamannya.

Hanya Allah penentu segalanya…

"Diwajibkan ke atas kamu berperang, padahal itu tidak menyenangkan bagimu. Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui."
Al BAQARAH: 216


Bersambung

Thursday, May 27, 2010

PROSA SEMBILAN


Sebelum ini dalam Prosa Cinta Amir Naufal
Lamaran Iman Syakirin diterima baik oleh keluarga Zulaikha Wirdani. Hatta, Amir Naufal terperangkap dalam situasi genting, demi menyelamatkan maruah dan langkah terdesak Natrah Syaida kepadanya. Sesungguhnya, Allah Maha Penyayang.

Hujan gerimis makin bertambah lebat di balik tirai awan kirmizi yang sudah bertukar jingga itu. Jujukan kereta makin perlahan tatkala melihat beberapa anggota beruniform lengkap bewarna biru sedang memeriksa teliti setiap kenderaan yang melepasi mereka.

Naufal menghela nafas. Saat fikirannya mulai tepu dengan permintaan gadis disebelahnya yang dirasakan tidak masuk akal langsung!

“Boleh awak mengaku yang anak di dalam kandungan saya ini, anak awak?”

Ia berbentuk ugutan.
Kata-kata itu bagai berulang-ulang bermain-main di mindanya. Dia berpaling menghadap gadis itu seraya melihat wajahnya sedang tersenyum bagai lekas menyuruhnya membuat keputusan. Naufal kembali menumpu pada pemanduan.

Hanya Allah tempat dia berserah

Ya Ilahi.
Penguasa Sekian Alam
Aku mohon ihsan Engkau
Permudahkanlah dugaanku ini!

Naufal melihat, hanya satu kereta sahaja tertinggal dibelakangnya sambil gadis yang duduk disebelah lelaki itu menunggu kata muktamad Naufal dengan detar hati yang tidak keruan. Lantas, tidak semena-mena kedengaran seruan azan Maghrib dari corong radio yang terpasang di dalam kereta sejak dari tadi. Seruan Ilahi yang mendayu dayu berlagu menandakan muslim harus meninggalkan seketika urusan duniawi, membentangkan sejadah, menyucikan diri dengan wudhuk lalu berkeyakian mengangkat takbir dalam qiam yang sempurna.

Allah Maha Besar, Allah Maha Besar
Aku Bersaksi Tiada Tuhan Yang Disembah Melainkan Allah
Dan Aku Naik Saksi bahawa Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah

Kereta mereka melewati pemeriksaan. Dalam gerimis yang semakin melebat , cermin kereta diturunkan sedikit, mendedahkan susuk seorang anggota polis, berpangkat Inspektor. Raut wajahnya nampak baik, tetapi garisan-garisan bengis di balik rona nya membuatkan anggota itu nampak seperti seorang yang tegas.

Yusri, namanya.
Naufal menenangkan diri sebelum menyungging senyum. Gadis yang duduk disebelahnya juga diam, membisu seribu bahasa.

Namun, bagai ada sesuatu seolah-olah menghalang gadis itu untuk berkata-kata. Kedengaran seruan Yang Maha Esa berkumandang lagi syahdunya.

Marilah Menunaikan Solat!
Marilah Menunaikan Solat!
Mariah Menuju Kejayaan!
Marilah Menuju Kejayaan!
Allah Maha Besar, Allah Maha Besar!
Tiada Tuhan lain disembah melainkan Allah!

SubhanaAllah!
Mereka melepasi pemeriksaan itu dengan jayanya tanpa sebarang sekatan sekalipun langsung boleh menruskan pemanduan. Suasana senyap seketika sebelum kedengaran suara si gadis mula teresak-esak melirih tangis. Naufal mendengar dengan terkejut lantas mendengar saja butir kata gadis itu.

“Maafkan saya, encik! Saya sepatutnya sedar yang perbuatan khianat saya pada encik ini merupakan satu kesilapan besar!”. Dia menyeka air matanya pantas. Menahan sendu yang semakin memnggila di hujung kata. Naufal ingin bertanya, kesilapan apakah itu. Tetapi lewat ingin berbuat demikian, si gadis terus terusan bersuara lemah.

“Ternyata Allah melindungi encik. Saat saya ingin melakukan apa yang sudah di rancang di dalam kereta ini, sejak kali pertama saya menaikinya- ia ternyata tidak diredhai Allah. Lidah saya kelu tatkala azan Maghrib berkumandang!”, si gadis mengaku dengan jejeran air mata mengalir deras. Bahunya tersengguk-sengguk menahan hiba. Dia kemudiannya menyambung. “Dia memelihara kehormatan encik! Saat keinginan syaitan ingin dipenuhi, Allah tenyata lebih pantas melindungi hamba-Nya yang soleh! Maaf kan saya encik. Ampuni saya!”, si gadis menekup mukanya dengan suaranya yang hampir-hampir saja melolong kesedihan.

Naufal terdiam lagi, sebelum si gadis berkata-kata dengan suara serak perlahan.

Si gadis membuka ceritanya. Menyelak lapis demi lapis sejarah hidup. Bagaimana dia dibesarkan dalam ruang lingkup keluarga separuh Melayu separuh Belanda, bagaimana bebasnya hidup di kota metropolitan, bercampul gaul lelaki perempuan dengan rentak hati jiwa remaja. Bagaimana dia lupakan tiang agama yang sememangnya menjadi kewajipannya sebagai Muslim.

Sehinggalah dia bertemu dengan seorang lelaki Melayu, tempat dia menjalani latihan praktikal. Dia akui senang dengan lelaki itu, namun hubungan cintanya putus ditengah jalan lantas membawanya kembali ke jalan hitam, kembali semula pada tabiat sosialnya selesai tamat lathian industri, setelah pulang semula ke Belanda.

Dia mengenali Stephen. Lelaki Belanda yang gentleman. Sikap kelelakian itu membuatkan dia cair. Lelah terbuai, maka suatu hari yang tidak terduga, dia terlanjur.

Lantas, membawanya terus ke satu langkah akhir yang sangat terdesak, setelah Stephen tidak mahu bertanggungjawab atas sikap polosnya itu. Dia memujuk kembali kekasih lama yang ditinggalkan untuk menerimanya semula, tetapi lelaki itu enggan. Maka jalan terakhir yang dia pilih adalah dengan memerangkap seseorang.

Seseorang yang pantas untuk dijadikan ayah kepada anak yang dikandungnya.

Tetapi siapa boleh menduga, lelaki yang ingin diperangkap ternyata memiliki ilmu agama yang cukup kuat, dilindungi Allah, penguasa sekian alam!

Naufal mendengar luahan kata hati gadis bernama Natrah itu dengan khusyuk. Sekali dua dia mengangguk faham. Dia langsung tidak memarahi tindakan perempuan itu yang boleh dianggap sebagai sangat bodoh.

Mana-mana manusia akan sanggup melakukan sesuatu jika keadaan mereka terdesak tanpa memikirkan kesimpulan yang bakal mereka terima dikemudian hari. Apa yang penting, jika terjadi situasi seperti itu, kembalilah kepada ajaran Al Quran dan As Sunnah. Pulanglah ke pangkal jalan!

Dari kejauhan, kelihatan masjid bewarna kuning keemasan cantik disirami gerimis petang yang semakin kelam ditimbus rona malam yang mulai hendak membungkus.

“Kita solat maghrib dulu, ya. Setelah itu saya hantar awak pulang ke rumah. Apa-apa pun solat itu penting”, detik Naufal dan kemudiannya memandang wajah gadis bernama Natrah Syaidah buat pertama kalinya sejak mereka berada di dalam kereta.

Natrah langsung bertentangan mata dengan lelaki bernama Naufal itu.

Ada satu detus rasa yang sukar hendak digambarkan!

MasyaAllah!
Naufal segera mengalihkan pandangan. Memandu terus ke ruang masjid sebelum melemparkan senyuman nipis kepada Natrah yang entah mengapa tiba-tiba sahaja merona malu tatkala Naufal sudahpun meninggalkannya.

Oh Tuhan, Maha Pengasih, Maha Pengampun, alangkah elok ciptaan mu ini, Ya Allah! Sungguh ya Allah, aku sudah terpaut padanya. Pegangan Islamnya meluruh hati ini. Aku bernazar ya Allah bersaksikan masjid kubah emas ini, jika jodohku dengan lelaki ini, akan ku serahkan diriku pada-Mu. Taubat ku untukMu. Ku korbankan dunia ku. Sejahterakan akhiratku!

Natrah Syaida melirik senyuman dengan sangat cantik, mengaharap sinar di balik kegelapan silam yang sudah dilakukannya…

**

Suasana restoren tempat pertemuan pertama mereka kelihatan agak sibuk.
Dan kelihatan seorang gadis, menanti sabar sambil terhibur memandang gelagat manusia di kiri kanannya.

Zulakiha Wirdani menurut perintah ayahnya Imam Wafi yang sudah mengakhabarkan berita lamaran Iman Syakirin, adik lelaki kepada majikannya Ummi Syafiqa. Jujur, jauh dari lubuk sanubari, dia membantah lamaran itu.

Apakah mungkin dia menerima Iman yang langsung tidak dikenalinya?
Apakah pantas Iman mencintainya sepenuh hati?
Mampukan Iman membimbingnya lurus ke jalan yang diredhai Allah?
Menjadi ketua keluarga, pemimpin keluarga yang dituntut syariat?

Dan persoalan besar..mampukah dia menerima Iman dalam sebahagian dalam hidupnya setelah hati wanitnya sudah pun terpaut dengan seorang lelaki yang telah menemukan jam tangan bewarna emasnya, lelaki yang terlupa mengunci premis pejabatnya dan lelaki yang menawarkan senaskhah AlQuran resam Uthmani untuknya di toko’ Al Khawarizmi.

Lelaki yang bernama Amir Naufal…

“Wirda?”

Zulaikha Wirdani tersentak, lantas memerhatikan susuk tegap Iman Syakirin tsersenyum kacak di hadapan wajahnya. Dia membalas dengan senyuman nipis.

“Boleh saya duduk disini?”

Pelawaan Iman diterima baik mengambil kira beberapa pengunjung restoren kelihatan agak ramai. Mereka berdua diam seketika sebelum sirap limau yang dipesan gadis itu tiba lima minit kemudian.

“Saya minta maaf, kalau kedatangan keluarga saya tempohari mengejutkan keluarga awak”, Iman langsung memulakan bicara. Zulaikha kelihatan menghirup sedikit air yang dipesannya perlahan dan penuh santun. Dia kemudian membalas dengan senyuman.

“Tak ada apa yang perlu disesali. Keluarga saya sudahpun menerimanya”, jawapan si gadis ringkas. Iman mengangguk mengerti. Jauh di lubuk hati lelakinya, dia amat benar berharap yang gadis dihadapannya itu mampu menerimanya dengan lapang dada. Dia mencintai gadis itu sejak kali pertama mereka bertemu, lewat kunjungan Iman ke kedai kakaknya. Dari renungan mata bundar itu, dia langsung terpaut sayang, sekaligus ingin menjauhkan diri dari Natrah Syaida, bekas kekasihnya yang kini hamil dua bulan atas perhubungan bebas dengan lelaki asing.

Dia tidak mahu digelar dayus. Apatah lagi bacul!

Dia tidak mahu mengambil Natrah sebagai isteri lantaran perbuatan kotornya yang menjelikkan. Dia mahukan seorang wanita dan isteri yang layak dimuliakan. Layak diletakkan di tempat yang tertinggi setanding dengan Siti Khadijah ataupun Siti Aisyah.
Dia inginkan yang terbaik untuknya, untuk anak-anaknya.

Salahkah dia memilih hanya yang terbaik?
Manusia sentiasa mempunyai pilihan, dan pilihan itu membuatkan sama ada kita menyesal atau tidak di kemudian hari.
Dan pilihannya adalah yang sempurna.

Zulaikha Wirdani, akan ku tatang engkau umpama wanita yang layak dimuliakan. Ilmu agamamu aku sajung demi keluarga dan anak-anak kita. Kita akan sama-sama menempuh gerbang diredhai Allah atas lunas-lunas Islam. Berilah aku sedikit peluang untuk membuktikannya pada kau…

Sesungguhnya orang-orang yang taqwa, jika mereka disentuh oleh syaitan yang berkeliling, mereka lekas ingat, lalu mereka melihat (kebenaran)
AL-A’RAAF: 201

Bersambung..

Thursday, May 20, 2010

PROSA LAPAN

Sebelum ini dalam Prosa Cinta Amir Naufal
Natrah Syaida membuat pengakuan hitamnya, menyebabkan Iman Syakirin menolak cinta gadis itu. Perasaan kasih bersulam cinta suci lahir dari hati lelaki milik Amir Naufal telus untuk Zulaikha Wirdani lewat pertemuan mereka di Pustaka Khawarizmi. Namun, ketentuan Allah tiada siapa yang mampu menolak. Kerana Allah tahu apa yang terbaik untuk umatnya


Imam Wafi menutup Al Quran nya dari atas pengalas rehal kayu yang sudah berbelas tahun dalam simpanannya. Saat Quran disimpan, matanya tertangkap gambar keluarga kecilnya. Isterinya, Wan Aminah dan anak perempuannya Zulaikha Wirdani. Mengimbau kembali kenangan dua puluh tiga tahun sebelum kehadiran Wirda, anak perempuannya hatta bukti penyatuan cinta suci antara dia dan isteri tercintanya.

Tiga tahun mereka berkahwin. Tetapi langsung tidak dikurniakan dengan cahaya mata. Ikhtiar diusahakan. Mereka suami isteri mencuba dan terus mencuba sehinggalah suatu hari, dia bernazar ingin mengorbankan seekor qibas, membuat kenduri doa selamat jika isterinya, Aminah hamil. Alhamdulilah! Kuasa Allah Maha Esa. Isterinya hamil juga di tahun ketiga perkahwinan. Malah, sepanjang sembilan bulan sepuluh hari, Aminah mengandungkan bayinya, mereka berdua sudah menatangnya dengan penuh kasih sayang. Setiap kali solat, mereka akan mendoakan yang baik-baik buat bayinya.

Mengamalkan minum air bacaan Surah Yaasin sepanjang kandungan isterinya, malah menurut segala permintaan Aminah yang dianggapnya kebiasaan orang mengandung. Pernah sekali Aminah ingin benar makan Durian Belanda. Jenuh jugalah dia ke pekan mencari buahan itu.

Malah, jika ada kelapangan, dia sendiri akan membacakan Surah Maryam, Surah Yusuf juga Surah Luqman dengan lengkap tajwid, terjemahan serta tarannumnya. Dia tidak ambil pusing dengan semua itu. Apa yang dia mahukan, bayi yang akan dilahirkan Aminah, sihat lantas dilengkapi dengan jati diri Islam dan Muslim yang utuh, soleh, kamil dan berperibadi molek.

Tidak Islam pada nama sahaja.

Tanggal enam November bersamaan dua Ramadhan, tiga tahun selepas pernikahan mereka, seorang bayi perempuan berteriak nangis selepas si ibu menahan sakit perit melahirkannya. Lima minit selepas dibersih sucikan, anak itu diletak dipangkuannya dan dia yang bergelar ayah merenung penuh kasih. Menguntai sejuta sayang pada anak, darah dagingnya sendiri. Mengucup pipinya yang mulus dengan haruman bayi terus menusuk ke rongga pernafasan.

Airmatanya lekas hendak merembes. Mulianya ciptaan Allah atas seorang yang hina bernama manusia.

Betapa kau bayiku, sudah membuat sumpah pada Allah, di dalam rahim ibumu supaya taat akan perintah Nya sehingga nyawa kau ditarik Izrail entah bila masanya.
Dan aku, ayahmu berjanji mahu menentukan hidup kau, anak. Supaya kau tidak tersasar. Supaya kau tidak sesat. Supaya kau membesar menjadi insan yang dimuliakan Allah dan mati sebagai mukmin sejati. Kerana aku tidak selamanya menjaga kau, anak. Kau perlu berdikari untuk kelangsungan hidup. Malah kau, anakku tidak akan tahu buruk baik diluar sana yang mengerogoti jiwa kau hingga kau hilang cinta kasih sayang, perasaan merendah diri, sabar dan bijaksana akal dalam bertindak malah pendirian beragama bila badai cabaran menghumban ranap tembok keimananmu.

Dia masih mengenang saat manis, ketika isterinya terlena sambil dia memangku jasad kecil berkelubung dengan mata terkatup rapat. Alis kening bayinya, tebal berbentuk sepertinya. Alur bibir kecil merah yang mungil mengingatkannya kepada bibir Aminah yang mekar cantiknya. Dia menghembus nafas kelegaan. Permintaanya dikabulkan Allah. Nazarnya direstui Ilahi. Lantas dengan penuh tawadhuk, dia menghela nafas lantas mengalunkan bacaan Qamat untuk puteri kesayangannya.

Disini, aku patrikan kesaksian kau pada Pencipta semesta, Penentu segalanya, Penilai hati manusia. Disini, aku sematkan kesaksian Esa nya, Yang Maha Pemurah serta pesuruhnya. Aku ingati kepada kau bahawa menjaga Tiang Agama adalah satu rukun. Setiap lima kali waktu, kau harus sempurnakan tanpa ragu. Tanpa sangsi. Langsung tiada berbelah bahagi. Usahakan apa terdaya untuk mengecap nikmat kejayaan di fana dunia, jangan sampai kau khilaf dengan tugas menghadap Ilahi setiap kali. Sempurnakanlah kalimah, setiakanlah zikirullah, InsyaAllah urusan kau kelak dipermudahkan!

Lalu, bayi yang diberi nama Zulaikha Wirdani dibeasrkan dengan nilai Islamik yang tinggi. Moralnya dijaga elok. Hidup si gadis itu juga di tata dengan baik. Dan sepanjang dua puluh tahun anak gadisnya membesar di ruang lingkup penuh susila, dia yakin Zulaikha yang dijaganya, dididiknya, dimanjakannya bakal menjadi insan mulia, InsyaAllah.

“Abang!”

Sayup-sayup suara serak basah isterinya Wan Aminah mencantas ingatannya terhadap anak perempuannya. Dia berpaling, masih dalam duduk bersilanya dengan kitab suci Al Quran sudah tertutup di atas rehal kayu. Dia membalas dengan senyuman wajah bergaris tua isterinya yang sedang menatang dulang berisi teh O’ berasap dengan beberapa bingka ubi potong yang nampak sangat menyelerakan.

Imam Wafi bangun perlahan. Menahan sakit di tumit kakinya juga lututnya yang dirasakan haus itu. Dia meletakkan Quran berkulit merahnya dan rehal kayu di atas almari kayu sebelum berjalan dengan sedikit terincut-incut menuju sofa lembut, sebelum merebahkan tubuhnya selesa.

“Apa yang awak menungkan tu?”, Aminah mencelah sambil menunangkan teh O ke dalam cawan kaca sebelum menghidang potongan bingka kegemaran suaminya itu dihadapannya. Imam Wafi mengambil sepotong, menyuapnya ke dalam mulut sebelum mengunyahnya perlahan. Terasa lemak manisnya meresapi rasa.
“Saja. Teringatkan anak perempuan kita”, jawab Imam Wafi mendatar sebelum menghirup perlahan teh O sebelum meletakkan cawan di pinggir piringnya. Aminah mengungging senyum nipis. Kalau dah rindu tu, cakap saja bang, Budak tu baru balik tiga minggu lepas.

Dia menghirup teh O nya perlahan sebelum kedengaran di luar laman rumahnya bunyi kereta menderum masuk langsung membuatkan mereka suami isteri berpandangan sesama sendiri.

“Assalamualaikum!”
“Walaikumsalam”

Imam Wafi menyambut salam sambil dengan kabut terkocoh-kocoh menuju ke muka pintu diiringi Wan Aminah yang nampak tertinjau-tinjau. Kelihatan sebuah Kia Spectra bewarna putih tersadai di laman rumah mereka sebelum diikuti dengan seorang wanita dalam lingkungan lewat tiga puluhan dan seorang lelaki yang nampak lebih tua dari perempuan itu.

“Ada apa halnya, nak?”, Imam Wafi turun dari rumahnya, kemudian bersalam mesra dengan si lelaki yang tidak dikenali berwajah mesra menyenangkan. Isterinya juga menyambut perempuan pertengahan umur yang memperkenalkan dirinya sebagai Ummi Syafiqa, majikan tempat Zulaikha Wirdani menjalani latihan praktikalnya. Mereka kemudiannya duduk di atas sofa, berbual mesra sebelum Wan Aminah menuangkan air teh O kepada dua lagi tetamunya.

“Oh..saya hampir terlupa. Perkenalkan lelaki ini, pakcik saya. Abdul Raif namanya”, Ummi Syafiqa memperkalkan pakciknya kepada kedua suami isteri itu. Abdul Raif mengangguk mesra sebelum menghirup teh O dengan senang.

“Saya datang ke sini membawa tujuan. Tujuan baik”

Imam Wafi tersenyum keliru sebelum memandang isterinya yang berwajah serupa, jelas tidak faham pernyataan Ummi Syafiqa.

“Tujuan baik?”
“Ya. Menyatukan dua hati, membina masjid yang dituntut dalam Islam”

Suami isteri itu tersenyum penuh makna. Bagaikan mengerti, Imam Wafi bertanya lembut. “Siapa calon nya?”

Giliran Ummi Syafiqa mengukir senyuman cantik. “Adik lelaki saya. Iman Syakirin”

**

Amir Naufal merembat kunci kereta dari atas meja kerjanya. Jam sudah hampir ke pukul enam setengah petang. Dia mengunci premis pejabatnya dengan pantas sebelum meluru ke tangga berdekatan, menuruninya cepat dan kemudian berlari pantas ke arah kereta yang diparkirnya di bawah bangunan Wisma Hidayah. Dia masuk ke perut Saga S.E nya lantas memanaskan enjin dengan sabar.

Tiga minit berlalu sebelum membalas pesanan ringkas rakan serumahnya, Fahrul yang memintanya untuk membelikan Nasi Lemak Sambal Paru di Kedai Mak Limah, yang terletak di hujung jalan Wisma Hidayah. Terbayangkan seketika keenakkan Nasi Lemak Berlauk Mak Limah yang sangat terkenal dikalangan pelanggan. Dia kemudiannya menekan clutch lantas menolak gear sekali dengan pedal minyak sebelum Saga S.E miliknya menderum membelah keheningan senja yang sudah memuntahkan gerimisnya.

Dia melewati papantanda tulisam jawi Wisma Hidayah sebelum kelihatan seorang wanita disebalik cermin berbintik berairnya yang tersedu sedan menangis di perhentian bas berdekatan dengan bangunan wisma itu. Naufal lekas mempedulikanya dan apabila kelihatan gadis berbaju kurung sedikit basah itu menghempaskan telefon bimbitnya ke atas jalan, sehigga melantun mengenai bumbung keretanya, lelaki itu lekas memakirkan kereta ke tepi jalan sebelum meluru keluar memerhati tindak tanduk perempuan itu. Hatinya bagai diburu kebimbangan.

“Cik tak apa-apa?”

Gadis itu menangis semahu-mahunya. Baju kurung yang dipakainya lembap bagai dipercik air. Dia langsung tidak memandang wajah Naufal malahan rambutnya yang perang sedikit dihujungnya kelihatan menutupi wajah sedihnya itu.

“Boleh hantar saya balik rumah?”

Suaranya bagai tersekat di hujung kerongkong. Naufal mengangguk lemah dan selepas gadis itu menuju perlahan ke keretanya, dia membuka pintu Saga perlahan sebelum Naufal memandu, membelah rintik gerimis yang semakin lebat dicelah kepulan mendung yang bertambah gelap.

Agak lama mereka berdiam diri. Mengunci mulut enggan memulakan kata-kata. Namun, sebaik sahaja tiba di sebuah billboard perabot Lorenzo, Naufal memulakan situasi dingin antara mereka.

“Saudari duduk di mana?”
“Ampang”
“Kenapa saudari menangis tadi?”
“Itu bukan urusan awak! Saya takkan rela menceritakannya kepada sesiapa pun!”

Naufal senyap, bagai tersentap dengan jawapan si gadis yang pada anggapannya dirasakan baik itu. Dia memandu lagi melepasi papantanda This is CELCOM territory sebelum keretanya mendaki bukit yang agak tinggi.

“Awak boleh tolong saya?”
Soalan di gadis membelah ingatannya yang mula hendak mengenang perihal gadis bernama Zulaikha Wirdani. Dia menoleh sedikit ke arah raut terganggu gadis berambut perang itu sedikit sebelum mengangguk tidak ketara.
“Apa dia?”

Gadis itu mengukir senyum manis, mengangkat wajahnya sambil memandang roman lelaki disebelahnya dengan penuh pengharapan.

“Boleh awak mengaku yang anak di dalam kandungan saya ini, anak awak?”
“Apa? Apa awak cakap ni?”

Gadis itu tertawa mengekeh. Selingan di radio mengatakan yang masuk waktu Maghrib sudah hampir lima minit sahaja lagi. Naufal hampir saja melepaskan stereng keretanya dan tertekan sedikit brek kereta. Mereka hampir sahaja terdorong ke hadapan.

“Saya cakap, saya nak awak mengaku yang anak di dalam perut saya ini adalah anak awak. Awak adalah bapa kepada anak yang saya kandung ini!”

Pandangan Naufal bagai berpinar. Ya Allah…dugaan apakah ini? Nafasnya sesak sebelum memandang tidak percaya gadis yang baru ditolongnya tadi. Permainan apakah ini?

Gadis itu menyambung lagi. Suaranya berdetar. “Lima puluh meter dari sini akan ada pemeriksaan polis. Pemeriksaan biasa. Lesen, kad pengenalan dan pelekat kereta. Jika awak tak berikan sebarang keputusan, saya takkan teragak-agak beritahu mereka yang awak nak menculik saya dan nak menjual saya kepada sindiket pelacuran!”

Ugutan si gadis semakin membuatkan fikiran Naufal buntu. Dan seperti yang dijangkakan si gadis gila itu, dari jauh kelihatan beberapa individu berpakaian seragam bewarna biru gelap sedang berjalan mundar mandir, memeriksa dengan telus selain jujukan kereta yang dipandu sangat perlahan, seboleh mungkin tidak mahu melanggar peraturan.

“Awak ada masa untuk berfikir”, jelas si gadis kejam sambil meraup rambut perangnya kebelakang. Namun, jauh di lubuk sanubarinya, dia terdesak. Setelah kekasih menolak permintaaan untuk menjadi bapa kepada anak yang dikandungnya beberapa minggu lalu, dia seolah-olah tidak mempunyai pilihan. Dia terdesak. Dan perut yang semakin lama semakin membesar sangat menakutkannya.

Dalam hati yang digerogoti cinta nan pilu, Natrah Syaida terpaksa membuat pilihan yang sangat terdesak. Dan kereta mereka semakin menghampiri ke kawasan pemeriksaan polis…

Janganlah engkau palingkan pipi (muka) engkau terhadap manusia, (kerana sombong) dan jangan berjalan dimuka bumi, dengan sangat gembira. Sesungguhnya Allah tidak mengasihi tiap-tiap orang yang sombong lagi bermegah-megah

LUQMAN: 18

BERSAMBUNG

Thursday, May 13, 2010

PROSA TUJUH

Sebelum ini dalam Prosa Cinta Amir Naufal
Ummi Syafiqa lelah mengulit kisah cinta silam dengan Khusairi lantas membina tembok benci kepada sang Adam. Iman Syakirin mendapat khabar menakutkan dari Natrah Syaida dan Amir Naufal bertemu kembali dengan Zulaikha Wirdani tanpa disedari lelaki itu, seseorang sudah jatuh hati pada perilaku penuh budinya..


“I takkan bertanggungjawab! You kena tahu itu. You buat, you berani tanggung!”, deram Iman dengan wajah merah padamnya sudah merona di muka. Dipandangnya Natrah Syaida dengan pandangan menghina. Gadis itu sudah bercucuran air matanya. Dia kemudiannya bangkit, menghambat kolar baju Iman, kembali merayu dengan esak tangis yang memilukan.

“I tahu bukan you bapa budak ini. Tapi please Iman! You saja peluang yang I ada!”
“Peluang? Peluang supaya you boleh memperguna-gunakan I ya? Bodoh-bodoh kan I supaya mengaku budak dalam perut you tu anak I?”
“Bukan..bukan! I harap you faham..I..”
“You tak usah berdolak dalih lagi Natrah! I do love you. Tapi ini yang you lakukan pada I?”
“I janji I akan berubah lepas kita kahwin nanti! I tak mahu budak ini lahir tanpa ayah! I tak mahu tanggung malu, Iman. Please Iman..please sayang!”

Iman Syakirin meludah ke lantai. Geramnya membuak-buak meresap menggelegak hingga ke kepala otak. Dia menjauhkan diri dari mendekati perempuan itu. Dia menggeleng-geleng perlahan.

“Tidak sama sekali! Itu bukan anak I!”
“Please Iman! I am begging you!”

Gadis itu terduduk kembali di atas lantai gudang-tempat pertemuan rahsia mereka. Sudah tidak punyai kekuatan lagi untuknya merayu. Pertama kali dia menerima perkhabaran itu, dia masih di Belanda. Tiga minggu lamanya dia menanggung sesal akibat pergaulan bebasnya dengan Stephen. Dia mengkhabarkan berita itu kepada Stepehen yang seterusnya mengambil jalan mudah dengan melarikan diri ke Itali pada keesokkan harinya!

Sumpah, dia menyesal. Seharian dia menanggung beban. Malu berhadapan dengan ahli keluarganya yang sentiasa mahukan yang terbaik dalam hidup lantas tanpa berfikir panjang, dia membawa diri kembali ke Malaysia, mencari kekasih lamanya Iman Syakirin untuk merayu lelaki itu untuk menerimanya kembali. Menerima dalam keadaan yang sudah tidak suci lagi.

“I boleh terima you. Tapi you gugurkan anak itu!”, Iman bersuara parau lantas mematikan lamunan panjang Natrah yang kemudiannya bangun tiba-tiba langsung memandang wajah lelaki itu tertanya-tanya. “Apa..apa yang you cakap tadi?”
“You gugurkan kandungan tu. Baru I boleh terima you!”
“No. I will not! Iman you can’t do this to me!”
“Then..Go to hell!”

Iman berlalu pergi meninggalkan Natrah Syaida dengan hati dingin tidak berperasaan..

**

Pustaka Al Khawarizmi tidak pernah sunyi dengan kunjungan pelanggan yang mahukan buku-buku islamik dan berjalurkan motivasi. Terletak di tingkat tiga Wisma Hidayah, Pustaka Al Khawarizmi membekalkan banyak bahan bacaan yang berpatutan harganya dan mampu dibeli oleh orang ramai. Amir Naufal merupakan salah seorang penggemar buku-buku disitu. Pemiliknya seorang lelaki berusia yang pernah tinggal di Indonesia dan Singapura. Jadi tidak hairanlah jika pilihan bacaannya pelbagai.

Minggu lepas dia baru sahaja berkesempatan membeli karya agung Hamka berjudul “Tenggelamnya Kapal Van Der Wick” sebelum terbuai dengan pembacaan separuhnya tentang sebuah puisi arab karya pujangga terkenal Fateh El Akhbar yang sehingga kini masih belum habis bacanya. Sesekali kepalanya inginkan bacaan ringan juga. Asyik terkurung menghadap skrin komputer dan kiraan-kiraan graf yang sungguh menyakitkan kepala.

Seperti badan, fikiran juga perlu direhatkan. Bukan hanya dengan tidur, tetapi juga dengan bacaan ilmiah-ilmiah yang lain, langsung membikin fikiran tenang. Dia menuju ke arah seleksi pilihan kitab-kitab yang menarik untuk dibelek tengok. Nalurinya tiba-tiba tertarik dengan sebuah Al Quran resam Uthmani yang ditulis khat yang sangat cantik. Di dalamnya tersusun makna dalam bahasa Melayu dengan sangat jelas dan mudah difahami. Dia mula membaca dengan senyap baris-baris mengagumkan Al Quran-kitab suci peninggalan Nabi Muhammad S.A.W kepada umatnya.

Bismillahirrahmanirrahim
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih, Penyayang

Baris pertama Surah Manusia diterang dengan “Katakanlah (ya Muhammad): Aku berlindung kepada Tuhan yang mendidik Manusia”. Baris keduanya bersambung selepas titik memperjelas “Raja Manusia” langsung ke ayat ke tiga “Tuhan Manusia” lalu..

“Saudara”

Bacaannya terhenti.

Naufal berpaling kebelakang sebelum jasadnya tiba-tiba sahaja merasa kaku tidak bersebab. Kelihatan satu wajah yang sangat dikenalinya. Wajah yang mula berputik malah dikenangnya setiap malam. Suatu raut yang memberinya inspirasi untuk terus kekal hidup lalu merancang mahu bahagia dengannya.

Zulaikha Wirdani. Alangkah indah ciptaan Allah padamu. Tahukah dikau bahawa aku sangat kasih padamu? Tahukan engkau, jiwa lelaki ku meronta-ronta untuk sehidup semati denganmu? Aneh bukan? Kita langsung tidak pernah kenal mengenal dengan lebih lanjut, maka pertentangan mata ini sudah cukup membuatkan hatiku terpaut padamu!

“Saudara? Saudara mengelamun ke?”

Amir Naufal tersedar dari lamunannya yang dirasakan sudah terbang melayang entah kemana. Cepat-cepat jiwa anak muda itu berselawat, beristighfar semahu-mahunya. Lekas benar syaitan memperdaya pandangannya itu.

MasyaAllah! Astaghfirullahalazim! LailahaillAllah!

“Minat dengan kitab ini?”

Zulaikha mengangguk sambil tersenyum. Entah apa yang difikirkan lelaki itu, hati gadisnya sukar menebak. Dia keliru adakalanya, setiap kali bertentang mata dengan lelaki itu, hati Zulaikha bagai berdegup-degup berdebar. Dia tahu itu permainan syaitan. Dia cuba menahan godaan makhluk keji itu.

Tetapi semakin mindanya ingin melupakan, ingatan demi ingatan menerjah tidak rela, muncul dalam detaran dan seringkali hadir dalam mimpinya. Kemuncaknya bila lelaki itu sendiri menegurnya di hadapan Butik Ayu-tempat dia praktikal, kepunyaan majikannya Ummi Syafiqa.

Mereka saling bertukar-tukar nama. Walau Takdir sudah tertulis yang dia tidak mengetahui nama lelaki itu.

Seketika mata mereka berpandangan lagi, sebelum Naufal memulakan langkah bicara.

“Wirda mahukan kitab ni, ke?”

Polos saja soalannya. Zulaikha Wirdani mengangguk perlahan sebelum Naufal menghulurkan Al Quran berterjemah itu kepadanya. Gadis itu menyambutnya lekas sebelum membisikkan ucapan “terima kasih” kepada lelaki itu.

Pantas dia berlalu pergi, menghindarkan rasa malu gadisnya menerpa tatkala keinginan hati mahu benar bertanyakan empunya nama. Adakah ini cinta pandang pertama? Jika benar hatiku sudah terpaut padanya, apakah benar perasaanku ini kepadanya?

Ya Allah. Jangan biarkan hatiku membutakan pilihan, lantas aku tersasar dari hidupku

Gadis itu bermain-main dengan persoalan-persoalan berat menghentam minda. Benarlah sesetengah kata bijak pandai. Hubungan itu sukar perjalanannya. Payah hendak menyelaminya.

“Zulaikha ?”

Dia terdiam sekejap mendengar namanya dipanggil, lalu berpaling dalam kesesakan ramai itu, berharap si lelaki idaman hati tadi yang cuba memanggilnya semula.

Telahannya silap!

Kelihatan majikannya, Ummi Syafiqa dengan tiga naskhah majalah perkahwinan sudah tersisip di tangan, nampak melambai mesra kepadanya. Gadis itu tersenyum nipis sambil ekor matanya melilau-lilau mencari kelibat lelaki itu.

Tetapi, hampa!

“Ummi ada sesuatu yang hendak diberitahu kepada Zulaikha”

Tenang saja air muka majikannya. Gadis itu mengangguk setuju sebelum Ummi Syafiqa membawanya ke satu sudut bersofa di dalam Pustaka Al Khawarizmi sebelum mempelawanya duduk. Seketika kemudian, Ummi Syafiqa menggenggam erat jari jemari Zulaikha dan gadis itu dapat merasakan sesuatu yang tidak enak bakal berlaku.

“Begini..bagaimana mahu mula ya..”
“Ummi cakap saja. Saya mendengarnya”
“Kalau begitu baiklah..Minggu depan keluarga Ummi nak menghantar rombongan merisik Zulaikha. Merisik Zulaikha untuk adik Ummi, Iman Syakirin”

Sungguh! Nafas gadis itu bagai tersekat dihujung kerongkong. Pandangannya digagahkan untuk melihat susuk Ummi Syafiqa dengan nyata dan pendengarannya juga dijelaskan supaya dia tidak tersalah dengar! Ummi Syafiqa nampak tidak berbohong! Malah air mukanya sudah membayangkan yang dia telah menerima lamaran itu dengan lapang dada.

“Percayalah. Iman boleh membimbing Zulaikha ke jalan yang diredhai Allah”

Zulaikha Wirdani bungkam kesenyapan…

Jadilah engkau pemaaaf dan serulah orang yang mengerjakan makruf serta berpalinglah daripada orang yang bodoh

AL A'RAF: 199

BERSAMBUNG

Thursday, May 06, 2010

PROSA ENAM

Sebelum ini dalam Prosa Cinta Amir Naufal

Amir Naufal akhirnya menemukan penyembuh jiwa dan tika usai solat Zohor empat waktu, menghadap Allah, Maha Pencipta, rawak lelakinya dirobos oleh Ummi Syafiqa, wanita lewat tiga puluhan yang selama ini membenteng ego kerana cinta palsu sang Adam


Maghrib berlalu tenang. Syafiqa masih duduk di atas sejadah, lengkap dengan persalinan solatnya sambil tidak henti-henti memuji Maha Pengasih. Dialah Pengampun, Penyayang, Pemurah dan segala-gala yang langsung tidak mampu terbayang dek fikiran norma manusia yang hina dina, cacat celanya.

Pada Yang Esa, Syafiqa sentiasa mendoakan yang terbaik buatnya. Kesihatan yang elok, rezeki yang halal juga dipermudahkan selain dugaan hidup yang selanjutnya menambah keimanan di dada. Pada adik lelakinya, Iman Syakirin, dia turut memohon kesejahteraan. Teguhkan tiang imannya. Laras sabarnya. Pintu nikmat kesenangannya malah juga suratan jodohnya.

Moga jodoh kau bertemu dalam tuntut hati sabar menanti, dik!

Dia bangun. Menghimpunkan tenaganya untuk kembali sebagai khalifah, berusaha untuk meningkatkan taraf hidup, berikhtiar menjadi manusia yang berjaya selain senantiasa berdoa tawakkal kepada Allah moga segala-galanya berjalan dengan lancar.

Manusia. Kita hanya mampu merancang. Allah jua penentu segala-galanya..

Dia melipat sejadah dan telekungnya kemas. Mengiraikan rambut hitam lebatnya yang lembab sebelum mengikatnya ekor kuda. Kelihatan di hujung rambutnya yang bercabang sedikit warna putih firasat uban sudah mula tumbuh.

Jelas, dia tidak harus menipu apabila melibatkan soal hati dan perasaan juga usia. Ya, kalau sekarang umurnya masih dua puluh tiga, dia boleh membohongi dirinya. Dia boleh katakan yang dia masih belum bersedia untuk berkahwin. Belum berkeinginan untuk membina bahtera bersama, berdua menuju syurga.

Kalau umurnya masih dua puluh tiga!

Tetapi, menjelang November ini, usianya bakal menjejak tiga puluh enam tahun! Memang harus dia bimbang dengan peningkatan usia selain tiada sang Lelaki menjengah sudut gelap malap yang kian lama ditinggalkan.

Kali terakhir, cinta hatinya bersemi dengan seorang jejaka bernama Khusairi, lapan tahun yang lalu. Khusairi ditatang bagai jiwa yang sangat suci. Menjaga sekelumit perasaan lelaki itu dengan penuh rasa. Saat cinta semakin subur, Syafiqa dikejutkan dengan perkahwinan tiba-tiba Khusairi.

Dia masih ingat lagi saat itu.

Saat hujan petang di pejabat Butik Ayu yang masih beribu pejabat di Plaza Hayat, dua kilometer dari Wisma Hidayah, pejabatnya sekarang. Dia menerima sekeping kad jemputan. Dia masih dapat membayangkan warna ungu lembut kad wangi itu selain corak berkerawangan emasnya yang nampak mewah.

Dihadapannya tertera nama kekasihnya. Khusairi Abu Hasan bersama pasangannya Ita Dayanti Sari Dato’ Osman Hamzah.

Dia kenang lagi peristiwa runtun itu. Saat kad ungu wangi itu masih berlipat kemas, setelah ditutupinya dengan tidak rela, dia kembali semula ke tempat duduk selesanya di ruang pejabat itu. Duduk senyap. Kemudian memandang cuaca mendung di awan sambil buminya sudah basah ditimpa hujan lebat.

Tanpa sedar, entah berapa lama agakanya..air mata wanitanya tumpah jua. Tumpah mengenang sikap polos seorang lelaki. Saat hiba itu tiba-tiba hadir di ruang kecil pejabatnya, sambil duduk melunjur kaki lantas memandang hujan mencurah-curah di luar, fikirannya lekas terbayang nuansa indah bersama Khusairi. Tawa mesranya. Letak lesung pipitnya manis. Redup pandangannya dan ulas bibirnya yang mudah benar tersenyum.

Semua itu hilang tatkala Khusairi mengahwini wanita lain. Dan selepas seminggu lelaki itu berkahwin, dia dengan sendirinya datang ke pejabatnya, dengan mudah meminta maaf. Konon dia sibuk. Konon dia tak ada masa memperkenalkan Ita kepadanya.

Alasan jumud!. Dangkal pemikiran seorang lelaki mahu mencari alasan untuk putus!

Kenapa tak kau kabarkan saja yang usia ku sudah lanjut waktu itu. Iya Khusairi!. Aku sedar. Waktu itu, kau muda empat tahun dari aku. Nah! Kau bandingkan saja aku dengan Ita. Dia sempurna buat kau. Cantik. Sepadan. Aku ini?
Pandangan kau, bukan? Ita itu ibarat dewi!

Hanya itu sahaja pelepas marahnya. Dalam hati dia membuku rasa. Jujur dia tidaklah sekejam itu untuk menghambur benci. Buat seketika, Khusairi memandang wajahnya buat kali terakhir sebelum berpesan. Satu pesanan yang ingin saja dihumbankan ke ruang angkasa, biar tiada siapa-siapa yang mahu mendengar.

Saya anggap awak sebagai kawan saja. Tak lebih tak kurang. Saya yakin, awak pasti bertemu jodoh yang sepadan.

Lelaki itu meninggalkannya dengan raut senyuman bertompok alur lesung pipit menawan. Jujur. Hatinya robek. Koyak mendengarkan baris kata penyelamat itu.

…anggap sebagai kawan..

Mengapa kau sanggup bersusah payah menghantar aku ke hospital semasa aku diserang asma? Mengapa kau bersungguh benar mengajak aku menonton wayang setiap kali kita keluar membeli belah, walaupun kau tahu aku tak suka menonton wayang? Mengapa kau hadiahkan aku dengan buku-buku kegemaran aku, tanpa sedikit pun aku hendak meminta-minta? Mengapa kau tahu makanan kesukaan aku? Warna kegemaran aku? Mengapa kau melayan aku dengan begitu baik sehingga kau membenarkan aku jatuh cinta, terpaut rasa kasih pada kau?

Mengapa mudah berkata “sebagai kawan” sedangkan aku sudah menganggap kau lebih dari itu? Mudah kau berkata. Perit jua aku tanggung derita, Khusairi!

Adakah itu namanya lelaki, Khusairi? Mudah mempermainkan perasaan halus wanita dengan sifat mengambil berat, bertanya khabar, memuji kecantikan atau keluar bersama berdua?

Kalau benar aku naïf, Khusairi, mengapa kau tidak melayan aku selayaknya. Kawan! Alasan terdesak untuk lepas bebas dari aku yang sememangnya tidak cocok buat kau!

Syafiqa menanggung sebal berbuku di dada. Mengenang semula cinta lama tak kesampaiannya dengan Khusairi. Lelaki itu meninggalkannya dalam nanar membusut bengkak. Utuhnya pada lelaki juga bagaikan angin berpiung-piung di tengah padang pasir gersang. Lantas, untuk tahun mendatang buatnya, dia bertekad langsung tidak mahu percayakan kaum Adam.

Negatifnya sudah merebak mempengaruhi positif. Semuanya sama! Asal cantik di mata, lawa jugalah di hati. Manis berkata di bibir, manis jugalah nawaitu jiwanya. Adakah itu nilai seorang lelaki seperti Khusairi mengukur wanita?

Lalu wanita seperti aku ini, mana penyudahnya?

“Kak. Berangan apa tu?”

Suara nakal Iman Syakirin menerjah gegendang telinganya. Syafiqa sedikit terkejut sebelum menyedari susuk adik lelakinya yang lengkap berkopiah putih muncul di birai mata. Dia kemudian memandang persalinan telekung dan sejadah yang masih terlipat kemas di celah tangannya.

MasyaAllah..Jauhnya aku mengelamun!

Perempuan itu kemudiannya meletakkan telekung dan sejadah di atas para kayu di biliknya sebelum membuka luas pintu biliknya yang ditutup sedikit tadi semasa menunaikan solat Maghrib.

“Kakak dah makan?”
“Belum”
“Mari lah ke dapur. Tolong Iman masak”

Ummi Syafiqa tertawa kecil. Sifat dan perangai adik lelakinya masih melekat manjanya. Tak ubah walaupun ibu bapa mereka sudah meninggal dunia sepuluh tahun yang lalu.

“Kau ni,manja betul! Macam budak-budak!”, sindir perempuan itu dengan senyuman masih terukir di bibir. Iman tersengih kelat bagai mengejek semula.
“Kau bila nak kahwin ni?”, Syafiqa masih menembak, sebelum air muka adiknya bertukar senyum meleret. Pantang kalau aku cakap pasal kahwin!
“Iman tunggu kakak kahwin dulu. Iman ni, bila-bila boleh kahwin!”, angkuh budak lelaki itu, yang ketika ini sedang mencuci beberapa biji bawang kecil dan bawang putih sambil kelihatan kakaknya sedang membuka peti sejuk, mencari beberapa bahan mentah untuk dimasak. Seketika kedengaran hembusan nafas Syafiqa sebelum Iman memandang kakaknya dengan pandangan sedih kasihan.

“Siapalah nak dekat kakak ni, dik? Umur pun dah tua. Cantik pun tidak”, lemah mersik suara Syafiqa tidak seceria tadi, lantas terus mengingatkan nya semula kepada Khusairi, si pencuri hatinya. Iman menghela nafas panjang. Membiarkan seketika bawang-bawang yang sudah dibasuhnya sebelum menghampiri ke arah kakaknya lantas memaut tubuh kakaknya itu dengan penuh pujuk kasih sayang.

“Sabar lah kak. Jodoh kakak akan ada suatu hari nanti dan Iman percaya…”
“Kakak dah selalu dengar, dik”, airmata perempuan Syafiqa mula bergenang, lantas tidak dapat menahan gelodak rasa hatinya lalu memotong percakapan adiknya tanpa dipinta. Pandangannya kian kabur dengan air mata yang mula bertakung dan dia harus cuba untuk tidak menangis di hadapan adik lelakinya.

Satu kelemahan yang dia mahu elakkan dari pengetahuan Iman!

Namun, airmatanya merembes jua.

“Kakak dah selalu benar memujuk hati. Allah akan temukan kakak dengan insan terpilih, dicipta untuk kakak, membimbing kakak selayaknya hingga ke akhir hayat. Keinginginan dik. Manusia berkeinginan untuk berpasangan!”, Syafiqa menyambung tegar, lantas mengesat deraian yang kian laju mengalir di pipi. Bertahan Fika! Kau mampu!

Iman meruntun hiba menghela nafas sebelum kakaknya kembali berkata dalam esak yang cuba dikawal.

“Perempuan, dik. Nak juga jadi seorang ibu. Tapi di usia setua kakak…akan adakah lagi peluang itu?”

Syafiqa memandang wajah adiknya dalam-dalam sebelum mengesat air matanya perlahan. Meminta pengertian adik lelakinya itu. Seketika, talian telefon bimbit Iman bedering lantang sebelum kelihatan kakaknya terus menuju ke satu sudut dapur. Iman memandang kakaknya simpati sebelum berlari pantas ke arah biliknya kemudian mencapai telefon bimbitnya yang berdetar bising sedari tadi.

Tertera nombor Natrah Syaida, gadis kacukan Belanda di skrin telefonnya.

“Assalamualaikum”

Suara Iman bergetar di hujung talian sebelum kelihatan lelaki itu duduk selesa di atas katilnya tenang.

“Hello Iman. I’m in a big trouble!”, ucap resah suara gadis itu dengan nada tergopoh gapah, tanpa menjawab salam yang diberi. Nafasnya tertahan-tahan seolah-olah menahan debar.

“Kenapa dengan you ni?”
“I’m pregnant!”

Iman Syakirin tergamam!

**

Siang hari waktu bekerja dan seperti firman Allah dalam Surah Al Mulk ayat lima belas, bermaksud Dia yang menjadikan bumi untuk mu dengan mudah kamu jalani, maka berjalanlah kamu pada beberapa penjurunya dan makanlah rezeki Allah dan kepadaNya (kamu) berbangkit.

Allah Maha Pemurah. Langsung Mengasihani. Berbuat baik sesama manusia, akan berbalik semula kepada kita.

Di dalam pejabat, Amir Naufal sedang menyimpan semula dokumen kontarknya di dalam fail sebelum hajatnya untuk ke Kafe Rumah Kampung, yang terletak di ruang atas pejabatnya. Dia bergegas. Mahu mengisi perutnya seketika sebelum menunaikan solat Zohor yang sudah menjadi kewajipan seorang mukmin.

Kafe Rumah Kampung memang sesak setiap kali menjelangnya waktu makan tengahari. Memandangkan Wisma Hidayah mampu memuatkan lebih sembilan ratus pekerja dalam satu-satu masa, sudah tentulah akan berlaku kesesakan. Naufal beratur seperti biasa, mengambil lauk ala kadar, membayarnya di kaunter dengan lekas sebelum melilalu-lilau mencari ruang kosong untuknya duduk lantas menikmati juadah tengaharinya yang tidak seberapa itu.

Namun, disebalik keserabutan dan kebisingan ramai orang itu, kelihatan di udara, tangan kecil melambai-lambai ke arahnya dan Naufal dengan tanpa usul periksa, terus menuju ke arah tempat itu, mengambil kira mungkin para pekerjanya.

Namun, telahannya silap.

Kelihatan seorang wanita yang agak berusia, lewat tiga puluhan bersama dengan seorang gadis yang sedang menyuap butir nasi perlahan ke dalam mulutnya. Naufal tersenyum manis, sehingga menampakkan alur lesung pipitnya.

“Kita dah pernah bertemu, kan? Saya Ummi Syafiqa. Kedai pengantin dan awak nak jumpa seseorang masa tu?”, ungkap Syafiqa cuba mengimbas semula pertemuan pertama mereka sebelum memerhati mata bersinar Naufal yang kemudiannya mengangguk perlahan.

“Oh ya. Perkenalkan ini pelajar praktikal saya. Zulaikha Wirdani”

Saat itu nafas dan urat nadi Naufal bagai terhenti. Gadis manis itu mengangkat wajahnya, dengan mata bundar cantik dia memerhati Naufal, menghadiahkan segaris senyuman nipis kemudian tunduk menguis-nguis butir nasinya yang masih berbaki di dalam pinggan.

Lelaki itu kemudiannya duduk seterusnya menghadiahkan senyuman menawannya. Alur lesung pipitnya tampak sempurna dipandangan mata Ummi Syafiqa, langsung mengingatkan tentang kisah lama.

Oh Tuhan, adakah ini dugaan mahupun pemberian Mu kepadaku?

Lelaki bernama Amir Naufal itu dipandangnya penuh perasaan kasih…

Pada hari tiap-tiap orang datang membela dirinya sendiri dan disempurnakan balasan tiap-tiap orang menurut apa-apa yang dikerjakannya, sedang mereka tiada teraniaya.
AN-NAHL:111

BERSAMBUNG

p/s: Esok akan diumumkan pemenang peraduan Earth We Care, We Love You! Tunggu!

Thursday, April 29, 2010

PROSA LIMA



Sebelum ini dalam Prosa Cinta Amir Naufal

Pertemuan semula Natrah Syaida dengan Iman Syakirin bagaikan bertaut kembali rasa cinta lama. Amir Naufal dan Zulaikha Wirdani akhirnya bertemu lantas hati si Adam mula terpikat dengan santun si Hawa.

Sepanjang malam Naufal memikirkan pertemuan singkatnya dengan Zulaikha Wirdani, gadis bermata bundar yang cantik. Sekilas pandangan mata itu, ia bagaikan mampu menawan seluruh raganya. Bagaikan ada suatu kuasa aneh menariknya untuk terus memandang elus wajah Zulaikha. Pandangan syaitan kah itu?

Dia bangun dari ranjangnya, menuju ke meja tulis sebelum membuka komputer riba untuk melihat-lihat sekali imbas sisa kerja siangnya yang sudah ditinggalkan. Tulisan berganti tulisan yang silih terpapar di skrin computer kecilnya dipandang kosong tidak bermakna. Data-data yang dilihat juga langsung tidak dapat ditafsirkan.

Mindanya melayah memikirkan empunya diri Zulaikha Wirdani…

“Kau teringat sapa Fal? Haryani lagi?”, tegur suara garau Fakrul sambil membimbit cawan Nescafenya, dengan tiba-tiba sahaja menerjah sambil duduk selamba di atas katil Naufal. Dia memandang Naufal dengan garis senyum di bibir sambil menghirup sedikit baki Nescafe di cawannya perlahan. Naufal, walaubagaimanapun sedikit tersentak, lantas membalas dengan senyuman nipis sambil menolak juntaian rambutnya kebelakang. Lelaki itu menggeleng perlahan.

Fakrul kelihatan sedikit terkejut.
Senyuman Naufal bagai menidakkan yang lelaki itu sedang menghadapi hidup kemurungan.

“Kau gembira?”
“Entahlah”
“Dah tu, takkan tersenyum tiba-tiba je?”

Persoaaln Fakrul membuatkan dia berfikir panjang sambil menutup skrin Compaqnya lalu berpaling pantas, menghadap rakan serumahnya sambil mereka bertentangan mata cuba memberi penjelasan. Kelihatan Fakrul berbaju T Shirt Hard Rocknya dengan berkain pelekat hitam masih meneguk baki Nescafe dari cawannya menanti jawapan pasti sahabatnya itu. Naufal menghembuskan nafas selesa lantas bagai cuba mencari ayat yang sesuai untuk menggambarkan apakah sebenarnya yang sedang dialami.

“Kau pernah rasa suka kat seseorang?”
Fakrul mengangguk.
“Ini bukan maksud, suka macam seorang kawan. Suka macam kita nakkan perempuan itu. Hendakkan perempuan itu menjadi peneman sehingga kita mati”
“Kita tak bercakap tentang Haryani, kan?”
“Bukan!. Jawab dulu soalan aku tu”

Fakrul mengangguk buat kali ke dua. Kali ini Naufal dapat merasakan yang lelaki itu baru memahami pertanyaannya selain yakin bahawa Fakrul pasti membayangkan Nuraisha, gadis yang sudah dikenali lelaki itu lewat dua tahun lamanya. Nuraisha tergolong dalam katergori wanita cantik, muslimah yang sentiasa menjaga aurat, perilaku selain berjaya dalam bidang yang diceburinya.

Satu perkara yang sering bermain legar dalam fikiran Naufal. Tidak hanya berbulan-bulan lampau tetapi hampir bertahun-tahun lamanya sebelum hatinya kembali terbuka untuk mendekati Zulaikha Wirdani selepas perasaan tulus itu dirobek kejam oleh Haryani.

Apakah yang dicari dalam percintaan?.
Adakah rupa kecantikan?.
Adakah harta duniawi?.
Ataupun keturunan?.
Latar pendidikan?.
Agama?.

Itu persoalan berat. Tersilap langkah, sepanjang hayat sesalnya ditanggung.

“Soalan nya apa?. Kau nak bertanya apa tadi?”, suara garau Fakrul sayup-sayup menyusup ke gegendang telinganya. Naufal bagaikan tersedar dari ilusinya yang panjang, tersenyum seperti merasa lucu dengan khilafnya sendiri sehingga teserlah alur lesung pipitnya yang menawan. Dia menggeleng-geleng perlahan dan kerana sikap perahsianya itu sering membuatkan Fakrul sendiri merasa kurang gemar selain mampu memakan diri lelaki itu sendiri. Dia tahu, dia sepatutnya tidak menyibuk dalam urusan peribadi seseorang. Tetapi jika ia melibatkan hati dan perasaan Naufal, Fakrul tidak mampu menanggung bebanan itu.

Soalnya, hati mulus Naufal terlalu putih untuk dicemari..

“Kau dah bertemu seseorang?”
Tebakan Fakrul langsung disusuli dengan lirikan senyuman Naufal sambil kelihtan lelaki itu menghela nafas panjangnya dalam-dalam. Lama Naufal diam membisu sebelum kedengaran suaranya berkata. “Ya..baru berkenalan. Tapi entahlah..aku sendiri pun..”

“Kenapa “entahlah”?. Kau kena yakin, sahabat”. Kata-kata balas Fakrul itu disertai dengan tepukan mesranya di bahu Naufal. Fakrul memandang sahabatnya dengan penuh kasihan. Aku harap benar kau takkan di sakiti Fal. Aku ingin benar melihat kau bahagia. Kenapa sukar sangat kau temui jalan itu?.

Ucapan Fakrul dibalas dengan senyuman biasanya. Dia memandang Fakrul penuh mengerti. “Kalau Allah sudah tentukan sebaliknya.., aku harus terima”.
Fakrul mengangguk mengerti. Allah penentu segalanya. Kata-kata Naufal ada benarnya. Sepanjang derap langkahnya hendak ke dapur, Fakrul menelan kata-kata itu dengan penuh kerelaan. Andai ikhtiar sudah dilakukan, jika Allah sudah tetapkan ianya begitu, ia tetap akan terjadi… Aku hanya mampu berdoa, teman..

**

Perkarangan Butik Ayu masih sibuk walaupun waktu sudah menginjak ke waktu makan tengahari dan tatkala Zohor mengimbau tengahari terik, Naufal memulakan langkah biasanya ke surau kecil di bangunan pejabatnya itu. Wudhu disempunakan sesungguh-sungguhnya, membaca doa sesudahnya lantas memulakan tugas Tiang Agama dengan penuh khusyuk dan tawadhuk.

Dihadapan Nya aku kedil. Berdirnya aku dengan sepasang kaki yang telah dipinjamkan. Sepasang tangan yang diciptakan semulianya. Malah kesemua anggota diberi dengan syarat bersyukur kepadaNya.

Tuhan lagi Pemurah. Penyayang lagi Mengasihani. Lemahnya daku. Hinanya daku. Dan melalui penyerahan ini, aku menyerahkan diriku pada Mu lantas aku mensyukuri nikmat yang telah Engkau kurniakan sebaik-baiknya, Tuhan..

Wajahnya diraup usai doa dibaca. Alhamdulilah!! Sehingga Zohor menjelang, Allah mengurniakan kesihatan yang baik untukku. Rezeki yang murah padaku. Allah ya Jamil, Ya Jalal, Ya Rahman, Ya Rahim, Ya Malik, Ya Quddus…

Dia bangun sebelum terpandangkan tempat solat pertama nya tatkala dia bertemu dengan gadis bernama Zulaikha Wirdani. Insiden jam tangan yang sehingga kini dia kenang dan ingat. Ya..di waktu yang terluang rehat ini, Naufal langsung teringat kepada si gadis manis bermata bundar itu. Di awal waktu perkenalan singkat mereka, dia pernah ternampak gadis itu bekerja di Butik Ayu. Butik yang dimiliki oleh seorang wanita pertengahan tiga puluhan yang masih belum berkahwin bernama Ummi Syafiqa.

Dia bergegas ke situ, sebelum sepuluh minit lamanya beliau sampai dengan wajah tertinjau-tinjau sopan dibalik cermin sebelum kelihatan seorang wanita sedang menyusun-nyusun beberapa aksesori pengantin di luar kedainya untuk dipamerkan. Wanita yang manis bertudung menyerlahkan lagi keayuannya.

“Assalamualaikum, saudari”

Wanita itu berpaling sebelum matanya kelihatan tidak berkedip, kemudian menjawab salam dengan pantas. “Walaikumsalam. Ya. Encik nak pilih barang perkahwinan ke?”

Soalan wanita itu disambut senyuman menawan Naufal sehingga menampakkan baris giginya yang putih. Dia menggeleng-geleng perlahan.

“Saya cari..Wirda. Zulaikha Wirdani”, ujar Naufal memperbetulkan kekhilafan wanita itu. Wanita itu membalas dengan senyuman lawa. “Oh..Wirda. Dia baru balik kampung pagi tadi. Urusan keluarga. Minggu depan baru dia balik. Oh by the way, saya penyelia dia, Cik Ummi. Ummi Syafiqa”, jelas wanita itu panjang lebar masih dengan senyumannya. Naufal mengangguk faham.

“Baiklah kalau macam tu, saya beransur dulu lah ya”, ujar Naufal meminta izin meninggalkan wanita itu dengan seribu satu persoalan di gelodak perasaannya.

Ummi Syafiqa menarik nafasnya dalam-dalam. Otaknya bagai tidak boleh berfikir seketika. Nafasnya yang cuba dihela serasakan sesak ruangnya.

SubhanAllah, semolek-molek kejadian Mu. Adakah ini godaan Syaitan?. Adakah aku telah tunduk pada nafsu?.

Sesungguhnya senyuman, perawakan dan kesantunan Naufal telah meruntuhkan tembok egonya pada lelaki selama ini.

Adakah ini tandanya cinta kasihku pada si Adam kembali semula, Ya Allah?.

Sesungguhnya Allah tidak menganiaya seberat zarahpun; kalau ada (yang dikerjakan) satu kebajikan, nescaya Allah akan melipat gandakannya, dan memberikan dari sisiNya pahala yang besar.

AN NISAK: 40

BERSAMBUNG

Anda Mungkin Menyukai

src="http://www.linkwithin.com/widget.js"> Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
The views of the writer is his own, and do not in any way reflect the views on other sites affiliated with this site or any other members of this site. It is your OWN RISK by reading all the entries. Please note that all works include short stories and online novels published in this site are written by the writer. You may share all the articles, but you've must consult with the writer first.
Any inquiries, feel free to email the writer on faizalsulaiman85@gmail.com
ALL RIGHTS RESERVED