Ketika pertama kali melihat iklan acah filem Pusaka ini, hati terdetik
dengan mengatakan bahawa buah tangan terbaharu Razaisyam Rashid (Filem; CEO,
Drama; Hamba Iblis & Mandatori) ini punyai sesuatu yang menarik dan wajib
untuk ditonton menjelang bulan-bulan terakhir 2019.
Ternyata telahan itu tidak silap. Pusaka hadir sebagai sebuah wadah seram
secukup rasa baik dari segi penceritaannya yang kemas, kerja kamera Mohd Nor
Kassim yang marvelous, set dekorasi yang membangkitan mood, penggunaan
cahaya-cahaya terang gelap yang sangat cantik yang sudah menjadi treadmark
Razaisyam selain skor muzik yang cukup menggusarkan perasaan. Radar ketakutan
yang selaras dengan jumpscare yang muncul tiap 5 hingga 10 minit juga
menjadikan saya sebagai penonton adakala mengintai dari celahan jari sahaja. Ha
ha ha.
Di tangan Syafiq Kyle, Insp Nuar diwarnakan dengan baik. Malahan tidak
keterlaluan untuk saya katakan watak ini adalah yang paling berjaya dibawakan
oleh beliau. Selain itu watak-watak pembantu seperti Fauziah Ahmad Daud dan
Aleeza Shahdan, walaupun muncul hanya beberapa babak, akan tetapi lakonan
mereka sangat meninggalkan kesan kepada penonton. Barisan ensemble seperti Mimi
Lana, Sweet Qismina (yang cukup menyerlah pada babak akhir), Hafidz Roshdi,
Aloy Paradoks (uh uh lawak dan loghat Perak dia sangat menjadi, well pelakon
teater kan) dan Yuna Rahim memberi nafas baru pada kisah yang penuh twist and
turn whodunit ini. Babak-babak Nuar dan Nur ditampil secara flashback ketika kemuncak filem ini juga menjentik emosi sedih audiens.
Pusaka sebenarnya boleh menjadi naskhah seram setanding Hereditary, The Wailing atau Pengabdi Setan. Unsur melayu pekat yang
sudah sebati dalam kebanyakan salasilah keluarga dahulukala dan penyiasatan polis yang berdepan kes mistik telah menjadi
tunjang Pusaka sudah cukup membuatkan filem ini unik. Pusaka dalam slow burn horror. Fuh!
Namun ianya
dimusnahkan sedikit dengan elemen cult kebaratan selain deus ex machina yang membingungkan.
Penampilan Faizal Hussein yang terlalu mencuba di dalam aksen utara juga merupakan
satu pembaziran.
Pusaka cemerlang sebagai pop corn seram komersil untuk peminat seram yang
dahagakan kejutan dan jeritan. Pada akhirnya, keluarga yang sangat penting dalam apa pun yang berlaku dalam hidup kita. Tontonlah
jika ada kelapangan kerana dihujungnya anda mungkin seperti saya, masih
dihantui dengan endingnya yang twisting! (dan mungkin peka dengan bunyi guli jatuh lepas ini)
VERDICT: 9/10