Showing posts with label seru. Show all posts
Showing posts with label seru. Show all posts

Tuesday, February 16, 2010

POST MOTERM: SERU

Salam;

Mini siri seram Seru sudah melabuhkan tirainya pada Ahad lepas, Februari 14, 2010. Lewat sikit dari jangkaan aku yang sepatutnya ia berakhir 7 Februari, 2010. Jom kita bedah siasat sepanjang penyiaran 12 episodes mini siri pendek nih.

1) Idea untuk membikin 4 cerita berbeza dalam Seru adalah pinjaman dari sebuah filem terkenal Asia, Three arahan Peter Ho-Sun Chan, Nonzee Nimibutr dan Kim Jee Won. Pinjam konsep saja. Tapi jalan cerita adalah sepenuhnya garapan aku.

2) Tajuk2 Seru saling berkait rapat dengan tajuk-tajuk setiap cerita seperti ObseSi Isadora (S), MEmori (E), Jalan AkhiR (R) dan Ummi (U). Tajuk berbeza, tetapi perjalanan watak dan kaitannya saling berkait dengan satu dengan yang lain.

3)Cerita ini juga dibahagi kepada empat latar berbeza iaitu "seorang isteri yang tidak menyedari yang dia sudah mati", "pelajar kolej yang mempunyai masalah mental", "ibu tunggal yang sanggup berkorban demi anaknya" dan "penantian seorang ibu menunggu kepulangan anaknya untuk memohon maaf atas kesilapan lampau"

4) Jalan cerita untuk setiap 3 episod tajuk juga berbeza. Teknik "puzzle" untuk Jalan Akhir, Teknik "monolog" untuk Obsesi Isadora, Teknik "imbas semula" untuk Memori dan Teknik "linear dan twist di hujung penceritaan" untuk Ummi.

5) Mini siri ini ditulis pada 14 Disember 2009. Disiarkan untuk bacaan pada 2 Januari, 2010 dan tamat ditulis pada 14 Februari, 2010.

6) Idea untuk menulis siri ini sebenarnya semenjak November 2006, dengan working title "Aneh". Namun pada 12 Disember 2009, barulah plot cerita dikembangkan semula (untuk Jalan Akhir dan Obsesi Isadora sahaja kerana Memori mempunyai penceritaan yang lebih kurang sama dengan filem seram pengarah Osman Ali-Puaka Tebing Biru (iaitu kisah dua kawan yg terpisah, kemudian kawannya datang dlm hidup untuk memberi petunjuk yg dia sudah mati sort-of). Jadi aku construct semula kisah Memori. 2 Januari 2010 barulah Memori dan Ummi (hanya 2 episodes saja) dapat disiapkan. Walaubagaimanapun, Ummi akhirnya dapat dihabiskan (episod 3) pada 14 Februari 2010. Alhamdulilah;)

7)Seru bukan sekadar hiburan tahyul hantu2 bagai semua. Tapi mengingatkan kita bahawa selagi kita ada berbuat salah, balasan setimpal akan menanti. Syaitan itu adalah musuh Allah yang paling nyata dan janganlah sesekali kita berpaling tadah kepada ajaran-NYA.

Alhamdulilah, mini siri Seru gak mendapat sambutan dari korang yang membaca (jika dibandingkan dengan 7Hari.) Terima kasih daun keladi. Sila skrol ke bawah semula jika ingin membaca. Buat 'Aqilah, Iyllienaz, Frodo Baggins, Nuke Rude, Miss Kedondong, Hans, Mr Homosapiensz, Anuar Kamaruddin, Juliana dan Bard, mahupun mana2 silent readers yang pernah membaca this piece, thank you so much

Thanks juga bagi mereka yang mengundi ke empat2 cerita nih. Personally, aku suka Obsesi Isadora berbanding yang lain. Korang?

FaizalSulaiman'sFootNote:--)Lepas ni aku nak cuba genre apa lak ek?ada cadangan??hehe

Sunday, February 14, 2010

SERU: UMMI -EPISODE 3-


Buat kali terakhir dia tergamam antara sedar atau tidak dia terjaga dari tidurnya. Dia masih terkenang ngeri mayat Azura dikeluarkan dari keretanya yang sudah remuk dahsyat mahupun perkhabaran yang ibunya, Fateha sudah kembali ke Rahmatullah sehari yang lalu. Sebagai anak, dia harus pulang ke kampung. Menguruskan apa yang sepatutnya. Tatkala mengemaskan barang-barangnya dengan lincah, kata-kata budak perempuan yang bernama Suri masih terngiang-ngiang di telinganya.

“Ibu abang sudah meninggal dunia semalam. Dia mahu sangat minta maaf dengan abang atas kesilapan lampau!.

Fazmi duduk semula. Mengingati perbualannya dengan Suri kelmarin. Berhenti seketika dari mengemas barang-barangnya. Dia duduk tegak di atas katilnya. Memang ada perbalahan antara dia dan ibunya. Tetapi perkara itu sudah lama berlaku. Dan dia sudahpun memaafkan ibunya atas kesilapan itu.

Tak ada guna anak beranak bergaduh kerana sesuatu yang tidak masuk akal!

Dia melangkah keluar dari rumah. Mengunci pintu rumahnya dengan yakin lantas mula bergerak dengan Proton Wira merah gelapnya dengan redha, menuju ke Jalan Mawar, kawasan rumah teres yang disewa ibunya. Di dalam kereta dia hanya senyap membisu. Inilah kali pertama hidupnya benar-benar sunyi. Ummi adalah segala-galanya buat dia!. Dan kerana itu juga, dia tidak mahu cengeng walaupun hatinya ingin menangis semahu-mahunya!.

Rumah bercat biru laut sudah kelihatan dari jauh. Kelihatan juga beberapa orang pihak polis masih mengawal ketat sekitar rumah ibunya. Dia mula memperlahankan kenderaannya, lantas mengambil keputusan untuk memarkir keretanya dibelakang sebuah kereta polis.

Fazmi turun dari kereta dengan hati hati sambil tersenyum nipis dengan seorang anggota polis yang sedikit besar tubuhnya. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Tuan Omar.

“Ibu encik dipercayai dibunuh ketika beliau hendak ke luar rumah untuk ke pasar. Kebetulan, pemilik asal rumah ini, Taukeh Seng ingin mengutip wang bulanan sewa rumah.”, ujar Tuan Omar sambil menunjukkan seorang lelaki Cina yang masih tergagap-gagap hendak menjawab pertanyaan seorang anggota polis. Fazmi yang kelihatan benar-benar terkejut berpaling ke arah lelaki Cina itu kemudian memandang kembali wajah serius Tuan Omar.

“Boleh..boleh saya tengok mayat Ummi?”, katanya cuba melindungi gugup sedihnya di balik suaranya yang sudah kedengaran bergetar. Tuan Omar mengangguk perlahan.

“Mayat beliau sudah dibawa ke Hospital Besar untuk bedah siasat. Encik bolehlah ke sana”, sambung Tuan Omar sambil memaut bahu Fazmi dan menepuknya lembut.

“Sabarla encik. Kami akan sedaya upaya mencari pembunuh ibu encik”, ujarnya lagi sebelum berlalu pergi bertemu pegawainya yang mengambil keterangan dari Taukeh Seng. Fazmi melihat ruang depan rumahnya dengan jelas sebelum berniat untuk ke Hospital Besar dengan segera. Dia membuka pintu keretanya dengan perlahan. Duduk di hadapan stereng dengan cuba mengawal emosinya.

Dia mengeluarkan sesuatu seperti kertas dari poket kemejanya. Sesuatu yang kelihatan sudah renyuk dan hampir lunyai lalu membacanya perlahan.

Seketika kedengaran satu suara halus dari belakang tempat duduk keretanya. Suara seorang perempuan…

“Kau bergaduh dengan ibu kau semata-mata mahu mendapatkan aku, Fazmi?”, kata suara halus itu kedengaran seperti berbisik. Fazmi senyum sambil mendengus.

“Ummi takkan mampu membela kau, Wangi!. Aku mampu menjaga kau. Darah yang kau perlu. Itu saja!. Ummi sudah menjaga kau sekian lama. Dia memang tidak mahu menyerahkan kau pada aku, Wangi. Bimbang harta dan wangnya akan putus!”, kata-kata Fazmi kedengaran tamak.

“Ibu kau menggunakan aku untuk keselamatan keluarga sahaja. Tidak lebih dari itu, Fazmi. Dan jamuan aku hanyalah makanan biasa manusia yang sememangnya aku tidak gemarkannya!. Ayam panggang dan pulut kuning!. Kuasaku terbatas!”, keji Wangi dengan suara yang sudah mula meninggi!.

Fazmi walaubagaimamapun langsung tidak merasa gentar.

“Sabar Wangiku, sayang!. Kau sudah ku jamu dengan darah Ummi. Kau juga sudah ku jamu dengan darah Azura. Tak sia-sia aku menyeru engkau, Wangi!”, bingkis Fazmi lemah lembut. Wangi tertawa kecil. Tiba-tiba bau haruman kemboja menusuk lembut ke rongga pernafasan dan Fazmi tahu bahawa itu adalah isyarat gembira saka keluarganya, Wangi.

“Kau perlu berkhidmat denganku. Kau akan ku jamu dengan darah kegeramanmu. Dan setiap kali kau ku seru, datanglah dikau berdamping denganku. Mentaati perintahku, Wangi!”, kata lelaki itu angkuh. Wangi semakin gembira. Harumannya makin menyucuk-nyucuk hidung.

“Manusia dan kebodohannya. Dan aku syaitan tidak pernah akan berhenti dari menyesati kamu!. Kau akan bersama-sama ke Neraka bersamaku, Fazmi!”, bisik Wangi perlahan dan hanya menunggu waktu bilakah Fazmi akan menyuruhnya membunuh lagi. Fazmi membunuh ibunya, membunuh kekasihnya dan tak mustahil lelaki ini akan membunuh dirinya…

TAMAT

Saturday, February 13, 2010

PROMO: SERU


Episod akhir Seru: Ummi akan disiarkan esok jam 8 pagi.

Twist menarik di hujung cerita nanti. Suka tol aku ngan twist2 nih!

Post moterm, Selasa ni jam 7 am;)

Selamat Membaca!

"Atas nama cinta, aku seru engkau kemari. Berdamping dengan jiwaku. Bersatu dengan nafasku. Taati perintahku..."

Tuesday, February 09, 2010

SERU: UMMI -EPISODE 2-


Jalan Bahagia, Seratus kilometer dari tempat wanita di dapati dibunuh. Kawasan perumahan di tepi jalan besar dimana lori-lori balak sering melalui kawasan jalan itu.

Fazmi membuka helaian surat khabar yang masih tergeletek tidak terusik di atas meja di ruang tamunya. Dia membuka tali lehernya perlahan, sambil mengibar-ngibar kolar baju kemejanya. Panas benar sejak dua tiga hari ini. Dia akui kebenaran itu. Dia membelek dengan tidak selesa dan apabila tiba di muka surat akhir, minat pembacaannya tersangkak. Ternyata tiada satu berita pun yang benar-benar menarik minatnya saat ini. Dia duduk bersandar di atas sofa lembut sambil memerhati kipas di siling yang berputar malas. Matanya mulai layu.

Namun tidak sampai beberapa saat, pintu jeriji rumah sewanya berbunyi bising. Bergegar-gegar seperti ada seseorang yang tidak sabar benar hendak berjumpa dengannya. Dia bingkas bangun malas, menghendap di balik tingkap dalam rumah dan kelihatan kekasihnya, Azura sedang berwajah masam dan tidak henti-henti menghentak-hentak pintu jeriji besi rumahnya itu dengan sangat biadap.

“Nak apa?”, soal Fazmi bena tak bena. Azura mencebik benci. Dia mula muncung.

“You bawa perempuan mana petang tadi?”, Azura mula bersuara jengkel. Dan tafsiran Fazmi tentang kesimpulan Azura bahawa dia sudah curang, ternyata tidak kena langsung pada tempatnya.

”Tak ada. Saya tak bawa sesiapa!”, jawab Fazmi jujur. Dia menggeleng ketika berkata. Azura mendengus seperti berkata “tak usah menipu aku. Lelaki gatal!”. Dia memandang wajah Fazmi lagi, merenung matanya dalam-dalam.

“You jangan nak tipu I. Sejak bila you dah pandai simpan perempuan lain, hah?”, tanya Azura lagi semakin garang. Berdesing seketika telinga Fazmi mendengarnya.

“Kalau I dapat tahu yang you main kayu tiga, nahas you!”, bentaknya sambil memukul-mukul bahu Fazmi. Azura semakin agresif. Fazmi diam membungkam. Dia tidak mahu menggunakan kekerasan. Soalnya semasa dia balik dari kerja, dia tidak tumpangkan mana-mana perempuan!. Pelik, bagaimana Azura boleh menuduhnya dengan perempuan lain!.

Azura semakin tidak tahan melihat Fazmi mengunci mulutnya dari terus bersuara. Mata Fazmi bagai memandang tingkah lakunya terus-terusan. Renungan lelaki itu bagai mahu membunuhnya. Azura semakin galak memaki hamun Fazmi tanpa menyedari dengan tiba-tiba tanganynya yang rancak memukul bahu lelaki itu disambar dengan tidak semena-mena oleh tangan sasa Fazmi.

Lelaki itu menggengamnya kuat.

“Apa kau ingat kau dah lama hidup, Azura?”

Suara lelaki itu kedengaran halus menyeramkan. Dia merenung perempuan yang sedang marah itu dengan pandangan tajam sambil bibirnya terukir satu senyuman. Senyuman yang sangat menakutkan Azura.

Gadis itu merenggut tangannya sambil mengaduh kesakitan. Dia memandang pelik perilaku kekasihnya yang tiba-tiba berubah aneh.

“Kau boleh lari Azura..Tetapi kematian akan mengejar engkau!”, ungkap Fazmi masih dengan suara halusnya itu. Senyumannya semakin melebar. Azura tak tunggu masa. Dia mula mengundur ketakutan, memandang Fazmi yang berdiri seperti patung dengan perasaan yang bercampur baur, sebelum mencapai kunci keretanya dari dalam tas tangannya. Menekan punat hijau dengan pantas dan masuk ke perut kereta tanpa banyak soal. Di balik cermin pintu keretanya, dia dapat melihat Fazmi masih tersenyum melihat telatahnya. Azura semakin takut lalu memandu keretanya dengan hati yang semakin tidak tenang.

Namun, dia tidak menyedari kehadiran sebuah lori balak kelihatan laju sedang menuju ke arah keretanya tanpa sebarang amaran. Azura hanya mampu melihatnya di balik cermin sisinya sahaja tanpa mampu berbuat apa-apa.

Kedengaran dentuman dahsyat dan pekikan seorang wanita yang nampak tersepit di tempat duduknya dengan darah merah pekat menitis laju dari keretanya…

Kelihatan seorang kanak-kanak perempuan dalam lingkungan sembilan tahun memandang tragedi itu dengan gerun...

BERSAMBUNG

Thursday, February 04, 2010

SERU: UMMI -EPISODE 1-


Amir membuka kedua matanya yang tertutup. Pandangannya semakin lama semakin jelas. Dari hanya gelap hitam, dia kini mampu melihat banyak warna. Warna yang selama ini tidak diperoleh tatkala dia masih bernafas di dunia fana.

Dia sedar yang dia sudah mati…

Dan dari ruang pandangannya yang semakin jelas, dia dapat melihat pelbagai umat manusia sedang keluar masuk di sekitar Jalan Mawar, kawasan tempat tinggalnya. Melihat jujukan barisan rumhnya yang diapit oleh rumah jirannya yang sudah di tahan polis kerana dituduh membunuh, Iskandar selain seorang perempuan tua yang semakin lama semakin menyedihkan hidupnya. Nama perempuan tua itu Fateha.

Setiap hari perempuan yang dipanggil Nenek Fateha itu akan duduk di buaian besi rumahnya, bagai menunggu sseorang untuk pulang ke rumah. Entah siapa yang dinanti, Amir kurang pasti. Dia cuba menggunakan pandangan “dalamannya” dimana sebelum ini dia boleh berkomunikasi dengan Mia Jasmine yang telah mati dalam kemalangan yang dirancang oleh suaminya sendiri, bagaimana entiti Isadora mengancamnya supaya tidak memberitahu Irina tentang sikap Iskandar yang kerap berbual-bual dengannya ataupun kehadiran Ezham yang sering melawat-lawat arwah ibunya ketika ibunya, Sara masih hidup dan kerap berkata padanya yang dendam lama akan dibalas kembali.

Tetapi anehnya dia langsung tidak dapat mengagak apakah masalah sebenar Nenek Fateha hinggakan dia sukar mengetahui punca Nenek Fateha kerap berjalan di waktu senja mahupun tindaknnya yang suka bercakap seorang diri.

Waktu bergerak pantas. Hari berganti minggu. Dan setelah seminggu selepas kematian Amir dan ibunya, Sara terpampang di akhbar, rumah mereka telah dijual oleh pemilik rumah asal. Dan seperti biasa, sewaktu jiran baru sedang berpindah, Amir berdiri sayu melihat rumah lamanya bakal diduduki oleh satu keluarga baru. Pasangan suami isteri dengan seorang perempuan mereka. Entah mengapa, Amir dapat merasakan yang anak kepada pasangan itu kerap memerhatikannya dengan takut-takut dan curiga sewaktu dia berdiri tegar di kawasan pokok tebu yang ditanam berhadapan rumahnya.

Tiba-tiba kedengaran jeritan Ah Seng, tuan punya rumah Nenek Fateha yang nampak sibuk dengan kerjanya mengutip duit sewa.

“Ada orang mati!..Ada orang mati!!!”

Amir curiga. Begitu juga jiran baru yang berpindah ke ruamhnya, lalu dengan pantas ke rumah Nenek Fateha.

Kelihatan satu mayat perempuan tua mati mengerikan dengan mata terjegil dan terlihat di dadanya telah dirobek rakus sambil beberapa percikan darah membasahi lantai..

Amir terpana. Dia cuba bersuara. Tetapi gagal. Dia cuba menyentuh Ah Seng mahupun kedua jiran baru itu, namun hampa. Dia berpusing tanpa arah dan kehadiran orang ke ruang tamu Nenek Fateha semakin merumitkan keadaan. Dia tahu siapa yang harus dihubungi. Nenek Fateha ada memberitahunya tentang seseorang tidak lama dulu. Seseorang yang amat benar dia tunggu-tunggu kepulangannya. Tetapi kepada siapa dia harus berkata-kata?.

Amir semakin cemas. Hatinya tak keruan jika perkara ini tidak diberitahu oleh seseorang yang layak.

Amir cuba keluar dari kekusutan itu dan hanya melihat kekecohan itu dari kejauhan. Hatinya memberontak ingin membantu, tetapi pada siapa yang boleh mendengarnya?.

“Awak katakan saja pada saya. Saya boleh nampak awak”, jelas seorang budak perempuan yang kini sudah berdiri disebelahnya. Amir berpaling perlahan. Kelihatan anak perempuan pasangan jiran barunya berdiri tegak dengan masih wajah serius. Raut wajah yang sangat tidak sesuai dengan budak perempuan berusia sepuluh tahun.

“Nama saya, Suri”, kata budak perempuan itu lagi dengan bibirnya yang hampir tidak bergerak. Amir mengeluh panjang, memperjelas mengapa budak perempuan itu mampu memandangnya dengan curiga.

“Baiklah.Awak kena bantu saya. Seseorang perlu diberitahu tentang kematian Nenek Fateha.”, jelas Amir perlahan. Dan Suri kelihatan mengangguk tanda faham.

“Seseorang yang ingin sangat perempuan tua itu memohon maaf”…

BERSAMBUNG

Anda Mungkin Menyukai

src="http://www.linkwithin.com/widget.js"> Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
The views of the writer is his own, and do not in any way reflect the views on other sites affiliated with this site or any other members of this site. It is your OWN RISK by reading all the entries. Please note that all works include short stories and online novels published in this site are written by the writer. You may share all the articles, but you've must consult with the writer first.
Any inquiries, feel free to email the writer on faizalsulaiman85@gmail.com
ALL RIGHTS RESERVED