Showing posts with label mini series. Show all posts
Showing posts with label mini series. Show all posts

Monday, July 03, 2017

Ada Apa Dengan #RAHSIA?



Impian untuk hasilkan karya seram akhirnya tercapai. 


Kisah Rahsia mistik satu keluarga. 
Siapa yang tergoda untuk membalas dendam? 
Dan siapa pula yang akan menjadi mangsa?


Novel ke empat bersama Fixi kali ini berjudul RAHSIA selepas SUMBAT, CERPEN FAIZAL SULAIMAN dan BONGKAR. 



Sekitar pelancaran RAHSIA di Kedai FIXI, Sunway Velocity Mall


RAHSIA ditulis kira-kira setahun yang lalu dan merupakan novel paling singkat yang aku tulis iaitu selama kira-kira 9 bulan. Secara jujurnya aku agak skeptikal dalam menulis cerita hantu, specifically dalam genre seram / horror. Sebagai penulis, aku suka meletakkan diri dalam situasi yang aku tulis dan aku bukanlah seorang method writer yang perlu ‘into the story and characters’ bila menulis satu-satu karya. Jadinya, ketika menulis RAHSIA aku tidaklah bertapa di tepi kubur, mencuci keris dengan limau nipis dan membakar dupa hanya kerana mahu mengambil ‘roh penulisan seram’ tetapi aku membanyakkan diri dalam membaca pengalaman-pengalaman seram dan membaca karya seram tulisan Tamar Jalis sebagai rujukan.


Sekitar pelancaran RAHSIA bersama Nadia Khan yang juga melancarkan GANTUNG 2


Bersama Big Boss, Amir Muhammad. 
Entah apa aku jawab masa ni.



Terima Kasih buat yang hadir. 
Minta maaf tak sempat junpa semua sebab cecepat nak ke epot :)




Dan baru aku sedar, emosi menakutkan orang melalui pembacaan adalah SANGAT SUKAR! Lebih sukar berbanding menulis cerita cinta! Ini kerana tahap / meter keseraman setiap pembaca adalah berbeza dan kepelbagaian ini menghasilkan reaksi yang cukup berbeza.
               

Jadi aku perlu mengucapkan terima kasih kepada rakanku, ‘Arif’ kerana berkongsi kisah sebenar disebalik RAHSIA. Ya. RAHSIA ditulis dan 70% daripadanya adalah didasarkan dari kejadian sebenar keluarga beliau. The moment dia bercerita tentang backstory of his family’s secrets, aku dah rasa terpanggil untuk menulis ceritanya. Aku anggap ceritanya sangat indah.
                 

Terima kasih jugak pada big boss Amir Muhammad sebab memberi peluang dan ruang untukku menulis RAHSIA. Editor dan penulis yang aku kagumi Shaz Johar, terima kasih banyak-banyak sebab beri tunjuk ajar sepajang menyunting RAHSIA dan juga Hani Amira Suraya. Terima kasih juga kepada beta-readers Nadia Khan, Arif Adly dan Gina Yap. Berbaloi hantar kepada korang untuk diberikan komen. And to the love one, I love you soooo much!
               

Jutaan terima kasih juga kepada Julie Anne, Zara Syed dan Nadia Jalal. Sokongan korang takkan pernah aku lupa and to the one and only menjadi yang pertama membaca RAHSIA dan menyunting hampir 50% point of view karya ini, aku doakan kau tenang di sana. Sepatutnya majlis pelancangan semalam (2/7/2017), kau ada bersama-sama dengan kami dan kita lancarkan buku baru kita sama-sama. Tetapi Allah lebih sayangkan kau.


Al Fatihah Syaihan Syafiq.



RAHSIA sudah boleh didapatkan di kedai buku MPH, Kedai Fixi dan online FIXI. 
Ayuh! Sama-sama kita menakutkan diri :)

Thursday, December 22, 2011

Segijiwa: Coming Soon dan Siapa AL?


Akan datang Jan 5, 2012

Segijiwa, satu perasaan berliku dengan empat jiwa yang bersegi segi Emran, Anne, Lukman dan Nia.

Here's some sneak peak of Chapter 1


‘Embah kau, nampak kejam? Ni dah tahap kejam gila tau tak? Abang kau baru je meninggal. Kau nak berjoli sakan kat Hanoi tu buat apa?’
‘Reduce stress la apa lagi. Malas aku nak menghadap fail tinggalan abang aku tu!’
‘Anne! Bawak-bawakla bertaubat. Abang kau lebih perlukan sedekah. Yasin ke? Kau ni gila ke apa?’

Anne memandang Ramona pelik. Tangannya kemudian di angkat menekup dahi perempuan itu.

‘Kau demam ke Mona? Nak aku hantarkan ke klinik?’
‘Aku serius tahu?’
‘Perempuan yang selalu poya poya ke kelab malam nak nasihat aku itu ini? Give me a break!’
‘ Fine! Moral memang aku out. Tapi sekurang-kurangnya aku masih mampu sedekahkan Al Fatihah masa atuk aku meninggal dulu!’
‘Dulu is like when? Fifteen thousands years ago?’
**


* Segijiwa akan menggantikan slot Karat yang dah bersiaran hampir 6 bulan.
** AL akan membuat penampilan istimewa menjelang siri akhir Karat pada Dec 29 2011. Well aku rasa kan mesti ramai nak tengok siapa AL ni. Macam mana orangnya:) Habis la ko, AL!

Saturday, March 05, 2011

Keramat Lima: Potret


Potret

Dari Pengalaman Sebenar: Syahrafi Aziz


Ah, masak!


Perut memulas macam ususnya dipintal-pintal.

Jahanam betul! Time-time nak pergi kelas macam ni lah dia buat hal

Hatinya membentak geram. Perutnya meragam pada ketika dia sudah bersedia hendak ke sekolah. Rakan se-dormnya sudah berdedai-dedai menuju ke ruang utama sekolah untuk perhimpunan.

Enggan untuk terus memikirkan, dia berlari pantas menuju ke ruang tangga asrama bloknya. Dan pabila sudah sampai ke bangunan tersergam itu, kisah bilik misteri berkunci tiba-tiba datang menerpa tak diundang dalam kepala.

Kisah sebuah bilik stor, sederhana besar luasnya telah dikunci rapat, kerana dikatakan telah berlaku satu kejadian aneh lagi mengerikan beberapa tahun dulu.

Masa ginilah kepala hendak melayan cerita hantu, bisiknya marah. Perut yang memulas semakin sakit hendak melabur. Makin di tahan, makin seksa dirasakan.

Pedulilah. Hantu ke apa, aku tetap nak buang hajat! Lagipun siang-siang gini mana ada hantu, selorohnya lagi dalam hati.

Yang menjadi masalahnya adalah kedudukan bilik stor itu. Bilik itu terletak sebaris dengan dorm nya dan jika mahu masuk ke dalam tandas dormnya, dia terpaksa melintas di hadapan bilik berpuaka itu.

Kata hati menerjah. Kau redah saja! Kau kan anak jantan. Nak takut apa! Ayah kau polis. Kau nak bimbang apa?

Kata akal menimbang tara. Buatnya masa kau melabur ‘benda tu’ terjengul depan pintu, kau nak buat apa? Lari? Fikir dulu. Buang ajelah dekat sekolah!

Kata hati berteriak. Leceh! Masalahnya aku dah tak tahan! Kang melepas kat sini, siapa nak tanggungjawab?

Kusut seraya malas hendak berperang antara akal dan hati, dia percepatkan langkah menuju ke dorm. Semakin hampir juga dengan bilik stor berkunci yang misteri itu.

Kalau benda itu muncul tiba-tiba, memang aku buka langkah seribu, putusnya mematikan perbalahan akal dan hati.

Bilik stor yang selama ini berkunci dari luar, dengan ketul mangga yang besar, dilintasi juga.

Anehnya…

Pintu bilik stor yang bertahun berkunci itu…

…terbuka dengan sendirinya.

Mendedahkan isi dalamnya yang berhabuk, dengan kotak-kotak lusuh dan dinding yang sudah bersawang selain rona pencahayaan yang sangat suram dan bau kusam yang menyesakkan pernafasan.

Langkahnya terhenti seketika.

Niat hendak melabur, termati sekejap.

Diperhatikan keseluruan isi stor sebelum matanya terpandangkan satu lukisan di dinding dari contengan watercolor. Lukisan yang nampak kusam dengan dinding yang sedikit berkulat memperlihatkan potret seorang gadis sedang tersenyum, dengan rambut ikal ditocang dua, bergaun separa labuh sekolah. Di dada potret itu, terpampang tag nama yang kurang jelas dipenglihatan.

Siapa dia??

Perutnya meragam lagi!

Ah! Bedebah. Yang aku duduk tercongok depan bilik stor ni buat apa? Bukan aku nak melabur ke tadi?, pekiknya dalam hati, mempedulikan pintu bilik yang terkangkang luas itu, berlari kecil menuju dormnya sebelum merembat tuala putih sebelum tercicit-cicit menuju ke dalam tandas, melepaskan hajat yang terbuku sekian lama.

Sambil mencangkung, dia berfikir tentang sebab mengapa pintu bilik stor yang selama ini berkunci terbuka dengan sendirinya. Takkan ada yang saja-saja nak bukak? Semua orang cakap bilik tu berhantu. Sejak kali pertama dia menjejakkan kaki di sekolah berasrama penuh itu, cerita pertama yang tersinggah di cuping telinganya adalah mengenai cerita-cerita aneh stor puaka itu.

“Kadang-kadang dengar suara orang menangis”

“Andaikata kita terdengar pintu itu seperti digoncangkan, pedulikan bunyi itu. Bimbang dia ikut kita dari belakang”

“Kalau bilik tu terbuka, habislah sekolah kita”

Lampu tandas tiba-tiba berkelap kelip malap. Angin dari luar tiba-tiba menerobos bertiup kencang.

Alamak! Kenapa pulak ni? Jangan-jangan...

Dia bergegas. Bimbang dia pula kena kacau kalau tinggal lama di dalam tandas. Selesai menyuci diri, dia keluar dengan bertuala ditambah sedikit perasaan lega.

Ditolehnya ke kiri.

Dilihatnya pintu stor yang terbuka luas tadi, terkunci rapat. Malah mangga besar gadang yang terlekat di grillnya juga masih utuh di situ.

Fikirannya keliru.

Eh…bukankah tadi??…

Lamunannya tersentap akibat satu suara parau memekik lantang. Diburu rasa terkejut, kepalanya dijengulkan sedikit memerhatikan satu sosok sedang berdetak detak kejung terbaring di hadapan bilik stor itu.

“Dia..aku punya!!!! Dia..aku punya!!! Jangan sesiapa ambil dia!”

Kelihatan seorang pelajar memekik dengan uniform sekolahnya yang sudah kotor akibat habuk di lantai. Dia memandang tegar. Sosok itu sahabatnya, Ayie!!

Dia berlari pantas. Menyentuh tubuh Ayie yang dirasakan sangat panas!

“Kau kenapa, Ayie?”

Sosok Ayie berpaling. Matanya buntang memerhatikan dia yang tercengang ketakutan.

“Tiada sesiapa yang boleh pisahkan aku dengan manusia ini!”, pekiknya garang. Bibirnya kemudian mengukir senyuman sinis.

“Kau budak mentah! Baik kau berambus dari sini!”, sambungnya terus terusan berguling di atas koridor di hadapan stor puaka itu.

Dia bingkas bangun. Mempedulikan kain tuala yang membaluti pinggang hingga ke lutut, dia lekas menuju ke bilik warden aspura, yang salah satunya merupakan seorang ustaz. Satu per satu perkara dijelaskan. Sesekali tampak si Ustaz hendak menyampuk, membangkang itu ini, tetapi atas kesedaran salah seorang pelajar kelihatan seperti di rasuk, Ustaz tidak berfikir untuk bertanya lanjut.

Ayie kelihatan semakin menakutkan untuk ditegur. Apatah lagi renungannya semakin mengerikan. Sekilas dilihat pada mata hitam sahabatnya itu, kelihatan satu pancaran hijau menyala dengan satu tompok hitam menyelubungi bawah matanya yang bundar.

“Marilah ke mari kalau kau berani, wahai manusia lemah!”, deramnya kasar. Dua warden yang berdiri tegak, memandang tubuh Ayie yang meliuk lentok dengan tenang. Beberapa pelajar masih berkerumun, ingin tahu perkara sebenar.

“Kau keluar dari tubuh manusia ini! Sebelum aku paksa engkau”, tegas Ustaz sambil menghela nafas dalam. Ayie memerhatikan Ustaz dengan senyuman sinis.

“Kalau kau berani, kau cubalah!”, duga rasukan Ayie sebelum bingkas bangun, lalu berlari menuju ke dalam sebuah bilik, bersebelahan dormnya, masuk ke dalam bilik itu.

Dua warden itu saling berpandangan sesama sendiri. Tiada pilihan, mereka berlari lekas menuju masuk ke dalam, sebelum menguncinya.

Seminit kemudian, terdengar jerkahan yang amat dahsyat sebelum pintu yang terkunci dibuka dengan pantas.

Kelihatan Ustaz memapah Ayie yang tidak sedarkan diri sebelum meletakkan budak lelaki itu ke dalam dormnya.

Pelajar yang berpusu saling tertanya-tanya. Musibah apakah yang menimpa Ayie? Begitu juga halnya dengan dia. Sebagai rakan se-dorm, dia perlu tahu masalah yang menimpa budak lelaki itu.

Adakah diebabkan bilik stor yang berkunci itu, menjadikan Ayie disampuk?
Ayie nampak juga lukisan potret di dinding buruk itu?
Tapi…kenapa lepas aku keluar tandas, bilik tu berkunci?

Fikirannya kusut memikirkan perkara itu lantas, dia perlu bertanyakan hal sebenar kepada salah seorang seniornya, Abang Khaidir beberapa hari kemudian.

“Abang tahu apa-apa tak pasal bilik stor yang berkunci, satu baris dengan dorm kita ni?”

Khaidir sedikit tersentak. Tetapi mengambil pendekatan berdiam diri. Sebagai senior, dia enggan bercerita tentang sesuatu yang tidak pasti. Lebih-lebih tentang kisah itu!

“Buat apa kau nak tahu? Tak ada kena mengena dengan kau pun, Syah!”

Khaidir bertukar jengkel. Dia yang turut berada semasa kejadian Ayie di rasuk beberapa hari lepas, mengunci mulut apabila beberapa rakan sekelasnya bertanyakan tentang kejadian budak dirasuk di hadapan stor puaka.

“Cerita saja, bang. Di hari kejadian Ayie kena rasuk tu, saya ke tandas dan sebelum masuk ke tandas, pintu bilik stor tu terbuka dengan sendirinya. Saya jengahlah konon-konon berani. Ada…ada…potret budak perempuan kat dalam tu. Wajahnya tersenyum..”

Khaidir mengerling ke arahnya.

Buat seketika, dia dapat merasakan yang Khaidir akan terpekik-pekik marah dan mahu melaporkan perkara itu kepada guru disiplin.

Budak lelaki itu menarik nafas panjang.

“Dulu sekolah ada kes. Kes dimana seorang gadis dirogol oleh pengawal sekolah. Dia tertekan, lalu membunuh diri di dalam bilik stor tu”

“Dan sejak kejadian itu, bilik stor dikunci rapat mengelakkan gangguan terutama kepada pelajar perempuan”

Dia menelan kata itu bulat-bulat dan bayangan samar-samar potret di dinding itu tiba-tiba menjelma dalam kepalanya. Itukah punca sahabatnya, Ayie diganggu?

Dia tidak perlu menunggu lama untuk bertanyakan persoalan itu. Selang tiga hari, Ayie pulih sepenuhnya. Walaupun masih takut-takut, dia cuba mengagahkan diri bertanya budak lelaki itu.

Dan jawapan yang diterima, sangatlah mengejutkan.

“Aku diwarisi saka yang aku sendiri enggan mengambilnya. Ia kepunyaan datuk aku”, jelas Ayie sayu. “Aku mahu benda itu keluar dari mendampingi aku!”, ujarnya lagi. Dia mengeluh lega.

Nyata, Ayie bukan diganggu oleh puaka stor itu.

Tapi apa yang menghairankan, mengapa bilik itu terbuka dengan sendirinya?
Bilik yang selama ini berkunci?

Penyelesaian kepada persoalan itu rupanya datang seminggu kemudian.

Ramai pelajar perempuan diserang histeria, malah ada yang lebih teruk mahu membunuh diri! Adakalanya terpekik-pekik ketakutan tatkala sesi pembelajaran dan pengajaran sedang dijalankan.

Adakah puaka stor atau lebih tepat potret gadis itu mahu menuntut dendam atas apa yang terjadi kepadanya???

Adakah pintu bilik stor yang berkunci itu, petanda gadis itu mahu bergentayangan mengganggu manusia tak berdosa yang lain???

Wallahualam…

PESANAN: Adakah kamu merasakan bulu tengkuk kamu dihembus seseorang, sekarang?

Friday, March 04, 2011

Keramat Lima: Figura


Figura

Dari Pengalaman Sebenar: Shahira Khairudin



Hening

Malam yang memanjat tua dalam gigitan sejuk menghambat tulang temulang.

Tiga gadis yang masih berjaga. Raja, Milatul dan Hanum masih menyiapkan tugasan Human Resource yang diajar Professor Aminah.

Dengan pengajian kes yang berlambak-lambak, tidak hairanlah kalau mereka terpaksa berjaga malam—demi menyudahkan tugasan selain tidak mahu mendengar bebelan Professor Aminah tentang erti tanggungjawab.

Mukaddimahnya saja sudah berjela macam khutbah Jumaat!

Angin dari tingkap bertiup sesepoi, menambah rasa sejuk di balik malam yang sunyi. Ketiga gadis menuju ke ruang bilik mandi, menghadap sinki yang sedikit berkarat tetapi masih utuh berdiri megah. Cermin yang menampakkan rona buruk, tetap mempamer figura, sosok setiap inci pemerhatinya.

“Kak Raja tertinggal sabun aprikot! You all tunggu kejap boleh?”, Raja yang lebih senior, bertubuh lampai mempamer senyuman kelat. Milatul dan Hanum saling berpandangan mengerti. Kak Raja memang pelupa. Nyayuknya sudah ditahap kritikal. Sudah tahu hendak membasuh muka, mengada pulak ditinggal sabunnya merata.

Bayang Raja lesap ditelan ketuaan malam.

Milatul mengenakan dua pam Neutrogina Cleansing Deep Face pada wajah mulusnya. Pes itu terkeluar sedikit dari pek sebelum dilumurnya disekitar wajah. Membasuh setiap inci liang dengan berhati-hati. Hanum pula meletkkan sedikit pes Darlie ke atas berus gigi warna oren terangnya sambil berkumur sekejap. Gigi digosok perlahan.

Dua gadis itu bungkam kesenyapan sambil melakukan kerja masing-masing dengan tertib. Milatul mula terbongkok-bongkok membilas sambil Hanum memberus gigi belakangnya dengan penuh hati-hati.

“Mila ke toilet kejap. Nak buang air”, jerit Mila sesudah membasuh wajahnya. Hanum mengangguk tidak betah sambil melihat bayangan Mila menghilang ke dalam kiub tandas di belakangnya.

Hanum memberus sambil berkumur perlahan. Wajahnya ditundukkan, membuang sisa kumur berbuih Darlie ke dalam sinki sambil mengangkat wajah, memerhati cermin buruk dihadapannya.

Kelihatan sesuatu di balik bayangan memantul cermin itu

Sesuatu berwarna putih dengan rambut hitam berjurai, melintas memasuki kiub tandas dibelakangnya.

Hanum tersentak. Berus gigi yang dipegang hampir terlepas dari tangan.

Mila..

Hanum berpaling dan dengan lagak separuh berani, dia menuju ke pintu tandas dibelakangnya. Pintu itu tertutup rapat. Berkunci dari dalam.

Nafasnya turun naik menahan resah.

“Mila..Oo Mila”, jeritnya dari luar.

Cemas.

Ikutkan hati, pintu tandas bagai mahu ditendangnya saja.
Mila pula senyap tidak menjawab.

“Mila! Kau ada ke dekat dalam?”
‘Ya! Aku ada”, sahutnya perlahan, tetapi bergema. Hanum membuah lega. Dia berpaling sebelum melihat Raja berdiri tercangak dihadapan pintu masuk sambil merenung Hanum.

Gadis itu tersentak.

“Akak! Kalau ya pun, jangan berdiri macam tu”, bengkeng Hanum sambil melihat Raja tersenyum geli hati. Sukalah dapat kenakan aku malam-malam buta macam ni!

“Kau dah kenapa ni?”, soalnya sambil memerhatikan rona Hanum yang sudah pucat lesi. Malas hendak melayan, Raja berdiri dihadapan cermin sambil membasahkan tangan dan mengenakan sedikit sabun oren aprikotnya.

“Kau orang nak tunggu akak ke, nak balik dulu?”, soal Raja selamba. Hanum mengerling ke arah Mila yang baru keluar tandas dan dengan pantas pantas mengambil set toileterries miliknya sebelum berlalu selamba meninggalkan Raja lalu menuju ke biliknya.

“Saya pergi dululah, kak”, pinta Hanum sebelum membuntuti Mila jauh di kekelaman malam. Kelihatan Raja seperti hendak bersuara, tetapi Hanum langsung tidak mengendahkan.

Pintu bilik dikuak perlahan.

“Eh..apasal tak berkunci pulak?”, soalnya dalam hati. Seingatnya, Mila sangat menekankan aspek keselamatan walaupun baru lima minit meninggalkan bilik. Tinggalkan bilik kejap, pintunya sudah di lock dari dalam.

Dia meletakkan set toileterries di bawah katil sambil dia duduk melunjur di atas katil membisu mengenangkan perkara sebentar tadi.

Jelmaan apa yang berdiri, melintas dibelakang aku tadi?
Kenapa dia masuk ke dalam tandas Mila?

Hanum menghela nafas. Hendak ditanya pada Mila, kelibat gadis itu entah mana hilangnya. Baru sesaat lambat mengekorinya dari belakang, lesap pula dia entah kemana.

Pintu tak berkunci! Hish..kalaulah ada pelajar yang mencuri! Tak ke sia-sia?, ketakutannya bertukar amarah sebelum perlahan-lahan telinganya menangkap bunyi seretan selipar dari koridor luar.

Dia menanti dengan penuh sabar dan debar.

Mungkinkah itu Mila??

Pintu yang tidak berkunci, terkuak sedikit menampakkan sosok Raja disertai Mila dibelakangnya!!!!

Ya! Milatul!
Gadis yang keluar beberapa minit awal dari tandas.
Gadis yang diekorinya masuk ke dalam bilik.
Gadis yang diingaitnya sudah berada dalam bilik!

“Kau kenapa, Hanum? Tegang semacam muka, kau?”

Hanum mengambil masa untuk menelan kata-kata Mila. Matanya terkebil-kebil memerhati dua figura yang jelas berdiri, memandangnya dengan pelik.

“Kau kemana? Bukan ke kau dah masuk ke dalam tadi? Dengan pintu tak berkunci?!”, jawab Hanum, tetapi masih dengan riak separa beraninya. Kelihatan dua gadis itu saling berpandangan sesama sendiri. Mila kemudiannya menjawab tegar.

“Bila masanya aku balik bilik? Aku balik dengan Kak Raja lah. Masa aku keluar dari toilet tadi, aku tengok kau dah tak ada. Tinggal Kak Raja sorang”, ujarnya selamba sebelum melompat ke atas katil, membiarkan Hanum melayan perasaan gundah gulananya itu.

Hanun menelan kata-kata itu seperti jadam pahit yang menyesakkan kerongkong.

Patutlah Kak Raja macam hendak menegah aku dari balik ke bilik…Rupanya….

Siapa gadis yang aku ikut tu???

PESANAN: Jika kamu duduk di atas kerusi, jangan perhatikan apa yang ada di bawah meja. Mungkin ada yang turut sama menanti kamu membacakan kisah ini kepadanya…

Thursday, March 03, 2011

Keramat Lima: Korin


Korin

Dari Pengalaman Sebenar: Zaki Zafir

Enam pagi!

Ah! Masak aku bangun lambat lagi. Mampus kalau hari-hari macam ni.

Dia bangun seperti biasa, duduk melunjur kaki di atas katil sambil meliuk-liuk kepalanya ke kiri kanan. Sengal. Dibiarkan rasa sakit itu berlalu. Matanya makin terpejam, melawan rasa kantuk yang kian menebal. Teringatkan pula latihan Matematik yang disiapkan lewat malam tadi bersama Alep, rakan sebiliknya. Bila teringatkan Alep, segera mindanya berputar pada pesanan cikgu disiplin petang semalam tentang rambut Alep yang semakin menutupi mata.

Entah fesyen apa dia ikut, aku tak tahu! Asal budak itu baik dengan aku, aku okey saja.

Dia melangkah malas membawa tuala putih dan beberapa peralatan toiletteris ke kamar mandi. Matanya yang kantuk masih enggan membuka luas. Siaplah kau, mata. Terjirus air sejuk, buntanglah nanti, sumpahnya dalam hati.

Berjalan tanpa melihat lebih-lebih lagi ke kawasan bilik mandi tidak langsung menjadi masalah kepadanya. Dia sudah hafal jalan lurus beloknya bagaimana.

Pintu bilik mandi ditutup dari dalam. Suasana hening di luar, menambah keyakinan bahawa masih ramai pelajar sedang diulit mimpi. Tubuh lekas dijirus air sejuk dari pili yang memuntahkan air bersih. Segar merajai diri. Mata yang kantuk tidak lagi dirasa, hatta dia dapat merasakan hari ini sudah tentunya lebih elok dari semalam.

Gigi digosok perlahan, sambil meratakan air bugar keseluruh tubuh.

Mandi biar basah!

Sepuluh minit membersih diri, dia terus keluar dengan tuala membalut dari pinggang ke lutut sambil matanya memandang sosok Alep yang sudah berdiri terpacak di hadapan cermin bersinki. Rambutnya yang panjang disikat, jurai semakin menutup mata.
Jadah la kau, Alep. Cikgu baru pesan semalam suruh gunting. Kau masih nak berfesyen ke apa?, sungut hatinya semakin tidak senang dengan penampilan Alep yang tak ubah seperti samseng. Boleh hidup pulak tu dengan dua biji mata tertutup dengan rambut!

“Kau masih tak mahu potong rambut tu?”, soal nya dengan nada prihatin.
Alep masih kelihatan tunduk lalu menyikat rambut lebatnya. Tiada balasan bersahut.

“Kan cikgu dah pesan semalam. Nanti apa-apa jadi pada kau, aku tak tanggung!”, balasnya lagi lebih selamba. Rambut yang basah, cuba di kirai-kiraikan supaya lekas kering.

Alep masih tak membalas. Makin rancak pula dia menyikat rambutnya yang kelihatan ikal itu

Bisu ke apa budak ni! Cakap sepatah, haram tak dijawabnya! Tak ada mood, agaknya!

Dalam sangsi penuh amarah itu, dia cuba menyedapkan hati. Makin dilayan si Alep, makin lagha Subuhnya telat. Mujur wudhu’ sudah diambil awal.

Dia melangkah keluar, membiarkan Alep melayan gelodak rasanya. Haih! Takkan buat kerja Math sampai larut malam, pagi-pagi dah kena PMS kot?

Hatinya masih gulana.

Kedengaran pelajar-pelajar lain berdedai dedai keluar dari bilik mandi, bersiap-siap hendak ke perhimpunan sekolah pagi itu.
Fuh! Nasib aku dah mandi. Kalau tak, terpaksa berebut-rebut.

Pintu biliknya dibuka lalu ditutupinya semula.

Pandangan bilik yang gelap tadi, mulai menampakkan sinar suram gemilang mentari yang perlahan-lahan menerobos masuk ke jendela kaca. Barang toiletteries nya diletakkan di dalam almari sambil berpusing melihat katilnya yang separa tidak kemas.

Dan…

Kelihatan seseorang masih berbungkus, sedang terlena di atas katil, sebelah tempat tidurnya.

Entah-entah si Rahmat agaknya!

Suka sangat jadikan bilik aku ni tempat singgah dia sebelum ke bilik air. Tengok aje katil si Alep ni kosong, terus landing tak sedar! Dia ingat ni RnR ke apa?

Tertekan, dia lekas menepuk bahu Rahmat dengan sedikit goncangan.

“Oi! Bangun la..Kau tak pergi sekolah ke?”, tegurnya keras sebelum selubung yang membaluti tubuh itu terselak.

Kelihatan sahabatnya Alep, dengan rambut kusut masai, terkedip-kedip mata memerhatikannya dengan pandangan serba bingung!

Dia…tergamam!

“Sekarang pukul berapa?”

Pertanyaan itu dibiar tidak berjawab lalu tanpa rasa bersalah pada tikar sejadah yang dibiar terbentang di atas lantai, dia memberanikan diri untuk pergi semula ke kamar mandi, menunggu ‘bayang Alep’ yang diperhatikannya lewat sudah mandinya tadi.

Kalau bukan Alep, siapa? Siapa yang menyamar jadi Alep? Menyamar..atau…

Bahunya tiba-tiba terasa digoncang kuat, lantas dia berpaling dengan wajah yang sangat terkejut.

Alep yang kelihatan sudah bertuala menyeringai ke arahnya.

“Kau jumpa hantu ke, bro?”, selorohnya celupar. Dia tidak membalas malah berlalu pergi membiarkan Alep tersengih lucu. Luculah dapat sergah aku pagi-pagi buta! Hantu kau, Alep!

Sepanjang perjalan menuju ke kamarnya semula, membentang kembali sejadah di atas lantai, mindanya berputar ligat mengenangkan Alep yang ditegurnya pagi tadi.

Siapa budak lelaki yang menyerupai Alep, itu?

PESANAN: Jangan pusing ke belakang ketika membaca. Mungkin ada yang tumpang membaca sekali…

Wednesday, March 02, 2011

Keramat Lima: Pelangui


Pelangui

Dari Pengalaman Sebenar: Faz Nandra



“Kamu dah makan, Misah?”

Soalan dari Ibu Minah menerjah ke gegendang telinga wanita bernama Misah itu. Misah tersenyum nipis. Pesanan ibunya, Jaleha terngiang dikepala.

Kamu jangan layan sangat Ibu Minah.

Bila diasak tanya, emaknya hanya menggeleng malas hendak mengulas. Entah apa yang disembunyikan emak, dia sendiri kurang periksa. Baginya, Ibu Minah merupakan perempuan baik, yang selalu menolong orang dalam kesusahan.

Yalah, mungkin gelaran janda yang dimiliki perempuan itu, membuatkan ramai perlu berhati-hati.

“Misah..Misah?”

Suara Ibu Minah membunuh ingatan, menyebabkan dia tersedar seketika. Sekali lagi Misah tersenyum nipis.

“Nah la..ambil amplang ni. Kirim salam sama emak kamu, ya”, desak Ibu Minah sambil tersenyum penuh makna, lalu menghulurkan bungkusan keropok putih, bulat-bulat kecil kepada Misah sebelum meninggalkannya.

Misah menerima dengan paksa.

Aduh! Apa aku nak kata dengan emak ni!

Pasar tani yang disinggahinya sepuluh minit tadi, ditinggalkan segera. Bimbang mulut emak berkicau tak tentu hala.

Rumah papan, separa buluh menjadi tempat berteduh Misah, emaknya Jaleha dan dua orang adik perempuannya, Kamilah dan Hasanah. Emak pantang benar kalau anak-anak dara tak menolongnya di dapur, jadi tidak hairanlah kalau bayangan dua adik perempuannya itu hanya duduk di dapur saja.

“Masa bila Kak Misah balik ni?”, soal Kamilah sebaik saja Misah menjegulkan wajahnya di dapur. Hasanah yang leka mengupas bawang enggan menyertai perbualan kakak-kakaknya itu, malah dia lebih selesa membantu Jaleha mengacau nasi yang semakin mendidih.

“Baru aja”
“Ada bawak ole-ole dari pasar?”
“Kakak pergi beli sayur, bukan membeli belah”

Sindiran Misah, disertai tawa kecil Hasanah. Kamilah mencebik masam, pura-pura merajuk sambil matanya tetap melingas memerhati bungkusan kecil di tangan kiri Misah.

Bungkusan keropok ikan, berketul bulat, berwarna putih.

“Eh! Amplang! Tengok la tu. Tipu! Kata tak ada ole-ole!”, Kamilah masih tak berpuas hati, lekas merampas plastik kecil berisi amplang itu, sebelum memandangnya kecur.

Misah tersentak, lekas menegah
“Ish! jangan, Milah!”
Kamilah yang terasa ditipu, enggan mendengar larangan itu.
“Apa salahnya pulak?”

Misah serba salah. Tapi kenyataan harus diberitahu!

“Ibu Minah beri kakak, masa di pasar tani tadi!”

Kamilah memandang plastik itu dengan mata terkebil-kebil sebelum ekor matanya memerhati ibunya yang turut tercengang dan adik perempuannya yang merenung tajam bungkusan itu.

“Ada sesuatu yang Misah tak tahu, ke?”

Jaleha mengambil bekas plastik amplang itu, lalu melemparkannya ke tanah. Tak cukup dengan itu, dia mengambil cangkul yang disimpan di bawah rumah, mengheretnya kasar, lalu menghancurkan bekas plastic itu dengan tegar.

Amplang di dalamnya hancur berkecai seperti debu.

Ya Allah! Apa semua ni?

“Emak tak mau kamu terserempak lagi dengan Ibu Minah lagi! Faham?”

Keras. Tanpa mempedulikan riak Misah, Jaleha naik semula di atas rumah, mengacau semula nasi di dalam periuknya perlahan-lahan.

Baik Misah, Kamilah dan Hasanah, masing-masing membisu.

“Kamu dah bersuami, Misah. Jaga anak-anak. Jaga suami. Kadang-kadang kejahatan ni tak nampak dengan mata kasar saja”, kias Jaleha sambil mengacau perlahan butir nasi yang semakin mengembang.

Ketiga-tiga anaknya diam, langsung tak menjawab.

“Misah, kamu pernah dengar ‘pelangui’?”

Tidak hanya Misah. Kamilah dan Hasanah turut memberi perhatian.

“Emak kata, benda itu cuma dongengan?”

Soalan Misah dibalas dengan senyuman Jaleha. Dia mengurangkan sedikit kayu api yang memanaskan periuk nasinya. Nasi yang ditanak, semakin masak. Aroma lazatnya menyinggah rongga. Perempuan itu duduk berteleku dihadapan anak-anaknya

“Dongengan yang pada asalnya adalah sebuah kenyataan. Mungkin tak mahu membiarkan kanak-kanak dihantui, maka ceritanya ditukar menjadi dongeng”

Ketiga-tiga anaknya mengangguk.

“Pelangui merupakan campuran manusia dengan syaitan. Mereka ini dirasuk untuk hidup dan menunggu saja jika ada kematian atau wanita yang hamil, menanti mayat atau janinnya untuk dimakan”

“Pelangui ni macam belaan ke, mak?”, Kamilah bertanya dengan wajah sedikit cemas.
Jaleha mengangguk lalu menyambung.
“Sesetengah kata ia dituntut demi melindungi keluarga dan waris. Lain mengatakan, ia boleh diturunkan dari satu keturunan ke satu keturunan dan yang terakhir melalui makanan”

“Makanan?”
Misah dan Hasanah bertanya serentak. Jaleha mengangguk sekali lagi.
“Melalui perkongsian makanan..lebih-lebih lagi garam”.
Ketiga-tiga gadis itu berpaling sesama sendiri sebelum melihat amplang yang lebur di tanah.

“Sebab itulah emak..buang..amplang..tu?”

“Kita perlu berhati-hati. Ada waktunya kita perlu berjaga-jaga”

Misah dan dua saudaranya lagi memegang kata-kata ibunya dengan penuh hemat.

Bila pagi berganti petang, suasana kampung semakin suram sebelum kelihatan suami Misah pulang dengan motor cabuknya lalu diparkirkan di tepi rumah. Misah menyambut suaminya dengan senyuman manis.

“Isteri abang macam mana harini?”
Misah membalas dengan senyuman lawa. Mata sepetnya dikerdip berkali-kali.
“Baik-baik saja, bang”, jawab Misah sebelum menyambut beg dari suaminya.

Seketika, dia bagai terperasankan susuk seseorang sedang berdiri tidak jauh dari laman rumahnya. Susuk yang kelihatan sangat kurus, rambut sedikit kusut dengan senyuman sinis terukir di bibir.

“Misah apa kabar?”

Susuk itu bertanya sebelum suami Misah berpaling lalu tersenyum hormat.

Kelihatan Ibu Minah tampak tak bermaya, tetapi mengagahkan diri berjalan berdikit menghampiri pasangan suami isteri itu.

“Misah baik-baik saja. Ada apa datang ni, Ibu?”, soal suaminya prihatin sambil memerhati suasana alam yang semakin kelam menuju senja.

Ibu Minah membalas senyuman. Matanya sedikit membesar apabila memerhatikan bonjolan perut Misah yang tampak sedikit membuncit.

“Kandungan Misah dah sampai lima bulan, ya?”

Misah memandang suaminya ketakutan. Tercengang. Macam mana Ibu Minah boleh tahu???

“Kamu mengandungkan anak perempuan, kan?”

Kali ini bukan Misah saja yang dihimpit rasa cuak, suaminya turut memandang aneh perilaku Ibu Minah yang dirasakan meracau tidak tentu hala.

“Misah, ajak suami kamu naik. Sudah senja ni. Tak baik duduk lama-lama di laman”, perintah Jaleha yang terjengul muka di balik tingkap, memerhatikan perilaku Ibu Minah yang sangat mencurigakannya.

“Kamu pergi balik, Minah. Ada yang menanti kamu, disana”

Ibu Minah memandang hampa Misah yang sudah naik ke atas rumah sebelum melemparkan jelingan tajam kepada Jaleha.

Suatu hari nanti, Misah akan jadi kepunyaanku!

Ibu Minah berlalu sambil kepalanya didongakkan di langit sebelum berjalan meninggalkan laman rumah keluarga Jaleha.

“Kita perlu lindungi Misah! Kita perlu lindungi dia!”

Misah buntu. Dipandang suaminya yang turut mengangguk bersetuju dengan cadangan ibunya sendiri.

Perlindungan apa? Daripada siapa?

“Apa yang emak cakapkan ni?”

Jaleha menarik nafas dalam-dalam. Wajah cemas Misah ditenungnya betul-betul.

“Kalau kamu sayangkan anak kamu, keluarlah dari kampung ini. Pergilah tempat yang lebih selamat”

“Mak! Misah tak faham!”

“Ibu Minah inginkan anak kamu! Dia mahukan anak kamu demi Pelangui yang merasuki dirinya tu!”
“Pelangui yang mak bualkan pagi tadi?”

Jaleha mengangguk.

“Kamu perlu berpindah. Pindah sebelum Pelagui kepunyaan Ibu Minah mengganas”

Suami Misah bergelodak nafas, saling memerhati isteri dan ibu mertuanya silih berganti.

“Tak ada cara lain untuk menghapuskan Pelangui tu?”

Jaleha resah. Mindanya kemudian berputar terkenangkan Tok Guhara, pawang terkenal kampung yang berkemungkinan berupaya menghapuskan pelagui bedebah itu.

“Biasanya si Pelagui-Manusia ini akan diberi minum air tembakau. Selepas itu, ia akan muntah kuning dengan sangat banyak sebelum memuntahkan seekor burung pipit. Jika masih anak, Pelagui dikira masih belum cukup matang dan sebaliknya. Sesudah memuntahkan burung pipit, burung tersebut perlulah di tanam dengan segera! Emak rasa, tak tahulah sempat atau tidak kalau nak mengubati Ibu Minah!”

Misah semakin resah.
“Kalau tak, kenapa mak?”

Jaleha menjawab perlahan. “Kalau tidak diubati, Pelagui akan sanggup menggali kubur semata-mata mahu memakan jasad yang sudah mati dan paling menakutkan, di akhir kitar Pelagui, ia akan bertukar menjadi balan-balan!”

“Kamu berdua tinggal satu malam disini. Esok baru pindah. Emak bimbangkan keselamatan kamu berdua”, cadang Jaleha dan tanpa membantah, kedua suami isteri itu menurut demi keselamatan mereka.

Malam semakin larut.
Pungguk berbunyi dalam sayu yang sukar dimengerti.

Misah masih terbaring di atas katil, dengan si suami yang sudah terlena lama.

Fikirannya masih berkecamuk menerima tentang keanehan Ibu Minah dan kaitannya dengan Pelangui. Ibu Minah sangat baik, tetapi kenapa sampai dirasuk begitu?

Misahhh…
Misahhh..

Aku datang…

Seperti sayup bisikan, satu suara halus menerjah gegendang telinga. Misah jadi tak tentu hala. Matanya segera dipejamkan.

Kedengaran bunyi berdenting di atas bumbung sebelum disertai hilai tawa yang menyeramkan…

Misah menutup matanya rapat-rapat

Ya Allah, Jauhilah aku dari Syaitan yang direjam…

Tuesday, March 01, 2011

Keramat Lima: Sick Bay


Sick Bay

Dari Pengalaman Sebenar: Nuke Rude


Done!

Noktah di hujung nama pelajar junior tingkatan tiga itu merupakan titik akhir perbincangan mereka pada malam ini.

Mata semakin membeban lalu alatan tulis dikemas masuk ke dalam bekasnya dengan tidak teratur. Kalau ikut hati, mahu saja dia tinggalkan supper, langsung ke atas katil merebah tidak sedar untuk kelas esok pagi.

Kata hati berperang. Baik kau ke Dewan Selera. Mana tahu ada makanan sedap.

Seorang demi seorang kawannya pergi, meninggalkan dia yang masih sibuk mengemas.
Tinggal aku sorang! Tak guna sungguh!

Bekas pensil dicampak lekas ke dalam beg yang menampakkan kaset Avril Lavinge dan dua buah buku latihan tipis. Sekali rentap, beg itu melayah ke bahunya sebelum dia berjalan pantas menuju ke arah switch lampu sebelum memadamkan isi bilik Lima Beta yang menjadi perkampungan dia dan rakan-rakan lewat perbincangan untuk program suai kenal Junior-Senior, program tradisi sekolahnya.

Dia bergerak pantas menuruni tangga, lalu keluar dari Bangunan Akademik dengan hati yang tenang. Ya. Lagaknya seperti berani dan mungkin juga kedengaran agak poyo.

Tapi siapa kisah?

Aku jalani hidup sendiri tanpa kacau siapa-siapa.

Tiba-tiba…

Kedengaran bunyi berdesir menangkap telinga.

Dia meneruskan langkah. Menarik nafas lalu menghembus perlahan.

Bunyi berdesir seperti hembusan kedengaran lagi. Kali ini jelas seakan dibelakang tengkuknya saja.

Dia berpaling pantas.

Koridor belakangnya kelihatan kosong
Tiada sesiapa!
Hanya cahaya bulan samar-samar menerangi kelam malam yang kian memekat.

Dia kembali pada posisi asal. Meneruskan langkah dengan pantas sebelum melepasi perpustakaan dengan gusar hati yang semakin bertandang.

Namun, perasaannya berbelah bahagi menerjah sekali lagi.

Ah! Kenapa beg aku berat pulak, ni? Takkan dua buah buku, kaset dengan alat tulis, beratnya dah macam pikul batu?

Dia berjalan tegar, tetapi sedikit pantas, mempedulikan bahunya yang agak sakit kerana memikul beban yang tidak tahu apakah puncanya. Semakin difikir, beban serasakan bertambah.

Kelihatan dari kejauhan, lampu terang di Dewan Makan memancar menyimbah keliling yang gelap. Hatinya lega sedikit. Ramai pelajar berpusu-pusu menunggu giliran untuk mengambil supper malam yang disediakan, tak terkecuali dia.

Aroma bihun rebus menerjah rongga hidung, menyentak perut yang berkeroncong lapar. Mangkuk yang dihulur, disambut pantas sebelum mengambil tempat bersama kawan-kawannya yang masing-masing menyeringai jahat.

“Dajal kau orang! Saja tinggal aku sorang, ya?”

Senyuman jahat berganti tawa kecil yang sinis.

“Kau kan konon-konon berani!”, kata salah seorang dari mereka sebelum disertai tawa yang lain.

Bedebah! Saja nak kenakan aku!

Enggan mengambil hati, dia percepatkan makannya sebelum berjanji dengan beberapa rakan lain untuk menyambung kembali perbincangan tentang aktiviti suai kenal untuk pelajar junior keesokkan malamnya.

Mata mula merasa kantuk yang teramat, sebelum berjalan melewah menuju asrama Blok D, bersebelahan Blok C. Mujur juga penghuni Tingkatan Lima sudah ditempatkan di aras bawah.

Senang sikit aku nak landing. Tak payah susah-susah naik ke tingkat atas, selorohnya sambil memerhati beberapa rakan-rakan lain yang turut masuk ke dorm masing-masing.

Jam tepat menunjukkan pukul 12.50 tengah malam tatkala dia masih duduk berteluku di atas sejadah sesudah menunaikan Solat Isyak. Mata yang mengantuk masih boleh dibendung, lalu memerhatikan tingkap kaca yang awal-awal lagi sudah ditutup oleh roomatenya, Zurairie.

Penakutlah tu! Bukak la sikit, bagi angin masuk ke…

Dia bangun, melipat sejadah sebelum sekali lagi memerhatikan tingkap kaca itu dengan perasaan gelodak yang mulai berperang dalam hati.

Entah mengapa, hatinya bagai mendesak untuk membuka sedikit tingkap yang tertutup itu, mahu meneroboskan sedikit hembusan bayu pada bilik yang dirasakan agak bahang.

Minda berfikir. Makin fikir…makin sesak.

Makin ditimbang, makin serabut perasaan.

Ah! Buka sajalah. Tak ada apa-apa pun, hatinya berdetik. Akalnya mulai berkira-kira enggan.

Ah ikut saja kata hati. Bukan ada apa-apa pun.

Seminit berlalu.
Kehendak mengalah pada hati, lalu dengan berani, menguak tingkap berkaca dan jelas menampakkan ampaian yang setentang dengan biliknya selain dewan makan yang suram gelap dihimpit malam yang memekat.

Bayu yang dihajati, bertiup menampar pipi. Nyaman.

Tetapi…
Tunggu dulu…

Apa yang ‘putih-putih’ tu?

Makin lama ditenung, roma dibelakang tengkuk makin rancak merinding berdiri.
Makin diperhati, lembaga putih itu terapung perlahan-lahan menuju ke arah Sick Bay, di hadapan Dewan Selera.

Tangan yang sedari tadi gagah menguak tingkap berkaca, dirasakan lemah. Kaku tak berdaya.

Mata yang dirasa mengantuk, buntang kaku memerhati lembaga putih yang melayah rendah melepasi Blok D lalu menuju ke Blok C-asramanya sebelum terapung perlahan, betul-betul di ampaian—tempat matanya memandang sekarang ini!!!

Lembaga serba putih, sedikit kekuningan itu bergerak perlahan menuju ke arahnya. Banyangannya yang samar-samar tadi, makin jelas dipenglihatan.


Tangannya bagai tidak berdaya untuk menutup kembali tingkap berkaca itu.
Hati semakin cemas. Cuak mula merajai diri, lalu perlahan-lahan dia menarik nafas, lalu merentap tingkap kaca dengan sepenuh tenaga, menutupnya dengan sangat kuat.

Nafasnya kencang. Menyesal mengikut kata hati, lalu tanpa perlu disuruh, dia lekas menuju ke ranjang, merebahkan diri sambil menutup mata setenangnya.

Krek…
Krekk..
Krekkkk..

Kedengaran bunyi seolah tingkap dicakar dengan kuku yang panjang.

Mata dikatup serapatnya.
Bunyi cakaran semakin kuat kedengaran.

Dia cuma berserah.
Ayat Kursi mulai merajai dua ulas bibir. Al Fatihah mula dihafaz sebaik mungkin. Surah-surah lazim mulai bermain dengan tertib.

Bunyi cakaran itu semakin menggesek-gesek permukaan kaca.

Bagai ada satu perasaan berang, dia berkata perlahan ‘Aku tak kacau engkau. Jadi, kau jangan kacau aku. Tolong pergi!’


PESANAN: Pastikan tingkap tertutup rapat. Pedulikan bunyi gerutan di cermin tingkap. Barangkali ada yang mahu menumpang membaca sama…

Sunday, February 27, 2011

Keramat Lima: 47 Seconds Promo



Promo untuk siri terbaru, Keramat Lima, disiarkan pada 5 malam berturut-turut, bermula 1 Mac 2011, jam 7 malam

Terima kasih kepada 5 blogger yang turut bersama-sama berkongsi pengalaman mereka.

Untuk korang, jangan lupa baca, Ok!

Background music: From A Motion Picture of 'Black Swan'

Sunday, February 13, 2011

Pandang Belakang


Salam

Ahad yang sudah menghampiri hujungnya. Hujunglah sebab hari sudah petang.

Mengimbau kembali Ahad-Ahad yang lepas, terutama waktu sekolah dan sesi perkuliahan di Universiti beberapa tahun sudah--menjanjikan suatu memori yang paling tidak terganti.

Mana nak gosok baju, mana nak siapkan kerja rumah, mana nak mengemas buku---perbuatan yang jelas untuk memastikan perjalanan ke sekolah esok harinya tidak terganggu macam stoking cari tak jumpa pada pagi Isnin and my late mom-akan-membebel -sebab -aku -tak -siapkan-awal-awal.

Padan dengan muka aku, kan?

Bila dah bekerja, hari Ahad selalunya dirai dengan penuh kenikmatan, per-say duduk lepak di rumah sambil tonton Nona. Wakakakakaka..

Literary means, Ahad selalunya disimpan sebagai hari rileks sebab quality times cause we get so few of them, right?

Hendak-hendak yang memang kena bekerja pada hari Sabtu. Sesuatu yang membazir kalau keluar rumah hari Ahad tanpa hala tuju--melainkan ke kenduri kendara majlis majlis kahwin.

Ahad beginilah aku nak menghabiskan masa dengan mencari waktu tidur yang berkualiti. Bukan kuantiti yang dicari. FAKTA: Kalian bukan tidur (sleep) jika tidur itu hanya memakan masa 6 jam. Itu dipanggil Nap. Tidur, secara teori mengambil masa selama 8 jam.

Tapi bila petang, aku akan fikir..

Bila lagi aku nak dapat Ahad yang berkualiti macam ni? Muehehehehe

Selamat menghabiskan baki Hari Ahad!

Promoting new five episodes horror mini series: 'Keramat Lima'.
Akan Datang.



TRIVIA: This is the first series in 2011 selepas aku menulis siri seram 'Seru' (Jan-Feb 2010) dan kolaborasi 'Loro:Jilbab Chendana' (Ogos-Nov 2010)

Monday, March 29, 2010

PROLOG: PROSA BERMULA



Saat mentari merah mula hendak tenggelam di ufuk timur, kelihatan batas-batas sawah yang mulai menguning tunduk patuh seperti resminya. Angin berpuput mesra, menampar-nampar lembut jasad yang berlanggar dengannya dan kelihatan empat batang tubuh berdiri kaku. Tatkala si gadis lengkap berpakaian cantik, berbaju pengantin hijau muda dengan jilbab yang menyarung litup kepalanya sedang mengejar seorang lelaki bersongkok, berbaju melayu sedondon dan dalam keadaan penuh kekalutan itu, mereka terserempak dengan seorang lagi lelaki yang berwajah terkejut bersama seorang wanita sempurna selindung auratnya sambil memandang situasi itu bagai tidak percaya.

Dan keempat-empat mereka bertemu pada satu takdiran yang tidak disangka. Kala sebuah prosa cuba digubah dalam hati yang penuh gundah

Amir Naufal
Saat tiga kali dipermainkan cinta, dia pasrah. Hanya pada Tuhan dia bertanya, dalam setiap kali sujudnya agar jodohnya segera dipertemukan. Menikmati hidup bahagia berpasang-pasangan seperti khalifah Tuhan yang lain. Namun, ketika hati bertemu sang Hawa idaman, dia harus pasrah yang si Hawa itu bukanlah miliknya. Si Hawa itu bukan dicipta dari rusuknya.

Zulaikha Wirdani
Dibesarkan dalam suasana muslimah sejati dan dalam kelompok keluarga dimana si ayah menentang tindakannya untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi. Bagi Ustaz Rahimmi, perempuan hanya layak duduk di rumah, menjaga aurat diri dan memperhias demi suami. Dan Zulaikha harus taat dengan kata-kata ayahnya walaupun dia tahu, ia ibarat belati berbisa menghiris-hiris tajam. Kata hati Zulaikha bukanlah pemutus segala.

Iman Shakirin
Hasratnya untuk memiliki Zulaikha bagai bulan jatuh ke riba. Akan disemai rasa cinta, dipupuk kasih sayang malah Zulaikha akan dijaga dan ditatang seperti janji dimetrai kepada Ustaz Rahimmi. Dia mahu menebus segala kesalahan lampau yang pernah dilakukannya dan apabila dia mendapat tahu perasaan Zulaikha tidak pernah ada untuknya, Iman redha. Walau hatinya redam, Zulaikha akan tetap dikenang..

Ummi Syafiqa
Dia pernah dikasari, dipermaikan lalu dikecewakan oleh lelaki. Tetapi cinta dan kasihnya tidak pernah luak dan luntur malah dia menganggap semua itu adalah ketentuan hidup, sehinggalah dia bertemu dengan pilihan hati yang dirasakan layak untuknya. Tatkala umurnya jauh berbeza, dikala hatinya berperang dengan kehendak kasih sayang alami seorang manusia dan umpat keji sekeliling yang mula memandang rendah darjatnya, dia akur dan redha..

Dan manusia-manusia ini saling berkait, menanti kelangsungan hidup dengan penuh mengharap. Antara takdir dan keinginan juga antara kehendak dan impian. Dan seperti selalu di dalam pusingan hayat manusia, apabila Kun Fayakun dititip, maka terjadilah seperti kehendak-Nya.

Manusia mampu merancang, Dia akan tentukan...

Membuka tirai penuh, Khamis 1, April 2010;)

Monday, March 15, 2010

KISAH SEBUAH PROSA



Salam;

Sebuah kisah cinta.

Err.. sebenarnya tak percaya aku akhirnya boleh menulis kisah nih. Serius beb!. Aku lebih suka membikin genre thriller slasher seperti trilogi Oktober 7, kisah drama komedi gelap 7Hari maupun kisah seram dalam Seru.

Tapi dalam Prosa Cinta Amir Naufal ni berbeza. Sangat berbeza!

Ia tentang kisah antara kesetiaan dan keterpaksaan Zulaikha Wirdani dalam menempuhi perkahwinan, dilema Amir Naufal dalam mengenal dan mencari cinta dalam setiap sujudnya setelah dikecewakan serta belas ihsan Ummi Syafiqa dalam mengharapkan sinar cinta dalam meniti usia yang semakin memanjat..

Ewahhh..kiranya aku sedang selongkar perihal cinta dalam diri yang konon-konon keras macam kerikil! Aiceh!

Ini teaser poster saja.

InsyaAllah akan datang menjelang April ini, bermula 1 April 2010 ;D

Ini satu percubaan. Harap kalian menyokongnya;)

FaizalSulaiman'sFootNote:---)Jom join kontes. Klik sini

Tuesday, February 16, 2010

POST MOTERM: SERU

Salam;

Mini siri seram Seru sudah melabuhkan tirainya pada Ahad lepas, Februari 14, 2010. Lewat sikit dari jangkaan aku yang sepatutnya ia berakhir 7 Februari, 2010. Jom kita bedah siasat sepanjang penyiaran 12 episodes mini siri pendek nih.

1) Idea untuk membikin 4 cerita berbeza dalam Seru adalah pinjaman dari sebuah filem terkenal Asia, Three arahan Peter Ho-Sun Chan, Nonzee Nimibutr dan Kim Jee Won. Pinjam konsep saja. Tapi jalan cerita adalah sepenuhnya garapan aku.

2) Tajuk2 Seru saling berkait rapat dengan tajuk-tajuk setiap cerita seperti ObseSi Isadora (S), MEmori (E), Jalan AkhiR (R) dan Ummi (U). Tajuk berbeza, tetapi perjalanan watak dan kaitannya saling berkait dengan satu dengan yang lain.

3)Cerita ini juga dibahagi kepada empat latar berbeza iaitu "seorang isteri yang tidak menyedari yang dia sudah mati", "pelajar kolej yang mempunyai masalah mental", "ibu tunggal yang sanggup berkorban demi anaknya" dan "penantian seorang ibu menunggu kepulangan anaknya untuk memohon maaf atas kesilapan lampau"

4) Jalan cerita untuk setiap 3 episod tajuk juga berbeza. Teknik "puzzle" untuk Jalan Akhir, Teknik "monolog" untuk Obsesi Isadora, Teknik "imbas semula" untuk Memori dan Teknik "linear dan twist di hujung penceritaan" untuk Ummi.

5) Mini siri ini ditulis pada 14 Disember 2009. Disiarkan untuk bacaan pada 2 Januari, 2010 dan tamat ditulis pada 14 Februari, 2010.

6) Idea untuk menulis siri ini sebenarnya semenjak November 2006, dengan working title "Aneh". Namun pada 12 Disember 2009, barulah plot cerita dikembangkan semula (untuk Jalan Akhir dan Obsesi Isadora sahaja kerana Memori mempunyai penceritaan yang lebih kurang sama dengan filem seram pengarah Osman Ali-Puaka Tebing Biru (iaitu kisah dua kawan yg terpisah, kemudian kawannya datang dlm hidup untuk memberi petunjuk yg dia sudah mati sort-of). Jadi aku construct semula kisah Memori. 2 Januari 2010 barulah Memori dan Ummi (hanya 2 episodes saja) dapat disiapkan. Walaubagaimanapun, Ummi akhirnya dapat dihabiskan (episod 3) pada 14 Februari 2010. Alhamdulilah;)

7)Seru bukan sekadar hiburan tahyul hantu2 bagai semua. Tapi mengingatkan kita bahawa selagi kita ada berbuat salah, balasan setimpal akan menanti. Syaitan itu adalah musuh Allah yang paling nyata dan janganlah sesekali kita berpaling tadah kepada ajaran-NYA.

Alhamdulilah, mini siri Seru gak mendapat sambutan dari korang yang membaca (jika dibandingkan dengan 7Hari.) Terima kasih daun keladi. Sila skrol ke bawah semula jika ingin membaca. Buat 'Aqilah, Iyllienaz, Frodo Baggins, Nuke Rude, Miss Kedondong, Hans, Mr Homosapiensz, Anuar Kamaruddin, Juliana dan Bard, mahupun mana2 silent readers yang pernah membaca this piece, thank you so much

Thanks juga bagi mereka yang mengundi ke empat2 cerita nih. Personally, aku suka Obsesi Isadora berbanding yang lain. Korang?

FaizalSulaiman'sFootNote:--)Lepas ni aku nak cuba genre apa lak ek?ada cadangan??hehe

Sunday, February 14, 2010

SERU: UMMI -EPISODE 3-


Buat kali terakhir dia tergamam antara sedar atau tidak dia terjaga dari tidurnya. Dia masih terkenang ngeri mayat Azura dikeluarkan dari keretanya yang sudah remuk dahsyat mahupun perkhabaran yang ibunya, Fateha sudah kembali ke Rahmatullah sehari yang lalu. Sebagai anak, dia harus pulang ke kampung. Menguruskan apa yang sepatutnya. Tatkala mengemaskan barang-barangnya dengan lincah, kata-kata budak perempuan yang bernama Suri masih terngiang-ngiang di telinganya.

“Ibu abang sudah meninggal dunia semalam. Dia mahu sangat minta maaf dengan abang atas kesilapan lampau!.

Fazmi duduk semula. Mengingati perbualannya dengan Suri kelmarin. Berhenti seketika dari mengemas barang-barangnya. Dia duduk tegak di atas katilnya. Memang ada perbalahan antara dia dan ibunya. Tetapi perkara itu sudah lama berlaku. Dan dia sudahpun memaafkan ibunya atas kesilapan itu.

Tak ada guna anak beranak bergaduh kerana sesuatu yang tidak masuk akal!

Dia melangkah keluar dari rumah. Mengunci pintu rumahnya dengan yakin lantas mula bergerak dengan Proton Wira merah gelapnya dengan redha, menuju ke Jalan Mawar, kawasan rumah teres yang disewa ibunya. Di dalam kereta dia hanya senyap membisu. Inilah kali pertama hidupnya benar-benar sunyi. Ummi adalah segala-galanya buat dia!. Dan kerana itu juga, dia tidak mahu cengeng walaupun hatinya ingin menangis semahu-mahunya!.

Rumah bercat biru laut sudah kelihatan dari jauh. Kelihatan juga beberapa orang pihak polis masih mengawal ketat sekitar rumah ibunya. Dia mula memperlahankan kenderaannya, lantas mengambil keputusan untuk memarkir keretanya dibelakang sebuah kereta polis.

Fazmi turun dari kereta dengan hati hati sambil tersenyum nipis dengan seorang anggota polis yang sedikit besar tubuhnya. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Tuan Omar.

“Ibu encik dipercayai dibunuh ketika beliau hendak ke luar rumah untuk ke pasar. Kebetulan, pemilik asal rumah ini, Taukeh Seng ingin mengutip wang bulanan sewa rumah.”, ujar Tuan Omar sambil menunjukkan seorang lelaki Cina yang masih tergagap-gagap hendak menjawab pertanyaan seorang anggota polis. Fazmi yang kelihatan benar-benar terkejut berpaling ke arah lelaki Cina itu kemudian memandang kembali wajah serius Tuan Omar.

“Boleh..boleh saya tengok mayat Ummi?”, katanya cuba melindungi gugup sedihnya di balik suaranya yang sudah kedengaran bergetar. Tuan Omar mengangguk perlahan.

“Mayat beliau sudah dibawa ke Hospital Besar untuk bedah siasat. Encik bolehlah ke sana”, sambung Tuan Omar sambil memaut bahu Fazmi dan menepuknya lembut.

“Sabarla encik. Kami akan sedaya upaya mencari pembunuh ibu encik”, ujarnya lagi sebelum berlalu pergi bertemu pegawainya yang mengambil keterangan dari Taukeh Seng. Fazmi melihat ruang depan rumahnya dengan jelas sebelum berniat untuk ke Hospital Besar dengan segera. Dia membuka pintu keretanya dengan perlahan. Duduk di hadapan stereng dengan cuba mengawal emosinya.

Dia mengeluarkan sesuatu seperti kertas dari poket kemejanya. Sesuatu yang kelihatan sudah renyuk dan hampir lunyai lalu membacanya perlahan.

Seketika kedengaran satu suara halus dari belakang tempat duduk keretanya. Suara seorang perempuan…

“Kau bergaduh dengan ibu kau semata-mata mahu mendapatkan aku, Fazmi?”, kata suara halus itu kedengaran seperti berbisik. Fazmi senyum sambil mendengus.

“Ummi takkan mampu membela kau, Wangi!. Aku mampu menjaga kau. Darah yang kau perlu. Itu saja!. Ummi sudah menjaga kau sekian lama. Dia memang tidak mahu menyerahkan kau pada aku, Wangi. Bimbang harta dan wangnya akan putus!”, kata-kata Fazmi kedengaran tamak.

“Ibu kau menggunakan aku untuk keselamatan keluarga sahaja. Tidak lebih dari itu, Fazmi. Dan jamuan aku hanyalah makanan biasa manusia yang sememangnya aku tidak gemarkannya!. Ayam panggang dan pulut kuning!. Kuasaku terbatas!”, keji Wangi dengan suara yang sudah mula meninggi!.

Fazmi walaubagaimamapun langsung tidak merasa gentar.

“Sabar Wangiku, sayang!. Kau sudah ku jamu dengan darah Ummi. Kau juga sudah ku jamu dengan darah Azura. Tak sia-sia aku menyeru engkau, Wangi!”, bingkis Fazmi lemah lembut. Wangi tertawa kecil. Tiba-tiba bau haruman kemboja menusuk lembut ke rongga pernafasan dan Fazmi tahu bahawa itu adalah isyarat gembira saka keluarganya, Wangi.

“Kau perlu berkhidmat denganku. Kau akan ku jamu dengan darah kegeramanmu. Dan setiap kali kau ku seru, datanglah dikau berdamping denganku. Mentaati perintahku, Wangi!”, kata lelaki itu angkuh. Wangi semakin gembira. Harumannya makin menyucuk-nyucuk hidung.

“Manusia dan kebodohannya. Dan aku syaitan tidak pernah akan berhenti dari menyesati kamu!. Kau akan bersama-sama ke Neraka bersamaku, Fazmi!”, bisik Wangi perlahan dan hanya menunggu waktu bilakah Fazmi akan menyuruhnya membunuh lagi. Fazmi membunuh ibunya, membunuh kekasihnya dan tak mustahil lelaki ini akan membunuh dirinya…

TAMAT

Anda Mungkin Menyukai

src="http://www.linkwithin.com/widget.js"> Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
The views of the writer is his own, and do not in any way reflect the views on other sites affiliated with this site or any other members of this site. It is your OWN RISK by reading all the entries. Please note that all works include short stories and online novels published in this site are written by the writer. You may share all the articles, but you've must consult with the writer first.
Any inquiries, feel free to email the writer on faizalsulaiman85@gmail.com
ALL RIGHTS RESERVED