Hati sudah bulat untuk ke
Singapura minggu lalu bagi menonton air tangan pengarah filem Hindi kegemaran,
Sanjay Leela Bhansali. 10 tahun aku tunggu filem ini akhirnya aku disajikan
dengan tatapan visual yang cukup mengagumkan sekali gus percaturan pergi balik
hari itu sungguh berbaloi (juga antara paling gila aku pernah buat sepanjang
hidup)
Muzik pembukaan filem ini
menyamai stail Bhansali terdahulu seperti Ram Leela namun tidaklah sebagus
Devdas dan tidaklah seringkas Bajirao Mastani. Filem ini mengambil latar
lagenda yang didasarkan daripada syair tulisan Malik Muhamad Jayashi tentang
penaklukan Sultan Alauddin Khilji ke atas Rajput kerana terpesona dengan
kejelitaan Padmavati, isteri kepada Ratan Rawal Singh (Ratan Sen), pemerintah
Rajput ketika itu.
Sebagai sebuah filem berskala
besar, Padmaavat ternytata tidak mengecewakan. Baik daripada kelincahan
Padmavati memburu, set dekorasi yang grandeur, kostum yang menarik, gemerencing
gelang kaki dan barang kemas perhiasan watak-watak mahupun tarian Ghoomar serta
sinematografi yang memukau. Ia lengkap. Dialog-dialog tulisan Prakash R Kapadia
juga mencengkam, mendalam dan subtle. Aku paling sukakan babak klimaks filem
ini. Berseni. Ia terus mengingatkan aku kepada filem pengakhiran filem Devdas
dan aksi kejar-mengejar Aishwarya Rai dengan sari berterbangan. Epik!
Watak kegemaran aku dalam
Padmaavat adalah Mehrunnissa lakonan Aditi Rao Hydari. Emosinya cukup cemerlang
walaupun di dalam beberapa babak sahaja. Matanya memainkan emosi yang sangat
baik dan membolehkan audien memahami gelojak Mehrunnissa yang dahagakan kasih
sayang suaminya Alauddin Khilji.
Padmaavat hadir dengan tiga
bintangnya yang bersinar. Lakonan hebat Deepika Padukone-Ranveer Singh-Shahid
Kapoor, set megah yang cukup mengagumkan dan persembahan berkesan Aditi Rao
Hydari dan Jim Sharbat yang cukup cemerlang. Jujurnya tidak ada babak yang
menyinggung aku sebagai muslim walaupun pameran Khilji sebagai muslim nampak
sangat kejam.
Aku berpendapat bahawa, dalam beragama, sikap jahat manusia tidak
mewakili agama apa yang mereka anuti. Ada Buddha yang jahat, Kristian yang
jahat malah Muslim yang jahat. Kita yang boleh berfikir, nilaikan mana baik
buruknya. Ya, aku masih terkesan dengan sikap LPF melarang filem ini dari
ditayang umum. Kita tunggu filem The
Shape of Water kelak. Kalau filem itu lepas, pastinya ada rompong dalam sistem
penapisan filem kita. The Shape of Water ; mempamer beastality dan mempunyai
babak seks manusia dengan raksasa hidupan air.
SCORE: 4/5
Tweet