Imam Wafi menutup Al Quran nya dari atas pengalas rehal kayu yang sudah berbelas tahun dalam simpanannya. Saat Quran disimpan, matanya tertangkap gambar keluarga kecilnya. Isterinya, Wan Aminah dan anak perempuannya Zulaikha Wirdani. Mengimbau kembali kenangan dua puluh tiga tahun sebelum kehadiran Wirda, anak perempuannya hatta bukti penyatuan cinta suci antara dia dan isteri tercintanya.
Tiga tahun mereka berkahwin. Tetapi langsung tidak dikurniakan dengan cahaya mata. Ikhtiar diusahakan. Mereka suami isteri mencuba dan terus mencuba sehinggalah suatu hari, dia bernazar ingin mengorbankan seekor qibas, membuat kenduri doa selamat jika isterinya, Aminah hamil. Alhamdulilah! Kuasa Allah Maha Esa. Isterinya hamil juga di tahun ketiga perkahwinan. Malah, sepanjang sembilan bulan sepuluh hari, Aminah mengandungkan bayinya, mereka berdua sudah menatangnya dengan penuh kasih sayang. Setiap kali solat, mereka akan mendoakan yang baik-baik buat bayinya.
Mengamalkan minum air bacaan Surah Yaasin sepanjang kandungan isterinya, malah menurut segala permintaan Aminah yang dianggapnya kebiasaan orang mengandung. Pernah sekali Aminah ingin benar makan Durian Belanda. Jenuh jugalah dia ke pekan mencari buahan itu.
Malah, jika ada kelapangan, dia sendiri akan membacakan Surah Maryam, Surah Yusuf juga Surah Luqman dengan lengkap tajwid, terjemahan serta tarannumnya. Dia tidak ambil pusing dengan semua itu. Apa yang dia mahukan, bayi yang akan dilahirkan Aminah, sihat lantas dilengkapi dengan jati diri Islam dan Muslim yang utuh, soleh, kamil dan berperibadi molek.
Tidak Islam pada nama sahaja.
Tanggal enam November bersamaan dua Ramadhan, tiga tahun selepas pernikahan mereka, seorang bayi perempuan berteriak nangis selepas si ibu menahan sakit perit melahirkannya. Lima minit selepas dibersih sucikan, anak itu diletak dipangkuannya dan dia yang bergelar ayah merenung penuh kasih. Menguntai sejuta sayang pada anak, darah dagingnya sendiri. Mengucup pipinya yang mulus dengan haruman bayi terus menusuk ke rongga pernafasan.
Airmatanya lekas hendak merembes. Mulianya ciptaan Allah atas seorang yang hina bernama manusia.
Betapa kau bayiku, sudah membuat sumpah pada Allah, di dalam rahim ibumu supaya taat akan perintah Nya sehingga nyawa kau ditarik Izrail entah bila masanya.Dan aku, ayahmu berjanji mahu menentukan hidup kau, anak. Supaya kau tidak tersasar. Supaya kau tidak sesat. Supaya kau membesar menjadi insan yang dimuliakan Allah dan mati sebagai mukmin sejati. Kerana aku tidak selamanya menjaga kau, anak. Kau perlu berdikari untuk kelangsungan hidup. Malah kau, anakku tidak akan tahu buruk baik diluar sana yang mengerogoti jiwa kau hingga kau hilang cinta kasih sayang, perasaan merendah diri, sabar dan bijaksana akal dalam bertindak malah pendirian beragama bila badai cabaran menghumban ranap tembok keimananmu.Dia masih mengenang saat manis, ketika isterinya terlena sambil dia memangku jasad kecil berkelubung dengan mata terkatup rapat. Alis kening bayinya, tebal berbentuk sepertinya. Alur bibir kecil merah yang mungil mengingatkannya kepada bibir Aminah yang mekar cantiknya. Dia menghembus nafas kelegaan. Permintaanya dikabulkan Allah. Nazarnya direstui Ilahi. Lantas dengan penuh tawadhuk, dia menghela nafas lantas mengalunkan bacaan Qamat untuk puteri kesayangannya.
Disini, aku patrikan kesaksian kau pada Pencipta semesta, Penentu segalanya, Penilai hati manusia. Disini, aku sematkan kesaksian Esa nya, Yang Maha Pemurah serta pesuruhnya. Aku ingati kepada kau bahawa menjaga Tiang Agama adalah satu rukun. Setiap lima kali waktu, kau harus sempurnakan tanpa ragu. Tanpa sangsi. Langsung tiada berbelah bahagi. Usahakan apa terdaya untuk mengecap nikmat kejayaan di fana dunia, jangan sampai kau khilaf dengan tugas menghadap Ilahi setiap kali. Sempurnakanlah kalimah, setiakanlah zikirullah, InsyaAllah urusan kau kelak dipermudahkan!Lalu, bayi yang diberi nama Zulaikha Wirdani dibeasrkan dengan nilai Islamik yang tinggi. Moralnya dijaga elok. Hidup si gadis itu juga di tata dengan baik. Dan sepanjang dua puluh tahun anak gadisnya membesar di ruang lingkup penuh susila, dia yakin Zulaikha yang dijaganya, dididiknya, dimanjakannya bakal menjadi insan mulia, InsyaAllah.
“Abang!”
Sayup-sayup suara serak basah isterinya Wan Aminah mencantas ingatannya terhadap anak perempuannya. Dia berpaling, masih dalam duduk bersilanya dengan kitab suci Al Quran sudah tertutup di atas rehal kayu. Dia membalas dengan senyuman wajah bergaris tua isterinya yang sedang menatang dulang berisi teh O’ berasap dengan beberapa bingka ubi potong yang nampak sangat menyelerakan.
Imam Wafi bangun perlahan. Menahan sakit di tumit kakinya juga lututnya yang dirasakan haus itu. Dia meletakkan Quran berkulit merahnya dan rehal kayu di atas almari kayu sebelum berjalan dengan sedikit terincut-incut menuju sofa lembut, sebelum merebahkan tubuhnya selesa.
“Apa yang awak menungkan tu?”, Aminah mencelah sambil menunangkan teh O ke dalam cawan kaca sebelum menghidang potongan bingka kegemaran suaminya itu dihadapannya. Imam Wafi mengambil sepotong, menyuapnya ke dalam mulut sebelum mengunyahnya perlahan. Terasa lemak manisnya meresapi rasa.
“Saja. Teringatkan anak perempuan kita”, jawab Imam Wafi mendatar sebelum menghirup perlahan teh O sebelum meletakkan cawan di pinggir piringnya. Aminah mengungging senyum nipis. Kalau dah rindu tu, cakap saja bang, Budak tu baru balik tiga minggu lepas.
Dia menghirup teh O nya perlahan sebelum kedengaran di luar laman rumahnya bunyi kereta menderum masuk langsung membuatkan mereka suami isteri berpandangan sesama sendiri.
“Assalamualaikum!”
“Walaikumsalam”
Imam Wafi menyambut salam sambil dengan kabut terkocoh-kocoh menuju ke muka pintu diiringi Wan Aminah yang nampak tertinjau-tinjau. Kelihatan sebuah Kia Spectra bewarna putih tersadai di laman rumah mereka sebelum diikuti dengan seorang wanita dalam lingkungan lewat tiga puluhan dan seorang lelaki yang nampak lebih tua dari perempuan itu.
“Ada apa halnya, nak?”, Imam Wafi turun dari rumahnya, kemudian bersalam mesra dengan si lelaki yang tidak dikenali berwajah mesra menyenangkan. Isterinya juga menyambut perempuan pertengahan umur yang memperkenalkan dirinya sebagai Ummi Syafiqa, majikan tempat Zulaikha Wirdani menjalani latihan praktikalnya. Mereka kemudiannya duduk di atas sofa, berbual mesra sebelum Wan Aminah menuangkan air teh O kepada dua lagi tetamunya.
“Oh..saya hampir terlupa. Perkenalkan lelaki ini, pakcik saya. Abdul Raif namanya”, Ummi Syafiqa memperkalkan pakciknya kepada kedua suami isteri itu. Abdul Raif mengangguk mesra sebelum menghirup teh O dengan senang.
“Saya datang ke sini membawa tujuan. Tujuan baik”
Imam Wafi tersenyum keliru sebelum memandang isterinya yang berwajah serupa, jelas tidak faham pernyataan Ummi Syafiqa.
“Tujuan baik?”
“Ya. Menyatukan dua hati, membina masjid yang dituntut dalam Islam”
Suami isteri itu tersenyum penuh makna. Bagaikan mengerti, Imam Wafi bertanya lembut. “Siapa calon nya?”
Giliran Ummi Syafiqa mengukir senyuman cantik. “Adik lelaki saya. Iman Syakirin”
**
Amir Naufal merembat kunci kereta dari atas meja kerjanya. Jam sudah hampir ke pukul enam setengah petang. Dia mengunci premis pejabatnya dengan pantas sebelum meluru ke tangga berdekatan, menuruninya cepat dan kemudian berlari pantas ke arah kereta yang diparkirnya di bawah bangunan Wisma Hidayah. Dia masuk ke perut Saga S.E nya lantas memanaskan enjin dengan sabar.
Tiga minit berlalu sebelum membalas pesanan ringkas rakan serumahnya, Fahrul yang memintanya untuk membelikan Nasi Lemak Sambal Paru di Kedai Mak Limah, yang terletak di hujung jalan Wisma Hidayah. Terbayangkan seketika keenakkan Nasi Lemak Berlauk Mak Limah yang sangat terkenal dikalangan pelanggan. Dia kemudiannya menekan clutch lantas menolak gear sekali dengan pedal minyak sebelum Saga S.E miliknya menderum membelah keheningan senja yang sudah memuntahkan gerimisnya.
Dia melewati papantanda tulisam jawi Wisma Hidayah sebelum kelihatan seorang wanita disebalik cermin berbintik berairnya yang tersedu sedan menangis di perhentian bas berdekatan dengan bangunan wisma itu. Naufal lekas mempedulikanya dan apabila kelihatan gadis berbaju kurung sedikit basah itu menghempaskan telefon bimbitnya ke atas jalan, sehigga melantun mengenai bumbung keretanya, lelaki itu lekas memakirkan kereta ke tepi jalan sebelum meluru keluar memerhati tindak tanduk perempuan itu. Hatinya bagai diburu kebimbangan.
“Cik tak apa-apa?”
Gadis itu menangis semahu-mahunya. Baju kurung yang dipakainya lembap bagai dipercik air. Dia langsung tidak memandang wajah Naufal malahan rambutnya yang perang sedikit dihujungnya kelihatan menutupi wajah sedihnya itu.
“Boleh hantar saya balik rumah?”
Suaranya bagai tersekat di hujung kerongkong. Naufal mengangguk lemah dan selepas gadis itu menuju perlahan ke keretanya, dia membuka pintu Saga perlahan sebelum Naufal memandu, membelah rintik gerimis yang semakin lebat dicelah kepulan mendung yang bertambah gelap.
Agak lama mereka berdiam diri. Mengunci mulut enggan memulakan kata-kata. Namun, sebaik sahaja tiba di sebuah billboard perabot Lorenzo, Naufal memulakan situasi dingin antara mereka.
“Saudari duduk di mana?”
“Ampang”
“Kenapa saudari menangis tadi?”
“Itu bukan urusan awak! Saya takkan rela menceritakannya kepada sesiapa pun!”
Naufal senyap, bagai tersentap dengan jawapan si gadis yang pada anggapannya dirasakan baik itu. Dia memandu lagi melepasi papantanda This is CELCOM territory sebelum keretanya mendaki bukit yang agak tinggi.
“Awak boleh tolong saya?”
Soalan di gadis membelah ingatannya yang mula hendak mengenang perihal gadis bernama Zulaikha Wirdani. Dia menoleh sedikit ke arah raut terganggu gadis berambut perang itu sedikit sebelum mengangguk tidak ketara.
“Apa dia?”
Gadis itu mengukir senyum manis, mengangkat wajahnya sambil memandang roman lelaki disebelahnya dengan penuh pengharapan.
“Boleh awak mengaku yang anak di dalam kandungan saya ini, anak awak?”
“Apa? Apa awak cakap ni?”
Gadis itu tertawa mengekeh. Selingan di radio mengatakan yang masuk waktu Maghrib sudah hampir lima minit sahaja lagi. Naufal hampir saja melepaskan stereng keretanya dan tertekan sedikit brek kereta. Mereka hampir sahaja terdorong ke hadapan.
“Saya cakap, saya nak awak mengaku yang anak di dalam perut saya ini adalah anak awak. Awak adalah bapa kepada anak yang saya kandung ini!”
Pandangan Naufal bagai berpinar. Ya Allah…dugaan apakah ini? Nafasnya sesak sebelum memandang tidak percaya gadis yang baru ditolongnya tadi.
Permainan apakah ini?Gadis itu menyambung lagi. Suaranya berdetar. “Lima puluh meter dari sini akan ada pemeriksaan polis. Pemeriksaan biasa. Lesen, kad pengenalan dan pelekat kereta. Jika awak tak berikan sebarang keputusan, saya takkan teragak-agak beritahu mereka yang awak nak menculik saya dan nak menjual saya kepada sindiket pelacuran!”
Ugutan si gadis semakin membuatkan fikiran Naufal buntu. Dan seperti yang dijangkakan si gadis gila itu, dari jauh kelihatan beberapa individu berpakaian seragam bewarna biru gelap sedang berjalan mundar mandir, memeriksa dengan telus selain jujukan kereta yang dipandu sangat perlahan, seboleh mungkin tidak mahu melanggar peraturan.
“Awak ada masa untuk berfikir”, jelas si gadis kejam sambil meraup rambut perangnya kebelakang. Namun, jauh di lubuk sanubarinya, dia terdesak. Setelah kekasih menolak permintaaan untuk menjadi bapa kepada anak yang dikandungnya beberapa minggu lalu, dia seolah-olah tidak mempunyai pilihan. Dia terdesak. Dan perut yang semakin lama semakin membesar sangat menakutkannya.
Dalam hati yang digerogoti cinta nan pilu, Natrah Syaida terpaksa membuat pilihan yang sangat terdesak. Dan kereta mereka semakin menghampiri ke kawasan pemeriksaan polis…
Janganlah engkau palingkan pipi (muka) engkau terhadap manusia, (kerana sombong) dan jangan berjalan dimuka bumi, dengan sangat gembira. Sesungguhnya Allah tidak mengasihi tiap-tiap orang yang sombong lagi bermegah-megah
LUQMAN: 18
BERSAMBUNG