Sebelum ini dalam Hujung Ramadan
Manis pulang ke rumah. Ibunya, Rosnah sambut dengan hati tak berapa nak terima, manakala perkenalan Juraimi dan Laila ditentang keras oleh Rosnah. Sesuatu tentang budak perempuan itu yang mengganggu fikiran Rosnah
“Tak payahlah masak. Awak tu tak sihat”Manis pulang ke rumah. Ibunya, Rosnah sambut dengan hati tak berapa nak terima, manakala perkenalan Juraimi dan Laila ditentang keras oleh Rosnah. Sesuatu tentang budak perempuan itu yang mengganggu fikiran Rosnah
Rosnah mula menceceh bila anaknya Manis mula menyiang sotong untuk dibuat sambal waktu berbuka. Jam sudah menginjak empat setengah petang. Bimbang terlewat. Takut tercicir masa. Manis menggeleng memandang ibunya yang sedang menyusun kuih bazar Ramadan di dalam pinggan seramik.
“Yalah. Takkan nak beli je, mak. Manis kan ada ni. Jadi baik kita masak. Jimat sikit”, tukas Manis sambil membasuh potongan sotong yang sudah siap sedia bersih. Ibunya diam tak beri reaksi. Dia lebih kenal Rosnah. Sejak dia kecil, maknya memang jarang masak. Paling berat pun akan buat nasi goreng ala kadar yang dicampur dengan telur.
Jauh disudut hati, dia pelik bagaimana ayah boleh lekat dengan emak sampai sekarang.
Alah! Emak bukan suka dengan aku pun. Entah apa dicemburukannya!
“Manis masak banyak-banyak pun ayah bukan makan. Dia bukannya puasa pun!”, Rosnah mula buka tembelang. Manis mengerling ibunya. Ronanya nampak sangat tidak senang.
“Mak! Tak payahlah kecoh-kecoh. Kita dah tau dari dulu lagi, kan?”
“Mak dah tak larat nak simpan semua tu, Manis!”
Manis berhenti memotong bawang besar. Rambut yang sudah diikat ekor kuda sudah kembang akibat amarah yang mula hendak merengsa. Rosnah selamba. Nasi yang ditanak di dalam periuk automatik sengaja dikacau bagi memastikan beras masak dengan sempurna.
“Ayah kan suami mak. Jadi itu tanggungjawab mak untuk simpan rahsia ayah!”, Manis mula hendak meninggi suara. Rosnah diam. Nafasnya walaubagaimanapun sudah turun naik.
Heh! Sudah pandai nak mengajar aku??
Segaris senyuman terukir di pinggir bibir. Rosnah tetap cool dalam menangani masalah. Dia bukan jenis perempuan yang berteriak-teriak marah bila masalah melanda. Perempuan biar ada kelas. Konflik ni kacang saja!
“Mak tahu apa yang mak buat, sayang. Kamal tu suami mak.”, pendek jawapan Rosnah. Akalnya harus tuntas mencari jalan kalau-kalau Manis mula hendak berdebat!
“Kenapa kamu muntah semalam? Banyak sangat makan masa berbuka?”, Rosnah mula ubah topik. Sekali lagi tumpuan Manis terganggu. Dia diam kejap. Tak mampu hendak kata apa-apa bila soalan si ibu ditebak pantas, sepantas kilat.
“Agaknya kot! Siang tu masuk angin agaknya”, jawab Manis bena tak bena. Rosnah hela nafas.
“Entah-entah kerja si Laila tak? Budak perempuan tu bukan betul sangat pun”, serkap Rosnah.
Manis memandang ibunya bingung.
“Mak janganlah pandai-pandai. Budak tu boleh buat apa je?”
“Kamu jangan pandang dia sebelah mata, sayang. Mak yakin. Dia yang hantar sihir pada kamu”
Manis menepuk dahinya. Dia memandang wajah tak bersalah ibunya dalam-dalam, seakan tak percaya.
“Ya Allah, mak. Ni bulan puasa. Tergamak mak tuduh dia macam tu?”
Rosnah senyum lagi. Pahit.
“Kamu tak tahu apa budak tu boleh buat. Kalau tak, takkan kamu muntah teruk semalam. Petangnya mak baru marah dia dan tak benarkan dia kawan dengan Juraimi”
“Sihir tu benda karut, mak! Mengucap sikit bila bercakap. Dosa besar kalau tuduh takde bukti!”
Rosnah tersengih sinis.
Huh! Benda dah berlaku depan mata, kau masih nak menidakkan? Lurus! Orang jahat ni mana kira bulan puasa tak bulan puasa!
“Mak ayah dia pun dikenakan sihir. Dua-dua mati dalam keadaan misteri. Kamu nak bukti apa lagi, sayang?”, ujarnya masih mengawal marah dengan senyuman sebal. Manis menggeleng. Enggan bertekak lama-lama dengan emaknya, dia hanya diam. Bimbang dituduh derhaka. Takut dikata tak dengar cakap. Risau tak dapat berkat hidup.
Sebagai jalan pintas, Manis hanya diam. Dia nampak emaknya lega.
Dia enggan menyerabutkan keadaan. Ayah yang sudah hilang punca untuk berkomunikasi. Emak pula endah tak endah. Jujurnya, dia buntu.
Tahukah mereka, aku dibuang kolej sebab yuran tertunggak?
Tahukah mereka, aku punyai beban yang ragu-ragu untuk ditanggung?
Tahukah mereka aku terpaksa menipu bahawa kononnya aku bercuti sekarang?
Ya Allah…berikan aku kekuatan!
BERSAMBUNG