Dollah urut kepala yang entah kenapa, pening. Isterinya Zabedah yang mengerti sudah siap-siap ke dapur, bancuh kopi pekat manis dengan pisang goreng buat cemil-cemilan [1] di petang hari. Zabedah sudah sedia maklum kalau Dollah duduk berteleku lama, muka habis cemberut, pasti ada perkara yang sedang serang fikirannya.
Dia dah bersama Dollah dekat tiga
puluh tahun, maka perangai suami yang seorang itu sudah masak dek
pengetahuannya. Maka, tak sampai tiga minit dia terkocoh di dapur, dia sudah
menatang dulang lalu dibawanya ke ruang tamu tempat suaminya duduk termenung.
“Bapaknya. Kalau dah si Reza yang
nak, buat apa kita nak tegah? Dia dah suka.” Ujar Zabedah cuba memberi
pendapat. Dollah menguntum senyum ketika melihat ketangkasan isterinya
menuangkan kopi dan menghidang ubi rebus dengan sambal tumis bilis, yang juga
kegemarannya.
Dia orang kampung. Maka seleranya
sejak dari kecil sudah diasuh sebegitu. Emak dan bapanya hanya petani, menjual
sayuran di pecan sehari. Dia dan adik beradiknya tak boleh mintak banyak.
Paling kuat diberi beras India yang perlu dibasuh berkali-kali bagi
menghilangkan baunya yang tengik. Hari-hari makan ikan kering bakar dicicah air
asam. Untung sedikit, bapanya akan membelikan ikan basah di pasar. Mewah sikit
dijamunya pula dengan ayam kampung atau daging lembu.
Itupun dua kali setahun.
Jadi dalam keluarga sederhana
itu, dia tak boleh mintak macam-macam. Dia dan adik beradiknya yang lain perlu
belajar mandiri untuk meneruskan kelansungan hidup yang adakalanya menyakitkan
untuk diterima.
“Reza tu kadang-kadang ikut kata
hati. Dah dinasihat. Tapi degil juga.” Dollah mula bicara. Dicuit sedikit ubi
rebus dengan sambal bilis. Dimamahnya perlahan. Rasa lemak dan pedas bersatu
dalam derianya yang semakin tua dipanjat usia. Zabedah diam tak menjawab. Sedikit tak banyak,
dia bersetuju dengan kata-kata Dollah. Reza kadang-kadang terburu untuk
mengejar erti kebahagiaan.
Adakala dia dan suami sudah habis usaha untuk
pastikan Reza ketemu pengisi hati yang sesuai.
Dia kenal benar dengan Reza.
Darah dagingnya juga.
Tak susah nak jaga Reza masa
masih kecil. Dengar cakap. Patuh. Hormat
orang tua. Tapi bila dah semakin dewasa, Reza dah tak sama macam dulu. Suka
buat hal ikut kepala sendiri. Cakap Dollah tak mahu dengar. Nasihat Zabedah dah
terbang melayang entah kemana.
Sudahnya Reza ikut kata hati.
Lari berkahwin dengan Laura. Entah siapa perempuan itu, Dollah dan Zabedah tak
pasti. Cuma mereka tahu Laura bukanlah perempuan yang baik-baik.
Salah ke seorang ibu beri nasihat
pada anak andaikata pilihan yang dibuat si anak itu salah?
Mana kau tahu salah? Siapa tahu
dia boleh bahagia?
Naluri keibuan aku mengatakan
begitu. Sembilan bulan dia mendiami rahim aku. Segala apa yang dia rasa, aku
juga rasai. Keperitan dia. Kesakitan dia. Sebahagian jiwa aku ada pada dirinya.
Reza dah pergi. Buat satu
keputusan tak matang. Satu keputusan yang dah memalukan keluarga.
Mana mau diletak muka? Mana mau
diletak nama bila anak tok imam pedajal, bawak lari anak dara orang entah
kemana?
Malu!
TAMAT
1. Frasa
Jawa yang memberi maksud “makanan ringan”
4 comments:
menarik, pendek tetapi sampai maksud.
*ralat: pada awal penceritaan, zabedah menyediakan kopi dengan pisang goreng, kenapa dihidangkan kopi dengan ubi rebis sambal bilis.
zul ---> hehehe terima kasih baca, bro. Pisang goreng kegemaran Dollah. Ubi rebus pun kegemarannya juga.
Kat perenggan 3 hujung ayat ada ditulis "yang juga kegemarannya"
hehe..terima kasih baca yek bro!
ringkas dan padat...
conclusion:jangan kawen lari.rugi besar!tak dapat naik pelamin dan pakai baju pengantin lawa2 :)
NY --->haaaa tau takpa!
Post a Comment