Tuesday, October 23, 2012

Shortie: Malu



Dollah urut kepala yang entah kenapa, pening. Isterinya Zabedah yang mengerti sudah siap-siap ke dapur, bancuh kopi pekat manis dengan pisang goreng buat cemil-cemilan [1] di petang hari. Zabedah sudah sedia maklum kalau Dollah duduk berteleku lama, muka habis cemberut, pasti ada perkara yang sedang serang fikirannya.

Dia dah bersama Dollah dekat tiga puluh tahun, maka perangai suami yang seorang itu sudah masak dek pengetahuannya. Maka, tak sampai tiga minit dia terkocoh di dapur, dia sudah menatang dulang lalu dibawanya ke ruang tamu tempat suaminya duduk termenung.

“Bapaknya. Kalau dah si Reza yang nak, buat apa kita nak tegah? Dia dah suka.” Ujar Zabedah cuba memberi pendapat. Dollah menguntum senyum ketika melihat ketangkasan isterinya menuangkan kopi dan menghidang ubi rebus dengan sambal tumis bilis, yang juga kegemarannya.

Dia orang kampung. Maka seleranya sejak dari kecil sudah diasuh sebegitu. Emak dan bapanya hanya petani, menjual sayuran di pecan sehari. Dia dan adik beradiknya tak boleh mintak banyak. Paling kuat diberi beras India yang perlu dibasuh berkali-kali bagi menghilangkan baunya yang tengik. Hari-hari makan ikan kering bakar dicicah air asam. Untung sedikit, bapanya akan membelikan ikan basah di pasar. Mewah sikit dijamunya pula dengan ayam kampung atau daging lembu. 

Itupun dua kali setahun.

Jadi dalam keluarga sederhana itu, dia tak boleh mintak macam-macam. Dia dan adik beradiknya yang lain perlu belajar mandiri untuk meneruskan kelansungan hidup yang adakalanya menyakitkan untuk diterima.

“Reza tu kadang-kadang ikut kata hati. Dah dinasihat. Tapi degil juga.” Dollah mula bicara. Dicuit sedikit ubi rebus dengan sambal bilis. Dimamahnya perlahan. Rasa lemak dan pedas bersatu dalam derianya yang semakin tua dipanjat usia.  Zabedah diam tak menjawab. Sedikit tak banyak, dia bersetuju dengan kata-kata Dollah. Reza kadang-kadang terburu untuk mengejar erti kebahagiaan. 

Adakala dia dan suami sudah habis usaha untuk pastikan Reza ketemu pengisi hati yang sesuai.


Dia kenal benar dengan Reza. Darah dagingnya juga.

Tak susah nak jaga Reza masa masih kecil. Dengar cakap. Patuh.  Hormat orang tua. Tapi bila dah semakin dewasa, Reza dah tak sama macam dulu. Suka buat hal ikut kepala sendiri. Cakap Dollah tak mahu dengar. Nasihat Zabedah dah terbang melayang entah kemana.

Sudahnya Reza ikut kata hati. Lari berkahwin dengan Laura. Entah siapa perempuan itu, Dollah dan Zabedah tak pasti. Cuma mereka tahu Laura bukanlah perempuan yang baik-baik.

Salah ke seorang ibu beri nasihat pada anak andaikata pilihan yang dibuat si anak itu salah?

Mana kau tahu salah? Siapa tahu dia boleh bahagia?

Naluri keibuan aku mengatakan begitu. Sembilan bulan dia mendiami rahim aku. Segala apa yang dia rasa, aku juga rasai. Keperitan dia. Kesakitan dia. Sebahagian jiwa aku ada pada dirinya.

Reza dah pergi. Buat satu keputusan tak matang. Satu keputusan yang dah memalukan keluarga.

Mana mau diletak muka? Mana mau diletak nama bila anak tok imam pedajal, bawak lari anak dara orang entah kemana?

Malu!

TAMAT

 1. Frasa Jawa yang memberi maksud “makanan ringan”

4 comments:

zul said...

menarik, pendek tetapi sampai maksud.

*ralat: pada awal penceritaan, zabedah menyediakan kopi dengan pisang goreng, kenapa dihidangkan kopi dengan ubi rebis sambal bilis.

Faizal Sulaiman said...

zul ---> hehehe terima kasih baca, bro. Pisang goreng kegemaran Dollah. Ubi rebus pun kegemarannya juga.

Kat perenggan 3 hujung ayat ada ditulis "yang juga kegemarannya"

hehe..terima kasih baca yek bro!

NusrahYahya said...

ringkas dan padat...
conclusion:jangan kawen lari.rugi besar!tak dapat naik pelamin dan pakai baju pengantin lawa2 :)

Faizal Sulaiman said...

NY --->haaaa tau takpa!

Anda Mungkin Menyukai

src="http://www.linkwithin.com/widget.js"> Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
The views of the writer is his own, and do not in any way reflect the views on other sites affiliated with this site or any other members of this site. It is your OWN RISK by reading all the entries. Please note that all works include short stories and online novels published in this site are written by the writer. You may share all the articles, but you've must consult with the writer first.
Any inquiries, feel free to email the writer on faizalsulaiman85@gmail.com
ALL RIGHTS RESERVED