Tuesday, November 22, 2011

Shortie: Chantik


‘Kakak ni duduk mana?’

‘Kampung Hulu’

‘Kampung Hulu yang dekat belakang Plaza Sinaran tu? Yang dekat dengan tapak projek PPRT tu?’

Wanita itu mengangguk lemah. Air matanya diseka cepat.

Intan yang sedang memandu hanya memandang wanita disebelahnya dengan penuh kasihan. Lewat lima belas minit lepas dia singgah di kedai serbaneka Tujuh Sebelas. Niat nak beli Ridsect sebotol terbantut apabila melihat tanda harga yang agak mahal.

Tak padan dengan kedai sebaneka.Mahalnya macam barang import.

Jengkel, dia bercadang untuk terus pulang ke rumah sebelum terserempak dengan seorang wanita pertengahan dua puluhan dengan beg pakaian yang besar bagai menanti seseorang di perhentian bas. Air mukanya kelihatan sugul dengan air mata tampak bercucuran.

‘Kakak dicerai suami. Dihalau dari rumah dalam keadaan hamil begini!’

Intan tekun mendengar sebelum membuat sedikit lencongan ke susur masuk Gemuruh yang menghubungkan ke Bandar Seri Gemuruh, tempat letaknya Kampung Hulu.

Wanita itu bersuara lagi sambil memperbetulkan selendang yang menutupi rambutnya yang sedikit terlondeh ke hadapan.

‘Orang lelaki! Habis madu sepah dibuang!’
‘Tak semua lelaki macam tu, kak!’

Wanita itu memalingkan wajahnya ke arah Intan. Gadis itu sedikit tersentak.

Wajah wanita itu cedera teruk di bahagian pipi kiri dan kanannya. Bagaikan ada kesan lecur dengan keruping-keruping kesan luka kering. Kulit wajahnya seperti dibakar sesuatu.

‘Kamu lihat sendiripun kamu terkejut, bukan?’

Intan tak berkata apa-apa. Masih diam takala memasuki simpang utama Kampung Hulu, melepasi tapak PPRT yang masih separa siap.

‘Tiap malam, dia akan cucuh muka kakak dengan puntung rokok kalau makanannya tak siap. Dia akan pukul kakak sesuka hatinya kalau kakak tak menyahut panggilannya. Tubuh badan ni dah lali dengan sepak terajangnya kalau keinginan malamnya tak dipenuhi!’

Wanita itu menangis lagi. Makin teresak-esak.
Intan mengeluh simpati lalu menghentikan kereta Kancil merahnya pada satu kedai makan yang sudah ditutup. Lampu jalan yang terpacak di tepi kedai makan itu menerangi isi dalam kereta milik Intan.

Wanita itu memandang Intan dengan penuh simpati. Tangannya menggenggam erat jari jemari Intan. Dia merayu penuh mengharap.

‘Tolonglah kakak dik! Tolong keluarkan kakak dari rumah neraka tu! Kakak mahu bebas. Kakak tak mahu dihantui lelaki jahanam tu!’

Rayuan wanita itu mengundang simpati Intan.

Nafasnya dihela.

Gadis itu akhirnya mengangguk perlahan sambil tersenyum. Wanita itu menangis kegembiraan sebelum memeluk tubuh Intan erat.

**

Intan membuka matanya luas.
Dia masih tertidur dalam suasana paling panjang dalam hidupnya.

Kelihatan seorang lelaki datang menghampirinya. Lelaki itu turut disertai oleh lelaki yang lain. Wajah mereka seakan-akan tidak percaya.

‘Macam mana dia boleh sampai sini?’
‘Kau jangan tanya soalan bodoh boleh tak?’

Lelaki pertama datang mendekat kearahnya. Cuba menyentuh kulit Intan. Gadis itu cuba mengangkat tangannya untuk menepis.

Tetapi..gagal??
Mengapa tangannya dirasakan berat?

Lelaki kedua datang mengahampiri.

‘Ia berlaku lagi, kan? Di tempat ini, kan?’

Lelaki pertama mengangguk dengan wajah sugul. Mereka disertai kemudiannya dengan seorang lelaki berusia yang nampak alim.

‘Mungkin dia adalah salah satu mangsa penipuan perempuan tu’

‘Perempuan itu perlukan empat puluh darah anak dara untuk kelihatan muda semula’

‘Perempuan itu mengamalkan ilmu salah! Jadi sebagai harga apabila pantangnya dilanggar, nyawa jadi taruhan!’

Intan tercengang. Dia cuba bangun dengan upaya sebelum tubuhnya yang dulu boleh disentuh pejal, dirasakan bagai satu zarah yang tak ubah ringannya seperti angin, lutsinar dan terapung sebelum memandang jasadnya yang sudah kaku dengan mata terbelalak dengan lehernya yang sudah dirobek ganas!

TAMAT

Diadaptasikan dari kisah urban legend, Wanita Purdah

No comments:

Anda Mungkin Menyukai

src="http://www.linkwithin.com/widget.js"> Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
The views of the writer is his own, and do not in any way reflect the views on other sites affiliated with this site or any other members of this site. It is your OWN RISK by reading all the entries. Please note that all works include short stories and online novels published in this site are written by the writer. You may share all the articles, but you've must consult with the writer first.
Any inquiries, feel free to email the writer on faizalsulaiman85@gmail.com
ALL RIGHTS RESERVED