Sunday, August 19, 2012

Sinar Syukur 2012: Cerpen Syawal - Nur Fitri


Aku takkan pernah berhenti mencintai kau, walau jasad ini luluh ditelan bumi

***

Fitri buka mata. Kemilau terang cahaya mentari memanah terus pandangan.
Tak selesa.
Dia cuba bangkit sambil duduk menjulur kaki di atas katil.

“Fitri! Kau tu tak reti nak bangun ke? Tolong la mak kau ni kat luar. Sapu-sapu ke. Tebas-tebas rumput ke”

Maknya, Senah sudah terpekik dari luar rumah. Sedas kena tepat ke telinga. Patutlah jiran-jiran panggil emak Senah Senapang. Berdesing juga mulutnya menembak. Dalam keterpaksaan dia bangkit menuju jendela yang sudah terkangkang terbuka.

“Kau ni nak jadi apa? Tertonggang teonggek maknya buat kerja. Kau sedap je tidur kan?”
“Ala mak ni. Kalau mak mengantuk, mak tidur la”
“Amboi! Sedap mulut kau cakap kan? Kalau mak tidur, siapa nak buat kerja-kerja ni? Mentang-mentang balik cuti universiti, seronok je duduk goyang kaki. Kan bagus kalau ditolong maknya ni. Ini tidak. Kerjanya takda lain. Membuta!”

Senah sudah hantar sedas-demi-das pada anak lelaki tunggalnya yang suka benar menjawab. Iyalah. Dah tau balik cuti, kau tolonglah aku. Jangan reti buat taik mata je!

Fitri senyum sendiri mengenang emak yang gemar membebel. Itu hiburannya. Agaknya itu jugalah hiburan arwah ayah satu tika dulu masa hayat masih ada. Bebelan emak, walaupun pedasnya macam sambal belacan, makin digaul dengan nasi, pedasnya dah tak dipeduli. Enaknya saja yang dicari!

Dia kemas katil. Sudah diajar dari usianya lapan tahun. Bangun tidur kemas. Cadar dilipat. Emaknya pantang kalau orang malas. Alangkah ulat boleh hidup celah batu, inikan pula manusia cukup sifat macam dia. Mak cakap, peribadi diri dibentuk dari rumah. Kalau didikan di rumah okey, makna kata si polan si polan itu sudah boleh hidup berdikari.

Dia setuju.
Tapi itu mungkin pendapat lama.
Zaman baru ni usah dipercaya sangat.
Ada mak bapa yang baik-baik, anak-anak pula yang macam dajal. Depan baik. Belakang macam shaiton! Hipokrit sungguh!

“Ni mak dah siapkan ayam. Kau tolong siang. Tak kuasa aku nak buat semua. Jangan nak berangan jadi tuan besar dalam rumah aku ni, paham?”, maknya menyenapang lagi. Fitri senyum. Kah kah kah, hatinya berdekah. Langsung tak ambil hati. Mulut maknya memang macam tu. Tapi jauh disudut hati, dia baik orangnya.

Fitri siap ala kadar. Ke dapur pun cuma berkain pelikat petak-petak dam aji. Kain itu dibeli emaknya lepas dia berjaya khatam Al Quran semasa usianya sembilan tahun. Mak sanggup keluarkan duit simpanan, korbankan seekor lembu, buat kenduri. Tak cukup dengan itu, baju sekolahnya semua diganti baru.

“Habuan orang celik Al Quran ni lebih besar dari apa yang emak bagi. Amalkan. InsyaAllah kamu takkan tersesat”, bisik Senah, yang tersenyum. Satu perkara aneh yang sering membuatkan Fitri tertanya.

“Yang kau tercegat macam patung tu kenapa? Cepatlah disiang ayam tu!”, jerkah Senah mematikan lamunan panjang Fitri. Fitri mendengus kelucuan.

“Mak nak masak apa buka nanti?”, soal Fitri sambil mengelar beberapa ketulan daging ayam yang nampak sedikit besar.
“Seprise!”, Senah jawab pendek, confident gunakan bahasa Inggeris. Senyuman Fitri makin melebar.
“Ala mak ni. Takkan dengan anak sendiri pun nak berahsia, nak bagi kejutan semua”, Fitri pasang perangkap rajuk. Senah menjeling.

“Mengada! Ayam masak merah”
“Ayam masak merah! Fevret saya tu! Sayang mak”
“Sayang aku time-time macam ni je ke?”
“Selama-lamanya lah mak”

Senah senyum sedikit. Dia banyak bertegas dengan Fitri dan sebagai anak, dia nampak Fitri tak banyak membangkang walaupun dia tahu pilihan hati Fitri sebenarnya telah menggusarkan fikirannya semenjak dua ini.

“Kamu dengan Nur macam mana?”

Kerja Fitri terhenti sekejap. Senah perasan tapi berpura-pura untuk tak melihat. Fitri tu anak dia. Gerak gerinya sudah boleh dibaca.

“Kawan macam biasa je mak”
“Macam biasa?”

Fitri angguk. Dia cuba untuk tangkas. Bimbang soalan Senah meleret-leret jadi Khutbah Jumaat. Hakikatnya dia sukakan Nur. Malah jatuh sayang pada gadis itu. Nur pun tahu hakikat itu.

Tapi pesan ibunya mematahkan rasa cintanya pada Nur.

“Kita tak sekufu. Pegang kata-kata mak ni, nak”

Patah kata itu masih jelas di minda.

Senyuman penyejuk hati terukir. Tapi dalam rasa, siapa tahu?

SEBELUM INI


SELEPAS INI

No comments:

Anda Mungkin Menyukai

src="http://www.linkwithin.com/widget.js"> Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
The views of the writer is his own, and do not in any way reflect the views on other sites affiliated with this site or any other members of this site. It is your OWN RISK by reading all the entries. Please note that all works include short stories and online novels published in this site are written by the writer. You may share all the articles, but you've must consult with the writer first.
Any inquiries, feel free to email the writer on faizalsulaiman85@gmail.com
ALL RIGHTS RESERVED