Thursday, June 10, 2010

PROSA SEBELAS

Sebelum ini dalam Prosa Cinta Amir Naufal

Perkahwinan Zulaikha Wirdani dengan Iman Syakirin menyentap perasaan Amir Naufal sekaligus cuba menenangkan dirinya. Satu tragedi bakal menimpa pasangan pengantin baru itu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui



Perkhabaran pagi itu sangat mengejutkan.
Sangat mengejutkan sehingga menyebabkan salah seorang ahli keluarga kecil itu pengsan manakala yang lain memanjatkan doa bersilih timpa kepada Sang Yang Pencipta. Maha Pengasih juga Maha Penyayang.
Penemuan sebuah kereta remuk permukaannya yang terbalik terseret di jalan sebelum menghentam pohon besar berdekatan menjadi berita paling buruk diterima ahli keluarga itu.
Paling menyayat, mangsa dikhabarkan tidak sedar semasa kejadian ngeri itu malahan keadaan mangsa juga sangat menakutkan.

Dugaan Maha Besar. Suka atau tidak, manusia hina dina harus menerimanya, sekalipun ia pahit seperti hempedu yang harus dimamah.

Siapa yang sukakan kenyataan? Hakikatnya manusia memang mahu hidup dalam khayalan. Seperti dalam cerita-cerita dongeng. Namun, kenyataan jua sangat memeritkan.

Perkarangan Hospital Besar tidak sibuk pagi itu, walaupun satu kemalangan telah berlaku dan hampir meragut nyawa mangsanya. Satu keluarga tiba, empat jam kemudian dengan sepasang suami isteri yang berumur tua, anak perempuan mereka yang tampak sangat sugul dan seorang lagi wanita berusia yang berusaha keras untuk kelihatan tabah disebalik ujian yang menimpa itu. Selepas kereta diparkir, mereka berempat bergegas ke kaunter pertanyaan untuk ke wad pesakit yang dimasukkan empat jam tadi.

Si penyambut menyambut mesra, menenangkan seisi keluarga yang berduka nestapa. Mereka kemudian duduk setelah di arahkan di tempat menunggu dengan reaksi sabar memanjat doa. Ya. Ini ujian Allah. Terbuka atau tidak, mereka harus menerimanya sebagai kayu ukur muslim yang sangat dituntut dalam Islam.

“Sabarlah, nak. Allah itu Maha Mengetahui. Dia pasti punyai sebab mengapa Dia buat begini”, ujar si ibu mengusap lembut bahu anaknya yang terdiam membisu sedari tadi. Si anak diam. Bibirnya bergetar bacaan zikrullah yang tidak henti henti dibisikkan setelah mendengar perkhabaran buruk itu. Dia sabar, walau dinidngnya sedikit goyah apabila berita itu lolos ke dalam cuping telinganya.

Suami kamu kemalangan. Keretanya remuk teruk. Keadaannya kritikal!

Kata-kata itu cukup tajam menghiris. Cukup takut untuk didengar. Cukup pahit untuk ditelan. Mahu saja disuruh si pembawa berita mengatakan bahawa semuanya itu palsu. Bohong belaka. Khabaran busuk untuk menggoyahkan hubungan suci-rumahtangga yang baharu saja dibina bersama suami, Iman Syakirin yang mulai hendak dikasihi.

Menikmati saat indah manisnya cinta, sucinya kasih dan indahnya bahtera bersulam Islam dalam penghidupan suami isteri kelak.

Tetapi semuanya hancur. Lebur bagai dedebu pasir halus yang beterbangan tanpa arah. Tanpa disentuh sedikitpun dari suaminya, Iman menemui kecelakaan yang cukup dahsyat, langsung membuat nuraninya tersentap.

Ia bagai menyentak rambut dari kepala.

Rasanya sakit. Marah membuak dan keliru saling berperang tembak dalam hati. Namun, itu emosi. Permainan makhluk api yang menjadi musuh kaum Adam sehingga Kiamat. Dia pengsan seketika. Pandangan dunia seakan gelap. Nafasnya bagai lelah dalam situasi terdesak itu.

Dan dalam gelap memekat di dunianya sendiri, seakan ada cahaya hangat di balik malap mendinginkan itu, lantas dengan kekuatan yang diberi, dia menghela nafas mengucap istighfar mengingat Allah.

Astaghfirullah!
Astaghfirullah!
Astaghfirullah!

Lindungi aku dari bisikan syaitan, ya Allah

Dia bangkit dari saat gelapnya. Matanya layu saat memerhatikan bayangan detar depan mata melihatkan ramai penduduk kampung, wanita kesemuanya memandang kasihan padanya. Mengusap-usap bahunya. Mengucap sabar padanya. Memandang simpati padanya. Malah, memberi kata-kata semangat buatnya.

Dia hargai semua itu.

Lantas, dengan penuh kekuatan, dia melangkah jua di dalam Hospital Besar, dibalik zikrullah pengubat duka, dia hanya bersandar pada Allah.

Hanya Allah penemannya kini!

“Siapa Puan Zulaikha Wirdani binti Wafi?”

Kedengaran suara doktor muda lengkap dengan kot putihnya sambil membimbit papan klipnya di sisi. Tag namanya yang tertera Johan kelihatan bersinar terpantul di balik panahan kalimantang yang menyilaukan. Zulaikha Wirdani tersedar dari lamunan panjang sekaligus mengangkat tangannya perlahan. Seiisi keluarga memandangnya kasihan, tetapi Zulaikha cuba untuk menjadi kuat. Dia menghadiahkan semua satu senyuman melegakan buat semua.

“Boleh saya bercakap dengan puan sekejap”, bingkis doktor itu tadi langsung disambut dengan anggukan tidak ketara Zulaikha, kemudian mengikuti doktor muda itu ke satu sudut terpencil yang dipandang keluarga nya dengan penuh tandatanya.

“Ini berkaitan dengan suami puan. Encik Iman Syakirin”
“Kenapa dengannya?”

Wajah Johan nampak berat. Kesah benar nafasnya. Dia cuba menyelinap pandang pada keputusan di papan klipnya sekilas dan mengambil masa untuk menenangkan fikiran lantas memujuk hatinya agar wanita dihadapannya itu mampu menerima keputusan yang bakal diperkatakan nanti, diterima dengan hati yang redha terbuka.

InsyaAllah!

“Keadaan suami puan…”
“Kenapa dengan beliau?”
“Ada..ada kemungkinan beliau akan lumpuh seumur hidup!”

Zulaikha Wirdani tergamam. Mulutnya yang terbuka sedikit, dikatupkan pantas. Matanya tiba-tiba sahaja bergenang.

Ya Allah…
Tabahkan hatiku…

Mutiara jernih yang bergenang-genang itu mengalir lesu..


**

SEMINGGU BERLALU

Suasana petang semakin menginjak ke senja. Hembusan angin dari alat penghawa dingin semakin mengigit. Amir Naufal masih duduk di dalam Kafe Rumah Kampung sambil menikmati secangkir kopi kegemarannya. Sudah seminggu dia menanam hatinya dengan sabar berlipat kali ganda sejak pertama kali mendengar perkhabaran tentang perkahwinan Zulaikha Wirdani.

Sungguh.
Ia umpama belati menikam sanubari!

Dan sebagai muslim yang taat, dia bersabar seadanya. Dia tahu, pasti ada qadha dan qadar yang ditentukan oleh Allah subhanwataala. Dia yakin, semua itu punyai hikmah terselindung yang tidak diketahuinya.

Teguh pendiriannya sama juga teguh imannya.

Dia menghirup kopinya dengan tenang tatkala memerhatikan suasana Kafe Rumah Kampung yang mulai lengang dari pengunjung dan yang kelihatan hanya tiga orang pekerja kafe yang sedang sibuk mengemas ruangan dapur selain ada juga yang mengira hasil jualan pada hari itu.

Muncul di birai matanya kelibat seorang wanita cantik bertudung membawa secangkir kopi, sama hitam pekat sepertinya langsung duduk dihadapan menyungging senyum cantik.

“Encik Amir apa khabar?”, perempuan itu bertanya tanpa rasa malu. Matanya terkerdip-kerdip sambil bibirnya mengukir garisan lawa. Amir Naufal yang sekurang-kurangnya berasa sangat terkejut, mengangguk perlahan sambil mengamati wajah perempuan menawan di hadapan matanya itu.

Baharu dia sedar. Rupa-rupanya perempuan itu memang pernah dilihatnya sebelum ini. Perempuan yang menjadi penyelia praktikal Zulaikha Wirdani.

Perempuan yang bernama Ummi Syafiqa.

“Ummi ya? Ummi Syafiqa?”, soal Amir Naufal bertukar mesra. Ummi membalas dengan senyuman mengiyakan. Perempuan itu kemudian, dengan rasa malunya berkata perlahan.

“Tak sangka Encik Amir masih mengingati saya!”, bisiknya lemah lembut. Amir tersenyum nipis. Ummi Syafiqa bersuara lagi. Kali ini lebih santun. Penuh kelembutan.

“Sebenarnya, saya ada satu hajat. Satu pertolongan, kalau boleh ditafsirkan”

Amir Naufal kemudiannya memandang Ummi Syafiqa dengan pandangan penuh tertanya. Sambi mengerdipkan kelopak matanya berkali kali, dia dapat melihat bagai ada semburan merah menyala mewarnai kedua pipi gebu melepak perempuan itu.

“Sebenarnya..sebenarnya..”
“Ya..sebenarnya apa ya Cik Ummi Syafiqa?”

Berderau darah Ummi Syafiqa mendengar namanya dipanggil penuh. Nafasnya sudah tidak sealun dan seirama tadi. Jantungnya berdegup pantas. Dia cuba lapangkan fikiran. Niatnya baik. Allah memahami.

Dia hanya mengharapkan Allah akan membantu semua ini. Melancarkan segala-galanya..

“Saya berkenan dengan awak, Encik Amir. Saya ingin menjadikan awak suami dalam hidup saya. Melindungi saya dari sebarang ancaman lantas membimbing saya ke jalan yang diredhai Allah”

Amir Naufal tergamam. Matanya berkerdip dua kali tatkala melihat Ummi Syafiqa mengeluarkan sebentuk cincin emas putih dari dalam tas tangannya, lantas membuka kotak cincin itu, mempamerkan bentuknya yang halus seni ukirnya.

Pandangan lelaki itu bertukar ganti melihat cincin dan wajah berkilau Ummi Syafiqa menanti jawapan.

Allahuakbar!!!

Barang siapa mengerjakan amal soleh, baik lelaki atau perempuan sedang dia beriman, maka mereka itu akan masuk ke dalam syurga dan mereka tidak teraniaya sedikitpun
AN NISSAK: 124

Bersambung...

2 comments:

El-Zaffril said...

Kenapa along rasa macam nak dengki je kat FS erk

Faizal Sulaiman said...

El-Zaffril---)erkk..ahahaha..tak bek long.dosa.weee^^

Anda Mungkin Menyukai

src="http://www.linkwithin.com/widget.js"> Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
The views of the writer is his own, and do not in any way reflect the views on other sites affiliated with this site or any other members of this site. It is your OWN RISK by reading all the entries. Please note that all works include short stories and online novels published in this site are written by the writer. You may share all the articles, but you've must consult with the writer first.
Any inquiries, feel free to email the writer on faizalsulaiman85@gmail.com
ALL RIGHTS RESERVED