Friday, June 25, 2010

PROSA TIGA BELAS (BAHAGIAN SATU)



Dalam meniti kehidupan yang penuh warna, tanpa kita sedar segala-galanya akan berubah. Sedikit demi sedikit. Kesannya, secara tidak langsung akan memberi impak kepada hidup manusia itu secara lansungnya. Lima penjuru cinta sedang berperang dengan rasa sendiri bila mana kasih seorang isteri sudah diputus sendiri oleh suami, yang merasakan dirinya sudah tidak sempurna lagi, cinta yang mendalam seorang wanita lanjut usia dengan lelaki muda, sebaya adik lelakinya terhalang dengan hadirnya seorang gadis yang mengaku lelaki itu kepunyaannya. Ataupun seorang lelaki yang berada dalam dilema, dimana dia sedang menimbang kira perihal lamaran yang sudah disuarakan sejak berminggu-minggu yang lalu. Lamaran dari seorang wanita!

Itu kenyataan yang harus dihadapi oleh lima penjuru ini.

Sampai bila ia harus bergelora?

Dan bila kah ia harus menemui jalan penyudahnya?


**

Ruang pejabat Amir Naufal tenang seperti hari-hari biasa setiausahanya, Siti Nazurrah masuk ke dalam untuk mengambil memo komunikasi. Sebaran memo sangat penting dalam menyampaikan maklumat agar segala yang hendak disampaikan tidak akan terlepas pandang oleh pekerja-pekerja yang lainnya.

Pagi Khamis itu, majikan Siti Nazurrah meminta agar tidak diganggu. Lebih-lebih lagi dengan kehadiran seorang gadis yang sudah hamil entah berapa bulan masuk ke dalam pejabat lelaki itu dengan selambanya. Selama ini Siti Nazurrah tidak pernah beranggapan buruk terhadap majikannya, Amir Naufal. Lelaki itu cukup menjaga solatnya. Menjaga tuturnya. Menjaga santunnya terhadap yang bukan mahram. Hendak keluar berjanji temu juga mustahil!

Inikan pula membawa gadis yang tiba-tiba bunting ke dalam pejabat!

Maaf penggunaan ayat yang kasar. Tetapi bilakah masanya majikannya itu melangsungkan perkahwinan? Melalui jalan Siam sana? Apa motifnya?

Persoalan berkecamuk itu sedang bermain legar difikiran Siti Nazurrah. Dia insan biasa yang penuh dengan kecurigaan. Malah dia berani menjamin, semua orang akan beranggapan negatif sepertinya. Malah mungkin akan menuduh perilaku tidak bermoral majikannya!

Kalau tidak, masakan gadis itu hamil?

MasyaAllah! Perilihakan lah majikan aku itu, Ya Allah!
Interkom di meja penyambut tetamu berbunyi dua kali. Ralitnya membuatkan dia langsung tidak sedar.

Kuatnya pengaruh godaan Syaitan!

“Siti..bawakan dua cawan Nescafe ke dalam ya”

Suara Amir menerjah ke gegendang telinga. Lembut seperti biasa, langsung membunuh terus anggapan bodoh yang sekian lama bersarang difikirannya. Dia terlatih. Nescafe yang dibancuhnya hanya memakan masa selama lima minit sahaja. Dia masuk ke ruang pejabat majikannya dengan gadis hamil tadi sedang mengesat air matanya.

Apa sudah jadi?
Adakah…

“Siti bolehlah keluar sekarang, ya”

Siti Nazurrah akur apabila tindakannya berdiri agak lama dibelakang gadis itu diperhati oleh Amir Naufal. Dia bergegas berlalu sambil menutup rapat pintu pejabat majikannya itu.

Setelah pasti Nazurrah sudah pergi, Amir mengambil Nescafe bancuh, lalu meminumnya sedikit demi sedikit.
“Apa yang awak fikirkan, Natrah? Kenapa awak sanggup buat penipuan ini?”

Suara Amir bertukar keras sekali lagi. Kali pertama tatkala Natrah Syaida sendiri mengaku kepada lelaki itu bahawa dia sudah melakukan penipuan kepada Ummi Syafiqa yang langsung membawa kepada tindakan wanita lanjut usia itu menghabiskan baki cutinya terbang ke Turki, lusa.

“Saya terpaksa. Saya cintakan awak Naufal! Tak nampak lagi ke pengorbanan yang sudah saya lakukan ini?”
“Bukan ini caranya, Natrah!”

Gadis itu teresak-esak menangis. Kelihatan dia mengusap lembut perutnya yang semakin membesar itu. Tudung litupnya juga sesekali kelihatan bergoyang-goyang tatkala bahu kecil gadis itu tersengguk sengguk.

“Saya lakukan ini demi anak saya. Saya mahu dia lahir dengan berbapa. Ada ayah yang akan mengazankannya. Saya tak kisah kalau awak tak mencintai saya, tetapu tolonglah Naufal! Tolong selamatkan maruah yang telah saya sendiri calarkan. Tolonglah saya…”

Rayuan gadis itu benar menyentuh sanubarinya. Dia sendiri hidup tiada berayah. Ayahnya meninggal dunia ketika di laut berpuluh tahun dahulu. Dia tahu peritnya bergelar anak yatim. Dia seakan faham perasaan Natrah dilambung gelombang ketika ini.

Seketika dia menghela nafas.

Ya Allah berkatilah tindakan ku ini!

“Baiklah Natrah. Saya lakukan demi anak awak. Seperti apa yang awak minta itu.”

Natrah bangkit dari tangisnya. Mengangkat wajahnya yang sudah basah dengan kilauan air mata. Hatinya gembira terdetik.

Ya Allah, kau berkatilah hidup lelaki bernama Amir Naufal ini. Kau limpahi rezeki untuknya. Temukan jodoh terbaik buatnya…

Natrah Syaida menguntum senyum tanda kesyukuran. Dia amat berharap yang doanya itu bakal dikabulkan. Dia kemudiannya bangun untuk berlalu pergi namun entah mengapa, tiba-tiba bagai ada sesuatu tekanan sedang memulas di hujung perutnya. Bagai ada sesuatu yang hendak keluar dari perutnya lantas selang beberapa saat yang memeritkan itu, cecair jernih seolah mengalir hingga ke betisnya…

“Naufal…Naufal..saya rasa..saya rasa”

Naufal bingkas bangun dari tempat duduknya, kemudian berdiri terkekau melihat wajah merah padam Natrah Syaida dan cecair jernih yang sudah membasahi permaidani pejabatnya.

“Saya rasa sudah tiba masanya…”

**

“Terima kasih kerana menemani abang walau kita bukan suami isteri lagi”

Ungkapan Iman Sykirin di hari-hari terakhir rawatannya di Hospital pada petang itu cukup terkesan di hatinya. Apatah lagi tindakan lelaki itu hendak mengikuti kakaknya, yang juga bekas penyelia praktikalnya, Ummi Syafiqa terbang ke Turki, lusa membuatkan perasaannya semakin berbelah bahagi untuk meninggalkan Iman.

Soalnya dia masih menyayangi lelaki itu. Dan perceraian ini bukanlah kehendaknya!

Dia menolak kerusi roda Iman perlahan-lahan melewati ruang pemeriksaan gigi dan kini ke ruangan farmasi.

“Abang fikirlah masak-masak”

Zulaikha berkata perlahan sebelum menghentikan kerusi roda Iman lalu duduk di ruang menunggu bahagian Farmasi yang lengang, langsung memandang raut wajah suaminya yang bersih tenang.

“Abang yakin dengan keputusan abang. Kalau ada jodoh ketentuan Allah, kita akan bersua kembali”

Iman tersenyum nipis langsung tidak mendedahkan gelora rasa yang berperang di sanubarinya. Sungguh dia masih menyintai Zulaikha. Masih menyanyangi perempuan itu. Tetapi kondisi fizikalnya membataskan, maka jalan itu yang dia pilih!

Dia tidak mahu Zulaikha Wirdani, gadis baik dan suci yang dikenalinya ini tidak mendapat apa yang sepatutnya dari sang suami. Baik zahir mahupun batin.

Kedengaran bunyi siren ambulan memekakkan telinga, langsung mematikan segera perbualan singkat antara bekas suami dan isteri itu. Kelihatan di ruang legar, berdekatan dengan bahagian farmasi itu, seorang lelaki yang cukup dikenali Zulaikha. Dia amati lagi lelaki itu.

Ya! Memang benarlah dia!

Kelihatan dua tiga orang petugas Hospital nampak kelam kabut dan dari kekalutan itu, Zulaikha cuba bertanya seorang Staff Nurse bernama Saadiah yang kebetulan berselisih bahu dengannya.

“Apa yang terjadi, cik?”
“Ohh perkara biasa puan. Suami mengadu isterinya hendak bersalin. Seronok kan? Bertambahlah umat Islam kita.”

Zulaikha mendengar berita itu dengan sangat tergamam. Iman walaubagaimanapun memandang bekas isterinya dengan raut wajah tertanya-tanya. Dan apabila lelaki yang kekusutan tadi sudah mula reda dan tenang, dua pasang mata bertentangan membikin satu jiwa yang penasaran!

Pertemuan semua Amir Naufal dan Zulaikha Wirdani dalam suasana yang paling tidak menyenangkan…

BERSAMBUNG KE BAHAGIAN DUA

No comments:

Anda Mungkin Menyukai

src="http://www.linkwithin.com/widget.js"> Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
The views of the writer is his own, and do not in any way reflect the views on other sites affiliated with this site or any other members of this site. It is your OWN RISK by reading all the entries. Please note that all works include short stories and online novels published in this site are written by the writer. You may share all the articles, but you've must consult with the writer first.
Any inquiries, feel free to email the writer on faizalsulaiman85@gmail.com
ALL RIGHTS RESERVED