Friday, December 03, 2010

LORO: JILBAB EPISODE 24




Penulis: El Zaffril
Cerita ini boleh juga dilayari di Dan. Setiap bab dalam penulisan ini akan dikemaskini setiap dua hari pada jam 8:08 malam. Chendana Episode 24 akan disiarkan pada 5 Disember 2010. Komen-komen anda amatlah dihargai. Pastikan bacaan anda hingga ke episode akhir, 25!


Uthman memarkir keretanya betul-betul di satu petak parkir berhadapan pintu masuk Hospital Tawakal di Jalan Genting Klang berhampiran dengan Bulatan Pahang.

“Uth tak jawab pun soalan Nur yang terakhir.” Soalan terakhir Nur tidak langsung dijawab oleh Uthman. Perjalanan dari kampung Uthman sunyi bila Uthman diam membisu seribu bahasa.

Uthman segera membuka pintu kereta setelah menjeling ke arah Nur. Dia mencapai beg yang dicampakkan ke tempat duduk belakang separuh perjalanan tadi sebelum keluar dari perut kereta dan berjalan menuju tangga.

“Macam mana Uth nak hidupkan Nur?”

Langkah Uthman di tangga dihentikan. Dia kemudian memandang ke arah Nur yang membontoti dari belakang. Di buka kaca mata hitam yang terletak dimatanya sejak tadi lalu dibiarkan ia melekat di jari kirinya.

“Uth sayangkan Nur. Apa saja cara yang Uth ada untuk melihat Nur bernafas kembali akan Uth lakukan tanpa rasa ragu. Biar sekali memperdagangkan maruah, Uth rela.”

“Maksud Uth?” Nur masih tidak berpuas hati dengan jawapan Uthman.

“Uth cintakan Nur. Kalau boleh Uth nak memiliki Nur. Uth nak hidup bersama Nur. Tak salahkan kalau Uth berkorban apa sahaja untuk Nur?”

Nur menggetap bibirnya. Ketulusan dan keikhlasan kata-kata Uthman membuatkan dirinya serba tidak kena. Hatinya meronta mahu menerima sahaja Uth tanpa sebarang soal bicara.

“Nur tak sayangkan Uth?” Soalan dari Uth membangkitkan Nur dari lamunan.

“Eh, bukan macam tu Uth.”

“Sudahlah Nur, jangan difikirkan sangat. Sekarang kita selesaikan apa yang perlu kita selesaikan.”

“Tapi Uth, macam mana kalau Nur tak ingat apa yang berlaku sejak Nur menjadi halimunan sehingga Nur dihidupkan semula. Adakah Uth akan terus mengharap pada Nur? Adakah Uth akan terus setia menanti sehingga Nur ingat semula saat ini? Atau Uth akan pergi sahaja tanpa pernah mahu membantu Nur mengingat setiap kenangan kita? Kalau ditakdirkan Nur bernafas kembali dan ketika itu Nur ditakdirkan cacat, bisakah Uth menerima Nur seadanya?”

Uthman tertunduk. Berat benar bibirnya mahu menjawab setiap persoalan yang keluar dari bibir Nur. Satu-persatu soalan yang ditanya itu membangkitkan satu rasa yang berlainan sekali dalam dirinya. Dia menjadi keliru.

“Apapun, Uth perlu hidupkan Nur dahulu. Hanya Allah yang akan menentukan masa hadapan kita.” Lemah kata-kata yang terbit dari bibir lelaki itu.

Uthman memulakan langkahnya semula. Lemah langkah yang diatur. Nur mengikut dari belakang tanpa sepatah bicara. Langkahnya juga perlahan.

‘Apapun yang berlaku, aku akan pastikan Nur bernyawa. Perasaan yang wujud dalam diri aku ini, aku biarkan ia terus wujud sampai ke akhir hayat aku.’ Desis hati Uthman.

Perjalanan yang pendek itu terasa begitu jauh. Dari tangga yang terasa begitu curam, kemudian koridor yang terasa sempit dalam langkah perlahan yang diatur. Masa terasa berjalan lambat sekali.

“Encik, mahu melawat siapa?” Seorang jururawat dikaunter wad yang tiba-tiba berdiri dan menegurnya.

“Saya mahu melawat Nur Aisyah.”

“Beruntungnyalah Aisyah, biar koma pun awak setia datang menunggu. Sukanyalah kalau aku dapat teman lelaki macam tu. Romantik, kacak pula tu. Pakej teman lelaki yang boleh dibanggakan.”

Uthman hanya tersengih dan disambut oleh senyuman meleret jururawat.

Nur berdecit, mukanya masam mencuka. Tangannya memeluk tubuh. Terasa tercabar dek kata-kata jururawat itu.

Tombol pintu bilik Nur dipegang. Uthman menunduk, lalu memandang ke arah Nur. Sebuah senyuman kelat diukir. Mungkin itu senyuman yang terakhir yang bisa dilihat oleh Nur dengan sebuah perasaan cinta terhadap manusia halimunan sepertinya.

“Uth.” Tombol pintu yang dipulas separuh itu terhenti.

“Ya Nur.”

“Kalau Nur buat permintaan yang terakhir dari Uth boleh tak?”

“Apa Nur? Akan Uth tunaikan segalanya.”

“Betul ni?” Nur tersenyum girang.

Uthman hanya mengangguk.

“Betul Uth akan menunaikan segala permintaan Nur?” Nur mahu memastikan apa yang didengari adalah benar belaka.

Uthman mengangguk lagi. Terasa bahagia melihat insan yang disayangi itu gembira.

Nur memandang pintu bilik yang bertentangan dengan biliknya. Kemudian dia berjalan membelakangi Uthman. Tubuhnya dipeluk dan dia memandang ke arah tingkap kaca yang menjadi dinding dan pandangannya menerobos keluar ke arah kota Kuala Lumpur yang sudah beberapa dihuninya sebagai makhluk halimunan.

“Uth, ini permintaan Nur dan Uth akan tunaikan dengan janji Uth pada Nur.”

“Apa dia Nur?”

“Di bilik yang bertentangan dengan bilik Nur, ada seorang kanak-kanak yang juga koma seperti Nur. Nur mahu Uth berikan nyawa itu padanya.”

“Tapi...”

“Tak ada tapi Uthman. Uth dah berjanji pada Nur yang Uth akan tunaikan segala permintaan Nur pada Uth. Jadi ini permintaan Nur.”

“Tapi kenapa tidak Nur?”

“Dia masih kecil, umurnya masih panjang. Perjalanan hidupnya masih jauh. Sedangkan Nur sendiri tidak tahu apa yang bakal berlaku dalam hidup Nur selepas ini.”

Uthman memandang pintu bilik itu dengan penuh rasa hampa. Sia-sia usahanya mendapatkan nyawa bapanya untuk menghidupkan Nur semula.

“Baiklah, manusia berpegang pada janji. Uth tunaikan permintaan Nur itu atas janji Uth pada Nur.”

Uthman segera masuk ke dalam bilik itu meninggalkan Nur yang masih berdiri memeluk tubuh. Lalu dia dikejar oleh seorang jururawat yang ternampak Uthman menyelinap masuk ke bilik itu tanpa kebenaran.

“Encik, sila keluar. Encik tidak dibenarkan masuk ke dalam bilik ini.”

Uthman tidak mempedulikan kata-kata jururawat itu. Dia segera pergi ke arah kanak-kanak yang Nur maksudkan. Diletakkan jilbab yang kuning keemasan warnanya di ubun-ubun kanak-kanak yang sedang terbaring kaku. Tiada reaksi.

“Encik, sila keluar. Kalau tidak saya akan panggil pengawal keselamatan.”

“Jangan kacau!”

Jururawat itu terkejut dan terus keluar dari wad kanak-kanak malang itu. Uthman memerhatikan kanak-kanak itu tanpa berkelip.

“Tunaikan permintaan Nur wahai kanak-kanak. Dia mahu melihat kamu bernafas semula.”

Uthman menggenggam tangan kanak-kanak itu setelah melihat beberapa minit tiada reaksi yang ditunjukkan oleh kanak-kanak itu.

“Tangkap dia.”

Pintu tiba-tiba dibuka oleh jururawat tadi dan masuk bersama-sama dua orang pengawal keselamatan. Tanpa berlengah, pengawal keselamatan itu terus meluru ke arah Uthman.

“Aku cuma nak selamatkan dia la bodoh.”

“Selamatkan kepala otak kau, kanser dah tahap terakhir macam ni jarang sekali boleh sembuh kau tahu tak?” Jururawat itu tersengih.

Pengawal keselamatan berjaya menangkap Uthman. Uthman meronta-ronta minta dilepaskan.

“Aku tahu mana pintu keluar.”

“Ah!” Sebuah dengusan kecil hadir dari kanak-kanak yang terbaring itu membuat semua manusia yang sedang dalam perjalanan keluar dari bilik memandang ke arah katil. Degupan jantung kanak-kanak itu semakin meyakinkan.

“Kejap, aku panggil doktor.” Pengawal keselamatan masih dalam keadaan terpinga-pinga saat jururawat itu mendapatkan doktor.

“Syukur Alhamdulillah.”

Uthman memanjat syukur ke hadrat ilahi. Dia memandang ke arah kanak-kanak itu. Wanita yang memberikannya jilbab ketika berjalan di Jalan Tunku Abdul Rahman sedang berdiri di sebelah katil kanak-kanak itu lalu mengambil Jilbab kepunyaannya.

“Terima kasih kerana bersifat timbang rasa, bukan mengikut perasaan cinta. Sekurang-kurangnya kamu tidak tamak dalam hidup kamu. Jangan kamu risaukan, lambat laun dia akan sedar atau pergi selamanya.” Wanita tua itu tersenyum.

Uthman tertunduk sebentar. Kemudian memandang ke arah Wanita itu. Wanita itu lenyap dari pandangannya.

Kelihatan doktor bergegas masuk ke dalam bilik dan pengawal keselamatan pula meleraikan pegangan di lengan Uthman. Uthman melangkah longlai keluar dari bilik, dan memandang ke arah Nur yang setia menanti.

Nur memberikan senyuman namun tidak di balas sedikit pun oleh Uthman.

‘Pasti ada jalan.’ Desis hati Uthman.

BERSAMBUNG

3 comments:

Anonymous said...

Sangat barang bagus.

tengkorakemas said...

hm..buat baik dibalas baik..mungkin Nur akan sedar juga..

pergh..kalau aku..mesti serba salah..tapi mesti ada hikmahnya

Faizal Sulaiman said...

tengkorakemas---> InsyaAllah, ko tunggu sampai last ni, k!hehehehe

Anda Mungkin Menyukai

src="http://www.linkwithin.com/widget.js"> Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
The views of the writer is his own, and do not in any way reflect the views on other sites affiliated with this site or any other members of this site. It is your OWN RISK by reading all the entries. Please note that all works include short stories and online novels published in this site are written by the writer. You may share all the articles, but you've must consult with the writer first.
Any inquiries, feel free to email the writer on faizalsulaiman85@gmail.com
ALL RIGHTS RESERVED