Thursday, March 03, 2011

Keramat Lima: Korin


Korin

Dari Pengalaman Sebenar: Zaki Zafir

Enam pagi!

Ah! Masak aku bangun lambat lagi. Mampus kalau hari-hari macam ni.

Dia bangun seperti biasa, duduk melunjur kaki di atas katil sambil meliuk-liuk kepalanya ke kiri kanan. Sengal. Dibiarkan rasa sakit itu berlalu. Matanya makin terpejam, melawan rasa kantuk yang kian menebal. Teringatkan pula latihan Matematik yang disiapkan lewat malam tadi bersama Alep, rakan sebiliknya. Bila teringatkan Alep, segera mindanya berputar pada pesanan cikgu disiplin petang semalam tentang rambut Alep yang semakin menutupi mata.

Entah fesyen apa dia ikut, aku tak tahu! Asal budak itu baik dengan aku, aku okey saja.

Dia melangkah malas membawa tuala putih dan beberapa peralatan toiletteris ke kamar mandi. Matanya yang kantuk masih enggan membuka luas. Siaplah kau, mata. Terjirus air sejuk, buntanglah nanti, sumpahnya dalam hati.

Berjalan tanpa melihat lebih-lebih lagi ke kawasan bilik mandi tidak langsung menjadi masalah kepadanya. Dia sudah hafal jalan lurus beloknya bagaimana.

Pintu bilik mandi ditutup dari dalam. Suasana hening di luar, menambah keyakinan bahawa masih ramai pelajar sedang diulit mimpi. Tubuh lekas dijirus air sejuk dari pili yang memuntahkan air bersih. Segar merajai diri. Mata yang kantuk tidak lagi dirasa, hatta dia dapat merasakan hari ini sudah tentunya lebih elok dari semalam.

Gigi digosok perlahan, sambil meratakan air bugar keseluruh tubuh.

Mandi biar basah!

Sepuluh minit membersih diri, dia terus keluar dengan tuala membalut dari pinggang ke lutut sambil matanya memandang sosok Alep yang sudah berdiri terpacak di hadapan cermin bersinki. Rambutnya yang panjang disikat, jurai semakin menutup mata.
Jadah la kau, Alep. Cikgu baru pesan semalam suruh gunting. Kau masih nak berfesyen ke apa?, sungut hatinya semakin tidak senang dengan penampilan Alep yang tak ubah seperti samseng. Boleh hidup pulak tu dengan dua biji mata tertutup dengan rambut!

“Kau masih tak mahu potong rambut tu?”, soal nya dengan nada prihatin.
Alep masih kelihatan tunduk lalu menyikat rambut lebatnya. Tiada balasan bersahut.

“Kan cikgu dah pesan semalam. Nanti apa-apa jadi pada kau, aku tak tanggung!”, balasnya lagi lebih selamba. Rambut yang basah, cuba di kirai-kiraikan supaya lekas kering.

Alep masih tak membalas. Makin rancak pula dia menyikat rambutnya yang kelihatan ikal itu

Bisu ke apa budak ni! Cakap sepatah, haram tak dijawabnya! Tak ada mood, agaknya!

Dalam sangsi penuh amarah itu, dia cuba menyedapkan hati. Makin dilayan si Alep, makin lagha Subuhnya telat. Mujur wudhu’ sudah diambil awal.

Dia melangkah keluar, membiarkan Alep melayan gelodak rasanya. Haih! Takkan buat kerja Math sampai larut malam, pagi-pagi dah kena PMS kot?

Hatinya masih gulana.

Kedengaran pelajar-pelajar lain berdedai dedai keluar dari bilik mandi, bersiap-siap hendak ke perhimpunan sekolah pagi itu.
Fuh! Nasib aku dah mandi. Kalau tak, terpaksa berebut-rebut.

Pintu biliknya dibuka lalu ditutupinya semula.

Pandangan bilik yang gelap tadi, mulai menampakkan sinar suram gemilang mentari yang perlahan-lahan menerobos masuk ke jendela kaca. Barang toiletteries nya diletakkan di dalam almari sambil berpusing melihat katilnya yang separa tidak kemas.

Dan…

Kelihatan seseorang masih berbungkus, sedang terlena di atas katil, sebelah tempat tidurnya.

Entah-entah si Rahmat agaknya!

Suka sangat jadikan bilik aku ni tempat singgah dia sebelum ke bilik air. Tengok aje katil si Alep ni kosong, terus landing tak sedar! Dia ingat ni RnR ke apa?

Tertekan, dia lekas menepuk bahu Rahmat dengan sedikit goncangan.

“Oi! Bangun la..Kau tak pergi sekolah ke?”, tegurnya keras sebelum selubung yang membaluti tubuh itu terselak.

Kelihatan sahabatnya Alep, dengan rambut kusut masai, terkedip-kedip mata memerhatikannya dengan pandangan serba bingung!

Dia…tergamam!

“Sekarang pukul berapa?”

Pertanyaan itu dibiar tidak berjawab lalu tanpa rasa bersalah pada tikar sejadah yang dibiar terbentang di atas lantai, dia memberanikan diri untuk pergi semula ke kamar mandi, menunggu ‘bayang Alep’ yang diperhatikannya lewat sudah mandinya tadi.

Kalau bukan Alep, siapa? Siapa yang menyamar jadi Alep? Menyamar..atau…

Bahunya tiba-tiba terasa digoncang kuat, lantas dia berpaling dengan wajah yang sangat terkejut.

Alep yang kelihatan sudah bertuala menyeringai ke arahnya.

“Kau jumpa hantu ke, bro?”, selorohnya celupar. Dia tidak membalas malah berlalu pergi membiarkan Alep tersengih lucu. Luculah dapat sergah aku pagi-pagi buta! Hantu kau, Alep!

Sepanjang perjalan menuju ke kamarnya semula, membentang kembali sejadah di atas lantai, mindanya berputar ligat mengenangkan Alep yang ditegurnya pagi tadi.

Siapa budak lelaki yang menyerupai Alep, itu?

PESANAN: Jangan pusing ke belakang ketika membaca. Mungkin ada yang tumpang membaca sekali…

8 comments:

NUke_Rude said...

ok. ini seram.

mr.syazwan said...

hohoho

saja je kan malam2 jumaat kisah mcm ni

;p

Faizal Sulaiman said...

NUke_Rude--->thanks baca, bro!

Faizal Sulaiman said...

mr.syazwan --->lompat atas katil tros, wan=)

Unknown said...

huh!! kenapa la naluri aku ni terlalu kuat untuk berpaling ke belakang.. tapi tak usah bimbang sebab kawan aku ada kat belakang tgh tido berselimut lingkup.. eh, nnt nk check..betol ke kawan aku!!!!!

Faizal Sulaiman said...

shatooman --->hahaha

baik ko cek, bro.manala tau kan..

tengkorakemas said...

keh3..sengaja komen di siang hari..cerita mcm ni lebih dekat dan tinggi potensinya utk berlaku pada setiap org..

so memang seram..
bro, dulu kwn aku pernah ada pengalaman mcm ni..dan qorin yg dia jumpa tu..qorin aku!

Faizal Sulaiman said...

tengkorakemas--->warghhh

qorin ko mesti menakutkan

sometimes qorin ni tak cakap apa-apa wehh

Anda Mungkin Menyukai

src="http://www.linkwithin.com/widget.js"> Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
The views of the writer is his own, and do not in any way reflect the views on other sites affiliated with this site or any other members of this site. It is your OWN RISK by reading all the entries. Please note that all works include short stories and online novels published in this site are written by the writer. You may share all the articles, but you've must consult with the writer first.
Any inquiries, feel free to email the writer on faizalsulaiman85@gmail.com
ALL RIGHTS RESERVED