Tuesday, August 30, 2011

Sesuci Syawal: Cerpen: Fitrah Syawal



Pintu rumahnya dikuak perlahan, mendedahkan cahaya samar pagi yang sangat hening. Wajahnya sedikit berkerut tatkala sinaran itu memanah kulitnya yang mulus halus.

Kelihatan kelibat seorang wanita, dari sosoknya yang langsing. Hijab yang dipakainya labuh, hijau pucuk pisang warnanya, dipadankan dengan jubah warna sepadan. Manis. Sangat manis sekali.

“Boleh kakak masuk?”

Saida menyungging senyuman lawa. Wanita yang membahasakan dirinya ‘kakak’ itu lekas dipelawanya masuk, malah terus dipersilakannya duduk.

“Kak Ayu sihat?”

Saida bertanya lembut. Wajah Rahayu yang dioles tipis mempamer senyuman sangat cantik. Dia kemudiannya mengangguk perlahan. Wanita itu lantas memaut bonggol tangan Saida sebelum menepuknya lembut. Air mukanya kelihatan sangat tenang.

“Terima kasih sebab jaga makan pakai Abang Farami dalam minggu ni. Kakak terhutang budi sangat dengan Saida”

Saida mengulum senyuman manis. Jauh dari lubuk gadis itu, dia ikhlas. Abang Faraminya juga suami Kak Rahayu. Mana mungkin dia mengabaikan tugas sebagai seorang isteri dari seorang lelaki, seorang suami wanita lain yang sanggup mengambilnya sebagai suri hati yang sah.

Terutamanya, dia harus berterima kasih kepada Kak Rahayu. Jodohnya dengan Abang Farami sebenarnya diaturkan oleh wanita itu. Pengorbanan Kak Rahayu tiada tolok bandingnya.

“Saida? Saida kenapa ni? Murung saja?”
Gadis itu menggelengkan kepala. “Tak ada apa-apalah kak. Cuma….”
“Cuma apa, dik?”

Saida tidak terus menjawab sebaliknya memandang Kak Rahayu dengan matanya yang sangat bergenang.

“Besar pengorbanan kakak terhadap saya. Saya seolah hidup atas ihsan kakak. Kakak yang memaksa Abang Farami untuk berkahwin dengan saya. Kalau tak, sampai sekarang saya tak kahwin-kahwin. Hidup dengan permintaan emak yang memaksa saya lekas berkahwin dan umpat keji jiran tetangga yang tak habis-habis”

Airmata Saida mula bergenang. Rahayu mengusap bahu madunya itu, lembut.

“Kakak redha.Dekat sepuluh tahun kakak kahwin dengan Abang Farami. Abang faham yang dia inginkan zuriat walaupun dia tak pernah beritahu”, ujar Rahayu perlahan. Dia kemudiannya memaut bonggol tangan Saida.

Gadis itu memandangnya.

“Malam ini, buka puasa terakhir, kita buka sama-sama, nak?”, cadang Saida lantas memandang wajah Rahayu dengan sinaran mata penuh pengharapan. Wajah Rahayu tampak keruh, tetapi dalam garis senyum, dia cuba ukirkan semanisnya.

“InsyaAllah kakak datang, dik. Kakak ada kerja sikit”
Saida mengerling dengan riak bagai hendak tertawa.
“Kakak Ayu ni. Esok raya kak. Kerja apa lagi?”
Rahayu menyungging senyumtipis.
“Raya..raya juga. Kerja kena jalan, Saida”
“Alah kak. Boleh lah. Sekali ni je”

Alasan seakan tersekat antara mulut dan akalnya. Rahayu menimbang permintaan Saida dengan penuh kebimbangan.

Aku tak mahu dia tahu sebelum waktunya! Bagaimana kalau dia tahu hari ini. Malam ini?
Semua yang aku buat ni, tiada jalan untuk berundur ! Ya Tuhan. Maha Pengasih lagi Penyayang. Beratnya ujian Mu ini !

‘Senyap tu tanda setuju, kak ! Boleh ya ?’
Gemersik suara Saida memecah gegendang telinganya. Sayup-sayup saja kedengaran. Ukir bibirnya berkeluk manis, membunuh semua prasangka jahat, nafsu cemburu wanitanya kerana memberi separuh kasih sang suami kepada anak dara lanjut usia seperti Saida.

Ya Tuhan.Kuatkan semangatku ini!

Rahayu mengangguk sedikit. Dia cuba sembunyikan riak kerisauannya dibalik senyuman yang semakin rapuh dek kegagahan palsu.

‘Saya akan masakkan ikan caru bakar kegemaran kakak. Abang Farami suka gulai ikan tongkol! Seronok berbuka sama-sama ni, kan?’, tingkah Saida sebelum memperbetulkan tudung labuhnya yang serasakan tidak selesa. Wajah Rahayu dipandangnya dalam-dalam.

‘Saya harap hubungan kita, saya, kakak dan Abang Farami mendapat rahmat dari Allah’

Saida memeluk madunya erat. Ada rona keihklasan terpancar dari wajah bujur sirihnya yang putih itu.

Rahayu, walaubagaimanapun masih diburu sisa kerisauan!

***

‘Positif? Awak yakin positif?’

Suara garau Farami memecah hening petang. Bagai ada sedikit nada gembira di balik pertanyaannya itu. Di balik talian, isteri pertamanya Rahayu sudah basah dengan linangan air mata.

‘Dah empat minggu, bang! Syukur! Allah makbulkan doa saya. Doa kita. Dah lama saya nantikan saat ini. Saat akhirnya saya bergelar ibu’, suara Rahayu bagai hendak berteriak. Keajaiban Allah langsung tidak diduga nya. Apa yang dihajati akhirnya menjadi kenyataan. Benarlah kata-kata sesetengah bijak pandai. Tak sekejap, tak lama, Rahmat Allah pasti akan diberikan pada setiap makhluknya.

Asal kita jangan berputus asa berdoa dan berusaha!

‘Alhamdulilah! Allah dah mendengar hajat kita’, ujar Farami sedikit sebanyak kelihatan sebak. Hampir sepuluh tahun dia dan Rahayu menanti saat ini. Saat dimana mereka bergelar ibu dan ayah. Sepanjang tempoh itulah banyak cabaran dan dugaan yang ditempuhi. Dia dituduh mandul. Dia dituduh tak mampu berikan cahayamata kepada Rahayu. Dia dituduh gagal melaksanakan tugas sebagai suami. Malah ada cubaan untuk memisahkan dia dengan Rahayu kononnya isteri tersayangnya itu membawa sial.

Segala cubaan ditangani dengan redha. Dia tahu Allah ada bersamanya. Dia tahu Maha Pengasih itu mendengar rintihannya lewat lima waktu perintahNya. Dia tahu Maha Penyayang akan membantu hambaNya.

Semua itu tidak terbanding tatkala suatu hari Rahayu menyuarakan keinginannya meminta dia berkahwin dengan rakan sepejabat isterinya itu yang bernama Saida.

Dia menolak keras. Tak mungkin dia menceraikan Rahayu.

Namun, sekeras-keras hatinya, Rahayu lebih tegas dan lebih mendesak. Malahan dia sanggup meminang Saida untuknya.

‘Abang anggaplah abang membantu dia meringankan beban ibunya-yang meminta dia berkahwin dan umpat keji jiran tetangga yang menuduhnya bukan-bukan’

Farami menerima dengan redha. Itupun selepas perbincangan demi perbincangan, termasuklah giliran antara Rahayu dan Saida. Malah, perkahwinan kali kedua mereka ini dibuat dalam suasana sangat sederhana. Sekadar akad nikah saja.

Namun, apabila mengenangkan Saida, berita bahawa dia bakal bergelar bapa tidak lama lagi seolah luput dalam ingatan.

‘Saida dah tahu ? Dah tahu yang awak hamil ?’, soalnya perlahan sambil memerhati ruang bilik, bimbang Saida terpacul di muka pintu setelah menyiapkan hidangan di dapur.

Kedengaran dengusan bimbang Rahayu di hujung talian.

‘Belum, bang. Saya takut! Sebelum dia jemput datang rumah malam ni, saya hendak beritahu. Tapi bila saya pandang wajahnya, saya kasihan. Kasihankan dia’

Farami diam. Dia juga buntu. Jika diberitahu Saida, akan diterimakah perkhabaran ini? Apatah lagi untuk bulan-bulan mendatang, isteri pertamanya itu pasti memerlukan perhatian dari seorang suami.

Hati wanita Saida tidakkah cemburu?

‘Kita rahsiakan perkara itu daripada dia. Kita perlukan masa untuk memberitahu dia’, putus Farami senafas sebelum talian dimatikan. Lelaki itu kemudiannya duduk di tepi katil, meraup wajahnya yang sugul.

Oh Tuhan..bantulah aku! Bantulah hambamu ini

***

Majlis ringkas berbuka puasa itu diiringi dengan senyuman dan gurau tawa Rahayu dan Saida. Farami banyak mendiamkan diri. Sambil memuji hidangan yang dimasak madunya, Rahayu membawa hadiah berupa sepasang baju kurung moden yang dibungkus cantik dengan pembalut kilat.

‘Susah-susah saja kakak ni. Saya dah ada. Abang dah belikan minggu lepas’, ungkap Saida dengan senyuman manis biasanya sambil memandang Farami. Rahayu menggeleng lembut.
‘Tak ada susahnya Saida. Kakak memang nak beli untuk Saida’
‘Terima kasih, kak! Biar saya letak kat dalam bilik dulu, ya?’

Rahayu mengangguk lembut. Saida, masih tersenyum bingkas bangun dari tempat duduknya lalu menuju ke bilik tingkat atasnya sebelum membuka tombol pintu, lalu menguncinya dari dalam.

Almari pakaiannya dibuka, lalu menyusun bungkusan yang diterima Rahayu tadi elok-elok sebelum menutup pintu almari itu perlahan.

Gadis itu kemudiannya duduk berteleku di atas tilam dengan wajahnya ditekupkan dengan tangan.

Ya Allah besarnya dugaan Mu ini!

Masih terngiang-ngiang perbualan suaminya dengan madunya, Rahayu. Perbualan bahawa madunya itu sudah berbadan dua!

Esak tangisnya menggila, tetapi dia cuba untuk mengawal tangisan itu.

Perlahan-lahan dia bangun, menuju ke almari soleknya. Membuka laci almari bercermin itu perlahan-lahan, mendedahkan sebuah kotak hitam, segi empat sama.

Diambilnya kotak itu perlahan-lahan, lalu membukanya dengan teliti.

Di dalamnya terdedah sehelai kertas, laporan pemeriksaan doktor. Laporan dimana doktor sudah mengesahkan bahawa dia adalah antara berjuta wanita malang seluruh dunia, penghidap kanser servik. Satu kanser yang boleh membawa maut!

Kata-kata doktor itu tiba-tiba menujah benaknya.

‘Awak perlukan sokongan suami dan orang keliling dalam menghadapi kanser ini. Hidup gembira dan saya yakin, awak mampu melawannya’

Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim.

Mampukah aku menghadapinya dalam keadaan sebegini?
Mampukan kau berikan nyawa untukku, untuk bernafas sekali lagi?

Biarlah ku hidup seperti ini
Takdir cinta harus begini
Ada kau dan dia bukan ku yang mahu
Oh Tuhan, tuntun(pandu) lah hatiku

TAMAT


[Selepas Ini]
Antara pengakuan dan kebenaran: Kisah mereka yang tidak senasib dengan kita


[Sebelum Ini]

No comments:

Anda Mungkin Menyukai

src="http://www.linkwithin.com/widget.js"> Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
The views of the writer is his own, and do not in any way reflect the views on other sites affiliated with this site or any other members of this site. It is your OWN RISK by reading all the entries. Please note that all works include short stories and online novels published in this site are written by the writer. You may share all the articles, but you've must consult with the writer first.
Any inquiries, feel free to email the writer on faizalsulaiman85@gmail.com
ALL RIGHTS RESERVED