Thursday, April 01, 2010

PROSA SATU


“ Lupakan sajalah dia, Fal. Kau boleh cari yang lebih baik dari dia”

Masih terngiang-ngiang komen Fahrul tentang perihal Haryani, gadis manis yang sudah lama benar mencuri hatinya. Baru minggu lepas dia mendengar keluhan bimbang Fahrul tentang Haryani dan sekaligus lelaki berkaca mata itu membuat kesimpulan peribadi tatkala hasratnya disuarakan untuk meminang Haryani sebagai calon isteri.

Memang dia pernah mendengar tentang perihal kurang enak gadis berkulit kuning langsat itu. Ada yang berkata Haryani begitu mudah bersosial dengan rakan sekerja. Kejap-kejap dengan Omar, kadang kala dengan Jamil. Itu haknya dan Haryani layak melakukan semua itu walau tidak berkenan manapun lubuk sanubarinya.

Dia redha. Dan tatkala Fahrul menyuarakan keberatannya melihat dia dan Haryani hidup bersama, dia langsung tidak membantah. Dia tahu, Fahrul kawan yang baik. Sahabat yang jujur setia. Jika tidak molek dipandangannya, Fahrul akan menegur dengan baik.

Rupa tidak menjadi ukuran semata, tetapi agama yang menjadi keutamaan.

Naufal menutup fail di atas mejanya dengan perlahan sambil menyandar selesa di kerusi empuknya lantas memikirkan kemungkinan hubungan dia dan Haryani tidak akan berakhir seperti apa yang dirancangkan. Jika itu benar sudah tertulis takdirnya di Arashy, dia tidak mampu menolaknya. Malah dia akan menerimanya dengan hati yang terbuka.

Bukankah Allah itu Maha Mengetahui?

Azan Asar bergema mendayu memecah kebisingan petang itu. Usai membuang ingatannya mengenang Haryani, mahupun keihklasan nasihat Fahrul, Naufal mengambil sedikit masa bertafakur membaca doa sesudah azan, lantas bingkas bangun sebelum menukarkan kasut kulit formalnya ke sepasang selipar jepun murah yang amat selesa dipakainya sekarang.

Dia berjalan pantas, menderap langkah menuju ke ruangan khas bilik air di pejabatnya yang tertera tulisan “Bilik Wudhuk”. Pili dibuka lalu memuntahkan air jernih yang mengalir lesu. Kedua tangannya ditadah, mengaup air untuk berwudhuk dengan perkara sunat didahulukan. Akhir perkara sunat yang digalakkan, nawaitu dibaca terang dalam hati sebelum rukun-rukun berwudhuk seperti yang dicatitkan di dalam Surah Al-Maidah ayat enam dilaksanakan dengan tawaduk dan penuh zuhud.

Naufal berundur sedikit kebelakang, mematikan pili lalu membaca doa selepas wuduk sambil berjalan lekas menuju ke ruang kecil surau pejabatnya yang dibahagi dua antara pekerja wanita dan lelaki. Hanya tirai panjang lagi labuh yang menjadi penghadang. Dan sebelum Naufal mengangkat takbir, bersedia untuk melepaskan urusan duniawi, fikirannya dirasuk dengan bisikan syaitan keji tentang betapa jahilnya manusia apabila melibatkan wang dan kuasa.

Sampai bilik sembahnyang yang sempurna pun lupa hendak dibuat?

Hatinya berdetik buat keberapa kali untuk satu pertanyaan yang entah bila boleh terjawab!

Dia cuba menenangkan fikiran. Saat diri sudah qiam, dengan tangan sudah rapat ke sisi, takbir diangkat penuh semangat, meletakkan kedua telapak tangan menghampiri telinga sambil melafazkan kalimah kebesaran milik Sang Pencipta.

Allahuakbar!

Bacaan berganti bacaan. Al-Fatihah bersulam surah indah Al-Quran. Lafaz diikuti perbuatan rukuk-sujud dengan penuh rendah diri. Tanda lemah dihadapan Maha Pengasih. Tanda menunaikan janji untuk taat setia sehingga mati dengan syahadah. Bukti taqwa dengan tahyat berakhir doa meminta rezeki, doa menghapus dosa, doa kesenangan malah doa kesejahteraan agar segala-galanya diberkati sepanjang hidup di bumi yang fana ini.

Naufal menghela nafas. Syukran!.

Hayatnya masih panjang ketika Asar masih berbaki tiga jam lagi. Dan apabila benaknya mula memikirkan urusan duniawi yang sudah ditinggalkan sekejap, bayangan Haryani mula muncul tiba-tiba di ruangan mata. Hatinya menderam remuk. Dia juga manusia biasa dan bukannya boneka buruk yang langsung tidak berjiwa!.

Perasaannya rapuh!

Tiga tahun dia menaruh rasa. Tiga tahun juga dia berpegang janji. Janji Haryani yang masih dia ingati sampai sekarang.

“Bukan saya tak mahu terima Naufal, tapi..saya masih belum lupa si dia!. Kecewa benar hati saya ketika ini dan untuk memulakan satu perhubungan baru, tentu memakan masa untuk luka lama sembuh kembali", jelas Haryani tiga tahun dulu ketika dia meluahkan perasaan menyukai gadis itu. Haryani kemudiannya menyambung dengan senyuman manis terukir di ulas bibirnya yang merah merekah.

“Yani janji. Bila Yani dah bersedia, Yani akan beritahu awak. Awak tunggu sajalah”, pujuk gadis itu bila melihat dia diam bisu membatu.

Tiga tahun menunggu.

Dan dia menunggu dalam keadaan penuh sia-sia. Penuh kehampaan berbisa.

Naufal menghela nafas panjang, merenung kalimah Allah dan Muhammad bertulisan jawi melekat di dinding surau sebelum hatinya berdetik lemah.

Oh Tuhan..siapakah nanti cinta untuk ku?

Lelaki itu memejamkan mata sambil membukanya beberapa saat kemudian lalu kelihatan pasrah menolak rambut lebat basahnya ke belakang. Naufal bangun perlahan sebelum kedengaran sesuatu sedang terjatuh dari arah belakangnya menghempas ke lantai, lalu terseret dari ruang sembahyang perempuan lantas tidak semena-mena masuk ke ruang sembahyang lelaki,melalui celahan tirai panjang yang memisahkan saf-saf itu dan ianya kini benar-benar berhenti di hujung telapak kakinya.

Kelihatan seutas jam tangan bewarna kuning keemasan tergeletek misteri sebelum Naufal tunduk lantas mengutipnya perlahan seraya mengamatinya dalam-dalam.

“Tak guna kalau saudara menilik pandang jam itu. Harganya lebih murah dari kedai jam tangan terkemuka”, bingkis satu suara lembut di balik tirai labuh itu. Naufal tersentak.

Jam tangan itu kepunyaan seorang gadis.

”Tak ada niat dihati mahu mengambil hak orang lain”

Gadis itu tertawa perlahan sebelum kedengaran bunyi lipatan telekung yang dipakainya.

“Tapi, perkara itu selalu dilakukan oleh manusia, bukan?. Mengambil hak orang lain tanpa mengambil peduli hati dan perasaan mereka”, ulas gadis itu bagai menyentap perasaan Naufal. Dengan serta merta banyangan Haryani dan kekasih barunya terpampang di fikiran dan dia sebagai watak jahat, merampas Haryani dan membawanya pergi jauh dari lelaki itu.

“Kita mungkin akan berjumpa lagi, saudara!. Ambil lah jam itu kalau berkenan. Saya beli pun di pasar malam saja”, jujur suara gadis itu mematikan lamunan Naufal sebelum kedengaran pintu surau wanita tertutup kuat, menandakan si gadis itu telahpun pergi meninggalkan lelaki itu dengan seribu satu pertanyaan…

Allah tiada melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang memerangi kamu, kerana agamamu dan tiada pula mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang berlaku adil AL-MUMTAHINAN (Ayat 8)

BERSAMBUNG

9 comments:

'AQILAH said...

bahagia nyer part ni....aku dapat bayangkan....tunggu sambungan :)

Blog Anuar Kamaruddin™ said...

tak memasal si naufal kena sound ya? dia bukan niat nak ambik pun jam tu...cis kek! haha! :-D

Wawan Saini said...

bahagia..
terbuai lak.

khasyikelvin_ said...

ah,
ayatnya tersusun kemas.
pastikan kesalahan ejaan diminimakan.
by the way,
si rusuk kiri itukah yang
empunya jam berwarna keemasan?

iyllienaz said...

haha..nape gadis itu terlampau emosional??

hafizzuan said...

ni hasil tulisan anda ke?

Faizal Sulaiman said...

buat semua:

terima kasih kerana membaca.

hafizzuan:
ya.hasil tulisan saya. maaflah kalau buruk.huhuhuhuhu..sori2;)

farida tarmize said...

berbeza dengan kisah cinta laen..selagi ko masukkan pentingnya tatacara islam dalam novel ni macam novel habiburrahman,selagi tu aku akan baca..

baek ko proceed pada alaf 21 je..

Anonymous said...

ayat indah yg tersusun rapi..."Lelaki itu memejamkan mata sambil membukanya beberapa saat kemudian lalu kelihatan pasrah menolak rambut lebat basahnya ke belakang" betul2 wat aku teringat pada insan yang pernah aku kasihi 1 masa dahulu...

Congrates!

Anda Mungkin Menyukai

src="http://www.linkwithin.com/widget.js"> Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
The views of the writer is his own, and do not in any way reflect the views on other sites affiliated with this site or any other members of this site. It is your OWN RISK by reading all the entries. Please note that all works include short stories and online novels published in this site are written by the writer. You may share all the articles, but you've must consult with the writer first.
Any inquiries, feel free to email the writer on faizalsulaiman85@gmail.com
ALL RIGHTS RESERVED