Wednesday, December 02, 2009

7 HARI: EPISODE 7: -BAHAGIAN 1-

SEMINGGU SEBELUM KEHILANGAN ADRIANA ALBANES

Setiausaha tetap Teletune, Farah Adiba Samsudin sering menjangkakan banyak perkara tidak masuk akal sepanjang sepuluh tahun dia berkhidmat sebagai setiausaha peribadi Tuan Rashid Habib, pemilik syarikat telekomunikasi itu. Ini termasuk menguruskan janji temu dengan anak perempuannya, Amy atau masa terluang dengan bakal menantunya, Syah. Namun, dek kerana makan gaji, dia turutkan sahaja. Mungkin disebabkan dia sibuk, maka pertemuan dengan ahli keluarga juga perlu diaturkan, pujuk hati was-wasnya pada satu hari. Itu belum dikira dengan kerapnya hadir seorang wanita muda yang sangat tidak dikenalinya sejak beberapa minggu sebelum Tuan Rashid mengarahkannya untuk membuat segala urusan janji temu dengan keluarganya itu. Dan yang paling pelik, isterinya Elena juga turut dikenakan syarat untuk membuat appointment jikalau hendak bertemu dengan suaminya sendiri.

Dalam hati yang bergelodak, dia terus melaksanakan tugasnya tanpa alpha dan dengan penuh dedikasi sehinggalah pada suatu hari dia terpaksa masuk ke pejabat pengurusnya untuk mengambil fail penting tentang usahasama Teletune dengan Vision Networks, sebuah syarikat television berbayar, tentang kerjasama sebuah rancangan nyanyian realiti terbaru kelolaan syarikat televisyen gergasi itu.

Farah terus memasuki bilik pengurusnya dan seperti kebanyakan setiausaha yang cuai, mereka akan dapat sesuatu jika tidak mengetuk pintu terlebih dahulu!

Buat seketika Fara tergamam. Ini kali pertama dia melihat susun atur fail-fail di atas meja Tuan Rashid sangat kemas aturannya. Dia berani bertaruh yang Makcik Maimunah, perempuan berusia yang sering diamanahkan untuk membersihkan bilik itu, tidak akan mampu membersihkan bilik itu sebersih sekarang!. Dia mula berjalan dengan senyap memerhatikan suasana pejabat besar itu dengan bungkam sebelum kelihatan Tuan Rashid muncul dari balik almari bukunya dengan wajah yang sangat tenang. Di balik tangannya, Fara dapat melihat sepasang sarung tangan getah bewarna kuning dan sebotol detergen pencuci marmar yang sering digunakan oleh tukang cuci pejabat Teletune untuk mencuci lantai.
-“Ada apa ni?”, soal Tuan Rashid yang tiba-tiba kedengaran marah. Fara tersentak dan terus mengatakan tujuan mengapa dia masuk ke bilik pengurusnya itu dengan sepantas kilat. Lelaki itu sekali lagi tampak tenang, tetapi sangat serius wajahnya. Fara terus berjalan, mengambil fail itu, seperti yang ditunjukkan oleh Tuan Rashid dengan senyap dan terus keluar dari bilik pengurusnya tanpa kata.

Selama lima belas minit dia tertanya-tanya dibenaknya tentang motif Tuan Rashid mengemas biliknya sendiri ditambah dengan anehnya sebotol detergen dan sepasang sarung tangan kuning di tangannya. Namun semakin dia berfikir, fikirannya semakin bercelaru dan dia terus mengambil keputusan untuk bertanya kepada Makcik Maimunah yang kelihatan tidak jauh dari meja kerjanya.
-“Makcik ada kemas bilik Tuan Rashid hari ini?”, soal Fara perlahan, bimbang perbualannya didengari oleh Ramdhulari, salah seorang pekerja am di bangunan Teletune yang kebetulan sedang menngelap cermin berdekatan dengan Makcik Maimunah empat minit selepas itu. Perempuan berusia itu tersenyum ramah. –“Tak ada cik Fara. Itu yang Kak Munah pelik tu. Selalu Akak yang kemas bilik Tuan!”, jawab Maimunah jelas kurang selesa dengan panggilan makcik yang diberikan oleh Fara.

-“Apa yang peliknya makcik?”, soal gadis itu bagai tidak bertelinga. Maimunah masih tersenyum walaupun hatinya menyumpah seranah gadis sunti dihdapannya itu. Aku ni bukannya tua lagi, tahu!, bentak kata hatinya. –“Kan selalu akak yang kemas. Harini siap dimintaknya GetRid pulak!. Tapi kan, tadi akak dengar...”, kata Maimunah tiba-tiba perlahan dan penuh misteri. Bukan Fara sahaja yang nampak terpancing, Ramdhulari juga kelihatan sengaja melambat-lambatkan proses mengelap cerminnya, walaupun kelihatan cermin itu sudah bersih berkilat.
-“...akak dengar Tuan Rashid marah seseorang. Seseorang yang namanya..Ana!. Suaranya terpekik pekik.”, bisik Maimunah perlahan. Fara diam sambil wajahnya serius menghadap Makcik Maimunah yang berfikir yang Fara mungkin mahu tahu siapa sebenarnya Ana.

-“GetRid tu apa makcik dan apa gunanya?”, soal Fara menepis tanggapan Maimunah dan pabila perempuan itu mengeluarkan sebuah botol detergen yang sama dilihatnya di tangan Tuan Rashid, hatinya semakin berdebar-debar. –“ Ia digunakan untuk menanggalkan sisa-sisa kotor yang susah nak ditanggalkan oleh serbuk pencuci biasa macam getah, cat, darah...”
Dan kata-kata terakhir perempuan itu membuatkan Fara akhirnya membuat kesimpulannya sendiri.

Ana mungkin telah mati...

*

TIGA JAM SEBELUM MAJLIS PERKAHWINAN

Setiap pengantin mengimpikan yang terbaik semasa hari persandingan mereka. Tidak hairanlah jikalau ada yang sanggup berhabisan ratusan malah puluhan ribu ringgit demi sepasang sut baru atau sehelai gaun putih beserta veil yang panjang berjela. Mereka juga akan mengupah perunding perkahwinan yang terbaik demi memastikan hari bahagia mereka tidak ada cacat celanya. Dan mereka, iaitu para pengantin, hanya menanti debar saat mereka diijabkabulkan, berjanji sehidup semati sehingga ke akhir hayat.

Walaubagaimanapun, perkara itu tidak terjadi kepada pasangan Amy dan Syah yang sekarang sedang sibuk memikirkan jalan penyelesaian kepada masalah hutang adik perempuan Amy, Eza kepada Jason. –“Mama akan naik berang jika dia dapat tahu yang separuh dari barang kemasnya hilang!. Tak guna punya adik!”, marahnya garang setelah dia meminta jurusolek merangkap perunding perkahwinannya, Edie keluar seketika (yang pada masa itu mata tajam Edie tidak lepas-lepas memandang wajah kacak Syah.) Syah kelihatan diam. Dia sudah bersedia dengan sutnya, hanya memandang sepi wajah tidak keruan bakal isterinya seperti tidak memberi perhatian kepada butir bicara yang diluahkan Amy.

-“Kalau ya pun nak buat perangai, tunggulah selepas majlis perkahwinan ini berakhir!. Mujur ayah ada sekarang. Mujur juga rayuan mama untuk melepaskan ayah untuk satu hari ini diluluskan pihak polis!. Kalau tak, tak tahulah!”, bebelnya lagi dan kemudian dia menyambung kembali kata-katanya. –“ Syah, awak boleh tolong kan?”, soal gadis itu berdegar-degar sambil menyapu sedikit warna merah pada bibirnya yang nampak pucat. Dia memandang Syah dengan satu perasaan jengkel tatkala lelaki itu tidak menjawab pertanyaannya. –“Awak ni mendengar ke tidak?”, soal Amy serius sambil memandang wajah tuanagnya dalam-dalam. Syah mengangguk perlahan. Selain itu, wajahnya kelihatan sangat pucat. Amy kelihatan berganda peliknya. –“Awak ni kenapa?”, soal gadis itu mula prihatin dan Syah menjawabnya pantas.

-“Tak ada apa-apa yang perlu dirisaukan. Saya..boleh tolong...tapi dengan syarat!”, bisik lelaki itu perlahan dan tatkala memandang wajah Amy seperti tidak serius, Syah mengangguk tanda dia benar-benar tidak berolok-olok.

-“Apa syaratnya?”, soal gadis itu perlahan, namun belum sempat Syah menjawab, kedengaran jeritan Elena dari tingkat bawah rumahnya. Amy dan Syah saling berpandangan, lantas keluar dari kamar pengantin mereka dan terus berlari menuruni tangga dan di kawasan ruang tamu besar mereka terdedah seorang wanita muda yang sangat dikenali oleh keluarga mereka. Wanita yang selama ini dikhabarkan hilang.

Ya..Adriana Albanes kembali semula...

BERSAMBUNG...

No comments:

Anda Mungkin Menyukai

src="http://www.linkwithin.com/widget.js"> Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
The views of the writer is his own, and do not in any way reflect the views on other sites affiliated with this site or any other members of this site. It is your OWN RISK by reading all the entries. Please note that all works include short stories and online novels published in this site are written by the writer. You may share all the articles, but you've must consult with the writer first.
Any inquiries, feel free to email the writer on faizalsulaiman85@gmail.com
ALL RIGHTS RESERVED