Penulis: Faizal Sulaiman
Cerita ini boleh juga dilayari di Dan. Setiap bab dalam penulisan ini akan dikemaskini setiap dua hari pada jam 8:08 malam. Jilbab episode 11 akan disiarkan pada 25 September 2010. Komen-komen anda amatlah dihargai.
“Eh Abang Jamil. Bila sampai?”
Hajar menyambut beg abang sepupunya yang sudah berada lima belas minit setelah sapaan salam tidak bersambut. Lelaki itu hampir sahaja berkira-kira hendak mencari mana-mana surau berdekatan memandangkan waktu Asar sudah hampir ke penghujungnya.
Lelaki berkopiah itu dipelawa masuk. Jamil mengikut tanpa membantah.
“Kak Mira ke kedai. Beli barang untuk makan malam. Sekejap lagi dia sampai lah. Abang duduklah dulu”, suruh gadis itu dengan sopan sebelum ke ruang dapur untuk membancuh teh O.
“Ada hal apa abang datang ke bandar? Siap bawa beg semua?”, kedengaran suara Hajar sedikit tinggi di dapur. Jamil mendengus senyum.
“Kenapa? Hajar tak suka abang datang menjenguk kamu dua beradik, ya?”
Hajar senyap sekejap, mungkin berfikir pertanyaannya kedengaran agak janggal.
“Eh..tak adalah. Maksud Hajar…”
“Abang dapat kerja di bandar. Di Wisma Zamrud sebagai penasihat undang-undang Syariah. Lusa mula kerja”
Hajar kembali semula ke ruang dapur sambil menatang tiga biji cawan seramik dengan teko rona yang sama. Biskut kering terhidang bersama air teh O panas itu.
“Maaflah bang. Teh bujang je ni”, ujar gadis itu kemalu-maluan. Jamil menyungging senyuman lawa.
“Alah..tak ada apa-apalah. Abang datang ini pun kejap je. Nak tumpang solat. Lepas tu nak ke Mutiara Bay, rumah kawan abang. Dia yang suruh abang isi borang pada jawatan yang abang pegang sekarang”
Hajar mengangguk sambil menuangkan teh dengan penuh susila.
“Mutiara Bay tu adalah lima belas minit dari rumah ni. Abang tunggu sampai lepas Maghrib lah. Kita boleh makan sama”
Jamil, walaubagaimanapun menyambutnya dengan tidak selesa.
“Eh..tak payahlah Hajar. Abang nak tumpang solat aje ni”
Hajar menggeleng sambil tersenyum manis
“Tak ada apalah yang hendak disusahkan. Lagipun dah lama kita tak makan sekali, sejak arwah emak meninggal beberapa bulan lepas”
Jamil menghela nafas. Kata-kata Hajar ada benarnya. Dia membalasnya dengan senyuman nipis, tanda penyetujuan sebelum kedengaran Vios memasuki parkir rumah teres milik Samira. Gadis itu kemudiannya keluar dari perut Vios, mengendong beberapa plastik bahan dapur sebelum dibantu kekasihnya, Asyraf.
Gadis itu memasuki ruang tamu sebelum sedikit terkejut dengan kehadiran Jamil yang sejak tadi memerhatikannya.
“Eh bang Jamil. Bila sampai”, ujar gadis itu teruja sebelum menghulur salam lalu menciumnya ikhlas. Asyraf walaubagaimanapun kelihatan tidak selesa, tetapi cuba mengawal riak wajahnya yang berdetar sedikit tidak bekenan.
“Err..bang”, tukas lelaki itu, turut menghulur salam, menggoncang sedikit tangan sasa Jamil seperti biasa.
“Abang baru sampai. Nak tumpang sembahyang Asar. Tapi datang-datang kamu tak ada pulak. Lepas sembahyang pulak abang nak ke Mutiara Bay..rumah kawan”, kata Jamil sebelum duduk kembali di tempat asalnya. Samira mengangguk faham. Jamil menyambung lagi.
“Abang dapat kerja di Wisma Zamrud. Lusa boleh mula”
Kali ini wajah gadis itu bersinar ceria.
“Alhamdulilah bang! Eh..duduk ajelah sampai Maghrib kang. Lepas makan malam, saya dan Asyraf boleh hantar ke Mutiara Bay”, cadang Samira sebelum dipersetujui oleh Hajar. Asyraf kelihatan semakin tidak selesa. Dijelingnya Samira atas tawaran ‘kebaikan’ gadis itu.
“Itulah bang. Hajar suruh stay, abang tak mahu. Kalau kakak yang cakap, abang memang tak ada pilihan, tau”
Jamil tersenyum lebar. Dua beradik itu dipandangnya tenang.
“Baiklah kalau begitu. Abang setuju”
Samira memandang adik perempuannya sebelum mengajak gadis itu ke dapur sambil membawa barangan yang dibelinya tadi. Seketika kedengaran suara gadis itu memecah ruang dapur yang sunyi sepi.
“Kami masakkan abang Ayam Masak Merah kegemaran abang, okay! Makan banyak-banyak, tau”
Jamil senyum nipis sambil meminggirkan cawan seramik yang terisi teh O nya yang masih belum terusik. Dia kemudiannya memandang Asyraf yang berpura-pura tersenyum, turut mengangkat cawan seramiknya ke pinggir bibir.
Samira tak pernah masakkan apa-apa untuk aku…
Siapa kau di mata dia?
Kenapa dia lebih kan kau?
Aku ni kekasihnya
Bakal suaminya!
Gara-gara kau, aku diabaikan Samira.
Tak guna kau ni, kau tahu??
“Asyraf ada sesuatu ke nak cakap dengan saya?”
Asyraf sedikit tersentak. Matanya terkebil-kebil sebelum memandang wajah Jamil dengan penuh hati-hati.
Lelaki itu menggeleng perlahan.
Jamil membalasnya dengan senyuman.
“Kalau ada apa-apa keraguan, mintalah pada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui”, Jamil berbisik sebelum mengangkat tubuhnya untuk bangun. “Abang solat Asar dulu ya. Di bilik depan ni, boleh kan?”
Asyraf tidak menjawab sebaliknya mengangguk bena tak bena.
Suatu kemenangan buat engkau, Jamil.
Kopiah pakaian kau.
Zikir amalan engkau.
Peribadi baik hiasan engkau.
Kau mudah memikat wanita.
Kerana aku tahu, aku tak punyai semua itu.
Dan kau memang tak berguna!
Apa kejadahnya sepupu sendiri kau hendak lanyak?
Kemarahan Asyraf sudah sampai ke kemuncaknya. Perasaan marahnya makin menebal merajai diri. Sudah tidak tahan lagi kalau-kalau Jamil hanya sekadar mempamerkan lagak alimnya itu!
Pelahan-lahan dia bangun, kemudian menuju ke bilik tempat lelaki itu bersolat. Dia menguak sedikit daun pintu. Mujur lelaki itu bersolat membelakangkan pintu, jadi setiap gerak gerinya dapat dipantau dengan jelas.
Lelaki itu rupanya masih belum menunaikan solat.
Tetapi mengambil sesuatu dari dalam beg galasnya. Sesuatu yang kelihatan seperti batu. Seketika lelaki itu mendekatkan batu itu ke bibirnya. Mulutnya terkumat kamit sebelum dia membuka laci meja solek dengan sangat perlahan, melihat seketika kiri kanan dan memasukkannya dengan sangat senyap.
Asyraf menelan liur.
Apakah itu???
BERSAMBUNG..
2 comments:
dah episod 10 dah.. byk yg tggl ni..
mR.sYaH---)hehehehe..takpe syah.take ur time k!
Post a Comment