Monday, September 27, 2010

LORO: CHENDANA EPISODE 11



Penulis: Faizal Sulaiman
Cerita ini boleh juga dilayari di
Dan. Setiap bab dalam penulisan ini akan dikemaskini setiap dua hari pada jam 8:08 malam. Jilbab episode 12 akan disiarkan pada 28 September 2010. Komen-komen anda amatlah dihargai.


Kerlipan lampu di jalan masuk utama ke Mutiara Bay kelihatan sangat mempesonakan. Binaan besi berukir seni geometri melayu dengan mentol berbentuk futuristik menggambarkan bahawa Bandar Mutiara Bay adalah penciptaan legasi kerajaan yang mahu melihat bandar ini sesuai dengan temanya iaitu ‘Bandar Dalam Taman’.

Jamil menelefon rakannya.
Mereka berbual sekejap dalam Bahasa Arab yang langsung tidak difahami Samira mahupun teman lelakinya, Asyraf. Mereka kemudian memandang sesama sendiri selain cuba mengelakkan wajah pelik mereka dari menarik perhatian lelaki itu. Vios hitam milik Asyraf membelok ke simpang pertama Jalan Belatuk, Mutiara Bay sebelum berhenti di sebuah rumah teres dua tingkat yang mana di hadapannya menempatkan sebuah Perodua MyVi Special Edition berwarna oren.

Kelihatan seorang lelaki berkain pelekat tersenyum mesra sambil membuka gate berwarna hitam itu. Jamil menyungging senyum.

“Assalamualaikum, ya Sahabat”, ujar si lelaki sambil menghulur tangan sebelum memeluknya erat.
“Sihat kah, kawan?”
Jamil mengangguk.
“Ana sihat! Walafiat!”
Kawannya tersenyum sangat mesra.

Samira dan Asyraf turun dari kereta kemudian menyertai dua sahabat itu yang berbual-bual kosong dengan wajah ceria.
“Mira, perkenalkan ni kawan abang. Zafran namanya. Satu kuliah dengan abang. Tapi dia pulang awal satu semester ke Malaysia. Maklumlah..budak pandai”, perkenal Jamil kepada Zafran. Samira tunduk senyum sebelum Zafran membalasnya dengan hormat. Asyraf kemudiannya menghulur salam kepada Zafran sebelum memperkenalkan dirinya merupakan kekasih kepada Samira.

Perbuatan itu sedikit sebanyak menyentakkan Jamil yang kelihatan aneh pelik wajahnya. Tetapi itu mungkin sikap semulajadi Asyraf agaknya, maka lelaki itu mudah cemburu. Pasangan bercinta…Cemburu itu perkara biasa.

“Tak nak masuk dulu ke, minum teh. Teh bujang aja”, pelawa Zafran kepada Asyraf dan Samira. Asyraf menggeleng tidak setuju.
“Tak apalah, bang. Kami nak cepat ni”, desak Asyraf sebelum menarik tangan kekasihnya sebelum menyuruh gadis itu masuk ke dalam Vios kepunyaannya. Zafran memandang Jamil meminta penjelasan. Jamil kemudiannya tersenyum penuh erti. Tanpa sempat mengucapkan selamat tinggal, kedua pasangan itu berlalu sebelum Zafran mempelawa kawannya masuk ke dalam rumah.

“Masuklah Mil. Tak ada apa rumah aku, nya”, ujar lelaki itu ramah sebelum membawa beg galas kawannya ke ruang tamu. Persekitarannya bersih. Dengan TV skrin leper berjenama Panasonic dan sofa biru lembut menmpakkan ciri-ciri kesederhanaan lelaki itu dalam memilih hiasan rumah. Ruangnya yang agak kecil tetapi kemas menarik pandangan Jamil.

“Kau tinggal sorang Zaff?”
Lelaki itu menggeleng. Sambil duduk senang, dia berkata perlahan.
“Dengan kawan kampung. Kejap lagi dia baliklah. Kerja graphic designer. Aku menyewa berdua je dengan dia. Ada kau ni,kuranglah sikit beban sewa”, ujarnya sambil tertawa. Duduk di bandar, lebih-lebih lagi kawasan tarikan seperti Mutiara Bay menuntut penyewanya mempunyai tangga gaji yang setara. Kalau setakat seribu setengah, makan pakai hujung bulan pula yang akan sesak.

“Kau bila mula, Mil?”
Jamil melilau melihat jam tangannya yang sudah menginjak ke pukul lapan setengah malam. Pertanyaan Zafran didengarinya di hujung saja.
“Lusa aku mula..siapa ya nama penyelia dia..aku lupa lah..Puan…”
“Puan Juita. Bekas penyelia aku juga dulu. Baik orangnya. Kau cubalah tuntut ilmu dari dia.”

Hati Jamil lega.
Sedikit sebanyak perkhabaran itu meredakan gelodak rasanya yang tertanya bagaimanakah hari pertamanya bekerja kelak.

Kedengaran bunyi kereta dari luar. Zafran bingkas bangun memerhati kelibat seorang lelaki menutupi Perodua Alza miliknya.
Lelaki itu senyum.
“Haa..kawan aku dah balik. Dia dah tau kau nak menyewa sini. Lega betul tengok muka dia sebab sewa dah semakin meningkat sekarang”, bingkisnya sebelum kelihatan pintu rumahnya terbuka mendedahkan seorang lelaki berambut sedikit panjang, berombak tetapi berwajah baik lekas menghulur salam ke arah Jamil.

“Yazid. Salam kenal”
“Jamil”

Tangan mereka berjabat dan ketika itu jualah Jamil dapat merasakan suatu aura panas melingkari tangannya dan satu suara halus berbisik ke telinganya.

Jangan kau ganggu…Jangan kau berani mengganggu…Aku akan hapuskan kau!!!

BERSAMBUNG

2 comments:

mr.syazwan said...

zafran pakai kete buatan m'sia. Tahniah. Hehe

Faizal Sulaiman said...

mr.syazwan --)yes:) kesederhanaan padan zafran:)

Anda Mungkin Menyukai

src="http://www.linkwithin.com/widget.js"> Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
The views of the writer is his own, and do not in any way reflect the views on other sites affiliated with this site or any other members of this site. It is your OWN RISK by reading all the entries. Please note that all works include short stories and online novels published in this site are written by the writer. You may share all the articles, but you've must consult with the writer first.
Any inquiries, feel free to email the writer on faizalsulaiman85@gmail.com
ALL RIGHTS RESERVED